Monday, June 13, 2016

KITAB KERAMAT YMTG Haji Ghulam Hasan Al Bikangi RA - BAB 1 - SIFAT-SIFAT YM TUAN GURU RA YANG MENJADI BUKTI KERAMAT BELIAU (Bahagian 2)

BAB 1 - SIFAT-SIFAT YM TUAN GURU RA YANG MENJADI BUKTI KERAMAT BELIAU (BAHAGIAN 2)

4. SYIFAH (Penawar)

Allah SWT telah meletakkan syifah dalam mulut beliau. Waktu muda beliau selalu bermimpi sebagai seorang doktor yang membedah orang. Rupa-rupanya mimpi tersebut ada makna.  Beliau akhirnya boleh mengubati orang ramai.  Ini terbukti dalam sejarah hidupnya. Berbagai-bagai penyakit dapat diubati oleh beliau walaupun tidak dapat diubati oleh para doktor. Orang-orang yang datang kepada beliau untuk berubat tidak terkira lagi bilangannya hinggalah ke hari beliau sangat uzur. Sama ada datang ke rumahnya tanpa mengira siang dan malam ataupun ke masjid. Mereka datang dengan pelbagai masalah dan hajat dengan membawa botol air untuk ditawar serta meminta berkat daripada beliau. Kepada orang yang datang kerana sakit, beliau akan meniup orang tersebut dan menasihatinya agar sembahyang lima waktu.

Di masjid pula, setiap hari Jumaat ramailah orang yang datang dengan membawa botol-botol air untuk ditawar. Beliau sentiasa menasihati orang ramai supaya jangan keluh-kesah apabila sudah ditimpa penyakit.

Kata beliau, “Kalau kamu sakit, janganlah bingung dan kelam-kabut. Bersabar dan kuatlah sembahyang. Mintalah kepada Tuhan supaya menyembuhkan penyakit kamu kerana Dialah yang memberi sihat dan sakit. Janganlah lari kepada doktor ataupun bomoh kerana mereka itu tiada kuasa untuk menyembuhkan penyakit. Datanglah kepada Allah SWT yang menjadikan kita dahulu dari setitik air yang hina. Dari setitik air itu Dia menjadikan kita lelaki dan perempuan. Masakan Dia tidak berkuasa memperbaiki kerosakan dalam badan kita sedangkan badan kita Dia yang Menciptakannya dahulu, dari tiada kepada ada. Oleh sebab itu kalau ada kerosakan dalam badan kita beritahulah Tuhan supaya memperbaikinya. Umpama kalau kereta sudah rosak bawalah ke workshop. Janganlah bawa kereta itu kepada tukang kayu kerana dia tidak pandai memperbaikinya. Badan kita ini Allah SWT yang Menciptakannya, maka Dialah pula yang Memperbaiki kalau ada kerosakannya.”

Tentang ubat, beliau berkata, “Kita umat Islam tidak payah mencari akar-akar atau daun-daun kayu atau apa sahaja jenis ubat untuk mengubati penyakit. Nabi SAW telah memberitahu kita penawar segala penyakit seperti dalam sabdanya yang bermaksud:-

‘Al-Fatihah itu adalah penawar bagi segala penyakit kecuali mati.’

Kalau kita yakin dengan sabda Nabi SAW tentu kita baca sahaja Al-Fatihah kalau sakit. Tidaklah kita kelam-kabut ke hospital atau ke bomoh.”

Dengan berkat Al-Fatihah beliau telah dapat menyembuhkan berbagai penyakit. Bahkan penyakit yang tidak dapat diubati oleh doktorpun dapat beliau ubati. Dalam hal mengubat penyakit ini, terlalu panjang kisahnya. Tetapi cukuplah sebahagian daripadanya dinyatakan di sini bagi membuktikan kehebatan beliau dalam bidang ini yang merupakan kurnia Allah SWT kepada beliau:

1. Beliau sudah mempunyai 13 orang anak. Tidak pernah beliau bawa ke hospital. Sebaliknya doktorlah yang datang ke tempat beliau untuk meminta doa agar sembuh penyakit mereka.

2. Seorang doktor di Pakistan telah gila selama tiga tahun dan telah puas berubat ke mana-mana tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya dengan berkat doa beliau, dalam masa dua jam sahaja dia telah sembuh dan dia sendiri menghantar beliau pulang ke rumah.

3. Suatu masa di Pakistan, seorang lelaki yang telah lumpuh selama dua puluh lima tahun datang berjumpa dengan beliau. YM Tuan Guru RA pun meniup badan orang tersebut, dan menasihatinya supaya bersembahyang. Dengan berkat doa beliau dalam masa dua bulan sahaja lelaki tersebut telah sembuh. Kemudian dia pun berkahwin dan mendapat beberapa orang anak.

4. Di Pakistan, seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah cedera dan dibawa ke hospital. Doktor mengesahkan bahawa tangan orang tersebut hendaklah dipotong. Tetapi orang tersebut enggan dan abangnya membawa pulang ke rumah. Ketika beliau dalam iktikaf, orang tersebut pun dibawa oleh abangnya kepada beliau. Beliau berasa sangat kasihan lalu beliaupun menawar orang tersebut. Diapun baliklah ke rumah. Selang beberapa hari kemudian tulangnya semakin buruk dan terkeluar dari lengannya. Kemudian dia pun mencabutnya keluar dan mendapati di dalam lengannya telah sedia ada tulang baru. Tangannya pun luruslah kembali seperti biasa. Akhirnya orang tersebut bertaubat dan bersembahyang. Sebelum itu dia selalu membantah beliau apabila dinasihatkan untuk bersembahyang.

5. Anak Arwah Minglong dari Kampung Sepagaya, Lahad Datu telah lumpuh sebelah badannya dan telah puas berubat di hospital Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu tetapi doktor mengatakan bahawa penyakitnya tidak ada harapan sembuh. Pada petang hari Jumaat, beliaupun dipanggil ke rumah arwah Minglong untuk menawarkan anaknya itu. Setelah melihat keadaan budak itu, beliau pun berkata kepada kedua ibu bapanya, “Kamu berdua hendaklah sembahyang, insyaAllah anak kamu ini akan sembuh.”

Esok paginya budak itupun dapatlah berjalan tanpa menggunakan tongkatnya.

