Wednesday, June 15, 2016

KITAB KERAMAT YMTG RA BAB 2 BAHAGIAN 1 - SEBAHAGIAN DARI KERAMAT YM TUAN GURU RA


Selain daripada keramat yang telah diceritakan dalam Bab 1, YM Tuan Guru RA mempunyai banyak lagi keramat yang sangat besar. Di antara kehebatan YM Tuan Guru RA ialah YM Tuan Guru RA dapat terbang, berjalan di atas air dan menyelam didalamnya sebagaimana diceritakan seperti berikut:-  

1. Terbang di atas langit; dan baginya bumi terlipat sehingga beliau dapat bergerak bebas  



(i)  Terbang di atas langit   


Peristiwa ini berlaku di Filipina semasa pemerintahan British. Seorang bernama Haji Sangkula bersama keluarga dan rombongannya telah menaiki sebuah motorbot menuju balik ke Bunggau dari Setangkai. Di pertengahan perjalanan tibatiba enjin motorbot mereka telah rosak. Angin kencang dan arus kuat telah menghanyutkan mereka hingga ke perairan sekitar Indonesia. Setelah dihanyutkan lebih kurang tujuh hari mereka semua dilanda kelaparan kerana bekalan mereka habis sama sekali. Dalam keadaan longlai begitu, lalu Haji Sangkula pun berdoa dan bernazar kalau ada berkat Tuan Haji Muda mudah-mudahan mereka mendapat pertolongan dan jika mereka terlepas dari bahaya dia akan ke Sabah mengunjungi beliau.

Pada malam itu langit kelihatan cerah dan tiba-tiba Haji Sangkula ternampak YM Tuan Guru RA muncul dari langit. Haji Sangkula berkata-kata dengan beliau lebih kurang 25 minit sebelum beliau menghilangkan diri. Tidak berapa lama kemudian, hanyutlah sebiji buah kelapa tua ke arah sampan Haji Sangkula. Dengan segera mereka mengambilnya dan  memakannya. Walaupun buah kelapa itu hanya sebiji namun mereka pun semuanya kenyang.  

Tidak lama kemudian sesudah peristiwa itu, datanglah sebuah kapal kayu kepunyaan Jepun dan mereka lalu ditunda balik ke tempat mereka di Filipina.  Kemudian Haji Sangkula pun pergi ke Lahad Datu untuk menunaikan nazarnya. Tetapi oleh kerana peristiwa Masjid Bandar Lahad Datu masih hangat, orang ramai tidak dibenarkan menemui beliau. Tetapi Haji Sangkula bersungguh-sungguh menerangkan masalahnya pada pihak British. Akhirnya dia dibenarkan menemui YM Tuan Guru RA. Haji Sangkula dengan segera mencium YM Tuan Guru RA dan dia menceritakan pengalamannya bahawa beliaulah yang dia nampak pada malam itu. Beliau memberitahunya bahawa itu semua kuasa Tuhan belaka. Maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah SWT.

(ii) Berjalan di atas air

Sekali peristiwa, sewaktu musim banjir ada orang yang menyaksikan Yang Mulia melintasi sungai yang sedang melimpah deras sehingga terbelah dua seperti kisah Nabi Musa AS menyeberangi lautan merah. Peristiwa-peristiwa seumpama ini merupakan sebahagian daripada keramat beliau RA. Apabila Yang Mulia Tuan Guru RA balik daripada Pakistan sekitar tahun 1976, beliau masih meneruskan berjalan kaki untuk beberapa ketika. Namun akhirnya beliau berhenti kerana telah mulai uzur.      

Seorang saudagar menceritakan bahawa ketika dia dan kawan -kawannya balik ke Tawau, perahu mereka yang sarat dengan kopra telah dipukul ombak dan angin kencang. Dalam keadaan bahaya itu, saudagar tersebut berdoa kepada Allah SWT sekiranya Tuan Haji Muda mempunyai berkat mudah- mudahan mereka terlepas dari bahaya itu. Tidak lama kemudian mereka melihat ada seorang berjalan di atas air menuju ke perahu mereka. Apabila sudah dekat saudagar itu dapat cam bahawa orang itu ialah Tuan Haji Muda.  Kemudian YM Tuan Guru RA berpusing dan memberi syarat supaya mengikutnya. Maka saudagar itupun mengarahkan tukang kemudi mengikuti beliau. Anehnya perahu mereka dapat belayar dengan tenang di tengah-tengah ombak dan angin yang kencang itu.  Apabila mereka terlepas dari kawasan bahaya, YM Tuan Guru RA pun menghilangkan diri.  

(iii) Menyelam dalam air

Semasa beliau berada di Filipina, satu masa beliau sedang berjalan di tepi pantai. Ketika itu ramai orang kelihatan di laut mendayung perahu mereka untuk menangkap ikan. Ada seorang di antara mereka itu yang tidak mendapat hasil tangkapan, walaupun telah penat berdayung. YM Tuan Guru RA berasa kasihan kepada nelayan yang malang itu, lalu beliau pun terjun ke dalam laut dan keluar di hadapan perahu nelayan itu lantas naik ke atasnya. Nelayan itu ketakutan lalu memukul kepala beliau dengan pengayuh. Beliau pun jatuh ke dalam laut.  Alangkah malangnya nasib nelayan tersebut.

