Monday, June 20, 2016

BAB 3 - FIRASAT AKIBAT ORANG - ORANG YANG TIDAK MENDENGAR NASIHAT YM TUAN GURU RA ATAU YANG MENENTANGNYA SERTA MIMPI DAN DOA BELIAU





A.    Firasat Beliau Adalah Tepat 

1. Suatu hari beliau berkata kepada seorang habib di hadapan orang ramai, “Saya lihat satu masa nanti tuan Habib tidak akan sembahyang Jumaat.” Habib itu menyangkal kata beliau, “Biar potong leher saya, saya tidak akan meninggalkan sembahyang Jumaat.”

Satu hari semasa sembahyang Jumaat didirikan, Habib itu limpas dari Masjid Bandar Lahad Datu seolah-olah bukan waktu sembahyang Jumaat.

2. Beliau pernah berkata kepada seorang Ustaz, bahawa ia akan masuk penjara. Tidak lama kemudian Ustaz itu telah dimasukkan penjara kerana dituduh membeli barang curian.  Tetapi akhirnya Ustaz tersebut terlepas dari penjara dengan berkat doa beliau.

3. Kita tahu bahawa Parti PBS adalah parti yang sukar dikalahkan melalui proses pilihan raya. Ini terbukti dalam pilihan raya umum negeri Sabah 1994, di mana parti PBS menang dengan mengalahkan Parti UMNO dengan kelebihan 2 kerusi: PBS 25 kerusi manakala UMNO 23 kerusi. Tetapi pada tahun 1989 Yang Amat Mulia Tuan Guru Rahmatullah Alaihi telah dahulu menegaskan bahawa Pairin Kitingan tetap akan jatuh.  Dalam surat beliau kepada Parti USNO pada 17 November 1990, beliau menyatakan firasatnya itu, “Walaupun PBS telah menang mengikut pilihan raya, tetapi insyaAllah akan jatuh sendiri dengan Kudrat Allah SWT.”

Apa yang dikatakan oleh beliau itu sudah menjadi kenyataan sekarang di mana akhirnya Parti UMNO juga memerintah Sabah. Walaupun PBS menang dengan kelebihan 2 kerusi namun Pairin Kitingan terpaksa mengalah dan memberi laluan kepada Parti UMNO untuk memerintah Negeri Sabah.

Pada tahun 1989, YM Tuan Guru RA juga telah menegaskan bahawa Pairin Kitingan tetap akan buruk namanya.  Kenyataan ini terdapat di dalam surat beliau kepada Pairin Kitingan pada 1 Disember 1989 yang berbunyi:

“Oleh itu sekali lagi saya tegaskan jika tuan inginkan nama tuan wangi hendaklah tuan membangunkan semula surau dan pusat latihan Islamiyah di Kampung Tempasak. Kalau tidak nama tuan akan tetap buruk dunia dan akhirat.”

Pairin Kitingan telah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan pada tahun 1994 kerana didapati bersalah dalam kes rasuah. Tidak ada seorang pun Ketua Menteri Sabah yang pernah dijatuhkan hukuman penjara kerana rasuah melainkan dia sahaja seorang.  Tidak terfikir bahawa seorang ketua menteri yang membanteras kegiatan rasuah, dia sendiri terlibat dalamnya. Dengan demikian nama Pairin Kitingan telah tercemar sebagaimana yang YM Tuan Guru RA telah katakan.

4. Apa yang YM Tuan Guru RA katakan tentang Jemaah Darul Arqam pada tahun 1986 terbukti sekali kebenarannya apabila akhirnya Ustaz Asyaari dan beberapa orang kawannya telah ditangkap di bawah ISA pada petang hari Jumaat 2 September 1994 bersamaan dengan 27 Rabiulawal 1415 Hijrah kerana didapati telah menyeleweng dari jalan benar.  Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan dan mengisytiharkan bahawa Ustaz Asyaari telah sesat dan menyesatkan.  Dan pergerakan Jemaah Darul Arqam mestilah diberhentikan dan diharamkan.  Ustaz Asyaari dan orangorang kanannya itu akhirnya mengaku kesalahan mereka di hadapan orang ramai melalui siaran TV.

Ternyata Ustaz Asyaari telah menyeleweng atas pengakuannya sendiri. Orang yang benar mempertahankan pendiriannya hingga ke akhir hayat. Yang Amat Mulia Tuan Guru Rahmatullah Alaihi juga telah ditangkap di bawah ISA pada 7 Disember 1987 atas tindakan yang sama. Tetapi beliau keluar bebas dari tahanan ISA tanpa syarat, tanpa beliau mengaku kesalahannya di hadapan orang ramai melalui siaran TV kerana beliau berada di jalan benar, ajarannya adalah ajaran yang benar.  Para alim ulama tidak berani memberi fatwa bahawa ajaran beliau adalah bidaah atau sesat. Beliau tetap mempertahankan ajarannya walaupun mengorban kan jiwanya. Itulah sifat orang benar di sepanjang zaman.

5. Pada 25 Zulkaedah 1410 Hijrah bersamaan 18 Jun 1990, Yang Amat Mulia Tuan Guru RahmatullahAlaihi telah mengutus surat kepada raja kerajaan Saudi Arabia dan kepada imam besar Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW mengingatkan mereka akan tanggungjawab mereka kepada umat Islam. 

Mereka mestilah sentiasa berada di jalan benar kerana merekalah tempat perhatian umat Islam seluruh dunia.  Beliau telah mengemukakan kepada mereka beberapa amalan yang hendak mereka laksanakan sebagaimana terkandung dalam surat itu dengan peringatan di akhir surat itu:

“Saya menyampaikan nasihat ini semata-mata kerana Allah SWT dan tanda kasih sayang kepada umat Islam. Siapa ikut, selamat , dan siapa tidak ikut akan menyesal. Saya berharap peringatan saya dalam surat ini dapat dilaksanakan, kalau tidak, saya takut bala akan menimpa kedua kota suci ini.”