6. Peristiwa ini berlaku di Lahad Datu. Seorang doktor berkata kepada seorang pesakit bahawa dia tidak ada harapan untuk hidup lagi dan akan mati dalam beberapa jam lagi sebab sudah lama menanggung sakit.  Dengan itu isteri pesakit tersebut pergi berjumpa dengan YM Tuan Guru RA di rumahnya untuk menjemputnya ke hospital dan seterusnya mengubati suaminya. Tidak berapa lama kemudian sampailah beliau di hospital. Beliau pun melihat orang tersebut lalu beliau berdoa di dalam hati, “Ya Allah kalaulah ajal orang ini sudah sampai sambungkanlah lagi.”
Pesakit itu tiba-tiba terus meminta makanan dan minuman, padahal sebelum ini dia tidak mempunyai selera makan dan minum.

7. Seorang ibu yang hendak melahirkan anak telah dihantar oleh suaminya ke hospital dengan tujuan agar isterinya bersalin sahaja di hospital dengan bantuan kakitangan hospital. Setelah beberapa hari di hospital, belum juga dia melahirkan anak sehingga menyebabkan perut si ibu tadi menjadi lebam. Melihat keadaan itu doktor tidak dapat lagi menjamin keselamatan perempuan itu.

Lalu suaminya mengambil keputusan pergi berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan air tawar. Setelah kembali ke hospital dia pun memberi minum air tawar tersebut pada isterinya. lbu tersebut pun serta merta melahirkan anak kembar.

8. Di Kampung Bikang ada seorang yang sudah tiga tahun menanggung penderitaan kerana kakinya dimasuki ulat. Telah puas diubati di hospital tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya ibu orang itu datang ke tempat beliau meminta beliau mendoakan agar anaknya cepat mati kerana dia tidak tahan lagi melihat penderitaan yang dialami oleh anaknya itu siang dan malam. Beliau turut berasa sedih hati dan berjanji akan datang ke rumah orang itu selepas menunaikan sembahyang fardhu Zohor.

Apabila beliau telah sampai ke rumah, dilihatnya orang itu menangis sambil memegang kakinya. Beliau berfikir bagaimana hendak membunuh ulat itu. Tiba-tiba sedang beliau berfikir terdengar suara keTuhanan berkata:-

“Wahai hambaKu, apalagi ulat tidak mati, sedangkan gajah pun boleh mati.  Pintalah.”

Lalu beliau menyuruh orang itu bersembahyang. Kata beliau, “Kau akan sembuh tetapi sembahyanglah.”  Selepas beliau berdoa, ulat di kaki orang itu pun mati.   Maka sembuhlah penyakit orang itu.

9. Seorang pegawai Tanah dan Ukur Daerah Lahad Datu yang berbangsa Cina telah menghidap penyakit kudis air di tangannya.  Oleh kerana dia telah puas berubat dan tidak juga sembuh, maka dia datang ke tempat YM Tuan Guru RA dengan harapan beliau dapat mengubatinya. Dia memberitahu beliau bahawa dia sudah puas berubat di merata-rata tempat seperti di hospital besar Hong Kong, India dan Sri Lanka tetapi tidak juga sembuh. Kata doktor, penyakitnya adalah penyakit  keturunan yang tidak boleh diubat. Mendengar penerangannya itu beliaupun berkata, “Tuan doktor yang kau jumpa itu bodoh. Bukan bodoh kerana dia tidak tahu hal dunia tetapi dia bodoh kerana dia tidak tahu kekuasaan Allah SWT. Allah SWT yang telah menjadikan kita dari setitik air tentu berkuasa menghilangkan penyakit kita. Kenapa Nabi Isa AS dapat menghidupkan orang yang sudah beratus-ratus tahun mati? Penyakit tuan akan hilang. Tetapi yang kasi hilang Tuhan Allah SWT. Kita minta kepadaNya.”  Di dalam hati beliau berkata:

“Ya Allah sembuhkan orang ini supaya yakin dengan kebenaran Agama Islam.”

Alhamdulilah, dalam tempoh dua minggu sahaja penyakit orang itu telah sembuh.

10. Seorang pegawai perhutanan Daerah Lahad Datu telah menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati oleh doktor lagi. Pegawai itu terlentang di rumah dalam keadaan tenat hinggakan makan minum dan buang air di tempat tidurnya. Hari demi hari keadaannya bertambah teruk dan mencemaskan sehingga dia tidak lagi dapat bergerak dan berkata-kata. Dalam keadaan demikian isterinya dengan tergesa-gesa berjumpa YM Tuan Guru RA.  Dengan sedih hati dia memberitahu beliau tentang keadaan suaminya dan meminta beliau berdoa agar suaminya sembuh daripada penyakitnya. Beliau terasa kasihan lalu berdoa, “Ya Allah saya masukkan orang ini ke hospitalMu. Sembuhkanlah dia.”

Selepas beliau menawar air untuk suaminya dia pun balik ke rumah. Setiba sahaja di rumah dia memberi air tersebut kepada suaminya untuk diminum. Tiba-tiba dia dapat berkatakata. Tidak sampai sebulan pegawai itu telah balik bertugas seperti biasa.

Sewaktu beliau ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA 1967) beliau telah dihantar ke Hospital Besar Tawau kerana pihak keselamatan mendapati beliau dalam keadaan sakit. Rupanya di hospital itu bukan beliau yang diubati tetapi sebaliknya beliau yang mengubat. Orang ramai termasuk kakitangan hospital datang dengan membawa air dalam botol untuk ditawar. Sekiranya beliau lama di hospital itu, tentu tidak ada lagi orang yang berjumpa dengan doktor. Semua pesakit akan berjumpa dengan beliau.

Selain daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas banyak lagi penyakit telah sembuh dengan berkat Al-Fatihah. Bahkan beliau pernah mencabar orang ramai khususnya orang yang bukan beragama Islam di Singapura, Filipina dan Jakarta supaya membawa kepada beliau seorang yang menghidap penyakit yang tidak dapat disembuhkan oleh doktor. lnsyaAllah dengan kebenaran Agama Islam dia boleh sembuh.

YM Tuan Guru RA bukan hanya dapat menyembuhkan penyakit zahir sahaja tetapi juga dapat menyembuhkan penyakit batin iaitu penyakit rohani atau hati. Inilah yang terpenting dan satu keistimewaannya. Dari lidah beliau keluarlah kata-kata yang hikmah dan bernas yang dapat menembusi kegelapan isi hati para pendengar sehingga ramailah manusia yang mengerjakan maksiat dan kemungkaran, menitiskan air mata apabila mendengar katakata beliau itu.

Mereka insaf lalu bertaubat di hadapan beliau dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan jahat mereka itu. Dengan itu terubatlah penyakit hati mereka seolah-olah mereka telah keluar daripada kegelapan menempuh  cahaya terang-benderang.

