BAB 1
PENGENALAN
Pada tahun 1920, di sebuah desa di bahagian Barat Pakistan
yang dikenali dengan nama Dara Hazarah, lahirlah seorang putera di kalangan
keluarga yang sangat taat kepada Allah SWT. Tiada yang menyangka putera ini
bakal menjadi seorang Wali Allah akhir zaman.
Namanya akan harum bukan sahaja di kalangan masyarakat setempat malah ke
segenap pelusuk rantau yang diziarahinya, hinggakan ada yang sanggup menjelajah
beribu-ribu batu semata-mata hanya untuk bersua muka dengannya.
Tuan Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al-Ghaus, Al-Bikangi
RA. Itulah nama lengkap putera
tersebut. Di Sabah, beliau lebih
dikenali dengan panggilan Haji Muda. Beliau diberi panggilan tersebut kerana
wajahnya yang sentiasa kelihatan muda, terutama pada waktu pagi. Sementara di
Filipina beliau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Aulia berdasarkan pelbagai
peristiwa luarbiasa yang terjadi semasa beliau berada di negara itu.
Semenjak zaman kanak-kanak, YM Tuan Guru RA memang sudah
memiliki sifat-sifat terpuji yang lazimnya tidak terdapat pada kanak-kanak lain
sebayanya. Sejak kecil beliau memang pendiam dan sopan santun serta amat
cenderung kepada perkara-perkara mistik. Beliau suka membuat kebajikan terutama
mengumpul makanan dan wang dari rumah ke rumah untuk disedekahkan kepada
orang-orang miskin. Beliau juga sangat
berminat menghadiri majlis ilmu dan sayang serta menghormati para alim ulama
dan selalu berada di dalam majlis mereka.
Sejak kecil lagi beliau telah mendapat hidayah serta
bimbingan Allah SWT. Lantas tidak hairanlah pada usia yang begitu muda,
sifat-sifat luarbiasa telah mulai ketara melalui pelbagai peristiwa yang telah
dialami dan berlaku pada dirinya.
Beliau menceritakan sendiri bagaimana minat beliau mula
timbul untuk beribadat serta menghambakan diri kepada Allah SWT dengan sepenuh
masa. Kata beliau:
“Pada suatu hari saya telah mengikuti orang ke sebuah rumah
di hujung kampung. Setibanya di kampung itu, saya ternampak ada seorang tua
yang sentiasa duduk di tikar sembahyang.
Melihat ketakwaan orang tua itu, timbullah cita-cita saya untuk
melakukan seperti apa yang dilakukan oleh orang tua itu apabila dewasa kelak.
Semenjak kecil saya melazimkan mujahadah. Saya amat senang
berpuasa sunat. Ketika berumur tujuh tahun, saya mula berpuasa setiap hari,
sehingga ibu sedih melihat keadaan saya.
Ibu lalu menasihati supaya saya
berpuasa selang sehari. Tetapi saya tetap juga berpuasa setiap hari.
Apabila menjelang Hari Raya lazimnya kanak-kanak lain sangat bergembira. Tetapi
perasaan saya berbeza. Ketika kanak-kanak lain bergembira saya menangis kerana
terlalu sayang pada bulan Ramadan. Saya
sangat sedih bila bulan mulia itu berlalu.
Akhirnya saya memutuskan untuk berpuasa tiap-tiap hari, hingga selama
tiga puluh tahun. Pernah saya berdoa
kepada Allah SWT agar mengizinkan saya berpuasa sepanjang hayat.
Sewaktu masih kanak-kanak saya telah membiasakan diri
bersembahyang berjemaah di masjid yang terletak di dalam kampung saya. Hinggakan dalam keadaan sakit sekalipun saya
sanggup untuk pergi ke masjid. Satu
ketika, saya telah jatuh sakit dan semakin hari semakin bertambah tenat hingga
sukar untuk berdiri. Namun dalam keadaan
demikian, saya tetap ingin bersembahyang di masjid. Walaupun ibu berulangkali
menasihati supaya bersembahyang di rumah sahaja, namun saya tetap juga dengan
pendirian saya. Maka ibu terpaksa
memimpin saya pergi ke masjid. Dengan setiap langkah, saya terpaksa duduk
sekejap untuk berehat, hinggalah sampai ke masjid. Ibu pun mengambilkan air
untuk saya berwudhu.