Oleh sebab nasihat beliau mereka tidak laksanakan, maka terjadilah tahun itu peristiwa Tragedi Terowong di Mina yang telah mengorbankan beribu jiwa.  

Kemudian pada 17 Januari 1991, Peperangan Teluk telah meletus yang hampir-hampir membahayakan dua Kota Suci itu kerana Kerajaan Saudi Arabia terlibat dalam peperangan itu di pihak Tentera Bersekutu menentang Iraq. Yang akan datang Tuhan sahaja yang mengetahui apa-apa yang akan terjadi kepada dua Kota Suci itu.

B. Dapat Mengetahui Hati Manusia

Di antara keistimewaan YM Tuan Guru RA, beliau dapat membaca hati manusia. Orang-orang yang datang ke rumah beliau, sebelum mereka dapat menyatakan hasrat mereka beliau terlebih dahulu telah menzahirkan isi kandungan hati mereka.

1. Pernah suami isteri datang ke tempat beliau memohon agar mereka dikurniakan anak kerana telah lama mereka mendirikan rumahtangga tanpa mendapat anak. Sebaik-baik sahaja mereka duduk, beliau lalu menceritakan kisah Nabi Zakaria AS. Kata beliau, “Nabi Zakaria AS hanya mendapat anak setelah umurnya seratus tahun. Sebab itu kalau tidak ada anak, janganlah putus asa. Mintalah kepada Allah SWT insyaAllah, Allah akan kurniakan.”

Beliau lalu menanyakan tujuan mereka. Mereka menjawab bahawa tujuan mereka seperti apa yang beliau katakan. Dengan itu mereka suami isteri tidak payah lagi menerangkan hasrat mereka.

2. Apabila gambar YM Tuan Guru RA diambil tanpa izinnya atau ketika beliau tidak menyukainya, maka gambar itu tidak akan jadi. Pernah seorang mengambil gambar beliau di Masjid Bandar Lahad Datu.  Apabila telah dicuci filem, yang anehnya, semua gambar jadi kecuali gambar beliau.

Kadang-kadang gambar jadi tetapi YM Tuan Guru RA tidak ada di dalam gambar itu. Pernah seorang pengikut beliau mengambil gambar beliau ketika beliau berada di pintu Masjid Bandar Lahad Datu kerana hendak balik ke rumahnya.  

Setelah dicuci filem tersebut, ia dapati semua orang ada di dalam gambar itu kecuali Tuan Guru RA. Peristiwa seumpama ini banyak terjadi.

YM Tuan Guru RA telah menceritakan pengalamannya ketika beruzlah di Gua Madai. Beliau berkata, “Pada tanggal 27 Rejab malam Jumaat, sedang saya beriktikaf di Gua Madai, badan saya terasa demam dan teringin sekali makan buah-buah masam. Lalu saya berkata kepada Allah SWT, ‘Ya Allah, alangkah baiknya kalau ada buah-buah masam.’

Tiba-tiba pandangan saya beralih ke sepohon langsat. Saya terlihat setangkai buah langsat sebesar biji tasbih tumbuh di ranting yang tidak berdaun. Setelah pagi saya pun memanjat pohon itu, lalu saya dapati buah langsat itu benar-benar tumbuh di ranting yang kering. Saya terpegun sebentar memikirkan keanehan buah langsat itu. Lalu terdengarlah suara keTuhanan berkata: ‘Wahai hambaKu, kau ingin buah tumbuh di ranting yang hidup. Tetapi Aku boleh menumbuhkannya di ranting yang kering.’

Anehnya lagi buah langsat itu masak dalam tempoh hanya satu minggu.”

C. Akibat Orang-Orang Yang Tidak Mengikut Nasihat Beliau Atau Yang Menentangnya

YM Tuan Guru RA sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai semata-mata kerana kasih sayang, bukan kerana benci atau mengharapkan sesuatu daripada mereka. Sebab itulah jika sekiranya orang tidak mengikut nasihatnya ataupun benci dan suka menentangnya, maka orang itu akan ditimpa sesuatu yang tidak diingini. Sebagai contoh:-

1. Sebelum YM Tuan Guru RA sampai di Pakistan, ada permusuhan di antara satu pihak dengan pihak yang lain di kalangan keluarga dekat beliau. Apabila beliau datang, maka beliau pun cuba mendamaikan mereka. Beliau menentukan satu tempat perjumpaan antara kedua keluarga yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut. Keluarga beliau yang terdekat telah datang ke tempat yang dijanjikan, tetapi yang satu pihak lagi tidak datang ke tempat itu.

Setelah beberapa lama kemudian, berlakulah satu perkara yang aneh iaitu binatang ternakan ketua pihak yang tidak hadir itu beransur-ansur mati.  Di samping itu pula, orang itu selalu bertengkar dengan isterinya.  lsterinya menuntut cerai dengan memberi peringatan kepada suaminya. Katanya, “Kamu sudah sial kerana tidak ikut cakap Tuan Haji.  Bagus kita jumpa Tuan Haji dan bertaubat, kalau tidak kita bercerai sahaja.”  Merekapun pergi ke tempat YM Tuan Guru RA lalu bertaubat serta berdamai.

