Tuesday, June 14, 2016

RIWAYAT HIDUP - MANAQIB AL KUBRA YANG MULIA TUAN GURU TUAN HAJI GHULAM HASSAN ALI AKBAR AL HAJ AL-GHAUS, AL-BIKANGI

PEMBUKAAN

Pada satu malam YM Tuan Guru RA telah bermimpi di mana beliau telah ditunjukkan makamnya di sisi Allah SWT, yakni sebagai penegak kebenaran di zaman ini. Beliau menjelaskan mimpinya:

“Suatu ketika saya telah bermimpi seolah-olah saya dibawa ke satu tempat lapang yang dipenuhi oleh manusia. Tiada seorang pun diantara mereka yang saya kenali. Terdapat di situ sebuah bukit yang tinggi dengan kemuncak yang sangat tajam. Lalu dibuatkan di atasnya satu tempat duduk muat untuk seorang sahaja. Kemudian ketua mereka mempersilakan saya naik ke atas puncak bukit tersebut untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran dan memberi nasihat kepada semua yang berada di situ. Dengan tiba-tiba saya sampai di puncak bukit tersebut lalu saya membaca Al-Quran dan memberi nasihat kepada mereka semua. Maka saya yakin, bahawa saya telah diwakilkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan kebenaran kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.”

Maka pada tahun 1950, semasa YM Tuan Guru RA menziarahi makam Nabi SAW di Madinah Al-Munawarah, Baginda Rasulullah SAW keluar dari makamnya lalu memberikan beliau Al-Quran. Rasulullah SAW berkata kepadanya bahawa memadailah Al-Quran itu sebagai pedoman untuk mengajak manusia kembali kepada jalan yang benar. Al-Quran tersebut masih tersimpan di dalam almari beliau di kediamannya di kampung Bikang, Lahad Datu sehingga hari ini. Tentang cerita Al-Quran ini akan dijelaskan di  dalam buku Bahagian Kedua mengenai keramat YM Tuan Guru RA. Inilah bukti nyata bahawa beliau adalah penerus risalah keNabian dan keRasulan di zaman ini.

YM TUAN GURU HAJI GHULAM HASSAN ALI AKBAR AL-HAJ AL-GHAUS, AL-BIKANGI RA PEMBAWA KEBENARAN

YM Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj Al-Ghaus, Al-Bikangi RA adalah seorang Pembawa Kebenaran bahkan adalah seorang Mujaddid di kurun ini yang dijanjikan oleh Nabi SAW dalam hadisnya yang berbunyi:-

  بَبْعَثُ الله ُ لِهَذِهِ اْلاُمَّةِ عَلٰى كُلِّ رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا اَمْرَ دِيْنِهَا.


“Allah Taala akan mengutus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang yang memperbaharui urusan Agama mereka (Mujaddid).” (HR Abu Daud RA)

Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT akan mengangkat dari kalangan masyarakat ini pada permulaan setiap abad seseorang yang akan menghidupkan kembali keimanan.”  (BUKHARI)

Ini kerana YM Tuan Guru  mempunyai alamat atau tanda-tanda yang lazim bagi seorang pembawa kebenaran atau mujaddid iaitu:-

1.  Sejak kecil YM Tuan Guru RA mendapat bimbingan daripada Allah SWT, disamping beliau telah berjumpa dan berguru dengan lebih 100 orang alim Ulama dalam rangka menempuh jalan kembali kepada Allah SWT.

2.  Beliau memiliki sifat Pengasih dan Penyayang kepada umat manusia termasuklah juga makhluk yang lain.

3.  Ketika YM Tuan Guru RA berjumpa (yaqazah: bertemu secara jaga) dengan Nabi Muhammad SAW, Baginda telah bertanya kepada YM Tuan Guru RA, “Apakah permintaan tuan?” Lantas dijawab oleh YM Tuan Guru RA “Ya Rasulullah SAW, doakanlah agar seluruh umat manusia selamat di dunia dan akhirat.” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, “Adakah permintaan tuan yang lain?”  YM Tuan Guru RA menjawab, “Itu sahaja ya Rasulullah SAW.”

Ini menunjukkan YM Tuan Guru RA memiliki sifat Ithaar iaitu mengutamakan keselamatan atau kepentingan orang lain daripada diri sendiri.  Hayat beliau telah diwarnai dengan sifat ini.  Perkara yang demikian akan kami jelaskan dalam Kitab Manaqib YM Tuan Guru RA.

4.  Dalam penglihatan kasyafnya (yang disebut mimpi oleh YM Tuan Guru RA untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai) beliau melihat dirinya dibawa ke satu tempat lapang yang dipenuhi oleh manusia. Tiada seorang pun diantara mereka yang mengenali beliau. Di situ terdapat sebuah bukit tinggi kemuncaknya yang sangat tajam. Lalu dibuatkan di atasnya satu tempat duduk cukup untuk seorang sahaja.

Kemudian ketua mereka mempersilakan YM Tuan Guru RA naik ke atas puncak bukit tersebut untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran dan memberi nasihat kepada seluruh manusia yang berada di situ. Dengan tiba-tiba YM Tuan Guru RA sampai di puncak bukit tersebut, lalu membaca Al-Quran dan memberi nasihat kepada mereka semua. Maka beliau yakin bahawa dia telah diwakilkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan kebenaran kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa beliau telah memperolehi mandat untuk menyampaikan kebenaran kepada seluruh umat manusia dikurun ke 15 Hijrah ini, yakni ajaran beliau akan sampai ke seluruh dunia.

5.  Pada tahun 1950, sewaktu beliau mengerjakan ibadat Hajinya yang pertama, beliau telah menerima watiqah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT langsung daripada tangan Rasulullah SAW sendiri. Peristiwa ini berlaku ketika beliau berziarah ke maqam Rasulullah SAW di Masjid Nabawiah, Madinah Al Munawarrah, dimana Nabi Muhammad SAW telah memberikannya senaskah Al-Quran seraya bersabda, “Janganlah cari kitab-kitab yang lain tetapi cukuplah Al-Quran ini dan bawalah manusia kepada Allah SWT.”  Naskah Al-Quran ini adalah satu watiqah dan tauliah daripada Nabi Muhammad SAW sendiri. Ini merupakan satu keistimewaan yang jarang-jarang diperolehi oleh mana mana Wali Allah sekalipun.

Justeru itu, kami berpendapat dengan alasan-alasan yang disebutkan di atas, YM Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al-Ghaus, Al-Bikangi RA adalah merupakan seorang Penegak Kebenaran serta Mujaddid di kurun ke 15 Hijrah ini.

Langkah-langkah yang diambil oleh YM Tuan Guru RA sebagai seorang mujaddid untuk menghidupkan semula syiar  Islam diterangkan dengan jelas dan terperinci dalam kitab "AJARAN DAN AMALAN YANG MULIA TUAN GURU TUAN HAJI GHULAM HASSAN ALI AKBAR AL-HAJ AL-GHAUS, AL-BIKANGI RA". Bacalah kitab ini sebagai pelengkap.