(iv) Bumi terlipat sehingga beliau bergerak ke manamana dia kehendaki tanpa mengira jarak dan masa

a.  Peristiwa ini berlaku di Sandakan. Pada suatu masa seorang tauke kayu balak berbangsa Cina telah menuduh seorang pekerjanya, iaitu Haji Usman mencuri paku-paku besi kayu balak.  Dengan sebab itu Haji Usman langsung dimasukkan ke dalam penjara.  Setiap malam petugas penjara akan datang kepada banduan-banduan dalam penjara itu dan memukul mereka secara bergilir.  Tidak lama kemudian, tibalah malam giliran Haji Usman untuk dipukul. Bila saja tiba di pintu penjara, petugas itu terkejut melihat YM Tuan Guru RA berdiri di hadapan pintu itu. Walhasil tidaklah dia dapat memukul Haji Usman. Pada keesokan harinya, Haji Usman telah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicara, tetapi hakim membebaskannya sebelum dibicarakan.  

Majikan Haji Usman itu datang menemuinya dan meminta maaf kepadanya. Seterusnya dia memberi wang kepada Haji Usman sebanyak lima ratus ringgit dan menyuruhnya bercuti selama satu bulan.

b.  Seorang hamba Allah datang menemui YM Tuan Guru RA di Lahad Datu dan memberitahu bahawa kayu balak kepunyaannya telah dicuri orang. Maka beliau pun berdoalah untuk orang itu.  Pencuri itu pun bermaksud untuk menjual kayu balak tersebut dan bercadang untuk menarik kayu balak itu melalui sungai pada waktu malam. Bila tiba masanya pencuri itu hendak menarik kayu tersebut, dia sungguh terperanjat kerana melihat YM Tuan Guru RA duduk bertasbih di atas longgokan balak curian itu. Pada masa itu pencuri tersebut terlalu takut. Mukanya pucat lesi. Sehinggalah dia jatuh sakit. Tidak lama kemudian pencuri itu datang kepada YM Tuan Guru RA dan meminta maaf serta mengakui perbuatannya itu.

c.  Pada tahun 1987, seorang telah datang dari Filipina ke Masjid Bandar Lahad Datu. Dia menceritakan bagaimana hampirhampir terjadi pertumpahan darah di tempatnya.  Katanya YM Tuan Guru RA telah menjadi imam Sembahyang Jumaat di dua buah masjid pada hari yang sama. Jemaah kedua-dua masjid itu mengatakan bahawa YM Tuan Guru RA telah berimam di masjid kampung mereka. Dengan itu terjadilah pertengkaran di antara kedua-dua belah pihak. Masing-masing tuduh-menuduh. Satu pihak mengatakan bahawa pihak sebelah berbohong dan begitu juga pihak sebelah mengatakan demikian. Nasib baik ada orang menjelaskan kepada mereka bahawa perkara itu tidak mustahil berlaku ke atas diri YM Tuan Guru RA.

d.  Pada suatu hari, seorang suri rumah yang bernama Maimunah telah dihantar ke Hospital Tawau dari Semporna untuk menjalankan pembedahan semasa dia hendak melahirkan anak. Maimunah tidak mahu dibedah namun terpaksa. Dia bernazar untuk memberi sedekah kepada Yang Mulia Tuan Guru RA sebanyak RM5 jika dia selamat melahirkan anak tanpa pembedahan. Semasa di bilik bedah, dia terlihat Yang Mulia Tuan Guru RA muncul tiba-tiba di bilik tersebut.  

Tidak lama kemudian doktor memberitahu bahawa pembedahan telah dibatalkan dan dia boleh melahirkan anak seperti biasa. Hajah Hasnah telah diwakilkan untuk menyampaikan sedekah sebanyak RM5 tadi. Setelah diceritakan peristiwa tadi, Yang Mulia Tuan Guru RA berkata, “Ya, benar cerita itu.”  

2. Di antara kehebatan beliau yang lain   
  • Beliau sangat disegani dan dihormati oleh pihak musuh atau pihak yang berkuasa.  Buktinya:-  

(i) Di masa pertengkaran Masjid Bandar Lahad Datu, pihak British berniat untuk memperlihatkan kepada beliau akan kekuatan tentera mereka. Maka pihak British pun mengatur tenteranya dalam barisan di depan sebuah balai polis. Lalu mereka pun memanggil YM Tuan Guru RA hadir menyaksikan kehebatan mereka. Tetapi apabila beliau keluar dari masjid semua pegawai berpangkat tinggi segera berdiri dan memberi tabik hormat kepada beliau. Perkara ini adalah berlawanan dengan niat asal mereka.

(ii) Semasa YM Tuan Guru RA berada di Tianggi (Filipina), Tuan Guru RA telah dijemput datang ke istana oleh Sultan Sulu. Semua rakyat jelata Islam dan kafir telah diarahkan berkumpul untuk menyambut kedatangan YM Tuan Guru RA. Bila YM Tuan Guru RA datang, beliau diberi tempat duduk khas di atas kerusi tempat duduk Sultan Sulu. Sultan Sulu lalu mencium tangan dan kaki beliau. Pada asalnya beliau menolak untuk duduk di kerusi tetapi dipaksa oleh Sultan itu sementara Sultan sendiri bersama rakyatnya duduk di lantai sahaja. Sultan menyuruh ahli keluarganya mencium tangan dan kaki beliau dahulu selepas itu barulah rakyat seorang demi seorang.