2. Peristiwa ini juga berlaku di Pakistan.  Terdapat dua orang hamba Allah mempunyai sifat yang amat berbeza. Si abang adalah seorang yang kaya serta taat mengerjakan sembahyang lima waktu, sementara si adik pula tidak mahu bersembahyang. Oleh yang demikian, abang tadi datang menemui YM Tuan Guru RA untuk meminta beliau supaya menasihati adiknya itu. Suatu ketika dalam perhimpunan orang ramai, beliau pun menasihati si adik supaya bersembahyang. Tetapi adiknya mengatakan tiada gunanya bersembahyang jika masih menipu orang lain. Sebenarnya kata-kata itu ditujukan kepada abangnya. 

Beliau berkata bahawa dosa menipu orang lain dan pahala sembahyang tidak sama masing-masing akan ditimbang.  Beliau pun berkata, “Sembahyang sajalah.”

Oleh kerana ia masih berdegil dan tetap dengan pendapatnya juga maka beliau berkata bahawa tidak lama orang itu akan ditimpa kemalangan.

Selang beberapa hari selepas itu, si adik tadi terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika menaiki bas. Tangannya patah. Lalu ia dikejarkan ke Hospital. Doktor berkata bahawa tangannya mesti dipotong. Tetapi abangnya tidak bersetuju. Sebaliknya ia membawa adiknya itu ke rumah YM Tuan Guru RA. Pada ketika itu YM Tuan Guru RA sedang beriktikaf.

Tangan adiknya yang patah itu semakin parah dan hampir buruk. Melihat keadaan itu beliau berasa sangat kasihan, lalu beliau berdoa kepada Allah SWT agar tangan orang itu disembuhkan.

Keadaan tangannya semakin teruk selepas itu sehingga tulang tangannya kelihatan. Ia segera mencabutnya.  Tiba-tiba terlihat tulang yang baru dalam tangannya sebagai ganti tulang yang buruk itu. Dengan itu sembuhlah ia. Akhirnya ia bertaubat dan tekun mengerjakan sembahyang.

3. Sewaktu beliau bekerja di Mostyn, satu hari seorang ketua beliau yang berbangsa Jepun, tiba-tiba saja marah kepadanya. Beliau berkata dalam hati, “Orang ini tidak tentu pasal terus marah.”

Ketika beliau membaca Al-Quran beliau terus berkata dalam hati, “Mudah-mudahan orang zalim tidak akan jadi ketua.”  Selang beberapa hari selepas itu, ketua tersebut pulang untuk bercuti ke kampungnya dan dalam perjalanan orang itu pun mati.

4. Peristiwa ini berlaku di sebuah masjid di Tawau. Suatu ketika, YM Tuan Guru RA bersama jemaah lain mengerjakan sembahyang sunat Taubat. Seorang Syed menentang beliau.  Menurutnya sunat Taubat itu sebenarnya tiada dalam Islam. 

Beliau berkata kepadanya jika Ia tidak mahu sembahyang sunat Taubat, janganlah pula ia berkata bahawa sembahyang sunat Taubat itu tiada.  Beliau merasai bahawa tidak lama orang itu akan ditimpa sesuatu. Selang beberapa hari kemudian orang itu pun meninggal dunia.

5. Peristiwa ini berlaku di sebuah tempat bernama Tungku di Daerah Lahad Datu. Sebelum YM Tuan Guru RA datang ke tempat itu, sudah menjadi kebiasaan penduduk Islam di tempat itu bermain judi. Apabila tiba di situ, beliau menasihati mereka supaya berhenti main judi kerana hukumnya haram. Tetapi seorang berbangsa Bugis tidak menghiraukan nasihat beliau, lalu bermain judi di tempat lain. Pada satu malam orang itu keluar untuk bermain judi tetapi tidak balik ke rumahnya. Beberapa orang keluar mencari dan bertanya ke tempat yang selalu dikunjunginya. Tetapi orang memberitahu, bahawa yang dicari itu sudah kembali ke rumahnya.

Mendengar itu, beliaupun berdoa supaya orang itu ditemui semula. Orang ramai pun mencarinya dalam hutan dan menemui baju dan seluarnya. Tidak jauh dari situ mereka menjumpai orang itu tergantung di atas pokok. Rupa-rupanya dia kalah main judi lalu menggantung dirinya. Selepas kejadian itu, orang ramai pun bertaubat daripada main judi.

6. Di Kampung Bikang Lahad Datu, terdapat ramai pemuda yang gemar bermain bola hingga lewat petang. YM Tuan Guru RA menasihati mereka supaya berhenti main bola. Pada suatu petang Jumaat, seperti biasa mereka bermain bola. Ketika itu beliau sedang dalam perjalanan balik ke rumah. Beliau sangat marah melihat mereka bermain bola.

Pada esok harinya, salah seorang dari mereka pergi ke rumah iparnya. Ketika itu iparnya sedang bekerja di kebun. Dalam rumah tersebut terdapat sepucuk senapang kepunyaan iparnya.  Pemuda itu kemudian mengambil senapang itu dan mengacukan pada kepalanya serta menembak dirinya sendiri. Dia mati serta-merta di situ juga.

7. Sewaktu peristiwa pertengkaran Masjid Bandar Lahad Datu, Gabenor telah menulis surat kepada YM Tuan Guru RA dan menyuruhnya membongkar masjid itu.  Beliau tidak bersetuju kerana dalam hukum Allah, masjid tidak boleh dibongkar. Gabenor itu marah kerana orang tempatan telahpun menandatangi surat kebenaran untuk membongkar masjid itu.  Tidak berapa lama kemudian, gabenor itu pun meninggal dunia.

