Di antara
ciri-ciri yang penting bagi ulama yang benar itu ialah:
1. Takut
kepada Allah SWT.
Firman
Allah SWT dalam Surah Fatir ayat 28:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاۤء
“Sesungguhnya
yang takut kepada Allah diantara hamba-hambaNya hanya ulama.”
Ini
kerana ulama itu kenal Allah SWT itu.
Hanyasanya yang takut kepada Allah SWT itu ialah mereka yang
mengenaliNya. Mereka itulah yang dikatakan ulama.
2. Mencontohi
Nabi
Firman
Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 31:
قُلْ إِن كُنتُمْ
تُحِبُّونَ الله َ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ الله ُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ
ذُنُوبَكُمْ وَالله ُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Katakanlah
(Wahai Muhammad SAW): ‘Jika kamu (benar-benar)
mencintai Allah ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
FirmanNya
lagi dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya
telah ada pada (diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi
orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah.”
Sabda
Nabi SAW:
اَلْعُلَمَآءُ وَرَثَةُ اْﻷَنْبِيَاءِۤ
“Bermula
ulama itu pewaris para Nabi.”
(HR. At-Tarmizi)
Sebagai pewaris Nabi,
ulama mestilah:
a) Mencontohi Nabi
SAW pada perbuatan, kelakuan dan adab budi pekerti Baginda SAW sehingga
mewarnai hidup mereka. Berjumpa dengan mereka seolah-olah berjumpa dengan Nabi
SAW.
b) Penyantun,
pemurah, penyayang dan belas kasihan kepada semua makhluk Allah SWT. Mereka selalu mendoakan umat manusia agar
dapat petunjuk daripada Allah SWT supaya mereka akan selamat dunia dan akhirat.
c) Pembimbing umat
manusia kepada jalan Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengajar ilmu tetapi juga
mendidik umat manusia agar dapat mengenal Allah SWT. Ciri-ciri khas pada diri
mereka itu sebagaimana dinyatakan oleh Nabi SAW ialah:
- Apabila melihat wajah mereka, maka akan teringat Allah SWT;
- Apabila mendengar perkataan atau nasihat mereka aka bertambahlah ilmu seseorang;
- Apabila melihat perbuatan mereka maka akan teringatlah negeri Akhirat.
d) Menyebarkan Agama
Islam tanpa takut kepada siapa sahaja kerana niat mereka hanya ingin
menyelamatkan manusia dari bahaya dunia dan akhirat bukan untuk berperang.
e) Mengajak ke jalan Allah SWT dengan penuh
hikmah dan kasih sayang semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.
f) Berani
mengatakan hak atau yang benar walaupun di hadapan pemerintah yang zalim.
g) Mereka mencintai
Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya termasuklah diri mereka sendiri.
Mereka korbankan harta kekayaan, jiwa dan raga semata-mata kerana cintakan
Allah dan RasulNya. Apabila disebut Nama Allah, gementarlah hati mereka dan
apabila dibacakan ayat-ayatNya maka bertambahlah iman mereka. Mereka juga
sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW dan juga ke atas keluarga dan para Sahabat
Baginda SAW.
h) Mereka zuhud
terhadap dunia mengikut jejak langkah Nabi SAW dan para Sahabat Baginda SAW.
i) Mereka adalah
rahmat bagi umat ini.
Inilah diantara
ciri-ciri utama yang terdapat pada diri ulama yang benar yang menjadi pewaris
Nabi SAW.
Hari ini kita lihat
bahawa ramai daripada ulama Islam tidak lagi mempunyai ciri-ciri demikian. Ini adalah disebabkan oleh pengaruh fahaman
Wahhabi yang telah menjalar ke dalam masyarakat umat Islam.
Kerana kefahaman Wahhabi
yang anti Tasawwuf dan Thariqat, maka hari ini di mana-mana sahaja pengajian
Islam terutama di universiti-universiti, para ulama hanya mengajar ilmu
semata-mata tanpa mendidik anak murid mereka dengan didikan kerohanian. Ini kerana mereka juga tidak mendapat didikan
kerohanian daripada guru-guru mereka.
Walaupun banyak ilmu tanpa didikan kerohanian, hati masih lagi
diselubungi oleh sifat-sifat yang tercela yang merupakan penyakit hati. Hati
yang kotor tidak akan dapat mengenal Allah SWT dengan sebenarnya. Justeru itu ia tidak akan takut kepada Allah
SWT. Walaupun ia seorang ulama kalau ia tidak takut kepada Allah SWT maka ia
tidak layak dipanggil ulama kerana ulama itu yang takut kepada Allah SWT
sebagaimana dinyatakan dalam Surah Fatir ayat 28 itu.