(iii) Beliau telah dihadapkan ke Mahkamah atas tuduhan menduduki tanah tanpa membayar harganya kepada yang empunya. Sebenarnya beliau telah membayar harga tanah itu kepada yang empunya tetapi nama pada geran itu belum ditukar. Pada masa pembicaraan, orang ramai telahpun berkumpul di dalam bangunan Mahkamah sementara YM Tuan Guru RA masih di dalam masjid yang berhampiran. Beliau pun dipanggil datang. Bila sahaja beliau masuk ke ruang mahkamah berdirilah hakim (berbangsa British) lalu berjalan kepada beliau dan membimbingnya ke hadapan Mahkamah. Hakim itu memberikan kerusinya kepada beliau tetapi beliau menolak kerana menurut beliau orang yang bersalah adalah tempatnya di kandang salah. Tetapi hakim itu berkeras menyuruh YM Tuan Guru RA duduk di kerusi berhampiran dengannya. Maka terpaksalah Pegawai Polis memberikan satu lagi kerusi untuk Hakim.  

(iv) Semenjak pemerintahan British, YM Tuan Guru RA selalu menentang undang-undang atau arahan pihak yang berkuasa kalau ianya bertentangan dengan hukum Tuhan dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Waktu pemerintahan British, beliau dihalangi oleh pihak keselamatan dari mendirikan sembahyang di padang dan mengancam beliau sekiranya beliau ke padang juga bersama pengikutnya. Tetapi beliau tidak menghiraukan ancaman mereka. Dan akhirnya pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa -apa.

Beliau menentang arahan pihak British untuk membongkar dan memindahkan Masjid Bandar Lahad Datu ke atas sebuah bukit yang berhampiran. Tetapi pihak British tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap beliau.

Waktu pemerintahan USNO, beliau telah dipenjara selama empat puluh hari di penjara Pudu, Kuala Lumpur. Walaupun sebagai tawanan, beliau telah mendapat layanan seperti orang kenamaan di mana beliau disediakan sebuah bilik lengkap dengan kamar mandi dan tandas. Beliau tidak disuruh berkerja. Penjaga penjara itu sangat menghormati beliau sehingga beliau diberikan makanan yang istimewa.

Semasa pemerintahan parti BERJAYA dan PBS, beliau menentang Pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kerana membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Tuhan. Tetapi pihak MUIS tidak dapat berbuat apa-apa terhadap beliau.

(v) Dalam tahun 1987, beliau telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA 67) dan dipenjara di Air Panas Tawau, Sabah. Tetapi walaupun beliau sebagai tawanan, beliau telah mendapat layanan yang istimewa daripada pihak keselamatan. Semasa soal jawab, Pegawai Polis berkenaan memberikan kerusinya yang mempunyai kusyen kepada beliau, sementara dia duduk di atas kerusi biasa. Pakaian beliau tidak ditukar kepada pakaian tawanan dan beliau diberi kebebasan dalam penjara itu. Beliau menasihati pegawai-pegawai supaya bersembahyang kerana kata beliau kepada mereka, “Orang yang tidak bersembahyang itu adalah gila, tidak ada fikiran.”

Pegawai-pegawai polis merasa hairan kerana selama beliau berada di penjara Air Panas tiada seorang pun yang ditangkap dan dipenjarakan di penjara tersebut.

(vi) Beliau menggunakan alat pembesar suara yang dipasang di kereta ketika melaungkan azan di sepanjang perjalanan. Pihak polis pada mulanya  mengancam beliau supaya menghentikan azan dengan menggunakan alat pembesar suara tanpa permit dari polis. Namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau kerana mereka segan kepada beliau.

  • Bukan saja manusia menghormati beliau tetapi binatang juga menghormati beliau. Buktinya:-  

(i) Peristiwa ini berlaku di Pakistan. Suatu ketika pada waktu tengah malam semasa beliau dalam perjalanan balik ke rumahnya, tiba-tiba beliau terdengar bunyi ganjil dan terlihat oleh beliau seekor anjing yang ganas dan berbadan besar datang menghampirinya. Tiba-tiba anjing pengawal itu mencium kaki beliau dan anjing itu berdiri kerana hendak mendakap beliau. Tetapi beliau menyuruhnya pergi. Anjing itu pun lari menjauhkan diri.  

(ii) Semasa YM Tuan Guru RA beriktikaf dalam sebuah gua di Pakistan terdapat ular dengan banyaknya dan berbagai saiz didalam gua itu. Suatu ketika YM Tuan Guru RA sedang mendirikan sembahyang dan pada masa itu seekor ular ingin melintas di hadapan tempat beliau sembahyang. Bila  sudah hampir dengan beliau, ular itu tiba-tiba berhenti dan berundur semula dengan agak ganjil iaitu ia tidak memusingkan kepalanya seperti kebiasaannya tetapi mundur seperti keretapi keadaannya. Walhasil tidaklah dapat ular itu melintas di hadapan beliau. Orang ramai takut datang menemui beliau kerana ular-ular senduk di gua itu menghambat setiap orang yang datang mengunjungi beliau di gua itu.