8.  Telah diceritakan bahawa di zaman pemerintahan USNO, beliau telah dituduh menentang kerajaan dan untuk tujuan itu telah menyimpan senjata yang dibekalkan dari Filipina. Pihak berkuasa telah mengeluarkan satu waran yang dipanggil ‘Warrant To Search Suspected Place Of Deposit’ yang memberi kuasa kepada OCPD Khanizaman dan lnspektor Sualiman untuk memeriksa rumah beliau di Kampung Bikang, di mana senjata disyaki ada disembunyikan di situ. OCPD ketika berada di rumah beliau telah memijak tempat sembahyang beliau.

Akibat daripada perbuatan itu akhirnya kaki yang memijak tempat sembahyang beliau itu telah diserang penyakit yang tidak boleh diubati. Luka yang terdapat dikaki terpaksa dimasukkan kapas selalu untuk mencuci nanah yang membengkak di peha hingga ke pergelangan kakinya.  Sewaktu proses ini dilakukan ia akan meraung kesakitan. Apabila ditanya kenapa demikian, OCPD itu menjawab, “lnilah balasan memijak tempat sembahyang Tuan Haji. Celaka DatuDatu ini.  Kerana hasutan merekalah saya jadi begini.”

Akhirnya dia mati sebaik sahaja kapal terbang yang beliau naiki mendarat di Lapangan Terbang Lahad Datu sekembali beliau dari Pakistan. Dia tidak sempat berjumpa dengan beliau.

9. Haji Abdul Wahid (Yang DiPertua MUIS) telah menentang beliau ketika terjadinya peristiwa di mana lapan orang telah ditembak mati oleh pihak polis di Sandakan. Pihak MUIS menuduh beliau terlibat dalam peristiwa itu.

Haji Abdul Wahid pun membuat kenyataan dalam surat khabar, bahawa ajaran beliau adalah melampau. Akhirnya Haji Abdul Wahid di hadapkan ke Mahkamah kerana dituduh menyelewengkan wang MUIS. Ia tidak sempat dibicara kerana dia meninggal dunia.

10. Di Bikang, seorang pakcik YM Tuan Guru RA yang tidak suka kepadanya telah mengejek beliau di satu tempat menjual daging.  Waktu itu beliau hendak membeli daging. Tetapi penjual daging tersebut telah diamanahkan oleh tuan punya daging lembu, supaya memberi saja daging kepada YM Tuan Guru RA. Tetapi beliau menolaknya dan menyuruh penjual daging tersebut supaya memberikan daging itu kepada orang miskin yang hadir di situ.

Pakcik beliau lantas berkata, “Kenapa kau tidak minta sahaja daging lembu dari Tuhanmu?  Tuhanmu pandai bikin banyak lembu. Kau sedekah untuk cari nama sahaja.”   Beliau berasa marah. Beliaupun berkata dalam hatinya, “Apalah saya mahu pangkat. Cuma saya kasi sedekah orang miskin sahaja.”

Kemudian pada sebelah malamnya beliau bermimpi, bahawa lembu kepunyaan pakciknya tadi telah menjadi kurus kering.

Beberapa lama kemudian mimpi beliau jadi kenyataan.  Lembu peliharaan pakciknya akhirnya jadi kurus kering dan mati seekor demi seekor, hingga beberapa ekor sahaja lagi yang tinggal.  Kemudian YM Tuan Guru RA pun memberi nasihat pada pakciknya supaya menjual saja semua lembunya kerana semuanya akan mati juga.  Allah SWT telah murka ke atasnya kerana telah mengeluarkan kata-kata yang jahat.

11. Di Kampung Bikang Lahad Datu, ada seorang Ustaz yang mengajar mengaji Al-Quran.  Dia kuat menghisap rokok.  Beliau tidak suka orang yang merokok terutama di dalam masjid. Selepas Sunat Isyrak, Ustaz itu turun dari masjid untuk mengambil air sembahyang. Apabila naik semula ke masjid, dia menutup mukanya. Ketika hendak pulang, beliaupun memberi salam kepadanya, tetapi dia tidak membalas salam beliau.

Apabila beliau menghampirinya, tiba-tiba beliau dapati muka Ustaz itu menjadi biang biut yang amat mengerikan.  Beliau berasa amat kasihan lalu berdoa agar dipulihkan kembali kepada keadaan biasa.  Ustaz itu sangat malu dan tidak ingin hidup lagi.  Dengan kehendak Allah SWT wajahnya yang hodoh itu akhirnya pulih setelah menjelang waktu sembahyang Zohor pada hari itu juga.

12. Semasa pemerintahan British, Tuan Guru RA sedang bersembahyang Hari Raya di Padang Bandar Lahad Datu.  Gabenor memberitahu kepada YM Tuan Guru RA bahawa beliau akan diusir balik ke Pakistan.  Beliau berkata bahawa bukan dia yang dahulu diusir, sebaliknya merekalah yang dahulu diusir. Setelah itu tidak lama kemudian pemerintahan bertukar dan Sabah masuk Malaysia.  Baliklah British ke tempat asal mereka.

13. Pada suatu ketika di Segama Lahad Datu terdapat satu kompeni tembakau kepunyaan British yang terbesar di North Borneo (Sabah). Pekerja kompeni itu sangat ramai sehingga tempat itu merupakan satu bandar, tempat orang ramai berurusniaga. Pada masa itu juga, Tuan Guru RA telah bertelingkah dengan pihak British mengenai Masjid Bandar Lahad Datu. Pihak British tidak membenarkan beliau memberi ceramah agama di perkampungan kompeni di Segama itu.  Mereka telah mengeluarkan arahan supaya menyekat beliau dan seterusnya menangkapnya jika beliau datang juga ke situ.

Tetapi beliau tidak peduli sekatan dan amaran pihak British itu. Beliau tetap juga datang. Pihak British tidak boleh berbuat apa-apa. Kompeni Segama yang asalnya merupakan kompeni tembakau yang terbesar di North Borneo itu, lima bulan kemudian jatuh bankrap dan ditutup. Akhirnya tempat itu, dari satu bandar menjadi satu hutan belantara yang dilupakan orang ramai.  

