Monday, June 13, 2016

KITAB KERAMAT YMTG Haji Ghulam Hasan Al Bikangi RA - BAB 1 - SIFAT-SIFAT YM TUAN GURU RA YANG MENJADI BUKTI KERAMAT BELIAU (BAHAGIAN 1)

BAB 1 - SIFAT-SIFAT YM TUAN GURU RA YANG MENJADI BUKTI KERAMAT BELIAU (BAHAGIAN 1)



Sifat-sifat YM Tuan Guru RA yang utama sebagai bukti keramat yang dimiliki oleh beliau ialah:-

1. Berani menegakkan kebenaran serta membanteras kezaliman;

2. Tawadhuk;

3. Syifah;

4. Kasih sayang terhadap makhluk; dan

5. Tawakkal.

Sifat-sifat tersebut dapat kita lihat pada diri YM Tuan Guru RA melalui peristiwa-peristiwa yang terjadi di sepanjang liku-liku hidupnya.



1. MENEGAKKAN KEBENARAN DAN MEMBANTERAS KEZALIMAN


YM Tuan Guru RA tidak takut kepada sesiapapun selain Allah SWT.  Beliau berani berhadapan dengan seluruh kerajaan di muka bumi ini demi menegakkan kebenaran dan membanteras kezaliman.
Kata beliau:

"Bercakap benar walaupun sepatah kata di hadapan orang yang zalim, adalah menyamai ibadat enam puluh tahun berdasarkan hadis Nabi SAW."

Ketegasan beliau ini dapat kita lihat dari peristiwa-peristiwa yang terjadi di sepanjang riwayat beliau. Di antara peristiwaperistiwa itu ialah:-

Tujuan YM Tuan Guru RA menegur pemerintah serta orangorang yang zalim itu supaya mereka sedar atas kesalahan mereka lalu kembali ke jalan yang benar.  Itulah tanda kasih sayang. Dengan itu mereka akan selamat dunia dan akhirat.

Dalam buku bahagian 1 telah disebutkan tentang peristiwa ini. Dengan tegas dan berani, YM Tuan Guru RA membantah cadangan kerajaan British membongkar Masjid Bandar Lahad Datu kerana di dalam hukum, masjid tidak boleh dipindahkan.  Di samping itu beliau memberitahu, bahawa jika masjid itu diroboh, beliau akan menentangnya.

Akhirnya beliau dibawa bertemu dengan Mufti-mufti di Kuala Lumpur untuk membincangkan masalah tersebut. Mufti-mufti memberi fatwa, bahawa masjid tersebut harus dipindahkan jika pemerintah mahu berbuat demikian. Tetapi beliau berdiri, lalu membaca lima potong ayat Al-Quran. Beliau meminta Mufti-Mufti mengemukakan satu dalil dari Al-Quran dan Hadis yang membolehkan masjid dipindah.

Tiba-tiba sahaja waktu itu muka para Mufti menjadi pucat dan tidak mampu berkata-kata. Kesemua Mufti mengatakan bahawa mereka hanya mengikut arahan pemerintah sahaja.  Lantas YM Tuan Guru RA terus menempelak Mufti-mufti dengan katanya, “Sayang sekali, ilmu kamu tiada nilai di sisi Allah SWT walau sesen pun.”  Akhirnya masjid tersebut tidak dapat dipindahkan hingga ke hari ini.

Dalam pemerintahan British beliau diawasi ketat kerana dituduh menentang kerajaan. Beliau tidak pernah gentar terhadap tekanan-tekanan pihak British.  Pernah beliau disekat oleh pihak keselamatan dari mendirikan sembahyang di padang Bandaran Lahad Datu. Kata OCPD, “Kami mendapat arahan dari pihak atasan untuk menembak tuan sekiranya mahu ke padang juga.” Beliau dengan tegas menjawab, “Kami juga mendapat arahan dari Tuhan untuk ke padang. Maka laksanakanlah tugas tuan dan kami juga demikian.”

Beliau dan pengikut-pengikutnya terus ke padang tanpa menghiraukan sedikitpun sekatan pihak keselamatan. Tetapi pihak keselamatan tidak berani bertindak. Pernah juga beliau disekat oleh pihak British dari berdakwah ke Segama. Tetapi beliau tidak peduli.

Apabila pemerintahan British di North Borneo (Sabah) berakhir dan tampuk pemerintahan Sabah telah diambil alih oleh Parti USNO, pembongkaran Masjid Bandar Lahad Datu masih mahu diteruskan. Beliau tetap menentang pembongkaran tersebut.

Akhirnya Datu Mustapha telah mengundang beliau untuk bertemu dengannya pada jam 9.00 malam di sebuah hotel di Lahad Datu. Dalam pertemuan itu, Datu Mustapha berkata, “Apa-apa keputusan mesyuarat kami hendaklah Tuan Haji ikut.”  Tanpa takut dan segan beliaupun menjawab, “Sedangkan pemerintah Jepun dan British kami patuhi arahan mereka, apalagi tuan sendiri orang Islam, saudara kami, asalkan tidak bertentangan dengan agama. Tetapi kalau bertentangan dengan agama, maka saya tidak akan turuti, walaupun saya ditembak mati, kerana Nabi SAW pernah bersabda:

‘Tidak boleh taat dalam perkara yang melanggar perintah Tuhan.’  

Apabila tampuk kerajaan beralih ke Parti BERJAYA di bawah pimpinan Datuk Harris Salleh, beliau tetap tidak berganjak dengan pendiriannya menentang kebatilan, walaupun beliau ketika itu baharu sahaja balik dari Pakistan setelah diusir. Sebenarnya beliau telah diarah pulang ke Pakistan kerana sikapnya yang tegas menentang kebatilan. Sepatutnya beliau harus berdiam diri sahaja supaya tidak diusir balik ke Pakistan. Tetapi beliau tidak peduli apa yang akan terjadi ke atas dirinya.

Yang penting ialah bersuara menentang kezaliman dan kebatilan. Ini jelas kelihatan apabila beliau dengan lantang menentang Nasrul Haq, Jemaah Tabligh/Wahhabi, Kassim Ahmad dan Pertandingan Al-Quran, sebagaimana dinyatakan di dalam Buku Bahagian 1.

1. Nasrul Haq telah ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.  Tidak ada seorangpun yang berani menentangnya dengan terangterangan kerana Nasrul Haq telah dipelopori oleh kerajaan pusat.

Tetapi YM Tuan Guru RA tidak peduli siapapun, kalau ia bertentangan dengan agama ia mesti ditentang. Beliau lalu menerangkan kepada masyarakat Islam Sabah bahawa Nasrul Haq adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya kerana mengandungi unsur-unsur syirik.