Ulama seperti ini akan
menggunakan ilmu mereka untuk membela kepentingan diri mereka sendiri atau
untuk menyokong pendapat-pendapat pihak atasan walaupun sebenarnya ia
bertentangan dengan ajaran Islam. Ini kerana mereka takut kehilangan sumber
rezeki atau ‘periuk nasi’ mereka atau takut dipenjara atau dibunuh. Dengan ini mereka telah gagal dalam tugas mereka
sebagai penasihat kepada pemerintah.
Maka rosaklah mereka dan rosaklah pemerintah.
Maka jadilah pemerintah
atau pemimpin hari ini sebagaimana disabdakan oleh Nabi SAW dalam beberapa
hadis Baginda SAW. Di antaranya ialah:
سَتَكُوْنُ
مِنْ بَعْدِيْ أُمَرَآءُ يَكْذِبُوْنَ وَيَظْلِمُوْنَ فَمَنْ صَدَّقَهُمْ
بِكَذِيْبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّىْ وَلَسْتُ مِنْهُ
وَلَمْ يَرِدُ عَلَى الْحَوْضِ.
( رواه النسائى والترمذي عنم كعب )
“Sesudah nanti akan ada pemimpin-pemimpin
yang berdusta dan berbuat zalim, siapa yang membenarkan kedustaannya dan
membantu kezalimannya, maka ia tidak termasuk dari (umat) ku dan aku juga tidak
termasuk darinya dan ia tidak akan datang ke telaga (yang ada di syurga).”
(HR. Nasa’i dan Thabrani
dari kaab)
سَتَكُوْنُ أُمَرَآءُ مِنْ بَعْدِيْ يَأْمُرُوْنَكُمْ بِمَا لاَتَعْرِفُوْنَ
وَيَعْمَلُوْنَ بِمَا تُنْكِرُوْنَ فَلَيْسَ اُولۤئِكَ عَلَيْكُمْ بِأَئِمَّةٍ. ( رواه الطبرانى )
“Sesudah nanti akan ada pemimpin-pemimpin
yang menyuruh kamu mengerjakan sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya, dan
mereka melakukan sesuatu yang kamu membencinya. Mereka itu tidak layak menjadi
pimpinan kamu.”
(HR. Thabrani)
سَتَكُوْنُ أُمَرَآءُ فَتَعْرِفُوْنَ وتُنْكِرُوْنَ فَمَنْ كَرِهَ بَرِىءَ وَمَنْ
أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ أبعده الله تعالى. (رواه مسلم وابو دأود )
“Akan ada pemimpin-pemimpin yang kamu
mengenalnya, tapi kamu membencinya. Maka siapa yang membenci ia akan bebas dan
siapa yang mengingkari ia akan selamat. Tetapi barangsiapa menyetujui dan
mengikutinya, nescaya ia dijauhkan Allah Ta’ala.”
(HR. Muslim dan Abu Daud
)
وَيْلٌ لِلأْ ُمَرَآءِ وَيْلٌ لِلْعُرَفَاءِ وَيْلٌ لِلأْ
ُمَنَاءِ لَيَتَمَنَّيَنَّ أَقْوَامٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ اَنَّ ذَوَائِبَهُمْ
كَانَتْ مُعَلَّقَةً بِالثُّرَ يَا يُعَذَّبُوْنَ وَلَمْ يَكُوْنُوْا عَمِلُوْا
مِنْ شَيْءٍ.
(رواه احمد عن ابى هريرة )
“Celaka bagi pemimpin-pemimpin, dan celaka para penguasa urusan
rakyat, dan celaka mereka yang diberi amanat. Pada hari kiamat nanti ada kaum yang
berangan-angan berbuat curang tergantung di atas bintang Suraya. Mereka akan diseksa
oleh Allah kerana tidak melakukan amanat yang dipercayakan.”
(HR. Ahmad dan Abu Hurairah)
مَنِ
اسْتَرْعَاهُ الله ُرَعِيَّةً ثُمَّ يَحِطُّهَا بِنُصْحِهِ اِلاَّحَرَّمَ الله
ُعَلَيْهِ الْجَنَّةَ.
( رواه البخارى )
“Siapa yang dijadikan oleh Allah sebagai
pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur dengan nasihatnya, tidak ada lain
melainkan Allah mengharamkan baginya masuk syurga.”
(HR. Bukhari)
Maka apabila ulama dan
pemimpin rosak, maka rosaklah umat manusia terutama umat Islam.