14. Kejatuhan Parti USNO

Setelah 11 tahun beliau berada dalam buangan di Pakistan, beliaupun mengirim surat dan menasihatkan Tun Datu Mustapha.  Jika Tun ingin tetap memegang jawatannya sebagai Ketua Menteri dan USNO tetap memerintah, beliau meminta Tun supaya membawanya kembali ke Sabah.
Jika tidak, beliau tetap akan datang sendiri ke Sabah tetapi ketika itu Tun akan jatuh pangkat. Tun Datu Mustapha tidak menghiraukan surat beliau. Pada tahun 1976, beliau telah kembali ke Sabah dan sebagaimana beliau katakan Tun Datu Mustapha telah jatuh pangkat kerana Parti USNO telah dikalahkan oleh Parti BERJAYA dalam Pilihan Raya Umum tahun 1976.

Sekali lagi dalam pilihan raya umum tahun 1981, beliau menasihati orang-orang USNO supaya bertaubat dari kesalahan mereka.  Kalau tidak mereka akan kalah teruk.  Mereka tidak juga peduli. Akhirnya dalam pilihan raya itu Parti USNO telah kalah teruk. Dengan kejatuhan parti USNO, akhirnya semua Ketua-ketua dan Datu-Datu yang menentang beliau di Daerah Lahad Datu kehilangan kuasa dan tidak disegani oleh orang ramai lagi.

Walaupun Tun Datu Mustafa berserta rombongannya dari Parti USNO telah datang meminta maaf namun ia tetap tidak menjadi Ketua Menteri lagi sehingga wafat. USNO tetap kalah dan akhirnya dibatalkan pendaftarannya. Kenapa?  Kata YM Tuan Guru RA ibarat panah, kalau sudah keluar terpancut dari busarnya tidak akan dapat ditarik balik lagi. Ia akan mengenai sasarannya.

15.  Kejatuhan Parti BERJAYA

Dalam tahun 1984, beliau telah dipersalahkan oleh Pihak MUIS kerana mengedarkan sebuah risalah ke seluruh dunia tanpa kebenaran daripada MUIS.  Beliau sangat marah kepada pihak MUIS terutamanya kepada Haji Sunoh Marso DiPertua MUIS, kerana mempersalahkan beliau mengedar sebuah risalah tanpa kebenaran mereka.  Di hadapan khalayak ramai, pada hari Jumaat beliau berkata, “Datuk Sunoh Marso akan menjadi sial dan jatuh pangkat kalau tidak taubat, bahkan kerajaan Parti BERJAYA akan jatuh sekiranya Datuk Sunoh Marso tidak dibuang oleh Datuk Harris.”

Sebagai tanda kasih sayang beliau terhadap Datuk Harris, beliau telah berpesan kepada Datuk Harris melalui keluarganya yang datang menziarahi beliau, agar Datuk Harris segera menyingkirkan Sunoh Marso dari Parti, jika ia tidak mahu jatuh pangkat. Beliau juga berkata, “Tulislah tarikh pada hari ini sebagai peringatan bahawa BERJAYA akan jatuh sekiranya Sunoh Marso tidak disingkirkan.”

Kerajaan BERJAYA telah memerintah selama empat tahun dan setahun lagi pilihan raya umum akan diadakan.  Tetapi beliau berkata, “Kalau Tuhan mahu tidak payah tunggu satu tahun.   Sekarang pun boleh diadakan pilihan raya.”

Tidak lama kemudian Datuk Harris Salleh menasihati Tuan Yang DiPertua (TYT) untuk membubarkan kabinet dan mengadakan Pilihan Raya Umum pada tahun 1985.  Oleh itu benarlah apa yang dikatakan oleh beliau.  Kebanyakan orang menyangka bahawa kerajaan BERJAYA akan menang sekali lagi memandangkan pengaruhnya yang luas, keadaan ekonomi yang stabil dan perhatian dari kerajaan pusat.  Beliau berkata, “Walau siapapun menolong BERJAYA, BERJAYA akan tetap jatuh kerana Allah SWT telah murka kepadanya. Kemenangan dan kekalahan di tangan Tuhan, Dialah yang mengangkat dan menjatuhkan kerajaan, sebagai contoh Shah Iran telah memegang teraju pemerintahan turun-temurun tetapi di buang negeri dan mati di negeri orang lain sebagai dagang. Presiden Pakistan Ali Bhutto dilucutkan dari pangkatnya dan mati digantung di tali maut. Presiden India mati ditembak oleh pengawalnya sendiri dan Raja Faisal di Mekkah, mati ditembak oleh anak saudaranya sendiri. Ini membuktikan bahawa jika Allah SWT murka, tidak seorangpun yang dapat mempertahankan kedudukannya atau pangkatnya dan akan jatuh hina.”

Akhirnya apabila diadakan pilihan raya umum pada tahun 1985, Parti PBS telah menang dan Parti BERJAYA telah tewas dengan mendapat hanya tiga kerusi sahaja. Sekali lagi apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Dalam pilihan raya ini Haji Sunoh Marso dapat mengekalkan kedudukannya dan sekali lagi orang ramai mengatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau tentang Haji Sunoh Marso tidak benar. Beliau berkata, “Ini merupakan kejayaan terakhir bagi Sunoh Marso dan selepas ini ia akan jatuh pangkat.” Tidak berapa lama kemudian Haji Sunoh Marso disingkirkan dari jawatannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri dan tempatnya digantikan oleh Presiden Parti BERSIH. 