Beliau telah mendapat amaran dari kerajaan agar berdiam diri sahaja kalau tidak mahu ikut. Tetapi beliau menegaskan bahawa beliau tidak boleh berdiam diri kerana ianya tidak adil.  Kata beliau, “Saya tidak boleh ikut arahan kerajaan. Ini tidak adil. Ibarat orang buta atau budak kecil yang hampir jatuh ke perigi, mesti diselamatkan. Kalau kerajaan tidak suka saya di sini saya boleh pindah. Tetapi kebenaran tetap saya perkatakan.”

2. Jemaah Tabligh/Wahhabi telah bergerak di seluruh dunia tanpa mendapat tentangan terang-terangan dari alim ulama kerana kerajaan Arab Saudi adalah diasaskan di atas fahaman Muhammad Abdul Wahab yang kemudian dikenali sebagai kaum Wahhabi.

Bagi beliau, Jemaah Tabligh atau Wahhabi mesti ditentang kerana telah menyimpang dari jalan Ahli Sunnah Wal Jemaah. Pada tahun 1983, beliau rasa itulah masanya untuk menentang kaum Tabligh/Wahhabi. Maka beliaupun menulis sebuah risalah mendedahkan kesalahan-kesalahan kaum Wahhabi/Tabligh. Tanpa sedikit takut dan segan beliau mengedarkan risalah tersebut ke seluruh dunia khususnya kepada kerajaan Saudi Arabia.

Pihak MUIS telah mengambil kesempatan ini untuk mempersalahkan beliau kerana mengedarkan risalah tersebut tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran dari pihak MUIS.  Kata mereka, risalah itu juga telah memburuk-burukkan kerajaan Saudi Arabia yang bermazhab Hambali.  Surat mereka kepada beliau pada 1 Mac 1984, antaranya berbunyi:-

“Isi kandung risalah itu mengancam Wahhabi yang bermazhab Hambali dan mengatakan terkeluar dari Islam. Tuan telah membuat kesalahan kerana mengeluarkan sesuatu risalah mengenai agama kepada orang ramai tanpa kebenaran yang juga telah menyentuh negara-negara Islam berkenaan Saudi Arabia...”

Beliau diancam akan diambil tindakan di bawah Undangundang Pentadbiran Hukum Syarak No.  15/77, sekiranya beliau tidak mahu melaksanakan kemahuan MUIS dalam surat tersebut.

Beliau tidak peduli dengan ancaman mereka. Beliau berkata, “Undang-undang MUIS itu undang-undang syaitan. Saya tidak mahu menarik balik risalah saya walaupun ditembak mati. Kalau mereka boleh menyalahkan saya, saya akan berikan mereka komisen $30,000 dan saya mahu ditembak mati kerana orang yang membawa ajaran salah tidak guna hidup.”

Tetapi hingga beliau wafat pihak MUIS tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas beliau.

3. MUIS adalah satu badan yang telah ditubuhkan kerajaan untuk mengawasi hal ehwal keagamaan umat Islam. Oleh sebab itulah beliau selalu menegur dan menasihati pihak MUIS supaya sentiasa berada di jalan yang lurus, kerana kalau mereka sesat umat Islam lain akan ikut sesat. Tanpa takut dan segan beliau menegur MUIS kerana telah melakukan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan kehendak syarak. Beliau memberitahu pihak MUIS supaya menghentikan pertandingan membaca Al-Quran kerana ia bertentangan dengan hukum, walaupun perkara ini dianjurkan oleh kerajaan pusat.

Apabila pihak MUIS tidak mengendahkan teguran beliau dan sebaliknya menuduh beliau menyeleweng, beliaupun berkata, “Tidak ada guna pihak MUIS ini. Bagus dihapuskan sahaja supaya umat Islam tidak akan disesatkan olehnya.”

4. Pada Jun 1985, telah tersiar pendapat Kasim Ahmad mengenai kod 19, yang mana katanya dengan menggunakan kod tersebut tarikh Hari Kiamat boleh dipastikan melalui komputer. Kassim Ahmad juga menyatakan bahawa semua Hadis palsu.  Kassim Ahmad berani berhadapan dengan sesiapapun untuk mempertahankan pendapatnya kerana katanya, “Berani kerana benar.”

Apabila perkara tersebut sampai kepada pengetahuan beliau, beliau terus menulis surat kepada Kassim Ahmad untuk menyahut cabarannya itu. Di mana sahaja Kassim Ahmad mahu berjumpa dengan beliau, beliau akan datang. Beliau memberinya dua cabaran:-

i.  Siapa kalah hendaklah ia memberi $20,000 kepada si pemenang; dan

ii. Kalau tidak putus dalam muzakarah tersebut, maka untuk membuktikan kebenaran, kedua belah pihak hendaklah masuk ke dalam sebuah rumah. Kemudian rumah tersebut disirami minyak gas dan dibakar. Siapa yang benar dia tidak akan mati terbakar seperti Nabi Ibrahim AS.

Tetapi surat beliau tidak dibalas. Lalu beliau mengirim surat kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamed dan kepada Menteri Pelajaran Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi kerana mereka ini bertanggungjawab ke atas keselamatan aqidah umat Islam dalam bidang mereka masing-masing.

Beliau memberi peringatan kepada mereka bertiga tentang tanggungjawab mereka terhadap umat Islam, sebagaimana dinyatakan dalam surat beliau kepada mereka yang sebahagiannya berbunyi:-
“Adalah tanggungjawab saudara untuk menjaga umat Islam di Malaysia ini agar tidak dapat dipengaruhi dan disesatkan oleh fahaman-fahaman anti Mazhab dan anti Hadis Nabi SAW. Ini adalah merupakan amanah yang saudara dipertanggung jawabkan kelak di hadapan Allah SWT.  Berhati-hatilah.”

Apabila teraju pemerintahan beralih kepada Parti PBS (Parti Bersatu Sabah) di bawah pimpinan Datuk Joseph Pairin Kitingan yang beragama Kristian, beliau memperhebatkan lagi dakwahnya.

Mulailah beliau bergerak dari satu tempat ke satu tempat di dalam dan di luar Daerah Lahad Datu. Beliau dengan pengikut -pengikutnya bertakbir dan berazan dengan menggunakan alat pembesar suara sepanjang perjalanan yang mereka lalui.  Kata beliau, “Adalah mustahak diperdengarkan kepada orangorang kafir kalimah tauhid agar terbuka mata mereka kepada kebenaran.”