Inilah yang telah berlaku ke atas:-

1. Lanun-lanun yang terkenal dengan keganasan mereka di Tianggi, Filipina;

2. Seorang askar kaki botol yang telah mengganggu ketenteraman masyarakat Singapura;

3. Seorang penyamun besar serta pengikut-pengikutnya yang telah banyak menyusahkan orang ramai di Pakistan;
4. Seorang muallaf bernama Jaafar, penjenayah yang hebat di masa pemerintahan Jepun di Daerah Lahad Datu;

Dan ramai lagi seperti mereka itu. Mereka semuanya bertaubat dan menjadi orang baik.

Orang-orang yang bingung, gelisah atau sedih hati dan orangorang yang kusut fikiran mereka, hati mereka akan menjadi tenteram apabila sahaja mendengar nasihat beliau. Segala kesusahan lenyap dari hati mereka itu. Itulah keistimewaan yang Allah SWT telah kurniakan kepada YM Tuan Guru RA.  

5. KASIH SAYANG TERHADAP SEMUA MAKHLUK/HAMBA ALLAH  

Sifat utama YM Tuan Guru RA ialah menyayangi setiap makhluk Allah SWT di muka bumi ini. Sifat penyayang ini adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada beliau sehingga sifat itu telah sebati dan telah menguasai seluruh gerak-gerinya. Dalam hati YM Tuan Guru RA terpendam perasaan kasih sayang kepada umat manusia tidak kira bangsa dan agama. Siang dan malam beliau sentiasa memohon ke hadrat Allah SWT agar umat manusia selamat dunia dan akhirat. Oleh sebab itu YM Tuan Guru RA ingin sekali menjelajah ke seluruh dunia untuk menyampaikan ajaran Islam kepada semua umat manusia terutamanya orang -orang kafir. YM Tuan Guru RA telah mendapat tawaran untuk berdakwah ke London, Paris, New York dan Kanada. Tetapi di akhir-akhir hayat beliau, beliau selalu dalam keadaan sakit sehingga sukar baginya berjalan  jauh. Sebagai ganti dirinya, beliau mengirim risalah yang mengandungi nasihat agama ke seluruh pelusuk dunia. Risalah itulah sebagai ganti dirinya.

Beliau sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar semua umat manusia keturunan Nabi Adam AS tidak kira bangsa dan agama selamat dari bahaya dunia dan akhirat. Yang ahli maksiat mudah-mudahan bertaubat dan beribadat menjunjung titah perintah Allah SWT dan RasulNya SAW, yang kafir mudah-mudahan dimasukkan ke dalam Agama Islam, yang miskin dikayakan, yang sakit disembuhkan, yang dalam kesusahan dilapangkan dan yang ada hajat ditunaikan hajatnya.

Pernah YM Tuan Guru RA bermimpi bertemu dengan Nabi SAW. Setelah mencium kaki Nabi SAW, Nabi SAW pun bertanya kepada beliau, “Apa maksudmu datang ke sini?”  Beliau menjawab, “Maksud saya supaya seluruh umat manusia mendapat taufiq dan hidayah dari Allah SWT agar selamat dunia dan akhirat.”  Kata Nabi SAW, “Itu sahaja kau mahu?”  Jawab beliau, “Ya Rasulullah SAW, itu sahaja saya mahu.”

Di antara tanda kasih sayang beliau ialah beliau sentiasa menasihati pemerintah agar tidak berlaku zalim. Dan semenjak pemerintahan British hinggalah beliau wafat, beliau sentiasa menasihati pemerintah supaya berlaku adil. Jangan menindas rakyat yang lemah agar tetap memerintah. Pemerintah yang zalim akan jatuh kerana dimurkai Tuhan. Siapa yang melanggar perintah Tuhan tidak kira sama ada orang biasa atau pemerintah akan sial dunia dan akhirat.

Beliau selalu mengingatkan pemerintah agar tidak melanggar perintah Tuhan dengan berlaku zalim dan mengingatkan mereka juga supaya mengambil tauladan daripada peristiwa yang berlaku ke atas pemerintah yang telah melanggar perintah Tuhan. Dalam surat beliau kepada mana-mana pemerintah beliau memberi peringatan dengan katanya,

“Telah sama-sama kita sedia maklum bahawa siapa saja yang melanggar undang-undang perintah tentu sekali dia akan mendapat kesusahan. Maka lebih-lebih lagi susah, binasa dan sial orang-orang yang melanggar perintah Allah SWT. Betapapun kuasa, pangkat dan kedudukan seseorang kalau dia durhaka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dia akan jatuh hina dan celaka. Sebagai contoh:-

1. Shah Iran telah memegang teraju pemerintahan turuntemurun tetapi akhirnya diusir dari negaranya sendiri dan mati di negara lain sebagai dagang;

2. Presiden Pakistan Ali Bhutto telah dilucutkan dari kerajaannya dan mati digantung di tali maut;

3. Raja Faisal di Mekkah ditembak mati oleh anak saudaranya sendiri;

4. BERJAYA adalah sebuah parti yang kuat dan gagah, kuat dan besar pengaruhnya tidak diduga kejatuhannya kerana disokong dan dibantu oleh Kerajaan Pusat. Tetapi akhirnya telah tewas dalam pilihan raya umum tahun 1985.

Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa apabila Allah SWT telah murka kepada seseorang kerana melanggar perintahNya, maka binasa dan celakalah dia.  lanya juga membuktikan bahawa Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu. Tiada ada seorang raja, presiden, menteri, atau ketua pemerintah pun yang mahu diusir, ditembak, digantung mati, dipenjara atau jatuh pangkat dan kuasa. Tetapi kalau Allah SWT mahu semuanya boleh terjadi. Sebab itu hendaklah kita sentiasa takut kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.”