Sabda Nabi SAW:
صِنْفَانِ
مِنْ أُمَّتِى إِذَا صَلُحُوْا صَلُحَ النَّاسُ وَإِذَا فَسَدُوْا فَسَدَ النَّاسُ:
اَ ْلاُمَرَاءُ وَاَلْفُقَهَاءُ.
“Dua golongan dari umatku apabila baik
nescaya baiklah manusia semuanya apabila rosak nescaya rosaklah manusia
seluruhnya iaitu Pemimpin dan Ulama.”
(HR. Abu Naim)
Dengan ini tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Maka rosaklah
masyarakat Islam. Hari ini makin ramai
ulama makin bertambah gejala sosial di kalangan umat Islam terutama keruntuhan
akhlak di kalangan pemuda pemudi Islam, bahkan ada yang telah meninggalkan
agama mereka dan menjadi murtad.
Bukan itu sahaja
malahan mereka juga mengeluarkan fatwa yang mengelirukan bahkan kadang-kadang
menyesatkan umat Islam. Ini menjadi
fitnah di kalangan umat Islam. Maka
jadilah mereka ini sejahat-jahat manusia di permukaan bumi ini sebagaimana
sabda Nabi SAW:
عَنْ عَلِىٍّ رَضِىَ
الله ُعَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ﷺ : يُوْشِكُ أَنّ
يَأْتِىَ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ
ﻻَيَبْقٰى مِنَ اْلاِسْلاَمِ إِلاَّ اسْمُهُ وَلاَيَبْقٰى مِنَ الْقُرْﺁنِ
إِلاََّرَسْمُهُ َمَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِىَ خَرَابٌ مِنَ الْهُدٰى
عُلَمَاؤُهُمْ شَرُُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمۤاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ
الْفِتَنُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ. (رواه البيهقى)
“Akan datang pada manusia satu zaman tidak
tinggal daripada Islam itu melainkan namanya, tidak tinggal daripada Al-Quran
melainkan tulisannya, masjid-masjid mereka itu indah tetapi kosong daripada
petunjuk dan ulama-ulama mereka termasuk manusia paling buruk yang berada di
bawah langit kerana daripada mereka timbul beberapa fitnah dan kembali kepada
mereka.”
(HR Al-Baihaqi)
إِنَّمَا
أَخَافُ مِنْ أُمَّتِى اْلأَئِمَّةَ الْمُضِلِّيْنَ
“Yang aku khuatiri di kemudian hari
terhadap umatku ialah munculnya imam-imam (ulama) yang menyesatkan.”
مِنْ غَيْرِ الدَّجَّالِ أَخْوَفُ عَلَيْكُمْ مِّنَ
الدَّجَّلِ فَقِيْلَ وَمَا هُوَ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ فَقَالَ عُلَمَآءُ السُّوْءِ.
“Aku
terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal. Maka
dikatakan, siapakah mereka itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Mereka
itulah ulama yang jahat.”
Yang
dimaksudkan ulama yang jahat itu ialah mereka yang berilmu pengetahuan tetapi
dalam hati mereka tertanam kasih akan dunia dan kemuliaannya. Inilah yang
menjadikan mereka jahat sebagaimana telah diterangkan di atas.
Hari ini telah wujud
ramai ulama di kalangan umat Islam tetapi sedikit sahaja yang dapat membimbing
umat Islam ke jalan Allah SWT untuk mengenal dan mencintaiNya. Apabila umat Islam tidak kenal lagi Allah SWT
dengan sebenar-benarnya, maka mereka tidak akan takut lagi kepadaNya. Dengan
ini mereka akan mengambil kepintaran serta nafsu mereka sebagai Tuhan mereka
iaitu mereka akan melakukan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsu mereka. Ini yang
menyebabkan umat Islam rosak, lemah, hina, ditindas serta dizalimi di mana
sahaja mereka berada tanpa pertolongan
Allah SWT.
Ada sebilangan kecil
daripada umat Islam yang ingin mengenal Allah SWT untuk mendekatkan diri
kepadaNya tetapi oleh kerana ulama tidak dapat membantu mereka, maka mereka
mencari jalan sendiri sehingga mereka bertemu dengan ajaran-ajaran yang pelik
yang kadang-kadang menyesatkan mereka. Ulamalah yang sebenarnya yang
bertanggungjawab atas berlakunya perkara seperti ini.
Kesan daripada fahaman Wahhabi yang menjadikan umat Islam bebas mengeluarkan pendapat sendiri, telah
muncul daripada mulut ulama beberapa konsep baru dalam Islam.
Dari Kitab Agama ALLAH Rahmat dan Penyelamat Bagi Seluruh
Alam tulisan Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al Hassaniyyah - Muka surat 120