Wednesday, June 15, 2016

KITAB KERAMAT YMTG RA BAB 2 BAHAGIAN 2- SEBAHAGIAN DARI KERAMAT YM TUAN GURU RA

7. Tuan Haji Khatib Ibnu Mas’ud dan adik-adiknya menceritakan pengalaman  mereka masing-masing:-

i. Diceritakan oleh Haji Ibnu Mas’ud, “Satu ketika, pada hari Jumaat di Masjid Bandar Lahad Datu  seperti biasa YM Tuan Guru RA akan menyampaikan ceramah dan nasihat sebelum masuk waktu solat. Tiba-tiba saya terpandang wajah YM Tuan Guru RA bertukar menjadi muda dan tampak hebat membayangkan keagungan seorang utusan Tuhan pewaris tugas kerasulan dan kenabian untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada seluruh umat manusia.

ii. Pada tahun 1995, saya telah menunaikan fardhu haji. Seperti lazimnya Hajarul Aswad sukar untuk dipandang apatah lagi didekati atau dikucup semasa musim haji. Hanya ketika sembahyang berjemaah sahajalah Hajarul Aswad dapat dilihat dengan jelas. Oleh itu saya sengaja melambatkan rukuk untuk melihat Batu yang penuh berkat itu. Tiba-tiba saya terlihat YM Tuan Guru RA berada di dalam Hajarul Aswad. Mungkin ini adalah kerana YM Tuan Guru RA seorang pembawa kebenaran yang mengajak manusia kembali ke pangkal jalan. Sesuai dengan pendapat sesetengah ulama yang menerangkan bahawa perjanjian di antara manusia dengan Maha Pencipta, Allah SWT dimaterikan di Hajarul Aswad. Jadi mengucup Batu Hitam ini bermakna kita memperbaharui kembali ikrar yang telah sering diabaikan dan dilupakan.

iii. Sekali peristiwa, saya menziarahi YM Tuan Guru RA di rumahnya di Kampung Bikang. Bila saya duduk di hadapannya, beliau dengan tiba-tiba berkata, “Janganlah kamu membaca buku sembarangan.”  Perkataan YM Tuan Guru RA terasa kesannya di dalam hati kerana sebelum datang berkunjung ke Bikang, saya telah membaca sebuah buku bertajuk ‘The Muqaddimah’ karangan Ibn Khaldun kepunyaan adik saya Haji Nafsun Haji Abdul Wahid yang dikarang oleh pengarang yang berfahaman Wahhabi dan yang mempunyai fikiran yang sama seperti Ibnu Taimiyyah yang sesat itu.

iv. Diceritakan oleh Asmah Haji Wahirun: “Pada satu hari saya telah pergi ke rumah YM Tuan Guru RA di Kampung Bikang bersama kakak dan abang ipar saya.  Apabila YM Tuan Guru RA duduk menghadap kami lalu beliau pun memberi nasihat.  Antara nasihatnya: ‘Janganlah paksa jika orang tidak mahu ke hospital.’

Tiba-tiba teringat saya tentang kakak saya yang telah memujuk bapa kami ke hospital walaupun pada mulanya bapa enggan berbuat demikian.  Padahal perkara itu tidakpun kami ceritakan kepada YM Tuan Guru RA.”

v. Diceritakan oleh Sitti Zubaidah Haji Wahirun:  “Suatu ketika saya telah pergi ke rumah YM Tuan Guru RA. Semasa beliau memberi nasihat, beliau berkata, ‘Janganlah membaca buku-buku yang tidak ada faedah, baguslah berzikir.’  Saya berasa seram sejuk kerana saya adalah orang yang paling suka mengumpul bermacam-macam majalah untuk dibaca.”

vi. Diceritakan oleh Abd. Kadir Haji Wahirun: “Inilah pertama kali saya menziarahi YM Tuan Guru RA. Ketika itu saya masih bersekolah. YM Tuan Guru RA lalu memberi nasihat, ‘Apalah budak-budak sekarang ini, bodoh-bodoh main bola saja, bola ditendang tidak ada guna.’  Saya dapat menangkap kata-kata YM Tuan Guru RA kerana saya memang suka main bola. Saya sedar YM Tuan Guru RA bukanlah sebarangan orang.”

vii. Encik Sarif dari Semporna telah ditimpa suatu penyakit.  Oleh kerana sakit yang tidak tertahan, pada pukul dua pagi dia telah pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Setelah itu, tidak ada apa-apa perubahan yang didapati. Encik Sarif masih merasa sakit lalu dia berkata mungkin ini bukannya penyakit tetapi ia adalah suatu perbuatan sihir.  Oleh kerana masih terasa sakit, dia telah pergi ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.  Dia ditahan di wad selama dua hari sehinggalah penyakitnya beransur sembuh.  Suatu hari dia dibawa oleh saudaranya untuk bertemu Yang Mulia Tuan Guru RA. Sebelum sempat memberitahu tentang penyakitnya, Yang Mulia Tuan Guru RA telah memberi kata-kata nasihat.  Antaranya, “Inilah manusia ini, sikit-sikit sakit pergilah ke klinik. Kalau tak sembuh, dia kata itu sihir. Kalau tidak tahan juga pergi pula ke hospital.”

Encik Sarif begitu hairan dengan kata-kata beliau.

8.  Haji Usman Suing seorang pengikut yang setia.

i. Tuan Haji Benjamin menceritakan pengalaman arwah ayahnya seperti berikut:-

“Arwah ayah saya pernah bekerja sebagai kerani di Syarikat Teck Guan Sdn. Bhd. Selama dia bekerja, ramai orang Suluk telah berhutang dengan nilai yang besar kepada syarikat. Kemudian mereka melarikan diri ke Tanah Sulu di Filipina. Pengarah syarikat telah mengarahkannya untuk menagih hutang orang-orang Suluk tadi ke Filipina. Dia amat susah hati kerana orang Suluk terkenal dengan keberanian mereka dan membunuh siapa sahaja yang mengganggu mereka.  Dia telah pergi berjumpa Yang Mulia Tuan Guru RA dan mengadu akan hal ini.  Beliau berkata, ‘Teruskan tugas tuan haji.’