(iii) Ketika beriktikaf di Gua Madai, binatang-binatang buas termasuk gajah, ular dan lain-lain, semuanya menghormati beliau.  

  • Binatang bukan sahaja menghormati beliau bahkan menolongnya.  Buktinya:-   

(i) Di zaman pemerintahan Jepun seorang muallaf bernama Jaafar yang tinggal di Kampung Bikang, telah terkenal dengan keberaniannya dan keganasannya sehingga pihak Jepun memberi tawaran berupa wang tunai kepada sesiapa sahaja yang dapat menangkap atau membunuhnya. Satu ketika sedang Jaafar dan kawan-kawannya melintasi rumah YM Tuan Guru RA, tiba-tiba mereka ditembak oleh askar-askar Jepun yang bersembunyi di situ. Tetapi Jaafar dan kawan-kawannya dapat melepaskan diri. Selang beberapa hari, YM Tuan Guru RA telah berjumpa dengan Jaafar di tempat penyembelihan lembu. Jaafar sangat marah kepada beliau kerana dia menyangka bahawa beliau telah mengarahkan askar-askar Jepun itu menembaknya. Dia memaki beliau di hadapan orang ramai. Beliau lalu memegang tangan Jaafar. Adalah dikatakan bahawa Jaafar dapat mengangkat seekor lembu dan boleh makan beberapa ekor ayam. Tetapi dia tidak dapat melepaskan genggaman beliau walaupun dia bersungguhsungguh cuba melepaskannya. Dalam keadaan begitu, tibatiba seekor anjing yang berada di situ melompat lalu menerkam Jaafar. Jaafar berasa takut, lalu dia meminta maaf kepada beliau dan berjanji tidak akan membuat kekacauan lagi. Maka dari hari itu dia pun bertaubat dan menjadi orang yang baik.

(ii) Seorang P.C (Polis Konstable) yang tinggal di Ubian Filipina sangat benci kepada YM Tuan Guru RA dan pengikut pengikutnya terutama mereka yang tinggal di Ubian. Satu hari sedang P.C itu melemparkan kata-kata yang kesat terhadap YM Tuan Guru RA di hadapan orang ramai, tiba-tiba anjing polis di bawah jagaannya menerkam lalu menggigit mukanya sehingga dia mati.

(iii) Semasa YM Tuan Guru RA beruzlah di sebuah gua di Karachi, Pakistan beliau telah dikawal oleh seekor ular besar. Pada siang hari beliau keluar dari gua itu ke hutan. Ular tersebut akan berlingkar di hadapan gua itu sehinggalah beliau balik di sebelah petang.

(iv) Satu ketika semasa pertengkaran Masjid Bandar Lahad Datu, seorang Ustaz dan rombongannya telah datang ke tempat YM Tuan Guru RA di Kampung Bikang. Setibanya di rumah beliau, beliau pun mempersilakan mereka naik. Ustaz itu tidak sempat naik kerana lebah-lebah yang bersarang di situ dengan tiba-tiba menyerangnya bertubi-tubi sehingga dia terpaksa berlari ke sana-sini.  

Melihat keadaan tersebut beliau pun berdoa kepada Allah SWT supaya menghentikan serangan lebah-lebah itu. Dengan serta -merta lebah-lebah itu kembali ke sarang mereka. Ustaz itu pun naiklah ke atas rumah beliau. Selepas minum beliau lalu bertanyakan maksud Ustaz itu.  

Ustaz itu berkata bahawa dalam hukum tiada sembahyang Taubat seperti yang diamalkan oleh beliau. YM Tuan Guru RA lalu menyuruhnya membuka kitab yang dibawanya bersama. Apabila Ustaz itu membuka kitabnya tiba-tiba di dalamnya terdapat bab mengenai sembahyang taubat. Maka Ustaz itu berasa malu lalu pulanglah ia dan rombongannya ke Lahad Datu dengan hati yang malu dan kecewa.

  • Di antara keramat YM Tuan Guru RA lagi, beliau dapat menjinakkan binatang.  

Satu ketika ada orang menjual lembu dengan harga murah kerana sangat liar. Namun tiada seorang pun yang berani membelinya. Orang yang empunya lembu itu pun menjualnya kepada beliau dengan harga $10.00 tetapi beliau membayarnya dengan harga $50.00 kerana kasihan kepadanya. Beliau mengikat lembu itu ke pohon kelapa. Selepas mengerjakan sembahyang sunat Hajat, beliau mengambil segenggam tanah lalu menghamburkannya pada lembu tersebut. Kemudian beliau melepaskan ikatannya. Tibatiba ia lari dengan lajunya ke hutan. Setelah hampir waktu Maghrib semua lembu beliau balik masuk ke kandang kecuali lembu itu. Beliau memanggil lembu itu, “Bintang! Bintang!”  

Tiba-tiba lembu itu menguak seolah-olah menjawab panggilan beliau. Sejak hari itu Bintang (panggilan lembu itu) menjadi lembu yang paling jinak. Satu ketika apabila telah tiba Hari Raya Haji, maka tibalah giliran Bintang untuk disembelih sebagai korban. YM Tuan Guru RA sendiri yang menyembelihnya.