Sebelum ini beliau telah memberitahu orang ramai bahawa Presiden Parti BERSIH itu akan menggantikan tempat Haji Sunoh Marso, walaupun dalam pilihan raya dia telah kalah teruk oleh Sunoh Marso.  Sampai sekarang tidak lagi kedengaran orang menyebut nama Sunoh Marso.

16. Kejatuhan umat  Islam

Ketika menjelang pilihan raya umum 1985 beliau merasa bahawa orang Islam akan kalah kepada orang kafir sekiranya mereka tidak bersatu.  Beliau merasa kasihan kepada umat Islam. Lalu beliau menulis surat kepada semua pemimpin parti Islam supaya bersatu kalau tidak mereka akan kalah.

Dalam surat yang bertarikh 26 Mac 1985, beliau berkata antara lainnya:-  

“Saya sayang kepada Parti BERJAYA begitu juga USNO, BERSIH dan BERSEPADU. Saya tidak mahu salah satu antara kamu kalah. Oleh sebab itu saya harap kamu dapat bersatu kerana memang begitulah perintah Allah SWT yang menyuruh umat Islam bersatu padu. Jika kamu bersatu, InsyaAllah kamu akan mendapat kemenangan dunia dan akhirat.”

Parti BERJAYA dan USNO tidak bersedia untuk bersatu kerana masing-masing merasa partinya akan menang. Akhirnya sebagaimana yang dikatakan oleh Tuan Guru RA, mereka telah dikalahkan oleh Parti PBS dalam pilihan raya umum tahun itu.

17. Kekalahan Umat Islam dalam pilihan raya umum 1986

Oleh kerana suasana negeri Sabah ketika itu sangat tegang, maka sekali lagi diadakan pilihan raya umum.  Dalam pilihan raya umum ini baharulah Parti USNO dan Parti BERJAYA bersatu. Tetapi Tuan Guru RA telah berkata bahawa di mana sahaja Sunoh Marso ikut, parti itu akan menjadi sial dan kalah.  Sunoh Morso ketika itu masih lagi dalam Parti BERJAYA. Ini bererti Parti USNO akan turut sial.  Beliau memberitahu orang-orang yang berjumpa dengannya bahawa Parti PBS akan sekali lagi menang kerana Parti BERJAYA dan USNO telah sial oleh kehadiran Sunoh Marso. Apa yang dikatakan oleh beliau telah benar apabila parti PBS menang sekali lagi.  Walaupun parti USNO telah kalah, namun beliau selalu menasihati mereka tetapi setiap nasihat beliau itu mereka tidak pedulikan.

18. Nasihat Kepada Datuk Harris

Selepas kekalahan teruk Parti Berjaya pada pilihan raya 1986 sebagai tanda kasih sayang terhadap Datuk Harris, YM Tuan Guru RA sekali lagi menasihatinya melalui sepucuk surat. Di dalam surat tersebut beliau telah mengingatkan Datuk Harris sekiranya dia berhasrat untuk kembali menerajui kerajaan negeri Sabah hendaklah ia melakukan tiga perkara:

  • Pertama, Datuk Harris hendaklah bertaubat terutama kerana tidak mengikut nasihat beliau untuk membuang Datuk Sunoh Marso yang menjadi punca kekalahan Parti Berjaya disebabkan ‘sialnya’ itu.  Di samping bertaubat terhadap segala dosa-dosanya yang telah lepas maklum sahaja bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan setiap anak Adam itu berdosa dan Allah SWT mencintai orangorang yang bertaubat.  
  • Kedua, Datuk Harris hendaklah mengerjakan sembahyang lima waktu.   
  • Dan yang ketiga, hendaklah ia mengerjakan Haji ke Baitullah.  
Sekiranya Datuk Harris tidak melakukan ketiga-tiga perkara ini YM Tuan Guru RA memberi amaran bahawa Datuk Harris akan kalah, mendapat malu, hilang harta dan wang ringgit.

Pada akhir tahun 1997, terdengar khabar bahawa Datuk Harris kembali aktif di dalam arena politik. Kali ini beliau telah menyertai Parti Bersekutu sebagai Presiden Parti itu.

Pada mulanya Parti Bersekutu mendapat sambutan yang hangat daripada rakyat Sabah.  Ramai di antara ahli-ahli Parti Komponen Barisan Nasional dan PBS yang menyertai parti ini termasuklah bekas penyokong Berjaya. Barisan pimpinan Bersekutu terdiri daripada tokoh veteran politik Sabah yang disegani dan barisan muda yang berpotensi.  Di mana-mana orang ramai asyik memperkatakan tentang Bersekutu dan kaliber Datuk Harris sebagai Bapa Pembangunan Sabah. Pada masa yang sama sokongan dan prestasi Parti UMNO dan PBS menurun ekoran masalah Parti seperti krisis Anwar Ibrahim, kegawatan ekonomi dan sebagainya. Nampaknya seolah-olah Datuk Harris dan Bersekutu telah bersedia untuk mengambil alih tampuk kerajaan Negeri.

Pada awal tahun 1998, anak lelaki YM Tuan Guru RA atas nasihat penulis dan rakan-rakan jemaah pengikut YM Tuan Guru RA yang masih setia telah mengirim sepucuk surat kepada Datuk Harris yang disampaikan kepada beliau semasa lawatannya ke pembukaan pejabat Bahagian Bersekutu Lahad Datu. Kandungan surat tersebut adalah untuk mengingatkan kembali Datuk Harris mengenai nasihat YM Tuan Guru RA tentang tiga perkara. Taubat, sembahyang dan naik Haji. Walau bagaimanapun, tiada tanda-tanda Datuk Harris mengikuti nasihat tersebut malah di dalam pertemuan dengan penulis di Tawau, Datuk Harris membayangkan pandangan YM Tuan Guru RA sebagai kolot dan tidak ada kena mengena dengan kejatuhannya. Apa yang penting menurutnya adalah wang dan strategi yang tepat.