Walaupun teraju pemerintah telah dipegang oleh orang-orang Kristian namun beliau tidak berhenti menegakkan kebenaran menentang sebarang kezaliman. Semasa Parti PBS baharu sahaja memegang teraju kerajaan, banyak perkara-perkara yang menimbulkan ketegangan di antara orang-orang Kristian dan umat Islam. Di antara perkara-perkara itu ialah peristiwa bom-mengebom dan surat layang, serta pembongkaran Pusat Dakwah.

1. Dalam bulan Mac 1986, telah terjadi tunjuk perasaan dan kes bom-mengebom yang telah mengorbankan harta dan jiwa di beberapa tempat terutamanya di Kota Kinabalu yang dilancarkan oleh Parti USNO dan BERJAYA.

Peristiwa ini terjadi kerana Masjid Negeri telah ditandakan ‘Cross’ atau dipalangkan.  Ahli parti USNO dan BERJAYA menuduh orang-orang kafir melakukan perkara tersebut. MUIS telah memberi fatwa, bahawa sesiapa sahaja orang Islam yang tidak menyetujui atau menyertai perarakan tersebut, hukumnya kafir. Tetapi beliau terus menyuarakan di akhbar tempatan bahawa beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut kerana ianya mendatangkan kerosakan di atas bumi Tuhan tanpa hak atau kebenaran.  Kata beliau, “Sebenarnya parti USNO dan BERJAYA melakukan perkara tersebut hanya semata-mata untuk kepentingan politik mereka sendiri bukan kerana agama. Ini tidaklah adil. Menurut undang-undang Tuhan, sesiapa sahaja yang membunuh orang dengan tiada hak atau tidak adil maka seolah-olah dia membunuh seluruh manusia di muka bumi ini dan Tuhan tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan di atas muka bumi ini.”

Kes seperti ini juga telah merebak ke Daerah Lahad Datu di mana Masjid Bandar Lahad Datu telah dipalangkan orang. Tetapi beliau menahan orang-orang Islam daripada mengadakan tunjuk perasaan dan bom-mengebom kerana perkara memalang masjid dengan ‘cross’ hanyalah fitnah orang Islam sendiri. Kekacauan tidak berlaku di Daerah Lahad Datu. Sekiranya YM Tuan Guru RA membenarkan mereka bertindak, tentu sekali kekacauan dan pertumpahan darah akan berlaku di seluruh negeri Sabah.

2.  Surat Layang. Pada bulan April 1986, sebuah risalah layang telah sampai kepada YM Tuan Guru RA. Risalah tersebut mengatakan bahawa agama yang benar ialah Agama Kristian dan ia juga memburuk-burukkan Nabi SAW. Apabila risalah ini dibaca di hadapan beliau, beliau menggeletar kerana marah terhadap tuduhan itu.  Kata beliau, “Kalau risalah ini ditulis oleh orang Kristian, kita wajib isytiharkan perang dengan mereka.”

Tetapi apabila telah selesai mengerjakan sembahyang Zohor di Masjid Bandar Lahad Datu, beliau lalu berkata kepada jemaah, “Saya rasa bukan orang Kristian yang menulis risalah ini. Tetapi ini adalah kerja orang Islam sendiri.”

Bagaimanapun beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan dan Timbalannya, Datuk Mark Kording. Di antara kandungan surat tersebut ialah:-

“Baru-baru ini pula telah timbul satu risalah yang bertajuk ‘The Voice of The People’ yang ditujukan kepada Perdana Menteri dan ketua-ketua Islam tanpa tarikh dan tandatangan. Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa Agama Islam itu adalah agama yang betul dan benar. Dari dahulu lagi hingga sekarang saya telah menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama yang benar dan betul. Sedangkan agama selain dari Islam seperti agama Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lainnya adalah sesat lagi menyesatkan manusia. Perkara ini saya telah tegaskan di merata-rata tempat ke mana saja saya pergi seperti di Singapura, Filipina dan Indonesia. Perkara ini telah juga saya sentuh dalam risalah saya bertarikh 5 Disember 1983, ke seluruh dunia. Kebanyakan daripada manusia tidak dapat menggunakan akal mereka dengan betul. Mereka bertuhankan pokok, binatang, api, patung-patung dan juga manusia. Manusia paling bodohlah yang bertuhankan manusia seperti yang terdapat dalam ajaran Agama Kristian. Mereka mendakwa Nabi Isa AS itu anak tuhan atau penjelmaan dari tuhan (holy trinity). Sesiapa yang mengaku bahawa ada agama yang benar selain daripada Islam, silalah datang berjumpa dengan saya, atau di mana-mana tempat yang ditentukan, insyaAllah, saya akan datang.
Untuk membuktikan siapa yang benar, saya ingin membuat tiga cabaran:

i.  Siapa yang kalah dalam perdebatan dikehendaki membayar sebanyak $20,000.00 kepada si pemenang dan si kalah akan ditembak hingga mati kerana orang yang membawa agama sesat tidak guna hidup;

ii. atau sekiranya tidak juga putus dalam perdebatan, maka sama-samalah kita berdoa kepada Tuhan, lalu masuklah ke dalam rumah yang berkunci dan dibakar. Siapa yang benar agamanya akan selamat dan tidak terbakar seperti Nabi Ibrahim AS;

iii.  atau belayar ke sebuah pulau yang terpencil dengan tidak membawa apa-apa bekalan. Siapa yang benar akan selamat dan yang tidak benar akan mati kelaparan.”

Dalam bulan Ogos 1986, telah terjadi satu peristiwa yang amat tegang iaitu peristiwa sembahyang Hari Raya Haji. Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan bahawa Hari Raya Haji jatuh pada 15 Ogos 1986. Tetapi beliau tidak bersembahyang pada hari tersebut kerana mengikut beliau 10 Haribulan Zulhijjah jatuh pada 16 Ogos 1986, berdasarkan kiraan anak bulan.

Pihak keselamatan telah mengancam orang ramai bahawa siapa yang bersembahyang esok pagi pada 16 Ogos 1986, akan ditangkap. Maka orang-orang kenamaan tidak lagi datang bersembahyang esoknya kerana takut melanggar arahan Dipertuan Agong.

Pada esok paginya sebelum beliau tiba, pihak polis sudah berada di padang untuk menghalang orang ramai. Maka Haji Usman Suinglah berhadapan dengan mereka. Setelah pihak polis berdebat dengan Haji Usman Suing, mereka pun akhirnya menyuruh Haji Usman Suing ke balai polis selepas sembahyang Hari Raya untuk siasatan selanjutnya. Apabila beliau tiba ke padang, Haji Usman Suing pun memberitahu apa yang telah berlaku. Beliau sangat marah. Kata beliau, “Tidak patut pihak polis campur tangan di dalam urusan agama dan menakut-nakutkan orang ramai dengan kehadiran mereka di padang awal-awal pagi lagi.”