  • YM Tuan Guru RA juga dihormati oleh makhluk-makhluk lain seperti laut, hujan dan api.  

i. Beliau bercerita bahawa pernah beliau dan kawankawannya balik dari Lahad Datu ke Kampung Bikang melalui laut. Ketika di tengah perjalanan, hujan pun turun dengan lebatnya menghala ke arah perahu mereka. Beliau berasa susah hati kerana perahu mereka tidak beratap. Anehnya hujan itu jatuh di sekeliling perahu mereka tanpa mengenainya. Peristiwa hujan tidak membasahi beliau banyak berlaku dan disaksikan oleh manusia sendiri.

ii. Di mana-mana rumah yang ada gambar beliau padanya, rumah itu tidak akan terbakar. Pernah dalam satu peristiwa kebakaran di Bunggau, Tawi-Tawi, Filipina sebuah rumah telah terselamat dari jilatan api kerana padanya terdapat gambar beliau. Kisah seperti ini telah menjadi lumrah di kalangan orang-orang yang mengalami kebakaran.

iii. Begitu juga dalam pelayaran, perahu akan terselamat dari bahaya laut kiranya gambar beliau ada padanya. Pernah seorang hamba Allah SWT menceritakan bagaimana mereka terselamat dari bahaya laut. Katanya ketika mereka belayar dari Filipina menuju ke Lahad Datu, Sabah perahu mereka telah dipukul ombak kuat dan angin kencang hingga hampirhampir perahu mereka tenggelam. Dalam keadaan bahaya itu, orang tersebut lalu teringat gambar beliau yang ada padanya. Dengan tergesa-gesa dia mengeluarkan gambar beliau itu lalu menghadapkannya ke arah ombak dan angin kencang itu. Tiba-tiba ombak dan angin menjadi reda.

iv. Serombongan orang telah bertolak ke Filipina. Di tengah perjalanan mereka telah ditembak oleh sebuah kapal perang. Mereka semua mati kecuali seorang yang sempat terjun ke laut. Orang itu lalu menyelam ke dasar laut sambil memohon kepada Allah SWT, sekiranya Tuan Haji Muda ada berkat mudah-mudahan dia lepas dari  bahaya. Tiba-tiba dia ternampak satu cahaya di depannya. Dengan itu dia dapat bernafas seperti biasa. Dan akhirnya dia pun selamat.

v. Seorang perempuan telah menceritakan, bagaimana dia terselamat dari bahaya perompak (mundu). Katanya sedang mereka dalam perjalanan balik ke tempat mereka di Filipina, tiba-tiba mereka telah dihalang oleh mundu. Mundu itu pun merampas semua harta para penumpang kecuali harta perempuan itu. Katanya dia telah membawa bersama botol air yang telah ditawar oleh YM Tuan Guru RA. Ketika mundu itu menaiki perahu mereka, dia lalu memegang botol air itu. Anehnya mundu itu limpas di hadapannya seolah-olah mereka tidak melihatnya.

3. Apabila YM Tuan Guru RA menghadapi satu masalah yang sukar dijawab, Tuhan akan memberikan jawapannya  

Buktinya:-

i. Satu ketika di Masjid Bandar Lahad Datu, beliau memberi nasihat kepada jemaah bahawa rezeki adalah ditanggung oleh Allah SWT sama ada dicari atau tidak, namun masing-masing pasti mendapat bahagiannya. Ada seorang lelaki yang menyangkal pendapat beliau. Dia berpendapat bahawa rezeki mesti dicari. Telah puas beliau memberi penerangan, tetapi lelaki itu tetap dengan pendapatnya.

Oleh kerana waktu Asar hampir masuk, beliau pun berwudhu. Sedang beliau mengerjakan sembahyang sunat tiba-tiba ada orang membawa ikan untuk beliau. Lelaki yang membantah beliau tadipun bertanya kalau ada lagi ikan di pasar. Kata orang itu ada satu pikul lagi. Lelaki itu tergesa-gesa pergi ke pasar untuk mendapatkan ikan.  Waktu itu azan Asar sedang berkumandang. Apabila lelaki itu tiba di pasar dia berasa hampa kerana semua ikan di pasar telah habis dijual. Setibanya di masjid, sembahyang fardhu Asar pun telah selesai. Beliau berasa kasihan lalu memberikan ikan kepada lelaki tersebut tetapi dia tidak mahu.    

Kata beliau kepada orang yang ada disitu, “Siapa yang betul, sayakah atau dia?  Dia kata rezeki mesti dicari. Tetapi saya kata tidak payah dicari. Kamu lihat, saya dapat ikan walaupun saya tidak ke pasar. Tetapi orang ini lari ke pasar tetapi ikan pun tidak dapat, sembahyang pun terlepas.”

ii. Satu masa ketika beliau sedang duduk-duduk di Masjid Bikang, Lahad Datu, tiba-tiba datang pakciknya lalu berkata, “Apa gunanya kau duduk sahaja di masjid ini, lebih baik pergi menebas orang punya kebun dapat hasil.  Duduk 10 tahun pun di sini kau tidak dapat apa-apa walau satu sen pun.” Jawab beliau, “Dalam masjid ini saya nampak semua ada. Jangan beri saya hutang. Mana tahu saya akan lupa. Tetapi jangan ganggu ibadat saya.”