YM Tuan Guru RA ibarat sumbu lampu yang membakar dirinya untuk menerangi umat manusia di dalam gelap gelita. Begitulah beliau dalam hidupnya. Beliau sanggup dimaki, diancam, dipenjara dua kali dan diusir balik ke Pakistan demi untuk menyuluh umat manusia agar jangan jatuh ke dalam lembah kegelapan syirik dan amalan yang menyeleweng dari jalan yang terang benderang demi menyelamatkan umat manusia dari kemurkaan Allah SWT. Beliau membawa mereka ke jalan kebenaran yang menyelamatkan mereka dari bahaya dunia dan akhirat. Dengan sebab itulah beliau berani berhadapan dengan sesiapa sahaja yang sengaja membawa ajaran sesat, memesongkan hukum Tuhan atau menghalangnya dari menyampaikan cahaya kebenaran kepada umat manusia.  Buktinya:-
1.  Sebagaimana dinyatakan dalam Buku Manaqib YM Tuan Guru RA Bahagian 1, beliau menentang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah British dan seterusnya oleh kerajaan USNO supaya Masjid Bandar Lahad Datu diroboh dan dipindahkan ke atas sebuah bukit atas dua sebab:-

(i) Arahan tersebut tidak adil kerana bertentangan dengan hukum.  Kata YM Tuan Guru RA, “Mengikut undangundang Tuhan, sebidang tanah yang telah diwakafkan untuk pembinaan masjid yang mana masjid itu telah pun dibina di atasnya dan sembahyang telah didirikan padanya walaupun sekali, maka tanah tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan lain dan masjid yang dibina di atasnya tidak boleh diroboh dan dipindahkan. Apalagi masjid, sedangkan rumah ibadat lain seperti gereja, kuil dan tokong Cina juga tidak boleh diroboh.” Beliau tidak boleh berdiam diri kerana hukum Tuhan mesti ditegakkan, kalau tidak azab Tuhan akan tiba. Apabila sudah tiba azab Tuhan tidak ada orang yang boleh lepas darinya. Maka supaya umat manusia di Daerah Lahad Datu selamat dari azab Tuhan, YM Tuan Guru RA terpaksa menentang arahan tersebut.

(ii) Beliau berasa kasihan kepada orang kampung kerana itulah sahaja satu-satunya bangunan peribadatan di kawasan bandar Lahad Datu. ltu pun mahu diroboh dan dipindahkan serta tanahnya diberi kepada orang Cina, orang pendatang.  Ini tidak adil.

2. Demi menyelamatkan umat Islam daripada bahaya syirik, YM Tuan Guru RA menentang Nasrul Haq walaupun ia dipelopori oleh kerajaan pusat kerana ajarannya mengandungi unsur-unsur syirik.

3. Sifat kasih sayang YM Tuan Guru RA kepada seluruh umat Islam jelas kelihatan dalam risalah beliau yang diedarkan kepada seluruh Negara Islam pada tahun 1983. Risalah itu mendedahkan kesalahan-kesalahan Jemaah Tabligh yang perlu diawasi dan disekat pergerakannya agar seluruh umat Islam terhindar dari bahaya mereka. Dalam risalah itu beliau antara lain berkata:

“Kemudian daripada itu saya berkata dengan taufiq dan hidayah Allah SWT, wahai umat manusia sekalian yang saya sayangi, takutlah, percayalah dan sembahlah Tuhan Yang Maha Esa yang menjadikan kita dari setitik air yang hina. Dialah Tuhan Yang Maha Tunggal, Tuhan tempat meminta. Ia tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan dan tiada seorang pun yang menyerupaiNya.

Kemudian saya ingin menyampaikan pesanan kepada seluruh umat manusia amnya dan umat Islam khasnya di mana saja mereka berada. Awasilah dan berhati-hatilah hidup di akhir zaman ini kerana telah banyak timbul pelbagai fahaman dan anutan Agama.  Nabi Muhammad SAW ketika hidupnya telah memberi amaran kepada umatnya yang hidup di akhir zaman ini supaya berhati-hati, kerana umatnya akan berpecah kepada 73 firqah (golongan) tetapi hanya satu golongan sahaja yang dapat masuk syurga iaitu golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang lain semuanya sesat.

Oleh sebab itu hendaklah kamu sekalian benar-benar taat dan percaya kepada Allah SWT dan Rasul-RasulNya terutama Nabi Muhammad SAW kerana dialah penutup bagi segala Nabi dan Rasul. Di mana Tuhan berfirman ‘Taatlah kepada Allah’, di situ juga Tuhan berfirman ‘Taatlah kepada Rasul’, Nabi Muhammad SAW.

Berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW,  kerana janji Allah SWT itu adalah benar. Kemudian ikutlah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu empat mazhab -  Imam Hanafi, Malik, Syafie dan Hambali kerana golongan ini sajalah yang selamat dunia dan akhirat. Yang lain semuanya sesat.

Di antara golongan-golongan yang telah terkeluar dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kaum Syiah, kaum Mu’tazilah, kaum Ahmadiah dan kaum Wahhabi. Tetapi golongan yang paling berbahaya ialah golongan Wahhabi. Termasuk golongan Wahhabi ini ialah golongan Tabligh, sebagaimana yang dikenali. Jika kamu mahu selamat dunia dan akhirat, janganlah ikut golongan ini kerana aqidah mereka sudah salah.”

(Kesalahan mereka ini dinyatakan di dalam Buku Manaqib Bahagian 1).

Beliau mengakhiri risalah dengan katanya: “Aku berpesan dan menasihati kaum Wahhabi/Tabligh, segeralah bertaubat dan berhenti sebelum terlambat. Kalau tidak kamu akan menyesal dunia dan akhirat. Aqidah kamu sudah salah, bertaubatlah dengan segera.

Kepada umat Islam lain janganlah ikut kaum Wahhabi atau Tabligh kalau mahu selamat dunia dan akhirat. Saya harap, sekali-kali janganlah benarkan kaum Wahhabi atau Tabligh masuk masjid-masjid kamu untuk menyampaikan sebarang ceramah Agama atau lain-lain hal kerana nanti mereka ini akan menyesatkan anak cucu kamu. Ini adalah tanggungjawab kita bersama.

Saya memberi nasihat kerana Allah SWT dan bukan bermaksud menghina atau memalukan orang. Sebenarnya saya sayang kepada umat manusia keturunan Nabi Adam AS. Tidak kira agama. Siapa yang sayang hamba-hamba Allah, maka Allah SWT akan sayang kepadanya. Saya ingin sekali kalau sekiranya seluruh umat manusia ini mendapat petunjuk dari Allah SWT dengan memasuki Agama Islam.”

Pihak MUIS telah menyalahkan beliau kerana mengedarkan risalah tersebut ke seluruh dunia tanpa kebenaran MUIS. Tetapi beliau tidak peduli ancaman mereka.  Kata Tuan Guru RA, “Saya tidak mahu minta maaf dan menarik balik risalah saya itu walaupun saya ditembak mati. Mana boleh saya tarik balik perkara benar.”

Beliau melihat berbagai-bagai malapetaka telah menimpa seluruh dunia yang telah mengorbankan harta benda dan beribu-ribu jiwa. Peperangan terus meletus di mana-mana. Gempa bumi, banjir, puting beliung, kemarau panjang, penyakit, kemalangan dan kebuluran juga telah menimpa umat manusia di seluruh dunia.