Sejak dahulu lagi saya rajin berzikir. Saya tidak suka
bergaul dengan kanak-kanak sebaya.
Kawan-kawan saya menghabiskan masa bermain, manakala saya lebih suka
mengasingkan diri demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Saya tidur sebentar sahaja di waktu malam
kerana asyik beramal ibadat. Untuk
tujuan tersebut, saya mengambil keputusan tinggal di rumah yang dikhaskan untuk
tetamu yang terletak berhampiran dengan masjid.
Saya tidur di serambi rumah itu setiap malam kerana tidak mahu
ketinggalan mengerjakan sembahyang Tahajjud.
Satu malam saya tertidur hinggalah azan Subuh dilaungkan.
Ketika itu saya sedang bermimpi, seorang laki-laki melepaskan tujuh ekor burung
ke dalam masjid. Bulu-bulu
burung-burung tersebut berwarna-warni.
Rupa-rupanya itulah tamsilan azan. Ketika terbangun, saya terus menangis
kerana tidak sempat mengerjakan sembahyang Tahajjud malam itu.
Semasa umur saya meningkat lapan tahun, saya semakin
mengasingkan diri dari masyarakat dengan cara beriktikaf di masjid-masjid. Saya
telah bertemu dengan seorang ahli ibadat yang telah agak lanjut usianya dalam
sebuah masjid di kampung saya. Saya mula
berkhidmat kepada orang alim tersebut dengan menghantar makanan kepadanya. Ahli ibadat itu memenuhi masanya dengan
beriktikaf dan berpuasa setiap hari kecuali lima hari dalam setahun.
Akhirnya saya tertarik
hati untuk masuk beriktikaf bersamanya, pada mulanya sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Memandangkan umur saya yang masih muda ketika
itu, ahli ibadat tersebut menasihati saya supaya berpuasa selang sehari. Tetapi saya terus sahaja berpuasa setiap
hari. Saya sangat menghormati ahli
ibadat itu. Setiap malam dia berzikir dan
pergi ke perkuburan. Di sana dia
menjerit dan berkata, ‘Hai manusia! Bangunlah kamu dan ingatlah kubur.’ Mukanya bercahaya seperti bulan purnama.
Semenjak itu saya pun belajar daripada ahli ibadat itu.
Setiap hari sewaktu balik dari sekolah, saya pergi ke sungai, sembahyang dan
duduk di situ untuk mendengar air sungai yang mengalir, lalu bertafakur tentang
kebesaran Allah SWT sambil membaca surah Yasin.
Sejak usia muda lagi, saya membiasakan diri membaca
Al-Quran setiap hari. Selesai sembahyang Subuh, saya mula membaca Al-Quran dan
berhenti apabila masuk waktu sembahyang fardhu Zohor. Selepas sembahyang Zohor saya meneruskan lagi
bacaan saya, hinggalah masuk sembahyang Asar pula. Begitulah seterusnya
sehinggalah selepas sembahyang Isyak, saya telah dapat mengkhatamkan tiga puluh juzuk
Al-Quran.”
Itulah sifat-sifat beliau yang terpuji sejak kecil lagi
yang bererti YM Tuan Guru RA di
peringkat awal lagi telah mendapat pimpinan, taufik dan hidayah dari Allah SWT
telah menjaganya sejak kecil. Jarang
manusia mendapat keistimewaan seperti ini.
YM Tuan Guru RA juga menceritakan sebahagian daripada
perangainya yang luarbiasa ketika masih kanak-kanak lagi. Katanya:
“Sewaktu baru berusia tujuh tahun, saya telah mengikut ayah
melihat kebun yang terletak di seberang sebuah sungai kecil. Ayah telah meninggalkan saya di tebing sungai
itu untuk pergi sebentar sahaja. Sebelum
menyeberang, ayah berpesan supaya saya menunggu di situ sehingga dia
kembali. Ketika itu saya sedang berdiri
di tebing sungai tersebut.
Setelah agak lama berdiri, saya berasa lenguh. Hari pula semakin panas tetapi ayah belum
juga kembali. Maka timbullah keinginan
di hati untuk memindahkan tapak kaki saya ataupun duduk berehat sebentar. Tetapi saya teringat pula sewaktu ayah
meninggalkan saya tadi, saya sedang berdiri.