Tidak lama selepas itu datang seorang Inggeris membawa sehelai sampul surat lalu diserahkan kepada beliau. Bila dibuka, beliau dapati beberapa helai wang British.

iii. Dua orang pemuda pagi-pagi lagi pergi berjumpa dengan beliau di tempat kediamannya. Beliau berasa hairan kenapa pakaian mereka basah. Kata mereka, sebentar tadi mereka telah pergi ke kebun menebang pokok pisang untuk mendapatkan buahnya dan dibawa ke rumah. Salah seorang daripada mereka menceritakan apa yang telah dikatakan oleh bapa mertuanya.  

Katanya, “Sedang kami membawa pisang ke rumah, tiba-tiba bapa mertua saya menyuruh kami berhenti lalu berkata: Kalau kamu tidak menebang pisang dan memikul buahnya adakah sampai ia ke mari?” Jawab kami, “Tidak boleh.” Tambahnya lagi, “Itulah jangan ikut cakap Haji Muda. Katanya rezeki boleh datang sendiri.”  

Beliau tidak berkata apa-apa.  Dalam hatinya, “Susah juga orang bodoh. Apa yang hendak dijawab.” Tiba-tiba seorang berbangsa Cina datang dengan membawa buah pisang yang masak ranum lalu memberikannya kepada beliau. Beliau ingin membayarnya tetapi dia menolak.  Katanya, “Ini Tuan Haji punya.  Kalau Tuan Haji bayar, saya bawa balik.”  

Sebentar kemudian datang seorang membawa beberapa kati daging Tembadau dan memberikannya kepada beliau.  Selepas orang itu minum, dia pun balik.

Beliau lalu berkata, “Kamu bersusah payah ke hutan untuk menebang pokok pisang sampai pakaian kamu basah tetapi kamu cuma dapat buah pisang yang mentah tidak tahu siapa punya.  Tetapi kamu lihat saya, tidak ke hutan tetapi saya dapat pisang masak dan cantik, tambahan pula Cina itu tidak mahu dibayar. Begitu juga dengan daging tembadau itu, sepuluh tahun saya dalam hutan belum tentu saya dapat. Jadi siapa yang betul cakapnya? Sayakah atau bapa mertua kamu?”  Kata mereka, “Cakap caca (pakcik) yang betul.”                                                                                                          

4. Dengan berkat doa YM Tuan Guru RA, orang dan barang yang hilang akan terjumpa  

Sebagai contohnya:-

i. Sepasang suami isteri dari Filipina telah datang ke tempat beliau. Dengan sedih hati mereka menceritakan pada beliau bahawa anak mereka telah hilang tujuh tahun yang lampau. Mereka telah puas mendatangi setiap bomoh. Tiaptiap bomoh berkata bahawa anak mereka telah mati dimakan ikan yu. Beliau menasihati mereka agar tidak tertipu dengan kata-kata bomoh kerana mereka adalah pendusta dan penipu yang hanya inginkan wang sahaja.  Beliau lalu berdoa kepada Allah SWT, “Ya Allah! Walaupun anak mereka ini telah mati, hidupkanlah dan pulangkanlah kepada ibu bapanya agar hilang kesusahan mereka.”  

Tidak lama kemudian suami isteri itu telah menerima sepucuk surat dari anak mereka, mengatakan bahawa dia sedang berada di Indonesia.

ii. Begitu juga sepasang suami isteri telah datang ke tempat beliau mengadu bahawa anak mereka telah hilang beberapa hari entah ke mana perginya. Beliau berkata bahawa anak mereka akan balik ke rumah juga. Di tengah malam suami isteri terdengar ketukan pintu dan apabila mereka buka, mereka mendapati anak mereka berdiri di hadapan pintu.

iii. Begitu juga sepasang suami isteri dari Filipina telah datang ke rumah beliau. Dengan linangan air mata mereka menceritakan bagaimana anak mereka telah terjatuh ke dalam laut ketika dalam pelayaran menuju ke Lahad Datu.  Telah puas mereka mencari tetapi tidak menemuinya. Mereka meminta beliau berdoa agar mereka dapat jumpa anak mereka walaupun dia telah mati.  Beliau pun berdoa, “Ya Allah, walau anak mereka ini telah mati lemas hidupkanlah dan pertemukanlah dengan ibu bapanya!”

Mereka suami isteripun balik ke laut di mana jatuh anak mereka. Tiba-tiba mereka mendapati anak mereka di dasar laut hidup. Apabila ditanya kenapa dia tidak mati lemas, dia menjawab bahawa dia seolah-olah berada dalam satu kurungan di mana dia dapat bernafas seperti biasa.

iv. Ada orang kehilangan kaca mata lalu pergi berjumpa bomoh. Bomoh itu berkata bahawa kaca matanya telah dicuri orang dan hanya dapat dijumpai di tempat di mana matahari terbenam. Orang itu susah hati kerana tempat yang dikatakan oleh bomoh itu mustahil dijumpai.  Maka dia pun berjumpa dengan YM Tuan Guru RA.  