Beliau tidak membenarkan Haji Usman Suing ke Balai Polis sebagaimana dikehendaki. Selepas menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Haji, beliaupun berdiri memberi kenyataan melalui khatib dengan menggunakan pembesar suara.  Kata beliau, “Kamu pihak polis tidak patut menceroboh ke padang, menakuti orang ramai. Kalau orang-orang sembahyang kamu berani bertindak, tetapi terhadap mundu (perompak) tempoh hari kamu tidak berani berhadapan. Kalau kamu berani buatlah apa yang kamu suka, tetapi jangan menyesal.”

Lalu beliau menulis surat kepada Ketua Menteri dan Pesuruhjaya Polis mengenai peristiwa tersebut. Dalam surat yang bertarikh 1 Ogos 1986 itu, beliau berkata, “Pihak polis tidak patut campur tangan dengan urusan agama apalagi menakutkan orang dari bersembahyang. Ia tidak adil. Sedangkan orang-orang beragama lain kalau mereka bersembahyang tidak boleh dikacau. Akibat tindakan polis itu orang ramaipun tidaklah tentu fikiran dalam sembahyang. Nasib baik tidak terjadi pertumpahan darah pada pagi itu kerana orang ramai berani mengorbankan jiwa demi mempertahankan maruah agamanya. Kalau terjadi pertumpahan darah siapakah yang harus disalahkan, bukankah pihak polis?”
Kata beliau pengikut-pengikutnya tidak akan membuat sebarang kekacauan. Sekiranya berlaku juga kekacauan beliau akan bertanggungjawab. Tetapi beliau meminta pihak polis tidak campur tangan dalam urusan agama, selagi tidak ada kekacauan berlaku. Beliau harap peristiwa seperti itu tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang.

Semenjak pemerintahan British hinggalah sekarang, beliau sentiasa menentang sebarang kezaliman dan membela keadilan agar kerajaan dan rakyat selamat.  Kata beliau, “Saya sentiasa menasihati pihak kerajaan mahupun rakyat supaya berlaku adil agar selamat dunia dan akhirat. Ibarat kalau kita melanggar undang-undang pemerintah, kita akan mendapat susah. Maka lebih-lebih lagi kalau kita melanggar undang-undang Tuhan, kita akan sial dunia akhirat.” Kata beliau lagi, “Walaubagaimanapun pangkat dan kedudukan seseorang, apabila dia belaku zalim dan melanggar undang-undang Tuhan, dia akan jatuh dan mendapat kecelakaan.”

Beliau tidak membiarkan kezaliman bermaharajalela. Orangorang dizalimi yang datang mengadu kepada beliau pasti beliau tolong. Kesedihan dan tangisan mereka tidak pernah beliau hampakan. Beliau akan mengambil langkah untuk menghapuskan kezaliman itu sama ada kezaliman itu dilakukan oleh perseorangan atau pihak yang berkuasa.

Dalam liku-liku hidup beliau banyak peristiwa seumpama ini berlaku. Di antaranya dinukilkan di sini agar dapat kita nilai sejauh mana pendirian beliau terhadap kezaliman.

1. Di zaman pemerintahan British, dua orang warganegara Filipina telah ditangkap dan dipenjarakan selama tiga bulan kerana dikatakan melanggar undang-undang perairan. Apabila beritanya sampai kepada beliau, beliau terus berjumpa dengan OCPD ketika itu, bertanyakan perkara yang sebenarnya.
OCPD memberitahu beliau bahawa kedua orang tersebut telah melanggar undang-undang kerana mereka telah singgah balik ke pelabuhan setelah belayar, dan telahpun dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.

Beliaupun memberitahu OCPD, bahawa undang-undang tersebut tidak adil, undang-undang syaitan. Beliau tegaskan kepadanya, bahawa menurut undang-undang Tuhan Yang Maha Adil, “Sekiranya seseorang warganegara asing yang telah belayar dari pelabuhan, tetapi mendarat balik, maka sebelum ditangkap hendaklah diperiksa terlebih dahulu apa sebabnya mendarat balik. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya mereka mendarat balik kerana terpaksa atau darurat, seperti kehabisan bekalan air atau makanan atau dipukul ribut. Yang salah ialah kalau mereka sengaja mendarat balik lalu melakukan kekacauan di situ. Undangundang kamu ini syaitan. Tidak adil.”

Wajah OCPD menjadi pucat dan badannya lalu menggeletar sebab ketakutan.  Beliau berkata, “Kamu harus menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu penangkapan kerana kemungkinan orang yang ditangkap itu ditimpa bencana alam seperti ribut dan sebagainya. Lepaskan mereka kerana tidak bersalah.”  Kata OCPD, “Boleh, asalkan Tuan Haji sanggup jamin.” Beliaupun menjamin mereka berdua.

Kebetulan ketika itu azan Asar kedengaran dilaungkan di Masjid Bandar Lahad Datu, lalu beliau membawa bersamanya orang-orang yang telah dipenjarakan itu. Tetapi OCPD tidak membenarkan kerana surat jaminan belum lagi selesai dibuat, oleh itu OCPD meminta beliau menunggu sebentar.  Beliau pun menjawab, “Bagaimana pendapat tuan, kalau sekarang ketua tuan memanggil tuan. Tentu tuan akan tinggalkan segala kerja.  Ini panggilan Tuhan, Raja segala raja, yang telah menciptakan kita dari setitik air yang hina. Maka patut sekali kita tinggalkan segala kerja kita demi menyahut panggilanNya. Saya tidak boleh tunggu. Jangan susah saya akan balik menandatangani surat jamin itu selepas menunaikan sembahyang fardhu Asar.”  Maka beliau dan dua orang Filipina tersebut pun bersembahyang di masjid.

2. Seorang pemuda bernama James Abdullah mempunyai sebidang tanah di Bulus, Lahad Datu. Dia telah menjaga tanah itu selama tiga belas tahun. Oleh sebab geran tanah itu tidak ada di tangannya, maka seorang berbangsa India yang bernama Charni telah memohon geran tanah itu, dan setelah menunggu beberapa lama akhirnya dia mendapat geran tanah tersebut. Selepas itu Charni pun meminta supaya James Abdullah berpindah. Tetapi dia tidak mahu berpindah kerana dia telah menjaga tanah itu selama tiga belas tahun. Namun begitu, dia diminta juga berpindah oleh kerajaan kerana tanah itu sudah menjadi milik Charni.

