Thursday, June 9, 2016

Apakah kasih sayang dalam konsep Agama Allah SWT

Maka apakah kasih sayang yang sebenarnya itu ?  

Kasih sayang dan belas kasihan yang sebenarnya adalah berupa segala tindak tanduk dan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang ke atas dirinya, keluarga dan orang lain serta makhluk lain yang menyebabkan dirinya dan mereka mendapat rahmat serta keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Maka dengan itu mereka akan selamat di dunia dan di akhirat. Maka tidak boleh tidak untuk melahirkan kasih sayang sejati tindak tanduk dan perbuatan tersebut hendaklah berpandukan Agama Islam kerana sebagaimana telah dijelaskan bahawa undang-undang dan peraturan yang terkandung dalam Agama Islam adalah berteraskan belas kasihan dan kasih sayang.

Tidak dikatakan kasih sayang apabila seorang ayah membela anaknya yang bersalah. Ini kerana perbuatannya itu tidak akan menyebabkan anaknya sedar daripada kesalahannya yang akibatnya dia dan anaknya akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Mereka tidak akan selamat di dunia dan akhirat dari seksaan Allah S.W.T.

Begitu juga tidak dikatakan kasih sayang kepada umat manusia apabila kita mengiktiraf atau merestui agama yang mereka anuti dengan merayakan sama upacara keagamaan mereka kerana dengan demikian mereka akan yakin  bahawa agama mereka itu adalah benar. Dan dengan itu mereka tidak akan memeluk Agama Allah iaitu Agama Islam.
Maka perbuatan kita itu akan menyebabkan kemurkaan Allah berkekalan ke atas mereka dan justeru itu mereka akan mendapat siksa yang berterusan daripada Allah S.W.T di akhirat kelak. Bukan itu sahaja malahan akidah umat Islam yang berbuat demikian akan terjejas dan itu akan mengundang bala dari Allah S.W.T.

Kasih sayang sebenarnya ialah menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus dengan mengeluarkan mereka dari kegelapan kesesatan yang mereka sedang berada dalamnya dengan berpandukan suluh petunjuk dari Agama Islam itu sendiri.
Maka untuk dapat memahami apa sebenarnya kasih sayang itu, ia membawa kami kepada menerangkan tentang pengertian  “ Rahmat” yang Allah SWT telah tetapkan atas DiriNya Sendiri sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Anaam ayat 54 :

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلٰٰى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ
“ Tuhan kamu telah menetapkan atas DiriNya rahmat.”

Justeru itu Allah SWT telah mengutus Nabi SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam untuk merealisasikan atau menjadikan rahmat yang Ia tetapkan atas DiriNya Sendiri itu sebagai satu kenyataan yang dapat difahami oleh umat manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbia ayat 107 :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ 

“ Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”.

Pada RAHMAT itu terkandung 2 Sifat Allah SWT iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim
Pada Allah rahmat itu merupakan sifat di antara sifat-sifatNya yang melazimkan segala nikmat dan kemuliaan.

Sifat Ar-Rahman -  nikmat yang melimpah ruah sedangkan makna Ar-Rahim iaitu nikmat yang berkekalan. Sifat Ar-Rahman bersifat umum yang meliputi semua makhuk Allah dalam masalah kemasalatan dan kurniaan Allah kepada mereka, samada orang Islam atau orang yang bukan Islam.

Sifat Ar-Rahim adalah sifat khusus yang hanya meliputi orang yang beriman sahaja yang mana nikmat pemberianNya kepada mereka yang berupa iman, yakin dan makrifat berterusan di dunia dan akhirat.

Pada manusia rahmat iaitu ialah perasaan lemah-lembut, halus dan belas kasihan dalam hati.
Manakala sekalian alam ( al-alamin ) bermaksud :

Alam manusia.
Alam Jin
Alam Haiwan
Alam Tumbuh-tumbuhan.
Alam Jamadat
Tulisan YM Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah dalam kitab Agama Allah Rahmat & penyelamat Bagi Seluruh Alam.