Jika saya berubah dari tempat saya berdiri, bermakna saya telah
melanggar pesanan ayah. Walhasil saya
pun tetaplah berdiri di tempat yang sama, hinggalah ayah kembali.
Dalam usia yang sama, satu ketika saya sedang dalam
perjalanan balik dari sekolah pada waktu tengah hari. Ketika melewati kebun
anggur kepunyaan abang ipar saya, tiba-tiba saya ternampak setangkai buah
anggur yang terjatuh di tepi jalan.
Saya teringin makan buah tersebut. Kerana tersangat lapar,
saya pun memetik sebiji dan memasukkannya ke dalam mulut. Sebelum mengunyah,
timbul pula dalam fikiran, sekiranya saya makan buah tersebut bererti saya
memakan hak orang lain tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran tuan yang
empunya. Kemudian saya terfikir pula
bahawa tentulah buah itu akan buruk juga jika dibiarkan begitu sahaja, tambahan
pula kebun itu kepunyaan abang ipar saya sendiri. Saya lalu berfikir lagi - kalau tuan yang
empunya datang, dia tentu akan dapat memakannya, lagipun kebun itu milik abang
ipar, bukan milik kakak saya. Akhirnya
tidaklah saya termakan buah tersebut.
BERHIJRAH KE NORTH BORNEO
YM Tuan Guru RA meneruskan ceritanya:
“Suasana kampung halaman serta kawan-kawan saya sering
mengganggu ketenteraman untuk mengasingkan diri dan beribadat kepada Allah SWT.
Oleh yang demikian saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain, di
mana saya tidak dikenali dan dapat
mengasingkan diri serta beribadat kepada Allah SWT.
Saya mendapat keizinan dari ibu bapa saya untuk merantau
selama enam bulan sahaja. Kebetulan pada
waktu itu seorang askar dari kampung saya, yang bertugas di North Borneo pulang
bercuti di kampung halaman saya. Tiba masanya askar tersebut hendak kembali ke
North Borneo, saya pun mengambil keputusan mengikutnya.
Maka dengan tujuan yang suci murni itu, pada tahun 1938,
dalam usia lapan belas tahun, saya pun keluarlah merantau menuju ke North
Borneo tanpa memiliki sebarang pasport.
Walau bagaimanapun, akhirnya dapat juga saya meneruskan perjalanan dalam
keadaan selamat.
Pada tahun itu juga saya tiba di North Borneo (Sabah) dan
akhirnya sampai ke Lahad Datu. Setelah berada di Lahad Datu beberapa lama saya
pula bertolak pula ke Tawau. Di sana saya telah mendapat pekerjaan sebagai
seorang Jaga (securicor) selama sepuluh bulan.
Saya bekerja bukanlah bermaksud untuk mengumpulkan wang seberapa yang
boleh, tetapi hanyalah untuk menampung keperluan hidup seharian. Ketika mula
bekerja, saya ditugaskan pada sebelah malam.
Tetapi tidak berapa lama majikan saya telah mengambil keputusan
menambahkan tugas saya.
Saya dikehendaki melaporkan diri pada pukul sembilan setiap
pagi. Tetapi saya menolak kerana sembahyang sunat Dhuha akan terganggu.
Mendengar keputusan saya, majikan saya pun menasihati saya agar menurut sahaja
arahan itu kerana pekerjaan di kala itu amat sukar didapati dan jika saya
mensia-siakan peluang itu, saya akan mati kelaparan. Kata-kata ini menyebabkan saya sangat marah
lalu saya jelaskan kepadanya bahawa hanya Allah SWT sahaja yang boleh mematikan
manusia. Saya tidak mahu menjadikan
manusia sebagai Tuhan.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti saja dari
pekerjaan itu dan kembali ke Lahad Datu.
Walaupun majikan saya berkali-kali memujuk supaya bekerja semula, saya
tetap dengan keputusan saya.
Setelah tiba di Lahad Datu, beberapa hari kemudian tibalah
seorang saudagar dari Singapura.
Saudagar itu datang lalu menawarkan pekerjaan kepada saya untuk menjadi
wakil penjual kain di sebuah kedai yang akan dibuka di situ. Barangan kain tersebut akan dibekalkan dari
Singapura. Mendengar tawaran tersebut,
saya pun menerimanya. Saudagar itu pun pulanglah ke Singapura untuk urusan selanjutnya.