Kata beliau, “Ini semua adalah merupakan azab Tuhan kerana umat manusia sudah tidak peduli lagi undang-undang Tuhan. Kezaliman dan pelbagai kemaksiatan telah bermaharajalela. Kita perlu menyedarkan umat manusia supaya mereka kembali kepada undang-undang Tuhan agar azab Tuhan tidak berpanjangan. Kalau tidak saya khuatir banyak lagi azab Tuhan akan menimpa.”

Maka untuk tujuan tersebut beliaupun menulis lagi sebuah risalah. Risalah itu telah diedarkan di dalam dan luar negeri dan ke merata-rata tempat di seluruh dunia pada 27 Mei 1989. Isi kandungan risalah tersebut adalah seperti berikut:-

“...dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi.”  (Az-Zumar : 54)  

Maksudnya: Tinggalkanlah segala maksiat seperti makan suap, makan riba, minum arak, main judi, main bola, berzina, menipu, mencuri, merompak dan menzalimi dan kembalilah kepada Allah SWT dengan bertaubat dan mengikut perintahnya sebelum datang azab Tuhan, tiada seorang pun yang dapat menolong lagi apabila telah tiba azabnya.

1. Kita sedia maklum bahawa kalau kita tinggal di sebuah Negara, kita hendaklah patuh kepada undang-undang negara tersebut, kalau tidak kita akan mendapat susah. Maka lebihlebih lagi kita tinggal di bumi Allah SWT ini.

Kalau kita melanggar undang-undangnya kita akan mendapat susah dunia akhirat. Contohnya, azab
Allah SWT berupa gempa bumi ke atas negara Russia telah mengorbankan berpuluh-puluh ribu jiwa.

2. Kita umat manusia adalah bersaudara tidak kira bangsa dan agama. Allah SWT telah mencipta kita dari setitik air yang hina, berasal dari satu keturunan iaitu Nabi Adam AS maka Allah SWT tidak sayang kepada siapa yang tidak sayang kepada umat manusia kerana Nabi SAW bersabda:-

“Sesungguhnya Allah SWT tidak sayang kepada yang tidak sayang kepada umat manusia.”

Barangsiapa membunuh satu jiwa tanpa sebab yang sebenarnya, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Maka atas dasar inilah saya sentiasa menasihati orang ramai kerana semata-mata tanda kasih sayang kepada manusia bukan kerana benci. Mudah-mudahan semua umat manusia selamat dunia dan akhirat.  Wassalam.”

Pada 6 Mei 1990, sekali lagi YM Tuan Guru RA mengedarkan sebuah risalah ke seluruh dunia menasihati umat manusia agar kembali kepada Agama Islam dan berpegang teguh dengan undang-undang Al-Quran. Di antara kandungan risalah tersebut ialah:-

“Aku mulai risalah ini dengan nama Allah yang menciptakan manusia, yang menghidup dan mematikan, yang memulia dan menghinakan dan yang memberi pangkat dan kedudukan sebagai ujian.

‘Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikannya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksanya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ (Surah Al-An’aam: 165)

Wahai manusia, sembah dan takutlah kepada Tuhan yang Maha Esa dan takutlah suatu hari yang kamu berdiri di hadapan Tuhan yang mana pada hari itu tiada seorangpun yang dapat menolong lagi kecuali amalan kebaikan yang telah kita kerjakan ketika di dunia dahulu kala sebagaimana firman Tuhan:

‘Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah SWT adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.’ (Surah AlLukman: 33)

Kembalilah kepada Agama Islam, agama yang benar, bertaubatlah dari segala dosa sebelum tiba azab Tuhan. Maka dengan itu hendaklah kamu berlaku adil dengan mengikuti perintah Tuhan. Tiada undang-undang yang lebih adil dari undang-undang Tuhan yang termaktub dalam Al-Quran. Oleh itu umat manusia mestilah kembali kepada undang-undang Al -Quran agar selamat dunia akhirat. Sesiapa sahaja yang melanggar hukum Tuhan, tidak kira pangkat dan kedudukan akan hina dunia akhirat.  Buktinya:-

(a)  Raja Malik Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya sendiri.

(b) President Pakistan, Ali Bhutto telah mati digantung di tali maut.

(c) Shah Iran telah memegang teraju pemerintahan turun temurun, tetapi akhirnya diusir dari negaranya sendiri dan mati di negeri lain sebagai dagang.

(d) Perdana Menteri India, Puan Indera Ghandi telah mati ditembak oleh pengawalnya sendiri.

(e) Presiden Pakistan Zia-ul Haq dan rombongannya telah mati dalam nahas kapal terbang.

(f) Presiden Filipina iaitu Presiden Marcos yang terkenal dengan kepintaran dan tipu muslihat politiknya akhirnya digulingkan oleh seorang wanita dan mati dalam buangan di negeri orang. Sehingga sekarang mayatnya tidak boleh dikebumikan di mana-mana negara.

(g) Presiden Rumania yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan pengawal yang rapi, tetapi akhirnya mati ditembak bersama isterinya dalam rampasan kuasa ketika hendak melarikan diri.

Apa yang terkandung dalam risalah ini adalah merupakan amanat Allah SWT dan RasulNya, Nabi Muhammad SAW yang saya sampaikan kepada kamu seluruh pemimpin. Kamu pemimpin adalah sebagai bapa, dan rakyat sebagai anak. Oleh sebab itu adalah menjadi tanggungjawab kamu pula untuk menyampaikan amanat ini kepada mereka. Kelak di hari kiamat kamu akan disoal di hadapan Allah SWT sama ada kamu telah menyampaikan amanat yang telah saya sampaikan kepada kamu.

Dengan petunjuk yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada saya, maka saya menyampaikan nasihat ini sematamata tanda kasih sayang kepada seluruh umat manusia agar selamat dunia akhirat.

Ya Allah! Tuhan sekalian alam, ampunilah dosa dan kesalahan kami dan kami memohon petunjuk
akan DiKau agar semua umat manusia selamat dan dijauhkan dari segala bahaya dunia dan akhirat.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, Engkaulah yang menciptakan kami, maka berilah kami taufiq agar dapat berbuat kebajikan.  Ya Allah ya Tuhan kami, orang yang sempit rezekinya, luaskan rezekinya, orang yang sakit, sihatkanlah, orang yang dalam kesusahan senangkanlah, orang yang sesat, kembalikanlah ke jalan yang benar, yang Engkau redhai.

Mudah-mudahan semua umat manusia selamat dunia dan akhirat.

Wassalam.”

