Saturday, June 18, 2016

Ayahanda YMTG Hj Ghulam adalah mujadid kurun ke 15


Kita umat Islam hari ini telah ditimpa kelemahan dan kehinaan dimana jua kita berada. Ini adalah akibat daripada perbuatan kita umat Islam sendiri. Kita sesama umat Islam saling bunuh-membunuh, zalim-menzalimi dan tindas-menindas yang telah mengakibatkan dan mengorbankan ramai jiwa umat Islam serta kerosakan pada harta benda dan negara Islam itu sendiri seperti yang berlaku di negara-negara Arab contohnya di Iraq, Syria, Jordan, Mesir dan Yaman. Negara Arab Saudi yang sepatutnya menjadi “orang tengah “ dan pengaman bagi umat Islam turut membuat kerosakan di bumi Yaman yang mengorbankan ramai umat Islam terkorban dan kerosakan harta benda di negara itu. Semua ini berlaku kerana telah hilang kasih sayang sesama umat Islam sehingga tidak wujud lagi perpaduan yang sejati hatta di kalangan negara-negara Islam itu sendiri. 

Ini disebabkan kita umat Islam telah menyimpang dari jalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW yang menyebabkan kita hancur binasa dan menjadi hina.

Sabda Nabi SAW :

عن أبي الدرداء رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْمَحَجَّةِ الْبَيْضَآءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ" (  رواه أحمد)

Dari Abu Darda RA, : Sesunguhnya Nabi SAW bersabda : 

Sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu atas jalan yang luas lagi jelas dimana malamnya seperti siangnya tiada yang menyimpang daripadanya selepas ku melainkan orang yang binasa”.


Jalan yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu ialah jalan yang membawa umat Islam kembali kepada Allah Taala dengan cara mendekati dan mengenaliNya.

Persoalannya siapakah yang mampu membawa umat Islam kembali ke jalan yang ditinggalkan Nabi SAW ini? Tentu sekali mereka ialah dari kalangan alim ulama kerana mereka adalah sepatutnya pewaris Nabi SAW. Namun hingga ke hari ini tidak ada dikalangan alim ulama yang bangun di tengah-tengah masyarakat untuk membawa umat Islam kembali ke jalan itu. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar memberi ceramah, mengalunkan nasyid, mengadakan forum dan seminar serta mengetuk pintu rumah-rumah umat Islam untuk mengajak mereka ke masjid. Usaha yang mereka lakukan semua ini nyata tidak membawa umat Islam kembali ke jalan yang Nabi SAW tinggalkan itu bahkan menyebabkan umat Islam semakin jauh dari jalan itu. Ini disebabkan ramai para alim ulama tidak lagi  berada di landasan jalan yang benar itu. Dengan demikian umat Islam tidak ada lagi jalan keluar daripada kelemahan dan kehinaan yang mereka sedang alami ini.

Namun Allah SWT tidak akan membiarkan AgamaNya iaitu Agama Islam menjadi hina disebabkan oleh umat Islam itu sendiri kerana sabda Nabi SAW

إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

“Sesungguhnya Allah akan mengutus untuk umat ini setiap masa seratus tahun, orang yang akan memperbaharui agamanya” . Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Hakim, dan lainnya).

Maka kali ini mujadid yang akan membawa kebenaran itu akan muncul dari ufuk timur. Kami yakin mujadid di akhir zaman ini ialah tidak lain tidak bukan ialah ayahanda kami – Yang Mulia Tuan Guru Tuan Haji Ghulam Hassan Ali Akbar al-Ghaus al-Bikangi semoga Allah meredhaNya. Ini disebabkan pada tahun 1950 pada ketika ayahanda berada di Kota suci Madinatul Munawwarah Nabi SAW sendiri telah mewakilkan Ayahanda untuk meneruskan tugas Baginda SAW untuk membawa semua umat manusia kembali kepada Allah SWT dengan berpandukan al-Quran serta sunnahnya. Ini bererti walaupun Ayahanda telah kembali kepangkuan Ilahi namun ajaran, amalan serta kefahamannya akan hidup dan berkembang ke seluruh pelosok dunia. Inilah yang akan menyebabkan semua umat manusia terutama umat Islam kembali kepada Allah Taala dengan demikian mereka selamat dunia dan akhirat.  Dunia ini akan menjadi aman damai, penuh kasih sayang dan keadilan. Percaya atau tidak percaya namun masanya tidak lama lagi akan tiba dan umat manusia pasti akan menyaksikannya.

Dipetik dari FB Halim Sidek Gulam Hassan 15 Aug 2015
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1697982917101033&id=100006680226198