James Abdullah pun pergi berjumpa dengan YM Tuan Guru RA. Pada masa itu YM Tuan Guru RA sedang beriktikaf. Beliau berasa sedih mendengar cerita James Abdullah itu, lalu beliau mengutus surat kepada gabenor dan mengatakan bahawa mereka boleh ambil balik tanah tersebut, jika James tidak mampu membayar cukainya selama tiga belas tahun. YM Tuan Guru RA juga mengatakan jika mereka ingin menerimanya juga, kemungkinan akan berlaku pertumpahan darah kerana James sanggup mati sebab tanah itu adalah peninggalan bapanya. Charni pula sanggup mati kerana geran tanah itu ada padanya.

YM Tuan Guru RA meminta Ketua-ketua Daerah Lahad Datu menurunkan tandatangan tetapi mereka tidak mahu menurunkan tandatangan mereka. Dengan itu, hanya YM Tuan Guru RA sahaja menurunkan tanda tangan. Tidak berapa lama kemudian James pun ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan menceroboh hak orang lain. Beliau berasa marah, lalu pergi berjumpa dengan OCPD dan menjelaskan serta memeriksa, bagaimana Charni yang dibenarkan mendapat tanah tersebut, sedangkan dia baru sahaja datang dari India.  Beliau berasa hairan kenapa James yang empunya asal tanah tersebut pula dipenjarakan. Beliau menyuruh OCPD membebaskan James. Akhirnya kes tersebut dibawa ke mahkamah dan hakim meminta geran dari Charni dan menukarkan namanya kepada James.

3. Satu ketika terdapat seorang ahli silap mata yang bernama Tampesong, di zaman pemerintahan BERJAYA. Dia menggunakan kepandaiannya untuk memperdayakan pelanggannya dengan mengatakan kononnya jika seseorang memberi wang kepadanya sebanyak sepuluh ringgit wang tersebut boleh bertambah. Oleh yang demikian seorang berbangsa Bugis tertarik dengan kepintarannya, lalu menyerahkan wang sebanyak tiga ribu ringgit. Wangnya disimpan di dalam kotak. Orang itu diberi syarat supaya membuka kotak itu dalam masa satu minggu. Sampai saja tempoh seminggu, orang Bugis itu membukanya dan dia sangat terperanjat apabila mendapati dalam kotak tersebut hanya tinggal kertas biasa sahaja. Dia pun datang berjumpa dengan YM Tuan Guru RA.

Setibanya di rumah beliau, dengan linangan air mata dia menceritakan apa yang telah berlaku.  Beliau pun berasa kasihan. Lalu beliau menyuruh Haji Usman Suing berjumpa dan melaporkan hal itu kepada Pegawal Daerah dan OCPD. Haji Usman menyuruh OCPD supaya menangkap Tampesong kerana sudah banyak kesnya menipu orang. Tetapi ketua kampung di mana Tampesong tinggal mengesahkan, bahawa Tampesong adalah orang baik. Dengan demikian, maka OCPD pun tidak mahu mengambil apa-apa tindakan.

Apabila Haji Usman memberitahu beliau tentang keputusan OCPD, beliau pun berkata, “Tidak apa. Biarlah Allah SWT yang menangkapnya.”
Selang beberapa hari beberapa orang askar dari Kota Kinabalu pergi ke rumah Tampesong. Mereka mengepung rumahnya dan mendesaknya supaya menyerah diri. Tetapi Tempesong melawan askar-askar itu. Askar-askar itu menembaknya dan akhirnya Tempesong mati ditembak.

4. Pembahagian tanah pada rakyat di Sapa Dulang Segama, Lahad Datu menyebabkan ramai orang berpindah ke situ.  Mereka membersihkan tanah dan membina rumah serta surau di situ. Tetapi yang sedihnya setelah lama menduduki tanah tersebut, datanglah surat notis yang mengarahkan mereka supaya berpindah dan meninggalkan tempat itu kerana menurut Wakil Rakyat tapak tersebut sudah dikhaskan untuk pembinaan sekolah vokasional. Memandangkan keadaan itu, ketua kampung lalu berjumpa dengan beliau dan menceritakan masalah mereka. Beliau berasa sedih lalu mengirim surat kepada Datuk Harris Salleh, Ketua Menteri pada ketika itu.

Dalam surat itu beliau berkata, “Sekiranya Datuk sendiri sudah dipindahkan ke tempat baru dan sudah mendirikan rumah, kebun dan sebagainya lalu diarah untuk berpindah ke tempat lain pula, bagaimanakah perasaan Datuk? Datuk kasihanilah orang-orang miskin. Saya harap pendudukpenduduk tersebut tidak dipindahkan.”  Bagaimanapun akhirnya sekolah tersebut didirikan juga.

5. Masalah jalan raya (jalan ke Tungku). Dalam pemerintahan PBS, jalan terus ke Tungku telah ditutup sehingga para pemandu terpaksa membuat pusingan di ‘round about’ sebelum meneruskan perjalanan ke arah Tungku. Orang ramai yang datang ke rumah beliau, selalu bersungut mengenai ketidakselesaan jalan tersebut. Beliau lalu menulis surat kepada Ketua Menteri pada 19 September 1986, membawa ke perhatian Ketua Menteri mengenai sungutan orang ramai terhadap jalan tersebut.
Dalam surat itu beliau berkata, “Untuk pengetahuan YAB, jalan tersebut sejak pemerintahan British lagi hingga ke BERJAYA telah digunakan oleh pengguna-pengguna jalan raya dengan mudah dan selamat. Tetapi sejak kebelakangan ini di mana PBS telah memerintah, jalan itu telah diubahsuai hingga menimbulkan masalah terutama bagi pengguna-pengguna yang menggunakan jalan itu dari pekan Lahad Datu ke arah Tungku, di mana mereka terpaksa membelok mengikut jalan Airport untuk membuat pusingan di ‘round about’ sebelum meneruskan perjalanan. Sebelum ini para pengguna berjalan terus sahaja tanpa membelok. Tetapi kini mereka terpaksa membelok dan berjalan kira-kira satu kilometer lagi, sebelum meneruskan perjalanan. Ini tidaklah adil kerana sengaja memberatkan dan menyusahkan para pengguna jalan raya dengan tidak sewajarnya.”  Akhirnya beliau berkata, “Oleh yang  demikian bagi mengelakkan perkara ini berterusan, saya merayu kepada YAB agar jalan tersebut dibuka semula seperti dahulu.”