Apabila demam pilihan raya melanda negeri Sabah di dalam Mac 1999, Bersekutu seolah-olah menunjukkan dominannya dengan manifesto yang hangat diperkatakan serta sokongan rakyat Sabah. Tidak pernah kelihatan di Sabah sebuah parti pembangkang yang baru muncul mendapat tempat di hati rakyat.  Kelihatan di sana sini orang telah berani menyatakan sokongan dengan menaikkan bendera Bersekutu dan memakai kemeja-T parti.  Melihat kepada keadaan ini Datuk Harris yakin akan mendapat sekurang-kurangnya simple majoriti yakni 27 kawasan Islam pasti dalam genggaman.


Pada malam keputusan diumumkan,  Bersekutu telah kalah teruk tanpa sebarang kerusi. Datuk Harris yang engkar nasihat YM Tuan Guru RA awal-awal lagi mencari bala dengan bertanding di kawasan Gaya yang merupakan kubu Datuk Yong Teck Lee  mantan Ketua Menteri dan mendapat majoriti yang besar dalam pilihan raya yang lepas.  Di dalam pilihan raya 1999 ini Datuk Harris telah meraih sejumlah undi yang kecil berbanding penyandang Datuk Yong dan calon PBS kali ini.  Datuk Harris telah hilang berjuta-juta ringgit di kawasan ini sahaja. 

Ini tidak termasuk di 47 kawasan yang lain di mana kesemua belanja dan kos pilihan raya dibiayai oleh Datuk Harris.

Begitulah kisah orang yang tidak mengikut nasihat seorang Wali Allah.

19.  Pengharaman Ahmadiah di Pakistan

Guru Besar di sebuah sekolah yang juga kawan baik YM Tuan Guru RA sendiri, satu hari telah datang ke tempat beliau menyatakan bahawa cikgu yang berfahaman Ahmadiah selalu mencabar sesiapa saja yang dijumpainya untuk membuktikan kebenaran ajaran Ahmadiah. Beliau menyuruh guru besar itu agar memberitahu kepada cikgu itu bahawa beliau ingin bersamanya (cikgu) dibakar untuk membuktikan siapa yang benar.  Dan juga meminta cikgu itu menentukan masanya.  Cikgu itu minta tempoh lebih kurang tujuh hari.  Apabila tiba masanya, Guru besar itupun bertanya lagi kepada cikgu itu tetapi cikgu itu tidak ambil peduli pertanyaan guru besar kerana tidak berani berhadapan dengan beliau.

Dengan kuasa Allah SWT, tidak lama kemudian para alim ulama telah bersidang dan memutuskan bahawa Ahmadiah adalah terkeluar dari ajaran Islam.  Dengan itu fahaman Ahmadiah pun diharamkan di Pakistan dan tempat mereka berkumpul dibakar dan dimusnahkan.

20.  Pengharaman Jemaah Tabligh dan Darul Arqam di Negeri Sabah

Beliau menentang Jemaah Tabligh dan Darul Arqam kerana ajaran mereka tidak betul.  Akhirnya Majlis Fatwa MUIS telah bersidang dan memutuskan bahawa Jemaah Tabligh dan Darul Arqam adalah diharamkan bergerak di Negeri Sabah kerana ajaran mereka tidak betul.  Darul Arqam akhirnya pada tahun 1994 dibubarkan setelah pengasasnya Ustaz Asyaari mengaku telah terpesong dari ajaran yang sebenarnya.

21. Nasrul Haq telah ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Tetapi beliau menentangnya kerana ajarannya mengandungi unsur-unsur syirik. Akhirnya para alim ulama Malaysia telah bersidang dan memutuskan bahawa Nasrul Haq bukan dari ajaran Islam dan dengan itu telah diharamkan di seluruh negara.



D. Kisah Datu Melaka


Saya akhiri kisah keramat YM Tuan Guru RA ini dengan satu kisah yang agak menarik iaitu kisah Datu Melaka.

Ketika YM Tuan Guru RA hendak beruzlah ke Gua Madai, beliau memberitahu para jemaah Masjid Bandar Lahad Datu tentang hasratnya itu. Tetapi tiada seorangpun yang ingin turut sama termasuk tuan Imam Daerah kerana YM Tuan Guru RA tidak bercadang membawa sebarang makanan selama 45 hari beruzlah di Gua Madai itu.  Mereka takut mati kelaparan.

Tetapi apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Datu Melaka, dia terus pergi ke rumah YM Tuan Guru RA melahirkan hasratnya untuk ikut sama beruzlah. Memandangkan usia Datu Melaka yang masih muda dan mempunyai dua isteri, YM Tuan Guru RA mencari alasan supaya dia tidak perlu pergi bersama.  Beliau berkata di dalam hati, “Apalagi dia sanggup sedangkan Imam Daerah pun tidak sanggup ikut sama.”

YM Tuan Guru RA memberitahunya yang memandangkan dia mempunyai 2 orang isteri, dan tambahan lagi beliau tidak akan membawa bersama sebarang makanan, maka adalah lebih baik baginya sekiranya dia tidak ikut serta.

Esok paginya Datu Melaka datang lagi menyatakan kesungguhannya untuk ikut serta walau apapun yang terjadi. Kali ini YM Tuan Guru RA memberikan alasan yang lain pula. Datu Melaka bergigi emas.  YM Tuan Guru RA berkata bahawa dia tidak boleh ikut serta kerana dia bergigi emas, walaupun ini hanyalah alasan sahaja supaya Datu Melaka tidak ikut sama.