3. Begitu juga beliau menetang Kassim Ahmad kerana pendapatnya menyesatkan umat Islam.

4. Beliau telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA 1967) pada 7 Oktober 1987, kerana dikatakan berbahaya kepada keselamatan dalam negeri kerana menghasut umat Islam menentang kerajaan. Sewaktu di penjara di Air Panas Tawau, beliau mengambil kesempatan itu menasihati pekerja-pekerja terutamanya pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ. Beliau menasihati mereka dengan penuh kasih sayang sehingga ada di antara pegawai-pegawai polis itu berkata, “Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana ada sebab kami dapat berjumpa dengan Tuan Haji. Rupanya apa yang dikatakan orang tentang diri Tuan Haji tidaklah betul. Nasihat Tuan Haji belum pernah terfikir dalam otak kami.”

Beliau menasihati mereka dengan membawa mereka berfikir.  Kata YM Tuan Guru RA, “Tuan-tuan sanggup berdiri berjamjam di hadapan ketua kamu atau menteri. Tetapi tidak sanggup berdiri walaupun 5 minit di depan Tuhan yang menciptakan tuan-tuan dari setitik air. Bagi saya orang seperti itu bukan pintar tetapi gila, bodoh dan tiada fikiran. Cuba tuan -tuan fikir, kalau Tuhan mencabut penglihatan kamu menjadi buta, mengambil pendengaran kamu menjadi pekak, mencabut fikiran kamu menjadi gila, apa akan jadi kepada kamu? Tentu tuan-tuan akan dibuang kerja dan tidak berguna lagi. Sebab itu takutlah kepada Allah SWT, taatlah kepada perintahNya dan sembahyanglah supaya selamat dunia dan akhirat.” Hasil dari nasihat beliau itu, pegawai-pegawai polis pun ikut sembahyang berjemaah dengan YM Tuan Guru RA.

Pernah di penjara Air panas itu seorang polis menampar seorang tawanan di hadapan YM Tuan Guru RA. Beliau lalu menegur polis itu.  Kata beliau, “Kenapa tuan tampar dia? Apa salahnya sama tuan? Cukuplah dia sudah dipenjara kerana kesalahannya.”  Polis itupun terdiam.

Di antara tanda kasih sayang beliau kepada umat manusia ialah apabila mereka dalam keadaan susah, atau ditimpa penyakit atau hilang barang mereka lalu berjumpa dengan beliau, beliau akan turut bersedih hati. Bahkan beliaulah yang banyak bertaubat serta merendahkan diri kepada Allah SWT, berdoa agar segala kesusahan mereka dihilangkan Allah SWT. Lebih-lebih lagi beliau kasihan kepada orang-orang yang dizalimi. Beliau pasti akan menolong mereka dengan apa cara sekalipun. Kita sudah lihat bagaimana beliau menolong orangorang yang dizalimi.

Kalau ada orang minta sesuatu kepada beliau, beliau tidak akan menghampakan permintaannya. Telah dikisahkan bagaimana seorang perempuan yang mengidam inginkan kepala lembu sedangkan ketika itu tidak ada lagi tinggal kepala lembu, beliau berasa kasihan lalu menyembelih seekor lagi lembu untuknya.

Pernah seorang berhasrat meminjam wang dari beliau sedangkan ketika itu beliau tidak ada wang lagi kerana telah dipinjam orang lain. Beliau susah hati lalu beliau membuka sebuah kitab. Tiba-tiba di dalamnya terdapat $20.00. Maka beliau pun berikan kepada orang itu.

Beliau lebih-lebih lagi tidak akan menghampakan permintaan orang yang meminta kerana Allah. Buktinya:-

1. Beliau telah membeli tanah di Bikang seluas 10 ekar tetapi belum lagi menukar nama sebagai pemilik geran. Lalu tuan punya tanah itu menjualnya pada orang lain. Ia memberi wang kepada beliau tetapi beliau enggan menerimanya. Kemudian selepas itu, tiba pula surat saman yang memberi tempoh kepada beliau untuk berpindah dari tanah itu. Jika tidak, beliau akan dihalau secara paksa.

Sebenarnya YM Tuan Guru RA tidak mahu menjual tanah itu dan beliau tidak pula mahu menerima apa-apa wang dari orang itu. Beliaupun berkata, “Sumpah, kamu belum menjual tanah itu. Jika kamu memintanya kerana Allah SWT, saya akan memberinya dengan ikhlas.  Saya dan keluarga saya akan pindah.” Tetapi orang itu tidak berpuas hati dan membawa perkara itu ke mahkamah. Akhirnya orang itu tewas dalam perbicaraan. Oleh yang demikian, tanah itu kekallah sebagai milik YM Tuan Guru RA.

2. Di Pakistan, YM Tuan Guru RA memiliki sebidang tanah. Tetapi beliau tidak pernah melihatnya. Suatu hari ada orang datang berjumpa dengan beliau untuk membeli tanah itu kerana Allah SWT dan RasulNya SAW. Tetapi abangnya tetap dengan pendirian enggan menjualnya.  Beliau lalu berkata, “Kalau begitu eloklah kita beri saja tanah itu dengan percuma.”

Abangnya tidak setuju kerana katanya dia tidak ada wang, tambahan pula dia ada hutang. Selang beberapa hari, beliau mendapat rezeki dari Allah SWT dan beliaupun menjelaskan kesemua hutang abangnya. Lalu beliau memanggil orang yang ingin membeli tanah tersebut. Kemudian beliau berkata di hadapan orang ramai, “Pada hari ini saksikanlah bahawa tanah saya telah menjadi kepunyaan orang ini dan haram bagi kami anak beranak makan hak dari tanah ini lagi.”  

Beliau memberitahu dirinya, “Jika orang memintanya dengan niat kerana Allah SWT tidaklah boleh ditolak. Wang itu akan habis juga tapi jika diberi saja, kita akan dapat pahala hingga ke hari akhirat.” 

3. Pada suatu ketika sedang YM Tuan Guru RA beriktikaf di Pakistan, datanglah orang berjumpa dengan beliau. Kemudian beliau bertanya apakah hajat orang itu.  Lalu jawabnya dia ingin meminta jam beliau yang terletak di atas batu, kerana Allah SWT dan RasulNya. Kemudian beliau berkata dalam hatinya, “Bodoh juga orang ini. Dia tidak tahu benda ini perlu bagi saya dalam hutan.” Tetapi beliau tidak dapat menolak permintaan orang itu kerana dia meminta kerana Allah SWT dan RasulNya. Beliau lalu memberikannya. Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang hamba Allah lalu memberi sebuah jam yang baru kepada beliau.