6. Dalam bulan Mac 1987, Tuan Haji Sulaiman telah datang ke tempat beliau dan mengatakan bahawa tanahnya yang di dalam proses untuk diluluskan, telah diberikan oleh kerajaan PBS kepada orang lain yang sekampung dengannya. Beliau berkata, “Bahawa ini tidak patut dan zalim.” Beliau terus menulis surat kepada Ketua Menteri. Dalam surat tersebut antara lain beliau berkata:

“Haji Sulaiman telah mengadu kepada kami berhubung dengan perkara pertama di atas yang mengatakan bahawa dia telah memohon tanah tersebut semenjak pemerintahan USNO hinggalah pemerintahan BERJAYA. Permohonannya tidak pernah ditolak dalam masa kedua-dua pemerintahan ini, malah mendapat kelulusan daripada bekas Ketua Menteri Datuk Haris Salleh. Tetapi Haji Sunoh Marsoh dan kuncukuncunya serta Pegawai Daerah Lahad Datu ketika itu sengaja menahan dan menekan dengan pelbagai alasan sehingga perkara ini berpanjangan sampai Pemerintahan PBS. Dalam Pemerintahan PBS, permohonannya telah ditolak tanpa alasan yang munasabah, dan tanah tersebut telah diberikan kepada orang yang belum memohon dan sekampung dengannya.

Jika ada perubahan undang-undang dalam Permerintahan PBS yang menyatakan bahawa permohonan dalam pemerintahan BERJAYA tidak sah lagi, seharusnya Haji Sulaiman diberitahu dan diberi keutamaan sebelum orang lain.

Kami sebagai orang tengah yang tidak menyebelahi manamana pihak, inginkan keadilan. Oleh yang demikian kami berpendapat bahawa tanah tersebut seharusnya diberikan kepada Haji Sulaiman dengan alasan:-

(i) Dia telah mengeluarkan belanja yang banyak bagi tujuan mengurus tanah tersebut, sehingga terpaksa hutang mengutang dan lebih-lebih lagi Haji Sulaiman orang miskin. Sebagai contoh, dia telah berulang-alik ke Kota Kinabalu 30 kali dan beberapa kali menemui DFO di Sandakan.

(ii) Dia telah menanam berbagai-bagai tanaman di sebahagian tanah tersebut di mana dia telah

(iii)  Dia adalah seorang penyokong PBS dalam pilihan raya umum tahun 1986, sedangkan orang yang mendapat tanah tersebut adalah penyokong kuat BERJAYA. Sepatutnya Haji Sulaimanlah yang lebih berhak mendapat keistimewaan daripada orang tersebut.

(iv) Haji Sulaiman telah memohon tanah tersebut sejak beberapa tahun yang lepas, sedangkan orang tersebut belum membuat sebarang permohonan tiba-tiba sahaja mendapat tanah tersebut.

(v) Orang tersebut mengatakan jika kita mempunyai wang sebanyak $6,000.00 atau $7,000.00, kita akan memperolehi tanah walaupun tidak membuat sebarang permohonan seperti mana yang berlaku dalam perkara ini, perkataan orang ini menunjukkan berlakunya rasuah.

Kami sebagai orang tengah inginkan keadilan dan keamanan. Sebagai bukti, dalam peristiwa bom-mengebom serta membakar hartabenda yang telah dilancarkan oleh pihak pembangkang khasnya parti USNO dan BERJAYA. Kami telah menyuarakan dalam surat khabar tempatan yang kami tidak bersetuju kerana perbuatan tersebut mendatangkan kerosakan di atas muka bumi Tuhan tanpa alasan sebenar. Kami tidak ingin melihat berlakunya perselisihan faham serta pertumpahan darah kerana
Haji Sulaiman sanggup mempertahankan tanah tersebut atas alasan-alasan yang munasabah.

Bagi mengelakkan berlakunya perkara tersebut, serta berdasarkan alasan-alasan yang disebutkan di atas, Kami bercadang agar tanah tersebut diberikan kepada Haji Sulaiman.”
7. Sebahagian daripada sekumpulan 26 keluarga dari Kampung Mambatu, Tungku yang menduduki tanah kerajaan telah datang ke tempat YM Tuan Guru RA dan mengatakan bahawa tempat kediaman serta tanam-tanaman mereka telah dimusnahkan oleh pihak polis hutan serta rombongan. Mereka diarah supaya meninggalkan kawasan tersebut. Sekiranya didapati kembali ke kawasan tersebut, mereka akan ditembak. Mendengar kezaliman ini, beliau terus menulis surat kepada Ketua Menteri.  Dalam surat itu di antara lain menegaskan:-
“Kami rasa perkara ini tidaklah adil dan tidak berperikemanusiaan. Seharusnya mereka dibiarkan tinggal di kawasan tersebut serta diberi nasihat di mana mereka boleh menanam tanam-tanaman kontan seperti jagung, ubi kayu, sayur-sayuran dan sebagainya serta boleh membuat rumah sementara. Selama pihak kerajaan tidak memerlukan kawasan tersebut bolehlah mereka tinggal di situ. Sekiranya kawasan tersebut diperlukan, bolehlah pihak kerajaan mengarah supaya mereka meninggalkannya. Ataupun sekiranya pihak kerajaan memerlukannya, benarkanlah mereka memakan semua hasil tanaman yang telah mereka tanam sebelum mereka diarahkan meninggalkan kawasan tersebut.

Pihak kerajaan tidak seharusnya bertindak menghalau dua puluh enam keluarga dari kawasan tersebut kerana telah mengakibatkan mereka kehilangan tempat kediaman dan mata pencarian. Ini boleh menimbulkan masalah, lebih-lebih mereka ini adalah orang-orang pelarian. Mereka terpaksa mencari tempat kediaman dan kemungkinan mereka akan melakukan perkaraperkara yang tidak diingini seperti mencuri dan merampas untuk menampung kehidupan mereka.

Kami berharap semoga mereka dibenarkan kembali menduduki kawasan tersebut selagi kerajaan tidak memerlukannya dengan syarat seperti mana tersebut di atas.”

8. Pada bulan November 1988, telah sampai ke pengetahuan beliau bahawa tanah kepunyaan Tingkayu CoOperative Development Society Ltd. seluas empat ribu ekar di Tingkayu, Lahad Datu mahu dijadikan sebagai rancangan pekebun-pekebun kecil oleh kerajaan. Beliau menganggap ini sebagai tidak adil. Beliau lalu menulis surat lagi kepada Ketua Menteri supaya tanah tersebut diberikan kepada Syarikat Tingkayu.  Dalam surat itu beliau antara lain berkata,

“Kemudian daripada itu aku ingin membawa ke perhatian YAB/YB mengenai  perkara tersebut di atas. Orang ramai sentiasa datang ke tempat saya membawa masalah masing-masing untuk diselesaikan. Maka perkara tersebut telah sampai ke pengetahuan saya dan setelah meneliti saya berpendapat bahawa tanah tersebut sepatutnya diberikan kepada Syarikat Tingkayu.