Sebelum arwah berangkat ke Filipina, Yang Mulia Tuan Guru RA telah memandikannya. Dengan itu arwah ayah saya berasa yakin bahawa dia selamat dalam perjalananya.  Dalam pelayaran ke Filipina di suatu tempat yang dilalui, bot yang dia naiki telah diserang oleh tembakan senjata api dari arah kiri dan kanan. Semua penumpang bot telah bersembunyi di dalam bot untuk mengelak dari terkena peluru. Arwah ayah saya mengambil alih kemudi lalu memandu bot yang dia naiki tanpa menghiraukan apa-apa. Mereka telah selamat dari serangan tadi. Setiba arwah ayah saya di Tanah Sulu, orangorang yang telah berhutang dengan syarikat telah membayar semua hutang mereka.

ii. Pada suatu hari arwah ayah saya telah menaiki sebuah kereta bersama Yang Mulia Tuan Guru RA dari Segama menuju ke Lahad Datu. Dalam perjalanan tersebut, sebatang kayu balak telah merentangi jalan raya. Namun YM Tuan Guru RA menyuruh arwah ayah saya terus berjalan seperti biasa tanpa menghiraukan kayu balak yang berada di depan mereka. Tiba-tiba kereta yang mereka naiki itu berada di sebelah kayu balak dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Ramai orang di tepi jalan raya menyaksikan kejadian tersebut berasa hairan.”

Apabila YM Tuan Guru RA dihukum buang negeri dan menjalani hukuman di Pakistan selama 13 tahun, beliau sentiasa menjenguk anak isteri YM Tuan Guru RA dan menghantar duit belanja kepada mereka.  Setelah YM Tuan Guru RA kembali ke Lahad Datu, Haji Usman meneruskan khidmatnya sebagai pemandu, jurutulis dan jurubicara bagi pihak YM Tuan Guru RA.

Haji Usman Suing pernah meminta YM Tuan Guru RA mendoakannya agar biarlah dia yang meninggal dulu kerana menurutnya ia adalah satu kebaikan justeru YM Tuan Guru RA boleh berdoa untuk keselamatan dan kebaikannya di alam baqa dan akhirat nanti.   Doanya dimakbulkan.

Beliau meninggal pada akhir tahun 1987.  Sewaktu hari kematiannya, YM Tuan Guru RA telah menziarahinya dan membuka tutup muka jenazah Allahyarham Haji Usman Suing. Wajahnya nampak begitu indah dengan sebuah senyuman yang jelas hingga kelihatan gigi beliau. YM Tuan Guru RA berkata kepada yang hadir, “Lihatlah orang yang kembali dengan gembira kerana Haji Usman telah mati dalam perjuangan yakni sebagai syahid di jalan Allah SWT.”   Akhirnya beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Bikang (di mana kemudiannya YM Tuan Guru RA dimaqamkan berhampiran). Semasa hayatnya Haji Usman Suing banyak menyaksikan keramat dan kehebatan YM Tuan Guru RA, begitu juga dengan anak isterinya.

iii.  Isteri Haji Usman Suing, Puan Hajjah Zainab menceritakan: “Selepas melahirkan anak kami yang ketiga iaitu Haji Benjamin, saya sering sakit dan mengambil keputusan untuk balik ke kampung asal yang terletak di gugusan kepulauan Sibutu, selatan Filipina.  Dalam perjalanan tersebut, bot kami telah dilanda ribut taufan dengan ombak yang bergulung tinggi. Bot kecil yang dibuai badai ganas seolah-olah tidak dapat bertahan dan pasti kami akan tenggelam. Dalam kemelut itu, saya yang dalam keadaan berpantang dan sakit merasa amat takut serta susah hati. Apabila keadaan menjadi bertambah teruk, saya tiba-tiba melaungkan nama YM Tuan Guru RA  sebanyak dua kali bertawassul memohon pertolongan beliau di saat-saat genting itu. Alhamdulillah, dengan tidak semena-mena tidak lama selepas itu ribut taufan pun reda, lautan menjadi teduh semula dan akhirnya kami selamat sampai ke tempat tujuan, begitu juga sewaktu kembali ke Lahad Datu.”

iv. Hajjah Saida menceritakan,  “Pada tahun 1965, isteri YM Tuan Guru RA telah mendaftar untuk menunaikan Haji. Seperti biasa LUTH meminta beberapa keping gambar ukuran pasport untuk tujuan tersebut.  YM Tuan Guru RA seorang yang warak dan keberatan membenarkan isterinya ke studio untuk mengambil gambar. Oleh itu Haji Usman mencadangkan agar anaknya yakni saya untuk mengambil gambar tersebut.