4. Suatu ketika ada orang dari Singapura menulis surat kepada beliau untuk menjemputnya datang ke Singapura kerana Allah SWT dan Rasulnya. Beliau membalas surat dan menjelaskan keadaannya, bahawa dia kurang sihat dan kalau ada takdir Allah SWT, insyaAllah dia akan datang.  Beliau berasa takut kerana orang yang meminta kerana Allah SWT mesti diper kenankan permintaannya.  Tetapi apakan daya beliau sakit.

Di antara tanda kasih sayang beliau kepada umat Islam ialah setiap tahun apabila tiba Hari Raya Korban, beliau akan menyembelih beberapa ekor lembu dan menghadiahkan pahalanya untuk seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati.

Sudah menjadi kebiasaan beliau menziarahi perkuburan orangorang Islam di mana-mana sahaja beliau pergi. Beliau akan mendoakan keampunan dan keselamatan bagi ahli kubur yang beliau lawati itu.

Di antara tanda kasih sayang beliau kepada seluruh umat manusia tidak kira bangsa dan Agama lain, beliau menasihati mereka dengan penuh kasih sayang. Di mana-mana perkumpulan diadakan, beliau tidak akan membeza-bezakan antara orang Islam dan yang bukan Islam. Semuanya beliau layan dengan kasih sayang. Sewaktu beliau di Filipina, Singapura dan Jakarta ramai orang-orang Kristian datang menziarahi beliau kerana mereka tertarik dengan sopan santun beliau yang menghormati setiap orang yang mengunjunginya. Bahkan orang-orang Kristian di Filipina pernah berkata bahawa mereka belum pernah menemui orang yang sangat sayang kepada umat manusia seperti beliau, sehingga mereka mengatakan bahawa beliau adalah jelmaan Nabi Isa AS.

Sewaktu di Filipina, pernah dalam satu majlis beliau tersalam orang Kristian. Orang itu keesokan harinya datang ke tempat beliau, melahirkan hasratnya untuk memeluk Agama Islam kerana katanya dia sangat terharu apabila beliau bersalam dengannya kelmarin.

Sifat beliau yang lemah lembut dan penuh kasih sayang dalam mengajak manusia ke jalan Allah SWT, menyebabkan empat orang Kristian memeluk Agama Islam di Filipina. Untuk menyakinkan orang-orang yang beragama lain, di mana-mana saja beliau akan membuat cabaran tentang kebenaran Agama Islam. Cabaran itu ialah:-

1. Beliau mengajak seorang paderi maju ke hadapan, kemudian menyuruh polis yang ada di situ menembak beliau dan paderi itu. Siapa yang benar agamanya tidak akan mati ditembak; atau

2. Mereka berdua memasuki sebuah rumah yang disirami minyak tanah lalu membakarnya. Siapa yang benar agamanya tidak akan terbakar seperti Nabi Ibrahim AS; atau

3. Mereka berdua belayar ke sebuah pulau tanpa membawa sebarang makanan. Siapa yang benar agamanya tidak akan mati kelaparan.

Bahkan dalam risalah beliau yang diedarkan ke seluruh dunia pada 5 Disember 1983, beliau telah membuat cabaran yang sama untuk membuktikan kepada agama-agama lain tentang kebenaran Agama Islam.  Beliau mengemukakan cabarancabaran tersebut bukan untuk menghina agama-agama lain tetapi adalah semata-mata untuk menyakinkan orang-orang yang beragama lain akan kebenaran Agama Islam, supaya mereka memeluk Agama Islam agar selamat dunia dan akhirat.

Jangankan manusia, makhluk lainpun beliau sayang. Sebagai contoh, beliau akan melarang orang duduk di atas pokok atau melanggar pokok kerana kata beliau  pokok itu juga akan berasa sakit. Sebab itulah, beliau tidak suka melihat pokok dipatahkan.  Pada satu ketika ada orang yang terlanggar pokok lalu pokok itu condong. Beliau berkata kepada orang itu, “Jangan biarkan pokok itu condong, tebanglah terus supaya tidak menderita kesakitan.”

Ketika sedang beriktikaf di Gua Madai Lahad Datu, beliau terlihat seekor ular yang besar turun dari gua itu lalu berhenti di hadapannya. Beliau terpegun dengan kecantikan ular itu. Tidak lama kemudian ular itu masuk ke semak lalu berpulas. Beliau menjadi hairan melihat keadaan itu. Beliau pun mendekati ular itu. Baharulah dia mengetahui bahawa ular itu sedang hendak menelan seekor ular kecil. Beliau kasihan pada ular kecil itu lalu melempar ular besar dengan batu besar menyebabkan ular itu terperanjat lalu beredar dari situ dan selamatlah ular kecil itu.

YM Tuan Guru RA melarang orang membuang kulit buahbuahan seperti kulit pisang ditengah-tengah jalan agar jangan terpijak oleh orang. Walaupun kulit buah-buahan itu kita tidak makan namun kata YM Tuan Guru RA kita mesti hormat rezeki Tuhan dengan cara tidak memijaknya.  Lagipun katanya, “Kita mesti sayang kepada binatang-binatang kecil seperti semut yang turut sama terpijak mati. Semut suka kepada kulit buahbuahan yang manis. Kalau kulit itu terpijak maka semutsemut itu akan turut sama terpijak mati.”

Bahagian ini kami tutup dengan perkataan beliau mengenai kasih sayang.  Kata beliau, “Allah SWT tidak akan sayang kepada seseorang kalau dia tidak sayang pada umat manusia seluruhnya, sebagai dinyatakan dalam hadis Nabi SAW.”  Katanya lagi, “Kalau anak kamu lapar atau sakit tentu kamu susah hati. Begitu juga kita mesti turut susah hati kalau ada anak orang yang lapar atau sakit.”

Di saat-saat terakhir YM Tuan Guru RA sebelum meninggalkan dunia yang fana ini, beliau telah menangis menitiskan air mata kerana kasihan kepada umat manusia.  Kata beliau umat Islam di akhir zaman ini telah tenggelam dalam lautan hawa nafsu mereka. Mereka cintakan dunia dan melupakan negeri Akhirat. Sedangkan alim ulama yang bertanggungjawab membangunkan mereka dari kelalaian pun turut sama terpedaya oleh dunia. Kasihan umat Islam.