Beliau berkata bahawa dia telah ditipu oleh bomoh. Kata beliau, insyaAllah dia akan menjumpai kaca matanya itu. Pada keesokan harinya ketika di Masjid Bandar Lahad Datu, beliau pun mengeluarkan kaca mata itu dan memberikannya kepada orang tersebut. Orang itu berasa sangat hairan.  

5. Sebahagian keramat YM Tuan Guru RA yang pernah disaksikan atau dialami oleh pengikutpengikut beliau

1. Puan Hajjah Hasnah Bte Haji Abdul Fattah isteri kepada penulis pernah terlihat dan menyaksikan sendiri beberapa keramat Yang Mulia Tuan Guru RA ketika dia beriktikaf di rumah YM Tuan Guru RA pada tahun 1984 dan ketika dia dan suaminya tinggal berjiran dengan beliau.

Berikut adalah cerita Puan Hajjah Hasnah mengenai keramat Yang Mulia Tuan Guru RA:-


i. YM Tuan Guru RA menyuruh suami saya beriktikaf di surau Bolos selama 45 hari sedangkan saya beriktikaf di rumah YM Tuan Guru RA sendiri. Semasa beriktikaf di rumah beliau banyak perkara pelik lagi ajaib yang saya rasa perlu dikongsi bersama agar menambah keyakinan kita terhadap kebesaran Allah SWT.

Ketika beriktikaf itu anak sulung kami Sitti Kalthum masih kecil lagi dan saya sedang mengandungkan anak kedua kami, Halimah.

Semasa hamil saya sering teringin dan mengidam memakan bermacam-macam jenis makanan.Semua keinginan saya itu YM Tuan Guru RA penuhi. Bahkan satu ketika saya teringin makan roti canai yang masih panas. Selepas menunaikan sembahyang fardhu Jumaat di Masjid Bandar Lahad Datu, YM Tuan Guru RA lalu ke kedai membeli roti canai. Kata beliau, dia sendiri yang menunggu pembuat roti canai itu membuat roti canai agar ia masih panas bila sampai rumah. Ketika mendengar kata-kata beliau ini air mata saya menitis kerana belum pernah saya temui manusia seperti YM Tuan Guru RA yang sangat sayang dan mengambil berat urusan orang lain.  Bahkan YM Tuan Guru RA melayan kami anak beranak dengan penuh kasih sayang seperti seorang ayah kepada anaknya sendiri.

Pernah satu ketika Sitti Kalthum mengalami sakit teruk. Tetapi saya menghadapinya dengan penuh tenang kerana kata YM Tuan Guru RA ianya merupakan ujian bagi saya. Pagi dan petang YM Tuan Guru RA akan menawar Sitti Kalthum yang sentiasa berada di dalam buaian sehinggalah sembuh. Anak isteri beliaulah yang sentiasa menjaga Sitti Kalthum sementara saya ikut sembahyang Jumaat berjamaah dengan YM Tuan Guru RA sehingga selesai beriktikaf.

Semasa berada di rumah YM Tuan Guru RA saya telah mendapat banyak pengajaran.  Apa-apa kemusykilan dan keraguan dalam hati saya akan YM Tuan Guru RA jawab melalui perkataan dan perbuatannya.  Inilah yang paling berkesan bagi saya.

ii. Suatu hari selepas Sembahyang Asar, saya pergi ke rumah Yang Mulia Tuan Guru RA untuk menghantar air batu. Apabila tiba di tepi pagar, saya melihat beliau sedang memegang tualanya. Tiba-tiba ada satu wajah yang serupa dengan beliau. Wajah tersebut lalu bersatu dengan wajah beliau yang asal. Wajah yang datang itu berjanggut putih walhal wajah beliau yang sebenar tidak berjanggut. Saya ingin bertanya kepada beliau tentang peristiwa itu namun setiap kali saya bertemu dengan beliau lidah saya kelu untuk bertanya soalan tersebut.

iii. Pada suatu hari lebih kurang pukul 12 tengah hari, saya terlihat Yang Mulia Tuan Guru RA masuk ke dalam tandas tanpa membawa apa-apa pakaian sembahyang. Beliau berada di dalam tandas tersebut agak lama. Tidak pula kedengaran apa-apa bunyi yang menunjukkan ada orang di dalam tandas itu. Setelah dua jam berlalu iaitu lebih kurang pukul dua petang, beliau keluar dari tandas dan membasuh kakinya serta siap dengan pakaian sembahyangnya.  Setelah saya menyaksikan peristiwa tersebut saya berpendapat bahawa Yang Mulia Tuan Guru RA bukannya manusia biasa.  

iv. Pada suatu malam Jumaat, beliau bercerita tentang hujan yang sudah lama tidak turun. Ketiga-tiga tangki di rumah beliau sudah berbunyi menandakan air tangki sudah tinggal sedikit.  Pada malam itu Yang Mulia Tuan Guru RA kelihatan seperti orang muda yang begitu bertenaga untuk bersembahyang sunat terutama sembahyang Sunat Hajat. Selepas itu, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya hinggalah semua tangki di rumah beliau penuh dengan air hujan.