Saya pun mengambil gambar tersebut di dalam rumah YM Tuan Guru RA.  Pada masa itu ada orang meminta YM Tuan Guru RA bergambar sekeluarga dan mereka berhasrat untuk menunjukkan gambar tersebut di kampung. Isteri YM Tuan Guru RA juga bersetuju dengan cadangan tersebut, menurutnya bagus juga untuk disimpan sebagai kenangkenangan. YM Tuan Guru RA keberatan tetapi membiarkan juga gambar tersebut diambil.  Apabila filem tersebut diproses hanya gambar isteri YM Tuan Guru RA untuk pendaftaran haji sahaja yang jadi, yang selainnya satu gulung tidak jadi.  Ini menghairankan saya kerana semasa mengambil tersebut, saya menggunakan kamera ‘Cannon semi-auto’ dan keadaan manual penggunaan kamera tersebut berfungsi baik. Ini adalah bukti daripada Allah SWT bahawa Walinya sentiasa di dalam jagaannya.”

v. Anak ke 5 Haji Usman Suing, Hajjah Alina mengesahkan, “Saya menghidap penyakit apendiksitis dan telah dimasukkan ke dalam wad untuk pembedahan segera (acute). Apabila mengetahui perkara ini, YM Tuan Guru RA menyuruh saya minum air jampi agar pembedahan itu tidak perlu dilakukan. Keesokannya apabila doktor membuat pemeriksaan, penyakit tersebut tidak dapat dikesan. Pemeriksaan semula dibuat dan hasilnya masih juga negative.  Akhirnya saya dibenarkan pulang. Sehingga hari ini apabila saya terasa sakit semula di situ, saya hanya mengatakan ‘Datuk Haji kata engkau tiada!’  Maka penyakit itu pun hilang.”

vi. Salah satu keramat YM Tuan Guru RA yang sering disaksikan oleh para jemaah adalah sifat pemurah apabila memberi sedekah wang. YM Tuan Guru RA akan mengeluarkan wang dari saku depan jubah beliau, tetapi yang menghairankan ialah tiada tanda-tanda menunjukkan saku tersebut berisi wang.  Jubah beliau berwarna putih, maka jika di dalam sakunya ada wang yang banyak seperti wang kertas $10.00 tentu akan jelas kelihatan. Apalagi wang kertas yang disedekahkan itu lazimnya baru-baru belaka. Perkara ini dialami oleh Haji Adnan.

Begitu juga pada suatu masa kerajaan mengumumkan penggunaan wang kertas baru $20.00.  Belum lagi wang kertas tersebut beredar di pasaran, YM Tuan Guru RA telah mengeluarkan wang kertas sejumlah tersebut kepada Puan Hajjah Zainab (orang yang ditugaskan untuk membeli belanja dapur dan keperluan YM Tuan Guru RA sehingga akhir hayat YM Tuan Guru RA).

vii. Haji Benjamin meneruskan kisah selanjutnya, “Pada malam kewafatan YM Tuan Guru RA, saya bersama empat penumpang yang lain bertolak ke Lahad Datu menggunakan kereta saya yang diisi minyak $10.00 sahaja.  Pada masa itu tiada stesen minyak yang beroperasi 24 jam di pekan Semporna, lantaran itu kami terpaksa meneruskan perjalanan ke Lahad Datu pada kira-kira jam 12.00 tengah malam. Apabila saya mengambil alih tugas memandu di simpang tiga jalan Tawau-Semporna-Lahad Datu berbaki kira-kira 102 KM lagi, saya mendapati jarum minyak telah menunjukkan isyarat tangki perlu diisi. Saya merasa cemas apabila memikirkan muatan kereta yang penuh (5 penumpang dewasa) dan perjalanan yang masih sejauh 102 km, selain laluan yang berbukit-bukau terutama di antara Kunak dan Lahad Datu.

Lalu saya mengambil keputusan untuk bertawassul kepada YM Tuan Guru RA, akhirnya kami selamat sampai ke Lahad Datu dan sempat pula menghadiahkan ke hadrat YM Tuan Guru RA bacaan Al-Quran bersama-sama segelintir jemaah yang berpeluang hadir di hadapan jenazah YM Tuan Guru RA di rumahnya.

Sejurus sebelum sembahyang Subuh saya berpeluang melihat wajah YM Tuan Guru RA buat kali terakhir. Wajahnya begitu bersih bercahaya dan indah bagaikan wajah bayi yang baharu dilahirkan, bersih daripada nista dan dosa.  Begitu kudus beliau kembali sepertimana beliau dilahirkan.  Saya tidak akan pernah lupa bayangan wajah YM Tuan Guru RA sedemikian rupa sampai bila-bila.”

viii. YM Tuan Guru RA sentiasa bersedekah, dan di bulan Ramadhan biasanya beliau akan melipat gandakan kebajikannya ini. Sekitar awal Ramadhan tahun 1983, beliau telah mengarahkan isteri Haji Usman dan anaknya Haji Benjamin membeli 500 kampit tepung untuk disedekahkan.  Pembahagian kampit tepung itu disedekahkan kepada jemaah masjid bandar, keluarga beliau termasuk para ipar dan jiran di Kampung Bikang.  

Beliau juga tidak lupa bersedekah kepada pemandu berbangsa Cina dan kuli-kuli yang menghantar kampit-kampit tepung tersebut. Begitu juga kepada jiran-jiran YM Tuan Guru RA berbangsa Cina dan yang berlainan agama, seterusnya kepada saudara-mara jemaah yang berada di kampung, jemaah pengikut YM Tuan Guru RA di Kunak, Tawau dan Semporna.  Para jemaah yang menyaksikan peristiwa ini berasa hairan bagaimana agihan yang begitu ramai boleh mencukupi, sedangkan pada anggaran mereka jumlah agihan melebihi 1000 orang jauh melepasi jumlah kampit tepung yang dibeli.