Esok paginya Datu Melaka datang lagi, kali ini tanpa gigi emasnya kerana dia telah mencabut gigi tersebut. Maka kerana kesungguhannya, YM Tuan Guru RA terpaksa membawanya bersama.

Mereka berdua dihantar ke Gua Madai mengikut jalan laut kerana ketika itu belum dibina jalan darat ke sana.  Semasa menuju ke Bukit Madai dan semasa beruzlah di Gua Madai itu, banyaklah perkara pelik lagi ajaib yang telah disaksikan dan dialami oleh Datu Melaka.  Tetapi YM Tuan Guru RA telah memberinya amaran agar tidak menceritakan pengalamannya beruzlah bersama itu kepada sesiapapun.

Namun setelah balik daripada beruzlah itu Datu Melaka tidak dapat menahan keinginannya menceritakan beberapa pengalamannya semasa beruzlah sebagai teladan kepada orang lain. Tambahan pula ketika itu isterinya sentiasa memujuknya menceritakan sebahagian daripada pengalamannya itu.

Dengan itu, orang ramai telah dapat mengetahui beberapa peristiwa yang berlaku semasa YM Tuan Guru RA beruzlah.

1. Semasa menuju ke Bukit Madai, mereka berdua telah melintasi sepohon jambu batu yang tidak berbuah.  Ketika itu Datu Melaka teringin makan buah jambu batu.  YM Tuan Guru RA menyuruhnya kembali ke pohon jambu batu itu.  Apabila dia kembali dia mendapati pokok jambu batu itu telah berbuah dan buahnya masak pula.

2.    Ketika beruzlah, apa sahaja yang diinginkan Datu Melaka akan tersedia dalam Gua Madai itu. Buah-buahan seperti anggur yang masih segar tiba-tiba akan terhidang di dalam Gua Madai bila sahaja Datu Melaka inginkan.  Dialah yang makan buah-buahan yang sedap itu sedang YM Tuan Guru RA tidak makan. Begitulah keadaannya  yang berlaku sepanjang masa mereka berdua beruzlah di Gua Madai.  

3. Setelah selesai mengerjakan uzlah di Gua Madai maka YM Tuan Guru RA dan Datu Melaka pun balik ke pantai seperti yang dijanjikan di mana mereka seharusnya menunggu perahu datang untuk membawa mereka pulang.  Setelah lama menunggu, kata Datu Melaka, YM Tuan Guru RA mengajaknya pulang sahaja tanpa menunggu perahu tersebut.  Lalu YM Tuan Guru RA memegang tangannya dan kemudian terus berjalan di atas air. Dia terasa seperti berjalan di darat walaupun kakinya basah oleh ombak.

Sampai di tengah jalan mereka bertemu dengan perahu yang sepatutnya menjemput mereka tetapi para pengikut beliau di dalam perahu itu tidak dapat melihat mereka berdua. Setibanya mereka di tepi pantai, mereka hanya dapat melihat jejak kaki YM Tuan Guru RA dan Datu Melaka. Mereka pun kembali ke Kampung Bikang dan mendapati YM Tuan Guru RA bersama Datu Melaka sedang berada di Masjid Kampung Bikang.

Banyak lagi kisah ajaib yang diceritakan oleh Datu Melaka tetapi tidak dapat saya catatkan di sini kerana bimbang akan menimbulkan kekeliruan walaupun perkara-perkara tersebut benar-benar telah berlaku.

Oleh kerana Datu Melaka telah melanggar janjinya kepada YM Tuan Guru RA dengan menceritakan perkara-perkara yang berlaku semasa beruzlah, dia pun jatuh sakit dan menjadi buta. Tidak lama kemudian, Datu Melaka pun meninggal dunia.

Kata YM Tuan Guru RA ketika beliau menziarahi Datu Melaka, Datu Melaka sentiasa kelihatan riang dan gembira.  Bahkan tiap-tiap waktu sembahyang fardhu, dia akan ke masjid dipimpin. Dia tidak ketinggalan melaungkan azan bersama sehinggalah dia menemui ajal.

Bagi Datu Melaka, susah dan sedih telah hilang darinya kerana dia telah menyaksikan sendiri kebesaran Allah SWT sehingga keyakinannya menjadi teguh dan mantap.

Itulah kisah Datu Melaka.

E. Mimpi YM Tuan Guru RA

“Satu ketika saya telah bermimpi turun dari rumah kerana hendak pergi sembahyang Tahajjud ke masjid. Tiba-tiba saya dapati begitu ramai tentera telah bersiap sedia. Ketua mereka berkata, ‘Oh! Tuan Haji ada di sini? Sebenarnya kami mahu menghancurkan tempat ini pada malam ini. Oleh kerana Tuan Haji ada di sini malam ini kami tidak hancurkan tempat ini. Tuan Haji tolong beritahu orang ramai kalau mereka mahu selamat suruh ke masjid.’

Kemudian saya menasihati dan menyuruh orang ramai untuk pergi ke masjid agar mereka selamat dari bahaya. Tiba-tiba tempat tersebut telah hancur binasa, orang-orang di situ telah mati kecuali ada empat orang yang cuma memakai baju dan seluar pendek sahaja. Mereka merayu kepada saya tentang nasib yang telah menimpa mereka.

Saya sungguh kasihan melihat keadaan mereka. Tiba-tiba ada satu suara yang berkata, ‘Mereka dihidupkan bukan Tuhan sayang tetapi menambahkan lagi seksa kerana mereka adalah manusia yang paling zalim.’

Bila saya pergi ke masjid, orang-orang di situ yang telah mengikut nasihat saya telah selamat.”