بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Adakah Tarekat wujud di zaman
Nabi SAW? Ramai ulama mengatakan Tarekat tidak wujud bahkan mereka mengatakan
Tarekat dan Ilmu Tasauf itu bukannya ajaran Islam tetapi daripada Yunani,
Kristian dan Buddhisme.
Justeru itu telah tiba masanya
untuk kami menjelaskan kepada segala tohmahan yang dilontar agar segala salah
faham dan kekaburan ini tidak timbul lagi. Tarekat itu ialah jalan yang
menyampaikan kepada Allah SWT. Kalaulah Tarekat itu tidak wujud di zaman Nabi
SAW lalu bagaimanakah ia membawa para Sahabat RA kepada Allah SWT. Sedangkan
para Sahabat RA telah mengenal Allah SWT dan sampai kepada Maqam Makrifatullah
yakni telah sampai kepadaNya.
Maka jelaslah Tarekat itu
wujud di zaman Nabi SAW betapa tidak kerana agama Islam itu sendiri adalah
Tarekat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Jin ayat 16 – 17:
وَأَلَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاء غَدَقاً
“Dan sesungguhnya sekiranya
mereka (manusia dan jin) istiqamah, berjalan terus menerus (berpegang teguh)
dalam jalan yang lurus (Islam) sudah tentu kami akan memberi minum mereka
air yang melimpah ruah”.
Dalam ayat di atas,
jelaslah bahawa siapa sahaja yang istiqamah dalam berpegang teguh dengan ajaran
Islam akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Bagaikan seorang musafir
yang berjalan di jalan yang lurus, apabila ia istiqamah pada jalan itu suatu
masa nanti dalam perjalanan ia akan dihujani dengan air yang melimpah ruah yang
akan menghilangkan segala dahaga, penat lelah dan kesusahannya sebelum dia
sampai ke destinasinya lagi.
Kenapa dikatakan Islam sebagai
Tarekat sebagaimana tersebut dalam ayat di atas?. Ini memerlukan
penjelasan bahawa Islam itu mempunyai 3 sendi/unsur sebagaimana hadis :
Daripada Saidina Umar RA : Wahai
Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam
itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa
Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang,
mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah
(Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata:
Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia
pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman.
Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para
MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau
percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata
lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: Ihsan itu ialah
bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya Sekiranya engkau
tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.
Ulama dahulu kala telah
mengguna berbagai-bagai kaedah untuk menyusun secara sistematik ajaran yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berupaya hukum-hakam agama Islam yang
bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka telah lahirlah satu ilmu yang
dinamakan ilmu Fekah.
Dalam ilmu Fekah ini, para alim
ulama yang mujtahid telah menggunakan kaedah-kaedah mereka masing-masing untuk
mendirikan mazhab mereka yang telah membentuk fahaman Ahlul Sunnah Waljamaah
(ASWJ). Mazhab Fekah yang termashyur itu ialah 4 mazhab yakni
Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali.
Begitu juga dengan Ilmu
Tauhid, sebahagian daripada ulama yang terdahulu telah menggunakan kaedah
mereka masing-masing untuk mendirikan fahaman iqtikad ASWJ bersandarkan
Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu iqtikad yang dipegang oleh Nabi SAW dan para
Sahabat RA. Maka lahirlah dua mazhab dalam ilmu Tauhid iaitu Mazhab As
Sha’ariah yang dipelopori oleh Imam Abul Hassan As-Sya’ari RA dan Mahzab
Al-Maturudiah yang dipelopori oleh Imam Abu Mansur Ar-Maturuddin RA . Mereka
berdua inilah yang telah mengasaskan iqtikad ASWJ.
Dalam bidang Al-Ihsan pula,
lahirlah beberapa ulama sufi yang telah menyelami syariat bathin yang telah
menggunakan berbagai kaedah untuk membahaskan syariat bathin Nabi SAW. Maka
lahirlah satu cabang ilmu yang dinamakan Ilmu Tasawuf untuk mencapai Makam
Al-Ihsan. Dalam hal ini, mereka telah mengasaskan mazhab atau tarekat
bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, di mana ada sepuluh mazhab dalam Tasawuf.
Jelaslah di sini bahawa Islam
itu adalah didirikan atas tiga cabang ini, sebagaimana yang telah disabdakan
oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, adalah tidak boleh dipertikaikan lagi
bahawa Islam itu merupakan sebuah tarekat sebagaimana disebutkan di
Surah Al-Jin:16 , kerana jika seseorang itu mengamalkan ketiga cabang ini
secara istiqamah, ini akan membawanya kepada Allah Taala. Ketiga cabang ilmu
ini walaupun tidak wujud pada nama namun Nabi SAW telah mengajarnya kepada Para
Sahabat RA. Kemudian Para Sahabat RA telah mengamalkan ajaran Nabi SW secara keseluruhan
dalam kehidupan mereka, sebab itulah para ulama dahulu kala dapat mendirikan
mazhab mereka masing-masing pada setiap cabang ilmu kerana mereka berpandukan
kepada apa yang telah Nabi SAW ajar dan laksanakan kepada para Sahabat RA.