Setelah selesai pembahagian tepung, YM Tuan Guru RA akan bersedekah duit pula kepada para jemaah yang terlibat membantunya mengangkat tepung sebanyak RM5.00 seorang. Oleh kerana jumlah yang ramai, YM Tuan Guru RA mulanya menyeluk saku jubah depan, apabila habis beliau akan menyeluk saku tepi jubah sebelah kanan pula sebelum bertukar ke saku tepi sebelah kiri. Setelah ketiga-tiga saku habis, beliau kembali menyeluk saku depan semula padahal awal-awal lagi duit di dalam saku itu telah habis disedekahkan. Begitulah yang dibuat beliau sehingga selesai semua jemaah mendapat habuan sedekah $5.00 yang masih baru seperti baru saja dikeluarkan dari bank.

ix. Kisah berikut diceritakan oleh Hajjah Zaitun anak sulung Haji Usman: “Satu ketika selepas sembahyang Asar berjemaah dengan YM Tuan Guru RA di rumahnya di Bikang, tiba-tiba saya terlihat wajah YM Tuan Guru RA bertukar muda tiada tolok bandingnya. Sukar untuk membayangkan ketampanan wajahnya yang memancarkan cahaya keemasan dan berkilauan. Beliau lalu tersenyum, memandang dan mengangguk kepalanya kepada saya.  Peristiwa ini berlaku sekitar awal 1988 iaitu 40 hari selepas kematian ayah saya.  Melihat peristiwa itu, saya berasa gembira dan terhibur seolah -olah ianya berlaku untuk mengubat kesedihan yang saya alami ekoran pemergian ayah saya yang tercinta.

Kemudian pada tahun 1977, saya berserta suami, emak dan adik-beradik, ipar dan anak saudara telah berpeluang menunaikan ibadat umrah bersama-sama rombongan penulis (Tuan Haji Abd. Rahim).  Setelah selesai mengerjakan tawaf umrah, saya menunggu suami yang masih belum keluar dari kawasan telaga Zam-Zam. Tiba-tiba saya terdengar suara lembut menyapa ‘marhaban.’ Saya tercari-cari dari mana datangnya suara tersebut.  Apabila pandangan saya tertuju pada Baitullah, seketika itu juga saya terlihat Baitullah tersenyum sambil mengangguk kepada saya.

Saya amat hairan dan takjub melihat kejadian itu, namun terlintas di hati yang peristiwa ini sama seperti yang telah berlaku di rumah YM Tuan Guru RA dahulu.  Senyuman, anggukan dan pandangan YM Tuan Guru RA persis senyuman, anggukan dan pandangan Baitullah.  Saya teringat kata-kata suami saya Haji Ibnu Mas’ud, “Orang-orang benar (Wali Allah) adalah Baitullah, dan Baitullah adalah orang yang benar pada hakikatnya.”

Melalui peristiwa itu saya telah diberikan kefahaman tentang maksud perkataan suami saya itu.

x. Diceritakan oleh Hajjah Rohaidah, “Kami selalu dibawa menziarahi YM Tuan Guru RA oleh arwah ayah.  Suatu masa sewaktu bersembahyang Isyak berjemaah dengan YM Tuan Guru RA di rumahnya, saya telah terlihat sesuatu yang luar biasa berlaku ke atas beliau. Saya ternampak YM Tuan Guru RA yang mengimamkan solat kami tiba-tiba ghaib dari pandangan. Yang tinggal hanyalah jubahnya sahaja. Lebih pelik lagi, saya masih terdengar bacaan ayat Quran yang beliau sedang bacakan dalam sembahyang tersebut. Saya yakin kejadian ini hanya berlaku kepada orang yang tinggi maqamnya di sisi Allah SWT.  Merekalah para kekasih Allah yang mempunyai banyak rahsia dan keajaiban. Tepatlah seperti dalam suatu Hadis Nabi SAW yang maksudnya: “Solat itu mikraj (perjalanan kepada Tuhan) bagi orang yang mukmin.”

xi.  Adik mereka Haji Azmi sewaktu berumur 5 tahun mempunyai kulit yang putih dan cantik.  Tidak lama selepas itu, dia telah menderita suatu penyakit kulit yang teruk.  Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengubat penyakit tersebut termasuklah ke hospital, klinik dan berubat secara tradisi. Namun penyakit kulit atau kudis itu masih juga tidak sembuh. Akhirnya ayah mereka mengambil keputusan membawa Haji Azmi kepada YM Tuan Guru RA. Selepas hanya 3 kali dimandikan oleh YM Tuan Guru RA dan meminum air jampinya, adik mereka sembuh sepenuhnya dari penyakitnya itu.

9. Semasa muzakarah di antara Yang Mulia Tuan Guru RA dengan pihak MUIS, terdapat juga keramat Yang Mulia Tuan Guru RA yang telah disaksikan oleh ramai pengikut beliau.

Tuan Haji Benjamin telah menceritakan keramat beliau semasa menghadiri muzakarah tersebut:
“Yang Mulia Tuan Guru RA telah diundang oleh pihak MUIS untuk menghadiri muzakarah mengenai ajaran beliau. Sewaktu keberangkatan beliau terjadi beberapa peristiwa yang menunjukkan kelebihan dan keramat Yang Mulia Tuan Guru RA.

Yang Mulia Tuan Guru RA sepatutnya bertolak pada 14 Ogos 1989, kerana muzakarah tersebut dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 1989. Walau bagaimanapun Yang Mulia Tuan Guru RA telah terlewat untuk check-in tiket kapal terbang pada hari tersebut kerana beliau uzur sedikit.  Oleh yang demikian Yang Mulia telah dikenakan denda yakni ‘misc. charge’ oleh MAS.  Pada keesokannya Yang Mulia Tuan Guru RA telah datang awal namun takdir Tuhan berlaku pihak MAS menghadapi masalah yakni ‘delayed flight.’ Beliau mengulas kejadian ini dengan berkata kalau kita lewat mereka (MAS) mengenakan denda. Sepatutnya bila mereka lewat mereka juga patut kena denda barulah adil.
Sementara menunggu penerbangan itu Yang Mulia Tuan Guru RA telah mengarahkan saya untuk membacakan risalah yang telah dikirim ke seluruh dunia dengan menggunakan pembesar suara Lapangan Terbang Lahad Datu. Setelah selesai risalah itu dibacakan Yang Mulia telah mengarahkan saya sekali lagi untuk meminjam pembesar suara. Kali ini Yang Mulia sendiri yang berceramah menerangkan akan makna yang tersirat di dalam risalah yang baru di bacakan tadi.  Ceramah Yang Mulia berlangsung agak lama juga tanpa gangguan atau larangan pihak yang berkenaan.  Di waktu ini juga risalah berkenaan diedarkan kepada orang ramai.

