Thursday, February 28, 2019

Bahagin 3 - Sempena Memperingati Haul YMTG RA ke 29 pada 1 Rejab 1440🌹🌹

Lambang Perjuangan YMTG RA

Masjid Awal Tuan Guru di Lahad Datu adalah lambang perjuangan YMTG RA di Sabah bermula dari semenjak zaman pemerintahan British lagi. Di masjid inilah YMTG RA selalu menunaikan setiap sembahyang fardhu dan sembahyang fardhu Jumaat.

Banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku berkenaan dengan masjid ini seperti arahan pemindahan, pembongkaran masjid dan juga peristiwa-peristiwa lain yang membawa kepada muzakarah dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Syukur Alhamdulillah kehadrat Ilahi sehingga kesaat ini, binaan masjid serta tulisan penanda berbentuk arahan/nasihat yang dikarang YMTG RA masih kekal kelihatan.

YMTG RA sama sekali melarang  mengutip wang di dalam masjid. Ini merupakan hukum dari ALLAH SWT, termasuk di dalam undang-undang dan peraturan Tuhan. Hari ini kita lihat di kebanyakan masjid membuat kutipan duit. Pasti ada hikmah dan rahsia ALLAH SWT melarang berbuat demikian di dalam masjid kerana ianya membawa maksud tiada urusan dunia di dalam masjid. Seluruh tumpuan haruslah diberikan untuk beribadat semata-mata.

Pastinya banyak lagi rahsia yang perlu diberi penerangan kepada semua umat manusia zaman ini. Ulama perlulah memperjelaskan kepada orang awam larangan ini, agar mereka segera meninggalkan dan yang utama semua pihak masjid perlulah membuat arahan sebagaimana yang telah YMTG RA lakukan.

Bahagian 2 - Sempena Memperingati Haul YMTG RA ke 29 pada 1 Rejab 1440🌹🌹

YMTG RA ketika hidupnya sentiasa menasihati serta berdakwah kepada masyarakat kemana sahaja beliau pergi. Setiap nasihat yang beliau sampaikan diucapkan dengan lemah lembut sehingga terkesan di hati mereka yang mendengarnya. Semua ini beliau lakukan kerana Allah swt dan RasulNya. Seperti yang diceritakan di dalam kitab Riwayat YMTG RA orang ramai begitu suka mendengar nasihat-nasihat beliau kemana sahaja beliau pergi iaitu di Filipina, Indonesia dan Singapura. Beliau begitu dihormati di segenap tempat dan di beri gelaran-gelaran berikut:

1. Tuan Aulia di Filipina kerana pelbagai peristiwa luarbiasa semasa di Negara itu;

2. Haji Muda di Sabah kerana wajahnya yang sentiasa kelihatan muda terutama di waktu pagi;

3. Tuan Bikang gelaran diberi oleh masyarakat setempat sempena beliau tinggal di Kampung Bikang, Lahad Datu.

Sempena Memperingati hari haul YMTG RA ke 29_1 Rejab 1440🌹

Siapakah Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al Haj Al-Khatamul Muhamadiyyah Al-Bikangi RA (1411-1440)?

Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al Haj Al-Khatamul Muhamadiyyah Al-Bikangi RA dilahirkan pada tahun 1920 disebuah desa dibahagian Barat Pakistan yang dikenali dengan nama Dara Hazarah. Sejak berumur 7 tahun beliau mulai berpuasa setiap hari kecuali hari-hari yang tidak boleh berpuasa sehingga selama 30 tahun lamanya. Beliau sentiasa sembahyang berjemaah di masjid walaupun ada ketika jatuh sakit. Kegemaran beliau ialah berzikir dan membaca Al-Quran. Mulai beriktikaf pada umur 8 tahun. Tidak biasa bermain dengan kawan-kawan sebayanya. Beliau suka duduk sendirian di tepi Sungai bertafakur mengingati tentang kebesaran ALLAH SWT. Setiap hari membaca Al-Quran mulai waktu subuh dan akan khatam selepas waktu Ishak. Beliau gemar beriktikaf/beruzlah di tempat-tempat sunyi jauh dari orang ramai seperti di gua-gua, hutan dan padang pasir. Apabila beliau berhijrah ke bumi Sabah pada tahun 1938 di Lahad Datu, beliau meneruskan iktikaf/uzlah beliau dan Gua Madai, Lahad Datu, Sabah merupakan salah satu tempat yang pernah beliau beriktikaf.

Sepanjang hidup YMTG RA selain beliau berdakwah didalam negara, beliau juga berdakwah di luar negara termasuk Filipina, Singapura, Indonesia dan Pakistan. Dimana sahaja beliau hadir, maka berduyun-duyun manusia tidak kira apa bangsa dan fahaman agama datang menemui beliau untuk mendapatkan nasihat dan mengubati penyakit. Dengan izin ALLAH SWT semua penyakit dan masalah dapat diatasi. Pelbagai penyakit yang pelik-pelik dan masalah yang rumit dan sukar telah dapat diatasi. Semuanya dari kehendak ALLAH SWT. Sebagai kekasih ALLAH SWT semua permintaan beliau telah Tuhan makbulkan.

Sepanjang hayat beliau, YMTG RA menyampaikan dakwah kebenaran agama islam dengan cara aman dan penuh dengan kasih sayang.

YMTG RA wafat pada 1 Rejab 1411 (16 Januari 1991) ketika berumur 71 tahun dan dimakamkan di Kg Bikang meninggalkan pusaka yang sangat bernilai iaitu ajaran-ajaran dan amalan-amalanbeliau yang akan menjadi warisan sehingga ke hari kiamat. Semua ajaran dan amalan ini bagaikan cahaya yang menyelinap keseluruh setiap hati-hati insan yang mengamalkannya bahkan ke seluruh alam ini. Semua ajaran & amalan YMTG RA adalah bersumber dari fahaman Ahlul Sunnah Waljamaah yang tentunya berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang berasaskan kasih sayang. Begitulah juga dengan keperibadian YMTG RA dimana beliau memiliki sifat Ithaar iaitu mengutamakan keselamatan atau kepentingan orang lain daripada diri sendiri. Hayat beliau diwarnai dengan sifat terpuji ini.