Walaupun ajaran agama Islam
itu telah dibahas dalam tiga cabang ilmu tersebut. Namun setiap umat Islam
mestilah mengamalkan keseluruhan cabang ilmu-ilmu itu pada dirinya sebagaimana
Para Sahabat RA telah lakukan, barulah sempurna Islam dan imannya.
Adalah sangat penting untuk
difahami bahawa Nabi SAW itu bukan sahaja mengajar para Sahabat RA tetapi
mendidik kerohanian mereka sebagaimana tersebut dalam surah Al Baqarah ayat 151:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah
mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada
kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta
mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.
Dan surah Al Jumaah ayat 2:
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara
mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan
mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka
sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,
Maksud “mensucikan” dalam
kedua ayat di atas ialah mendidik mereka dari segi kerohanian. Justeru itu
jelaslah melalui kedua ayat ini tugas Nabi SAW bukan sahaja mengajar para
Sahabat RA tetapi mendidik kerohanian mereka iaitu mensucikan jiwa mereka.
Ini bererti Nabi SAW bukan
sahaja membacakan dan mengajar isi kandungan Al Quran kepada para
Sahabatnya juga mengajar sunnah tetapi Baginda SAW juga mendidik
kerohanian mereka.
Sejarah membuktikan bahawa
melalui tunjuk ajar dan perilaku serta didikan kerohanian Baginda SAW telah
berjaya membawa para Sahabat RA untuk mengenal Allah Taala sehingga mereka
mencapai Maqam Makrifatullah iaitu Maqam Al Ihsan. Ini bererti Nabi SAW telah
mengasaskan tarekat bagi para Sahabat RA. Maka Nabi SAW adalah merupakan
Guru Mursyid kepada para Sahabat RA.
Pada hakikatnya diri
Rasulullah SAW itu sendiri adalah merupakan Tarekat. Betapa tidak kerana
seseorang yang masuk Islam di tangan Baginda SAW sebelum beramal lagi terus
memiliki keyakinan yang teguh. Ini bererti untuk mencapai Maqam Makrifatullah
di samping melaksanakan ajaran Islam serta beriktiqad dengan iktiqad Nabi SAW
ianya memerlukan seorang individu yang merupakan seorang Pewaris Nabi SAW
yang bertindak sebagai Guru Mursyid.
Maka seseorang yang berhasrat
untuk sampai kepada Allah SWT di samping ia megamalkan ajaran Islam serta
beriktiqad dengan iktiqad Nabi SAW itu tidak boleh tidak, hendaklah ia
menjalankan latihan kerohanian untuk mencapai maqam Al Ihsan.
Walaubagaimanapun yang
terpenting baginya adalah untuk mencari seorang Guru Mursyid kerana semua
usahanya untuk mencapai ini tidak akan berjaya tanpa bantuan seorang Guru
Mursyid. Guru Mursyidlah yang akan membimbingnya melalui tunjuk ajar dan
perilakunya serta didikan kerohanian dalam rangka untuk mencapai Makrifatullah
sebagaimana yang telah terjadi di zaman Nabi SAW.
Adalah dijelaskan di sini
bahawa Al Ihsan itu bukanlah merupakan ilmu, amalan atau keyakinan tetapi ianya
adalah merupakan sebuah pengalaman kerohanian iaitu keadaan menyembah Allah SWT
seolah-olah melihatNya iaitu melihat dengan matahati yang disebut sebagai
Maqam Musyahadah. Atau Maqam Muraqabah iaitu keadaan
mengetahui dan merasai bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa melihat dan
memperhatikan hambaNya.
Maka jelaslah kini bahawa
tarekat dalam tasawuf itu wujud pada hakikatnya di zaman Nabi SAW walau pun
tidak wujud pada namanya. Persoalannya sekarang ialah mengapa majoriti umat
Islam hari ini tidak ramai yang mengenal Allah SWT atau sampai kepada Maqam
Makrifatullah? Ini adalah kerana para alim ulama hanya menekankan dua
cabang ilmu iaitu Fekah dan Usuluddin dan mengabaikan Al Ihsan. Bagi
mereka Al Ihsan adalah kompilasi perangai yang elok (sifat Mahmudah) ini
kerana mereka tidak dapat memahami bahawa Al Ihsan itu adalah pengalaman
kerohanian yang dia perolehi melalui bantuan seorang Guru Mursyid sebagai
pewaris Nabi SAW.