Yang anehnya mengenai peristiwa ini ialah ketua pegawai operasi Lapangan Terbang Lahad Datu yang terkenal dengan ketegasannya telah membenarkan Yang Mulia Tuan Guru RA menggunakan pembesar suara Lapangan Terbang. Tidak ada pihak yang diberi peluang seperti ini biarpun jabatan kerajaan seperti Tabung Haji, di mana mereka menggunakan pembesar suara yang dibawa sendiri.

Sewaktu sampai di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Yang Mulia Tuan Guru RA telah mengarahkan ahli rombongannya sewaktu turun dari pesawat ‘Fokker’ agar tidak naik ke terminal dulu tetapi hendaklah berkumpul di hadapan kapalterbang kemudian azan 4 orang.  Serentak dengan itu risalah diedarkan kepada krew MAS yang bertugas di situ. Sewaktu azan dikumandangkan, dari jauh kelihatan seorang  pegawai menuju ke arah Yang Mulia Tuan Guru RA dan rombongan. Pada sangkaan saya pegawai berkenaan datang untuk melarang berkumpul dan azan di situ. Rupa-rupanya pegawai berkenaan mencium tangan Yang Mulia Tuan Guru RA seraya menerangkan bahawa dia pernah berkunjung ke rumah Yang Mulia Tuan Guru RA di Kampung Bikang, Lahad Datu.

Di luar terminal Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Yang Mulia Tuan Guru RA dan rombongan disambut dengan laungan  Allahu Akbar oleh orang ramai dan diiringi azan oleh bilal-bilal Masjid Lahad Datu. Keadaan Lapangan Terbang penuh sesak seperti menyambut balik jemaah haji dari Tanah Suci.

Daripada lapangan terbang Yang Mulia Tuan Guru RA terus menuju masjid Negeri untuk bersembahyang fardhu Asar. Apabila tiba waktu Maghrib bilal-bilal Masjid Bandar Lahad Datu telah mengumandang kan azan 4 orang.  Pertama kali ruang udara ibu Negeri Sabah dihiasi dengan laungan azan 4 orang.  Sewaktu solat Maghrib hendak didirikan Yang Mulia Tuan Guru RA telah dipersilakan oleh imam Masjid Negeri untuk menjadi imam sungguhpun Yang Mulia memberi isyarat agar tuan imam Masjid Negeri yang menjadi imam.”

10. Kekeramatan Yang Mulia Tuan Guru RA juga dapat kita ketahui melalui rangkaian cerita yang dikisahkan oleh tetangganya yang juga pemandu beliau bernama Tuan Haji Salleh Mura yang telah berkhidmat sejak tahun 1989 sehinggalah Yang Mulia Tuan Guru RA wafat seperti berikut:-

“Selama kami hidup berjiran dengan YM Tuan Guru RA, kami sentiasa disinari oleh cahaya kewaliannya sehingga kami tiada terasa apa-apa kesusahan dan kesulitan dalam hidup. Sebaliknya sentiasa diliputi rahmat yang melukiskan ketenangan, kegembiraan, keamanan dan keseronokan pada setiap hari. Kalau teringat dan terkenang wajah YM Tuan Guru RA, terdengar alunan suara zikirnya sehinggakan tanpa disedari air mata berlinangan di pipi, dada menjadi sebak sehingga kita tidak dapat berkata apa-apa. Inilah satu kemuliaan yang dianugerahkan kepada YM Tuan Guru RA oleh Allah Rabbul Alamin. Pengalaman serupa ini tentu jarang-jarang disedari dan difahami oleh kebanyakan manusia. Sekiranya orang mengetahui hakikat hidup berjiran tetangga dengan kekasih Allah (WaliNya), maka dia bolehlah diumpamakan semacam hidup di syurga.  Orang semua akan datang berduyun-duyun hendak mengambil kesempatan ini tetapi malangnya, hanya sedikit manusia yang mengetahui hakikat ini.  Nasi sudah menjadi bubur ...

YM Tuan Guru RA telah kembali ke Rahmatullah ....

Kisah seterusnya adalah pengalaman YM Tuan Guru RA dengan menaiki kereta saya Datsun 120Y, ST 5040. Kereta yang berkuasa petrol ini merupakan kenderaan yang sering saya gunakan untuk YM Tuan Guru RA ke Masjid Jamie’ (Awal), Bandar Lahad Datu untuk menunaikan fardhu Jumaat, berjihad untuk menasihati manusia kembali mentaati perintah Allah SWT, menghantar dan menyambut jemaah haji, menghadiri upacara hari-hari kebesaran Islam, menghantar belanja orang-orang beriktikaf dan sebagainya.

i.  Jalan Lahad Datu ke Bikang (Jalan Tungku) merupakan jalan yang sentiasa dilanda banjir jika berlaku hujan lebat.  Pada masa banjir sebegini, ada pihak yang sedia memberi pertolongan untuk mengeluarkan kereta dari dalam air banjir. Ini biasanya dilakukan oleh James Bell@Abdullah atau anaknya yang tinggal di kawasan banjir yang mempunyai traktor pembajak sawah. Kejadian ini selalu berlaku di Sungai Bolos dan Sungai Jungkilan. Kadang-kadang banjir ini meragut nyawa manusia.  Oleh itu jika berlaku banjir, ada pemandu yang akan berpatah balik sama ada ke Lahad Datu atau ke Tungku.