Menurut undang-undang Tuhan, siapa yang dahulu memohon tanah, maka dia berhak mendapatkannya tidak kira sama ada keluarga, orang lain, musuh atau kawan. Lebih-lebih lagi kalau tanah tersebut telah diukur dan dibayar premiumnya. Maka adalah jelas bahawa tanah tersebut telah diluluskan kepada Syarikat Tingkayu dalam pemerintahan USNO dan telah diukur dan dibayar sebahagian daripada premium sebanyak $25,000.00 kepada pihak kerajaan. Maka seadilnya tanah tersebut adalah menjadi hakmilik Syarikat Tingkayu, tambahan pula kerajaan PBS seharusnya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan USNO bagi mengelakkan sebarang kekacauan yang akan timbul di antara pemohon-pemohon lama dan baru, dan seterusnya menumpahkan darah.”

Maka itulah diantara peristiwa-peristiwa yang menunjukkan ketegasan YM Tuan Guru RA terhadap kezaliman.

2. MURAH HATI

Seseorang tidak akan menjadi Wali kecuali dia bersifat murah hati.

Kata beliau, “Saya sudah periksa dalam Al-Quran dari Alif Lam Mim (Surah Al-Baqarah) sampai ke Surah An-Naas tidak ada satu sifat yang paling  disukai Tuhan melainkan sifat murah hati dan tiada satu sifat yang paling dibenci Tuhan selain dari sifat bakhil. Ini diterangkan dalam Surah Al-Lail. Dalam Surah itu Allah SWT berjanji akan memberi kesenangan bagi orang yang murah hati dan memberi kesusahan kepada orang yang bakhil.”

Tambah beliau, “Rasulullah SAW sendiri memuji orang murah hati dan mencela orang bakhil sebagaimana yang diterangkan di salah sebuah Hadis Nabi SAW yang bererti orang yang murah hati adalah kekasih Allah SWT walaupun dia seorang fasiq, sedang kan orang yang bakhil itu adalah musuh Allah SWT walaupun dia seorang alim dan ahli ibadat.”

Tentang sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat beliau berkata:

1. Harta yang dibelanjakan kerana Allah SWT tidak akan berkurangan bahkan akan bertambah;

2. Dalam Al-Quran harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT itu adalah diibaratkan sebagai sebutir benih yang menumbuhkan tujuh dahan, pada tiap-tiap dahan seratus buah (biji). Ini bererti satu ringgit dikeluarkan di jalan Allah SWT, Allah SWT akan membalas tujuh ratus ringgit, bahkan sampai tujuh ribu, tujuh puluh ribu dan seterusnya berapa sahaja yang dikehendaki Allah SWT;

3. Sedekah itu penawar penyakit.

4. Zakat itu memelihara harta daripada musnah;

5. Sedekah menolak bala dan memanjangkan umur;

6. Sedekah akan menjadi dinding api neraka; dan

7. Sedekah dan zakat menghapuskan dosa dan mendatangkan keampunan dan rahmat Allah SWT.

Tentang menjamu orang makan, beliau menyatakan:

1. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang amalan apakah yang paling baik dalam Islam. Nabi SAW menjawab, “Memberi orang makan.”

2. Orang yang datang ke rumah sebagai tetamu akan membawa rahmat bersamanya dan bila dia balik, ia akan membawa keluar bersamanya segala dosa orangorang di dalam rumah itu.

3. Setiap suap makanan yang disuapkan oleh tetamu menyamai satu pahala ibadat Haji dan satu ibadat Umrah. Sebab itu masaklah banyak kerana makanan yang disediakan untuk menjamu tetamu itu tidak dihisab di hari Kiamat walaupun berlebih-lebihan.

Semua pengajaran ini dapat dihayati oleh beliau.  Sifat murah hati yang dikurniakan Allah SWT kepada beliau jelas kelihatan pada setiap orang yang mengunjungi kediamannya.

Beliau sangat menghormati tetamu dengan tidak mengira bangsa ataupun agama. Beliau sangat suka menjamu tetamunya dengan makanan dan minuman dan tidak membezakan orang yang kaya dengan yang miskin atau yang berpangkat dengan yang tidak berpangkat. Beliau susah hati apabila ada di antara tetamu beliau yang tidak dapat makan minum di rumahnya. Sebab itulah jika ada di antara tetamunya yang tidak sempat makan di rumahnya, beliau akan memberi wang supaya orang itu membeli makanan sendiri.

Beliau juga suka menolong orang-orang yang dalam kesusahan. Dengan sebab itu, ramailah orang datang ke rumah beliau untuk mengemukakan pelbagai masalah dunia dan akhirat. Beliau dengan murah hati bersedia untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut dengan memuaskan kedua belah pihak. Di samping itu juga ada di antara orang yang bertengkar didamaikan oleh beliau, terutamanya suami isteri yang berselisih faham dan ingin bercerai. Beliau pula memberi wang kepada pasangan tersebut.

Setiap tahun, sudah menjadi kebiasaan beliau apabila tiba hari kebesaran Islam seperti Israk Mikraj, Maulud Nabi SAW, Nisfu Syaaban, Hari Raya Puasa, Hari Raya Qurban dan Hari Asyura, beliau banyak bersedekah, menyembelih lembu untuk disedekahkan dagingnya dan menjamu tetamu di rumahnya.  Bukan satu dua ekor sahaja disembelih, bahkan sampai sepuluh ekor sekali disembelih. Pahala korban itu beliau hadiahkan kepada seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati.  Setiap orang yang hadir atau yang dapat menyaksikan penyembelihan itu akan beliau berikan daging. Kata beliau adalah menjadi dosa sekiranya ada orang yang menyaksikan penyembelihan tetapi dia tidak diberi daging. Bahkan pernah ada seorang wanita yang hamil berkehendakkan kepala lembu. Apabila telah diperiksa tiada lagi kepala lembu yang tinggal. Beliau pun menyuruh menyembelih seekor lembu lain untuk diberikan kepalanya kepada wanita itu.