Untuk mengetahui hakikat
tarekat yang diajar oleh Nabi SAW kepada para Sahabatnya itu hendaklah
seseorang itu menyelami tarekat yang dibawa oleh YM Tuan Guru Hj. Ghulam
Hassan RA (YMTG) . YMTG RA telah diijazahkan oleh Nabi SAW sendiri yang
berupa Al Quran untuk membawa manusia kembali kepada Allah SWT. Baginda
SAW berkata kepada YMTG RA “Bawalah manusia kembali kepada Allah SWT dengan
menggunakan Al Quran ini sahaja”. Ini bererti Nabi SAW menyuruh YMTG RA
mengasaskan tarekatnya berdasarkan Al Quran dan As Sunnah sebagaimana Baginda
SAW lakukan di zamannya. Sepanjang penelitian kami, kebanyakan para pengasas
tareqat hanya diijazahkan oleh Nabi SAW berupa untaian zikir dan wirid
sahaja.
Dalam kitab At TariqIlallah
ini nyatalah YMTG RA tidak pernah mengajar konsep maqam tujuh, fana, baqa dan
tajalli ataupun konsep Wahdatul Wujud, atau pun perkataan sathohat (perkataan
yang diucapkan sewaktu dzauk seperti: “ana al Haq” ), berbanding dengan
kitab-kitab tasawuf yang dikarang oleh para sufi atau para pengasas
tarekat. Apa yang terdapat dalam kitab At TariqIlallah adalah merupakan
amalan-amalan yang telah ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabat
RA dalam rangka untuk mencapai Tazkiatun Nafs dan Tasfiatun Nafs.
Di zaman Rasululah SAW dan
Sahabat RA tidak dibahaskan perkara-perkara seperti Tajalli, Wahdatul Wujud,
perkataan sathohat dan sebagainya. Begitu juga Almarhum YMTG RA tidak pernah
berbuat demikian. Persoalannya, kenapa demikian sedangkan perkara itu wujud
pada hakikatnya. Ini kerana semua ini merupakan pengetahuan dan
pengalaman kerohanian yang diperolehi ketika seseorang itu menjalankan latihan
Kerohanian dibawah asuhan seorang Guru Mursyid.
YMTG RA menitik berat konsep
uzlah dalam tarekatnya sehingga ia berkata walaupun seorang itu memiliki
ilmu yang tinggi tetapi kalau ia tidak berikhtikaf selama 40 hari, dia masih
belum dianggap sebagai orang yang benar. Nabi SAW pernah bersabda: “Siapa
yang tidak berkata-kata selama 40 hari (melainkan ibadat sahaja)
maka Allah SWT akan menjadikan di dalam hatinya Nur” (sehingga ia
boleh membezakan mana yang haq dan mana yang bathil).
Maka sebagaimana Nabi
SAW arahkan, YMTG RA telah mengasaskan Tareqatnya sebagai
satu sistem yang syumul di mana ajarannya itu adalah berasaskan Al Quran dan As
Sunnah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasullah SAW kepada para
sahabatnya. Melalui Tareqat inilah seseorang itu akan memahami
serta dapat menjalani proses Tazkiahtun Nafs dan Tasfiahtun Nafs.
Dengan tercapainya Tazkiatun
nafs dan Tasfiatun Nafs itu akan menjadikan seseorang itu mencapai Maqam
Muqarabah dan seterusnya Maqam Musyahadah yang merupakan sebagai maqam Al
Ihsan, sebagaimana sabda Nabi SAW “Bermula makam Al Ihsan itu hendaklah
engkau menyembahNya seolah-olah engkau melihat Allah SWT jika engkau tidak
berkuasa demikain maka (yakinlah) sesungguhnya Dia melihat engkau”. Maqam
pertama itu adalah Maqam Musyahadah dan kedua adalah Maqam Muraqabah.
Kesimpulannya, sasaran Tasawuf
itu ialah untuk mencapai Al Ihsan. Ia mengandungi dua unsur: Ilmu
dan Tarekat. Ilmu Tasawuf hendaklah diamalkan dalam Tarekat. Tarekat
sebagaimana telah disebutkan, iaitu merupakan jalan yang menyampaikan
kepada Allah SWT. Tarekat ini diasaskan oleh seorang Guru Mursyid yang mana ia
mengandungi beberapa unsur yang terpenting. Tarekat yang diasaskan oleh
YMTG RA mengandungi tiga unsur yang penting iaitu zikir, latihan
kerohanian dan adab serta peraturan. Semuanya bersandarkan Al Quran dan
As Sunnah.
Maka jelaslah Tarekat yang
diasaskan oleh YMTG RA adalah merupakan Tarekat yang telah diajar oleh
Nabi SAW. Untuk lebih jelas lagi silalah baca kitab kami “ At TariqIlallah ”.
Maka tiada keraguan lagi bahawasanya Ilmu Tasawuf dan Tarekat wujud di zaman
Nabi SAW. Malangnya disebabkan oleh fahaman Wahhabi
menyebabkan umat Islam hanya mengamalkan 2 cabang ilmu sahaja iaitu ilmu Fekah
dan Tauhid tetapi mengabaikan Al Ihsan. Sebab itulah umat Islam terumbang
ambing kerana jiwa mereka kosong daripada Makrifatullah. Umat Islam
hendaklah kembali memiliki iman, Islam dan Ihsan pada diri mereka kalau
menginginkan kejayaan dan kemenangan dunia dan akhirat.