Pada suatu hari sekembalinya kami daripada menunaikan fardu Jumaat, hujan turun menyebabkan jalan raya sangat licin seperti berminyak. Keadaan jalan pada ketika itu sangat sibuk.  Banyak kenderaan yang lalu-lalang.  Ada di antara mereka yang mendapat kemalangan, terkandas dalam parit dan terbalik. Bahkan kereta yang berkuasa Pacuan 4 Roda pun terbenam di tengah-tengah jalan dan susah untuk keluar dari lopak akibat hujan yang lebat.  Kereta-kereta berjalan tidak menentu.
Namun, bagi kereta saya yang tanpa gear rendah ini tetap berjalan seperti biasa seolah-olah sedang berjalan di atas tanah yang kering dan berturap.  Ia meluncur seperti di atas landasan.

Pada suatu hari, apabila kami balik setelah selesai menunaikan fardhu Jumaat, kami dapati air sungai Bolos telah membanjiri jalan raya.  Banyak kereta yang beratur menunggu giliran untuk ditarik dengan traktor pembajak sawah kepunyaan James Bell@Abdullah. Apabila tiba giliran untuk ditarik, kami berjaya melepasi kawasan banjir tersebut.  Kami meneruskan perjalanan. Setiba kami di Sungai Jungkilan, jalan raya telah dibanjiri dengan keadaan arus yang deras dan paras air yang dalam.  Kami berhenti seketika.  Tidak lama selepas itu, traktor tadi datang lagi. Traktor tersebut menarik kereta kami.  Setelah ditarik, kami telah berjaya melepasi kawasan tersebut.  Apa yang aneh dalam peristiwa ini, kereta kami tidak ditenggelami oleh air banjir yang dalam dan berarus deras. Apabila saya menghidupkan enjin kereta saya, ia hidup seperti biasa.  Alhamdulillah... kami dapat balik ke rumah dengan selamat.

iii. Pada suatu hari, saya membawa YM Tuan Guru RA dan keluarganya. Sebelum berangkat, saya dapati tiada apa-apa kerosakan pada kereta saya. Seperti biasa saya memandu dengan laju.  Setiba kami di Bandar Lahad Datu, saya mengisi minyak.  Saya dapati stering kereta saya tidak berfungsi. Setelah memeriksa apa punca kerosakan itu, saya dapati ‘ball stering’ kereta telah terlepas jatuh. Apa yang aneh dalam peristiwa ini, sepatutnya ‘ball stering’ tersebut terjatuh semasa saya memandu dengan laju di mana kereta terhentakhentak disebabkan jalan yang tidak elok.  Apa yang terjadi, ‘ball stering’ tersebut jatuh di kawasan bandar yang mempunyai jalan berturap yang elok.  Selepas itu saya memperbaiki bahagian kereta yang rosak.

iv. Pada suatu hari Ahad, YM Tuan Guru RA dan jemaahnya pergi ke Feri Segama untuk berjihad. Sebelum bertolak, saya dapati brek kereta saya telah rosak.  Kerosakan ini telah dilaporkan kepada YM Tuan Guru RA. Tetapi beliau berkata, ‘Tidak ada apa-apa, bertawakkallah.’  

Kamipun bertolak ke Feri Segama diiringi dengan laungan azan dan alunan takbir.  Kami telah melalui Bandar Lahad Datu dalam perjalanan tersebut. Seperti biasa jalan raya di kawasan bandar adalah sibuk terutamanya di bulatan (round about). Tetapi apabila kami tiba di bulatan tersebut, kereta saya yang tidak mempunyai brek berjalan seperti tiada kerosakan terdapat pada kereta tersebut.

Saya berasa seolah -olah kereta yang kami naiki akan melanggar kenderaan yang berada di hadapan kami. Namun demikian, tiada berlaku kemalangan dalam peristiwa tersebut.  Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Feri Segama.  Tiba di satu jalan yang menuruni bukit Feri Segama, kami dapati jalan tersebut amat licin dan lecak akibat hujan. Untuk menghadapi masalah tersebut, YM Tuan Guru RA membacakan Surah Az-Zumar ayat 54 melalui pembesar suara. Maksud ayat tersebut ialah:-

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi.”

Kereta kami pun berjalan perlahan-lahan menuruni bukit tanpa brek.  Orang ramai yang berlegar  di situ mendengar bacaan YM Tuan Guru RA terutama yang berbangsa Dusun. Kemudiannya kami kembali ke Bandar sambil melaungkan Azan membesarkan nama Allah yang Maha Besar.  Setiba di Bukit Balai Station Lama kami menuruni lagi jalan di situ mengekori kereta-kereta yang lain. Alhamdulillah perjalanan kami berjalan lancar tanpa apa-apa halangan sepertimana kata YM Tuan Guru RA sebelumnya, ‘Tidaklah ada apa-apa.’

Namun bagi kawan-kawan yang lain ada juga yang cemas, berkeringat, takut akan berlaku apa-apa kepada kereta YM Tuan Guru RA.

v. Satu kisah yang amat mengerikan dan mencemaskan, apabila saya telah diarah menghantar ayah dan ibu saya pulang ke Semporna dengan menaiki kereta saya sendiri setelah menziarahi YM Tuan Guru RA di Kg Bikang, Lahad Datu. Sekaligus beliau mengirim wang belanja jihad sebanyak $1,000.00 untuk kenduri apabila dia datang ke Semporna nanti.