Apabila bulan Puasa tiba, beliau akan menghantarkan orang orang miskin sekarung tepung pada setiap keluarga, hingga beratus-ratus karung. Apabila sudah hampir Hari Raya Puasa, beliau akan bersedekah ribuan wang tunai kepada jemaah yang hadir sembahyang Jumaat ketika itu. Beliau juga akan mengirim berpuluh ribu wang tunai ke Pakistan untuk dibahagi -bahagikan kepada fakir miskin di situ, menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Orang yang berhutang dengan beliau dan tidak dapat membayarnya, beliau akan niatkan sedekah untuk orang itu. Beliau pernah berkata, “Kalau ada orang miskin yang mahukan tanah, saya akan sedekahkan tanah saya kepadanya.” Bahkan pernah beliau menawarkan sebahagian tanah beliau kepada orang yang dalam kesusahan tetapi orang itu menolaknya.

Ketika di Pakistan, pernah seorang datang hendak membeli tanah yang mana tanah itu kebetulan kepunyaan beliau. Setelah memeriksa tanah tersebut beliau terus memberikannya kepada orang itu sebagai sedekah.  Kata beliau, “Dari sejak kecil lagi saya memang suka kasi makan orang-orang miskin yang datang ke rumah-rumah meminta makanan. Saya akan kumpul makanan itu dari setiap rumah ke rumah dan memberikan kepada orang-orang miskin.”

3.   TAWADDHU (Merendahkan Diri)

Ketika beliau berada di Pakistan pernah berlaku satu peristiwa yang memberi kesan terhadap jiwa beliau. Peristiwa itu berlaku ketika beliau balik ke rumahnya pada tengah malam yang gelap gelita selepas diundang menghadiri kenduri di rumah orang. Ketika itu beliau hanya jalan sendirian saja.

Tiba-tiba beliau terdengar bunyi yang menggerunkan datang menuju ke arah beliau. Oleh kerana gelap beliau tidak melihat apa-apa, tetapi bunyi itu menghampirinya semakin lama semakin dekat.  Rupanya suara itu datang dari seekor anjing pengawal yang ganas, dan berbadan besar yang datang menerkam beliau.  Apabila sudah dekat tiba-tiba saja anjing pengawal itu menjatuhkan dirinya hendak mencium kaki beliau dan cuba berdiri hendak pula mendakap beliau. Tetapi beliau menyuruhnya pergi saja. Beliau terhenti sejenak memikirkan peristiwa itu.  Lalu beliau berdoa kepada Allah SWT:

“Ya Allah! Jadikanlah saya seperti anjing itu kerana saya rasa lebih hina darinya. Ya Allah, anjing itu diberi makan oleh tuannya supaya menjaga keliling rumahnya tiap-tiap malam, maka tiap-tiap malam ia tidak tidur menjaga keliling rumah tuannya. Ya Allah! Saya ini hambaMu yang makan rezekiMu tetapi saya masih taksir dari beribadat menjunjung titah perintahMu. Berikanlah saya fikiran sekurang-kurangnya seperti anjing itu.”  

Pada pagi esoknya beliau menceritakan peristiwa itu kepada kawan-kawannya yang datang mengunjunginya.  Kata beliau kepada mereka, “Saya rasa saya lebih hina dari anjing. Cuba tuan-tuan lihat kelakuan anjing. Anjing itu walaupun tidak diberi makan oleh tuannya tetapi dia tidak lepas dari pintu rumah tuannya. Walaupun ia sudah sakit, apabila tuannya lalu ia akan menggoyangkan ekornya tanda senang hati dan hormat kepada tuannya. Tetapi kita umat manusia walaupun diberi makan oleh
Tuhan tiap-tiap hari, kita selalu menunjukkan muka masam kepada Tuhan. Kita selalu merungut. Kita selalu berkata, ‘Apalah nasibku ini si anu itu senang dan kaya. Saya tidak punya apa-apa.’ Padahal kita makan tiap-tiap hari tetapi masih merungut kepada Tuhan. Kita diuji sedikit saja sudah lepas dari pintu Tuhan. Siapakah yang baik anjingkah atau kita?”  Mendengar kata-kata beliau itu mereka pun terus menangis.

Hidup beliau telah dihiasi oleh sifat tawaddhu. Beliau suka merendahkan diri di hadapan orang ramai dan selalu berkata bahawa orang lain lebih baik dari dirinya serta dosanya lebih banyak daripada dosa mereka.  Kata beliau, “Apa lagi tuantuan, sedangkan anjing pun lebih baik dari saya.” Katanya lagi, “Kamu menangis di hadapan Tuhan kerana tidak ikut nasihat saya tetapi saya menangis sebab banyak dosa.”

Pernah dalam satu perjumpaan dengan Tun Datu Mustapha, YM Tuan Guru RA berkata, “Apalagi tuan ketua kami dan saudara kami sedangkan budak kecil pun kalau dia benar saya ikut.”

Sifat tawaddhu beliau juga jelas kelihatan dalam majils muzakarah di antara beliau dengan para Mufti-mufti yang diadakan untuk menetapkan samada masjid boleh dipindahkan atau tidak. Sebelum beliau memberikan hujahnya beliau memuji Allah SWT dan bersalawat ke atas Nabi SAW serta keluarga dan para Sahabatnya.

Selepas itu dia berkata, “Saya bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan kesempatan ini bagi saya yang bodoh ini, bertemu dengan para alim ulama seperti tuan-tuan kerana para alim ulama itu pewaris Nabi-nabi.”

Setelah selesai majlis muzakarah itu seorang ulama pemerhati dari Negara Mesir mempersilakan beliau supaya berjalan di hadapannya tetapi beliau enggan berbuat demikian, sebaliknya beliau menyuruh ulama itu berjalan di hadapan. Walhasil mereka berjalan seiringan.

Dalam waktu hendak mendirikan sembahyang beliau selalu mempersilakan orang lain untuk menjadi imam. Beliau lebih senang hati menjadi makmum. Beliau tidak mahu dihormati orang. Beliau selalu memberitahu orang ramai agar jangan mencium tangannya apalagi kakinya kerana beliau rasa mereka adalah lebih baik darinya.  Untuk itu beliau telah membuat satu notis atau kenyataan di rumah dan di Masjid Bandar Lahad Datu agar orang ramai tidaklah mencium tangan beliau. Cukup dengan ucapan “Assalammualaikum” sahaja.

Di sepanjang perjalanan, beliau sentiasa dalam keadaan menundukkan penglihatannya. Di mana-mana negeri beliau pergi, beliau suka tinggal bersama keluarga orang miskin walaupun berulang-ulang kali dipelawa oleh orang kaya untuk tinggal bersama mereka.