6. TAWAKKAL (Menyerah Diri Kepada Allah SWT)


YM Tuan Guru RA sangat bertawakkal kepada Allah SWT dalam semua urusannya. Beliau bergantung kepada Allah SWT semata-mata. Beliau yakin bahawa hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi manfaat atau mudharat. Manusia tiada mempunyai apa-apa kuasa. Sebab itulah beliau berani berhadapan dengan sesiapapun, walaupun terhadap kerajaan dalam memperkatakan kebenaran. Beliau tidak pernah takut atau gentar dalam menjalankan tugas yang berat ini.  Kata beliau, “Manusia adalah sama dengan jamad seperti batu dan pokok dalam hal memberi manfaat atau mudharat. Maka sebab itu kita tidak boleh harap atau takut kepada sesiapapun selain daripada Allah SWT.  Serulah kepada Allah SWT tanpa mengharap ganjaran atau upah daripada manusia, tegakkanlah kebenaran tanpa segan dan takut walaupun terhadap pemerintah. Contohnya saya berdakwah ke Filipina tanpa pasport, dengan khudrat Allah SWT kerajaan Filipina tidak dapat mengambil apa-apa tindakan terhadap saya bahkan mereka membiarkan saya berdakwah dengan menggunakan kenderaan kerajaan. Inilah kebesaran Allah SWT.”

YM Tuan Guru RA juga yakin bahawa hanya Allah SWT sahaja yang dapat menyembuhkan penyakit. Makhluk tidak mempunyai kuasa dalam hal ini pada hakikatnya. Sebab itulah beliau tidak mahu berubat dengan doktor atau bomoh. Sudah tiga belas anak beliau namun beliau tidak pernah bawa mereka ke hospital kalau mereka sakit. Bukan orang ramai sahaja yang datang ke tempat beliau untuk berubat bahkan para doktor juga turut sama.

Hasil daripada tawakkalnya yang teguh kepada Allah SWT hidup beliau senang dan tenteram. Sejak muda lagi beliau telah meninggalkan kerja. Beliau hanya mempunyai tanah seluas sepuluh ekar yang ditanami pokok kelapa. Namun demikian rumah beliau tidak putus dengan rezeki Allah SWT. Berguni-guni beras, gula, tepung serta lain-lain keperluan hidup tersimpan dalam bilik stor di rumah beliau.

Beliau tiada meminta bantuan ataupun berhutang kepada orang lain untuk membiayai sara hidupnya sekeluarga. Bahkan orang ramailah yang datang meminta bantuan serta berhutang kepada beliau.

Apabila tiba hari-hari perayaan orang-orang Islam beliau akan menyembelih beberapa ekor lembu atau kambing untuk disedekahkan kepada orang ramai. Tiap-tiap bulan Ramadan beliau akan bersedekah kepada orang ramai di Masjid Bandar Lahad Datu sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit. Berkarungkarung tepung juga dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.

Dalam hal rezeki ini YM Tuan Guru RA berkata, “Kalau ada orang berjanji kepada kita bahawa dia akan menanggung perbelanjaan kita tiap-tiap bulan tentu kita akan percaya dan berasa senang hati. Tetapi kalau Allah SWT berjanji kepada kita bahawa Ia akan menjamin rezeki kita sehari-hari, kenapa kita kurang mempercayainya?  Dalam hal ini ada satu kisah.  Satu masa ada seorang hamba Allah SWT yang ingin beriktikaf di sebuah masjid.  Sebelum dia masuk beriktikaf, imam masjid itu bertanya kalau ada dia membawa bekalan. Lelaki itu menjawab bahawa Allah SWT telah menjamin keperluannya semasa dia beriktikaf di situ.

Imam itu tidak bersetuju dengan kata-kata lelaki itu lalu dia berkata, ‘Tuan dalam hukum Islam kita mesti cari dahulu makanan sebelum bertawakkal.’  Esok harinya imam itu bertanya soalan yang sama dan lelaki itupun memberi jawapan yang sama.  Pada hari ketiganya lelaki itu berkata, ‘Wahai tuan imam, hari ini ada seorang Yahudi telah berjanji kepada saya bahawa dia akan menghantarkan makanan selama saya beriktikaf di masjid ini.’ Imam itu lalu berkata, ‘Kalau begitu boleh tuan meneruskan iktikaf tuan.’  

Lelaki itu akhirnya berkata, ‘Tuan imam, dua kali saya kata bahawa Allah SWT menjamin keperluan saya semasa beriktikaf, tuan imam kata tidak boleh. Tetapi apabila saya kata bahawa ada seorang Yahudi menjamin keperluan saya barulah tuan imam berkata boleh. Tuan imam telah mempercayai janji seorang Yahudi dan meragui janji Allah SWT. Lebih baik tuan imam berhenti sahaja bertugas sebagai imam.’

Saya sendiri ketika mengasingkan diri tidak membawa apaapa bekalan. Berbulan-bulan saya tidak makan melainkan hanya minum air sungai sahaja ketika berbuka puasa dan bersahur.

Inilah janji Allah SWT bahawa Dia menjamin rezeki hambahambaNya tanpa syarat. Janji Allah SWT adalah benar, kita tidak boleh meraguinya. Apa yang telah ditetapkan Allah SWT untuk kita tidak akan berkurang atau berlebih kerana usaha dan ikhtiar kita. Ada orang berkata bahawa rezeki mesti dicari. Ini adalah pendapat yang salah. Yang benar ialah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita, kita akan dapat sama ada kita cari atau tidak. Tetapi mencari rezeki tidak salah asalkan secara halal. Bahkan Allah SWT memberi ganjaran pahala mati syahid bagi orang yang penat mencari rezeki yang halal. Kalau kamu kurang yakin atau tidak sabar atas ujian Allah SWT, carilah rezeki halal supaya tidak meminta-minta, menipu, mencuri atau merompak yang ditegah oleh syarak.

Saya minta kepada Allah SWT hanya satu pot beras sehari sahaja tetapi sebagaimana kamu lihat Allah SWT telah memberikan saya berguni-guni beras, gula dan tepung. Begitu juga saya minta kepada Allah SWT agar diberikan tempat tinggal besarnya hanya beberapa kaki sahaja cukup untuk tidur dan masak. Tetapi Allah SWT memberikan saya rumah besar. Inilah balasannya kalau kita benar-benar yakin dengan janji-janji Allah SWT dalam Al-Quran.”

Sepanjang hidup YM Tuan Guru RA telah banyak peristiwa yang ganjil berlaku mengenai masalah rezeki ini yang telah disaksikan oleh orang ramai. Di antaranya kadang-kadang ketika beliau besedekah, beliau akan mengeluarkan dari poketnya wang yang tak habis-habis walaupun poketnya jelas kelihatan kosong tanpa ada isinya.

Inilah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada beliau kerana keteguhan tawakkalnya kepada Allah SWT. Kalau kita juga benar-benar bertawakkal kepada Allah SWT kita akan memperolehi kelebihan yang sama.