Alhamdulillah, pada mulanya perjalanan kami baik dan lancar. Tetapi malang tak berbau.  Tiba-tiba muncul sebuah lori yang besar berwarna hijau dari selekoh di hadapan kereta kami, lalu memasuki simpang di depan kami yang sudah hampir itu.  Tanpa membuang masa, saya pun bertindak. Di hadapan kami lori sudah melintang tambahan pula di selekoh kiri kanan terdapat jurang-jurang yang dalam.  Kelajuan kereta masih meluru. Saya pun secepat kilat terus mencuba menghalakan kereta kami menuju masuk ke bawah bahagian belakang lori. Kereta kami hampir terbalik tetapi dengan pertolongan Tuhan kami tidak mengalami kemalangan.  Selepas itu, di depan kami terdapat selekoh dan jurang. Saya memutar stering kereta itu ke kiri dan ke kanan, namun ia tetap tidak dapat dikawal lagi. Saya pun berserah diri kepada Tuhan.  Lalu kereta itu terhumban ke udara seketika. Saya pun terlihatlah jurang yang dalam lagi hijau itu. Lalu kereta kami terhempas balik ke tengah jalan itu dan enjinnya mati serta-merta. Saya dapati kereta kami menghala balik ke Jalan Tawau-Lahad Datu.  Apabila saya telah yakin bahawa kami selamat saya pun hidupkan enjin kereta dan menghalakan balik kereta itu ke Semporna kerana takut jika ada kereta yang datang dari selekoh itu dan melanggar kami tanpa disedari. Lori itu meneruskan perjalanannya tanpa menghiraukan kami. Saya yakin itulah berkat doa YM Tuan Guru RA yang melindungi kami dalam perjalanan itu, sehingga kami meneruskan perjalanan dengan selamat.

vi. Satu hari hujan telah turun rintik-rintik. YM Tuan Guru RA dan rombongan telah menghadiri satu majlis kenduri di rumah Imam Daerah (Imam Marantai) di Kampung Silam, Lahad Datu. Setelah selesai majlis kenduri tersebut, ada di antara jemaah yang terus balik ke bandar dan ada yang masih bersama-sama YM Tuan Guru RA.  Jemaah yang belum balik berdiri di tepi jalan raya untuk menunggu dan mengiringi serta balik bersama-sama YM Tuan Guru RA ke Kampung Bikang.

Mereka menunggu di sebelah kiri jalan dari arah jalan Tawau-Lahad Datu. Kereta yang dinaiki oleh YM Tuan Guru RA keluar dari simpang ke arah sebelah kanan untuk menuju balik ke Kampung Bikang, tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju datang dari arah Tawau iaitu sebelah kiri kereta yang dinaiki oleh YM Tuan Guru RA.

Mungkin oleh kerana ada jemaah yang berdiri di tepi jalan sebelah kiri, maka kereta yang datang dari arah Tawau tadi memakan jalan ke sebelah kanan tanpa menyedari pada masa yang sama kereta yang dinaiki oleh YM Tuan Guru RA keluar dari simpang.  Kereta yang dinaiki oleh YM Tuan Guru RA hanya mengalami sedikit kerosakan (di pintu kiri) sedangkan kereta yang melanggarnya tadi mengalami kerosakan yang lebih teruk sehinggakan enjin kereta itu mati dengan tiba-tiba.  Pemandu kereta itu (berbangsa India) terus keluar dari keretanya dan pergi meminta maaf dan mengatakan dia akan membayar segala kerugian yang ada. Namun, YM Tuan Guru RA hanya menasihati pemandu itu agar memandu berhati-hati dan dia tak perlu membayar apa-apa gantirugi. Peristiwa ini adalah di luar kebiasaan dalam sesuatu kemalangan. Sepatutnya kereta yang lebih kecil yang dinaiki oleh YM Tuan Guru RA akan terbalik atau mengalami kerosakan yang lebih teruk apabila dilanggar oleh sebuah kereta yang lebih besar yang berada dalam keadaan yang laju dan keadaan jalan yang agak licin akibat hujan. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku. Inilah pertolongan Tuhan kepada WaliNya.

11. Tuan Haji Khatib Mohd berkata bahawa ayahnya telah bercerita,  ketika dia dalam perjalanan balik ke Lahad Datu enjin sangkut perahunya telah terjatuh ke dalam laut.  Lalu dia berniat hendak membawa seberapa banyak ikan di kelongnya ke tempat YM Tuan Guru RA sekiranya enjin sangkutnya dijumpai semula. Keesokan harinya dia pun memeriksa kelongnya dan mendapati banyak ikan didalamnya.

Setelah menangkap semua ikan didalam kelong itu, dia pun belayar ke Kampung Bikang.  Apabila dia sampai, dia lalu memberitahu YM Tuan Guru RA  bahawa enjin sangkutnya telah jatuh di laut. Lalu beliau pun mengikutinya untuk mencari enjin tersebut.  Apabila mereka baharu sahaja sampai di Kuala Sungai Bikang, beliau pun menyuruh nelayan itu terjun ke laut untuk mencari enjinnya. Nelayan itu memberitahu beliau bahawa enjinnya terjatuh di laut dan bukannya di kuala sungai, malah tempatnya  juga telah dia tandakan.  Tetapi beliau menyuruh juga dia menyelam. Dia pun terpaksa menyelam. Tiba-tiba dia menjumpai enjinnya di dasar kuala sungai itu sebagaimana ditunjuk oleh beliau.

12. Salah seorang pengikut YM Tuan Guru RA sebelum ini adalah seorang bomoh yang handal, namanya Muhammad Yunus Said. Pada satu hari Jumaat, beliau yang dikenali sebagai Yunus telah dibawa olah jin-jin yang membantunya dalam pengubatan untuk berkunjung ke rumah YM Tuan Guru RA di Bikang.  Mulai hari itu, jin-jin tersebut tidak lagi muncul dan kebolehan Yunus sebagai bomoh telah hilang.