2.  Suatu malam, penulis telah bermalam di rumah beliau.  Sewaktu dia tidur dia telah bermimpi. Dalam mimpinya dia terasa sakit kerana hendak membuang air kecil. Dia tercaricari tempat untuk kencing.  Dia terlihat satu lubang lalu dia kencing di lubang tersebut sepuas-puasnya. Dia terasa lega selepas membuang air kecil.  

Selepas itu dia tersedar dari tidurnya dan didapatinya kain pelekat dan selimut yang dipakainya basah kuyup oleh air kencingnya. Dia susah hati kerana telah terkencing semasa tidur di rumah Yang Mulia Tuan Guru RA. Dia terus turun ke bawah rumah bersuci dan berwudhu lalu naik semula untuk azan sembahyang Tahajjud dengan kain pelekat yang basah.  Semasa Sembahyang Subuh, dia dapati kain dan selimut yang telah digunakannya tadi telah kering seolah-olah dia tidak terkencing pada malamnya. Dia menghidu kain pelekatnya namun tiada bau air kencing. Selimut dan tikar yang digunakannya bermalam di rumah beliau kelihatan seperti biasa tanpa apa-apa kesan.


3. Encik Saidi Amat telah jatuh sakit teruk selama 3 bulan. Ibunya telah berjumpa dengan Yang Mulia Tuan Guru RA untuk mengadu akan keadaan sakit anaknya. Beliau berpesan kepada Encik Saidi dengan katanya, “Jangan susah hati, kasi senang hati.”

Ketika Encik Saidi berbaring dekat tingkap di rumahnya, tibatiba kelihatan Yang Mulia Tuan Guru RA sedang berada di atas awan. Beliau memberi isyarat agar dia melaungkan azan. Kemudian dia azan. Setelah itu beliau mendoakan Encik Saidi  dan tiba-tiba terasa olehnya Yang Mulia Tuan Guru RA berada di sampingnya serta memegang kepalanya. Sejam selepas peristiwa yang ganjil itu, dia mula terasa sakitnya bertambah pulih. Dua minggu selepas itu pula dia sudah boleh menunaikan Sembahyang Jumaat bersama Yang Mulia Tuan Guru RA di Masjid Bandar Lahad Datu. Setelah selesai sembahyang, Yang Mulia Tuan Guru RA memberi ceramah kepada para jemaah. Antara kata-kata beliau ialah, “Sakit itu merupakan ujian dan memberi kebaikan.”

4. Encik Muslimin pernah melihat muka beliau seperti seorang pemuda yang tampan. Pada suatu hari Muslimin bertanyakan Abdul Hakim (anak YM Tuan Guru RA) di manakah ayahnya. Kata Abdul Hakim ayahnya berada di ruang tamu. Dia (Muslimin) mencari Yang Mulia Tuan Guru RA di ruang tamu tapi dia dapati beliau tidak ada di sana kecuali seorang pemuda tampan yang memakai pakaian seperti Yang Mulia Tuan Guru RA dan sedang memberi sedekah kepada salah seorang tetamunya pada ketika itu. Dia pergi mendapatkan Abdul Hakim untuk bertanyakan soalan yang sama namun jawapan yang sama juga diberikan. Setelah pergi ke ruang tamu kembali dia mendapati pemuda tampan tadi sebenarnya adalah Yang Mulia Tuan Guru RA.

5. Tuan Haji Napson dari Kudat pada suatu hari telah memohon untuk menyewa satu ruang kedai di Kudat untuk dijadikan pejabat syarikat perniagaannya yang berurusniaga dengan PETRONAS. Dia terpaksa bersaing dengan dua orang lagi yang sama-sama memohon ruang kedai tersebut. Mereka bertiga telah dipanggil temuduga untuk menentukan siapakah yang akan dapat menyewa ruang kedai tersebut. Sebelum temuduga dia telah pergi ke Lahad Datu untuk menziarahi Yang Mulia Tuan Guru RA. Hari temuduga semakin hampir. Dia telah meminta izin balik ke Kudat dengan tujuan untuk menghadiri temuduga tersebut. Yang Mulia Tuan Guru RA berkata bahawa jika ruang kedai tersebut, dia akan dapat. Yang Mulia Tuan Guru RA menyuruh Haji Napson agar beriktikaf selama tiga hari di Lahad Datu. Dia mengikut arahan Yang Mulia Tuan Guru RA dengan berat hati. Setelah dia balik ke Kudat dia telah menerima surat yang mengatakan bahawa ruang kedai yang dipohonnya telah tersedia disewa untuknya. Dia telah berjaya mendapatkan ruang kedai tersebut meskipun tanpa menghadiri temuduga.

6. Tuan Haji Mastan dari Kudat telah diserang oleh lanun dalam suatu pelayaran. Dalam bot kebanyakannya adalah perempuan dan sedikit sahaja lelaki. Lanun telah menyerang dari arah kiri dan kanan bot mereka. Mereka telah mengarahkan agar semua harta seperti gelang emas, rantai emas dan wang diserahkan kepada mereka. Tuan Haji Mastan lalu berdiri di hujung bot dan membuka butang bajunya serta berkata dengan suara yang kuat dan keras, “Tembaklah saya. Dengan berkat Tuan Muda...”   Setelah mendengar nama Yang Mulia Tuan Guru RA, para lanun dengan segera meninggalkan mereka tanpa melakukan sebarang pembunuhan atau kekacauan.