Barulah Yunus sedar bahawa YM Tuan Gurulah yang telah menyedarkannya tentang perbuatan syiriknya. Lantas beliau terus bertaubat dan belajar bersembahyang bersama-sama jemaah lain di Masjid Bandar Lahad Datu.  Tidak lama selepas itu, Yunus terlihat ada bekas sujud di dahi YM Tuan Guru RA berbentuk bulan bintang.  Dia bertanya kepada mereka yang lain sama ada mereka juga nampak tanda tersebut, tetapi ternyata perkara ajaib itu hanya kelihatan kepadanya seorang.  Ini berterusan selama beberapa bulan sehingga satu masa tanda bulan bintang di dahi YM Tuan Guru RA itu telah hilang.  Seolah-olah ada suara yang mengatakan kepada Yunus bahawa tanda tersebut telah hilang kerana terlalu ramai orang yang berdosa mencium dahi, samalah keadaannya seperti Batu Hajarul Aswad yang berwarna putih tetapi apabila sentiasa disentuh oleh ramai orang yang melakukan maksiat, akhirnya bertukar hitam.

13. Masjid Bandar Lahad Datu mempunyai 2 tangki konkrit yang dipisahkan oleh dinding masjid. Sebuah terletak di dalam manakala yang sebuah lagi di luar. YM Tuan Guru RA bercadang menyambung kedua-duanya dengan menebuk lubang untuk disambung paip agar mudah mengisi 2 tangki sekaligus.  Tebal tangki dan konkrit tersebut lebih kurang 18 inci. Menurut tukang simen yang memang mahir dalam kerjakerja menebuk lubang itu, ia akan mengambil masa selama lebih kurang seminggu untuk menembusi dinding konkrit padu dan belulang besi di dalamnya. YM Tuan Guru RA tidak bersetuju dengan pandangan tersebut lalu mengarahkan Bilal Ali bin Samma, salah seorang muazin lantikan beliau, untuk menebuk lubang tersebut.  Dalam hanya kira-kira sejam sahaja, dinding itu telah ditebuk tanpa sebarang kesukaran.  Ini adalah kerana apabila kita melakukan sesuatu perkara yang diarahkan oleh seseorang Wali Allah, walaupun nampak mustahil namun pasti akan berhasil kerana pandangan mereka itu adalah pandangan Allah SWT.

14. Pada suatu malam, Bilal Ali telah bermimpi diarah YM Tuan Guru RA menggantung gambar-gambar tanah suci dan sebuah lukisan gambaran peristiwa korban Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.  Di dalam mimpi tersebut YM Tuan Guru RA memberitahunya bahawa gambar-gambar itu semua adalah sedekah orang ramai dan sayang jika diperap sahaja dalam setor. Menurutnya ada banyak lagi gambar-gambar seperti itu di dalam rumah. Bilal Ali terpandang sebuah bingkai Asma Allah di dalam rumah.  

Keesokannya, di rumah YM Tuan Guru RA peristiwa ini berulang apabila Bilal Ali benar-benar diarah memasang bingkai gambar tersebut.  Baharulah Bilal Ali sedar ketika dia terpandang bingkai gambar Asma Allah SWT, YM Tuan Guru RA tersenyum.  Katanya pada Bilal, kadangkala perkara seumpama itu berlaku seperti siaran langsung kerana itulah beliau mengetahuinya.

15. Kisah seterusnya diceritakan oleh Abdul Wahab Taha, salah seorang pengikut YM Tuan Guru RA yang sering dipanggil untuk membuat kerja-kerja pertukangan. Suatu masa YM Tuan Guru RA mengarahkan kami mendirikan sambungan ruang tambahan rumah beliau. Tapak untuk ruang tambahan itu tidak rata dan sedikit landai. Ketua tukang pun mengukur tiang-tiang yang akan didirikan dan mendapati semua tiang itu sama panjang ukurannya. Oleh itu lubang yang digali haruslah disesuaikan dalamnya agar tiang yang sama panjang tetapi dengan tapak yang tidak sama rata itu dapat didirikan agar sama tinggi. Bermakna lubang di aras yang tinggi tapaknya mesti di dalamkan lebih sedikit dari lubang di aras yang rendah.

Tetapi YM Tuan Guru RA tidak bersetuju dengan cadangan ketua tukang itu. Beliau berpendapat lubang itu digali sama dalam seperti biasa dan tidak perlu menggunakan alat penyukat (berdasarkan ‘water level’) kerana orang-orang dahulu hanya menggunakan pandangan mata kasar sahaja.

Tukang kayu tersebut tidak bersetuju kerana berdasarkan pengalamannya dan logik, tiang-tiang tersebut perlu disesuaikan rendah dalamnya lubang untuk ditanam menggunakan alat penyukat yang khas.  YM Tuan Guru RA pun membiarkan ketua tukang itu bekerja menurut pandangannya sendiri.

Akhirnya, apabila siap dipasang, jelas kelihatan tiang yang di bawah sekali terlalu tinggi seolah-olah tiang itu memanjang lebih daripada ketinggian asalnya. Oleh itu, tiang tersebut terpaksa diketuk masuk ke dalam dan dipotong agar gelagar dapat dipasang.

Saya yang melihat kejadian itu merasa bahawa jika awal-awal lagi ketua tukang itu menurut pandangan YM Tuan Guru RA, ini semua dapat dielakkan.

Inilah hikmah apabila kita menurut nasihat dan pandangan Wali Allah, walaupun nampaknya kurang logik serta tidak dapat diterima akal, namun apabila dituruti akan nampak kebenarannya. Apa yang penting ialah kita harus patuh dan taat kepada mereka.