Pada waktu yang sama, datang pula seorang tauke dari sebuah
syarikat di Mostyn (Kunak). Tauke tersebut menawarkan kerja kepada saya sebagai
ketua mandor. Saya terus menerima
tawaran itu dan berhijrah pula ke Mostyn.
Rancangan saya untuk membuka kedai di Lahad Datu diteruskan di Mostyn.
Semasa di Mostyn, selain daripada menjadi ketua mandor,
saya juga ditugaskan memberi gaji kepada pekerja dan bertanggungjawab atas
segala hal ehwal mereka di situ. Pada
mulanya pekerja dewasa telah ditetapkan gaji sebanyak RM 1.50 sehari, sementara
kanak-kanak pula hanya RM 0.70 sahaja, padahal pekerjaan kanak-kanak adalah
lebih teruk. Saya sangat kasihan melihat
kanak-kanak yang bekerja dengan rajin dan jujur itu. Oleh yang demikian saya menyamaratakan gaji
orang dewasa dan kanak-kanak iaitu RM 1.50 sehari. Ini membuat semua kanak-kanak di situ sangat
gembira.”
Sifat beliau yang lemah lembut dan sangat sayang pada
sesiapa sahaja, menyebabkan semua pekerja di situ menghormati dan menyayangi
beliau. Atas daya usaha beliau, maka
sebuah masjid telah didirikan di kawasan itu.
Kesemua pekerja bergotong-royong mendirikan masjid tersebut untuk
beribadat, terutamanya sembahyang Jumaat.
Walaupun bekerja, beliau
mengutamakan ibadat dan tidak suka diganggu ketika sedang beribadat. Bercuti pada hari Jumaat, merupakan hal yang
biasa bagi beliau. Beliau meneruskan
ceritanya lagi:
“Pada suatu hari Jumaat, majikan saya telah datang melawat
dan mendapati saya tidak turun bekerja pada hari itu. Ketika bertemu dengan majikan saya, air
mukanya seolah-olah tidak senang melihat saya tidak turun bekerja pada hari
itu. Pada keesokan harinya, saya pun pergilah ke pejabatnya dan bertanya
mengapa ia seolah-olah marah melihat saya tidak bekerja pada hari
sebelumnya. Saya menjelaskan, bahawa
saya tidak bekerja pada hari Jumaat adalah untuk menghormati hari itu. Sebagai
seorang pekerja (kuli), saya tidak seharusnya membuat perkara-perkara yang
tidak menyenangkan hati majikan saya. Oleh yang demikian, saya mengambil
keputusan berhenti kerja. Akan tetapi
majikan saya tidak mahu memberhentikan saya, malah dibolehkannya bercuti pada
hari Jumaat.
Saya mendirikan sembahyang sesuka hati saya sama ada waktu
bekerja atau tidak. Semasa berada di situ saya telah membuka kedai kain dan
kedai kopi. Saya bekerja di situ selama
dua tahun. Akhirnya saya berhenti dari
pekerjaan itu kerana terasa ibadat saya terganggu disebabkan sibuk menguruskan
pekerjaan dan perniagaan. Pada setiap hari pembayaran gaji pekerja, saya
terpaksa memotong gaji mereka yang berhutang di kedai saya. Disebabkan kesibukan itulah saya terpaksa
meringkaskan wirid sembahyang Asar dan melakukan sembahyang dengan
tergesa-gesa. Memandangkan keadaan ini,
maka saya pun bersembahyang hajat dan memohon doa pada Allah SWT agar
memberhentikan saya dari pekerjaan itu.
Bagi saya semua harta akan tinggal juga jika kematian telah tiba.
Saya lebih rela mati kelaparan asalkan saya menjadi hamba
Allah, dan bukan hamba kepada makhluk dan nafsu. Lagipun Allah SWT telah berjanji di dalam
Al-Quran bahawa Ia akan menanggung rezeki para hamba-Nya. Saya berkata dalam
hati “Mengapakah jika manusia yang berjanji kita mempercayainya, tetapi dengan
janji Allah kita tidak yakin.”
Maka saya pun yakin dengan sesungguh hati pada janji-janji
Allah SWT itu. Walaupun ketika itu godaan serta pujuk-rayu hawa nafsu dan syaitan
cuba menahan dari meninggalkan pekerjaan saya dan wang ringgit yang beribu-ribu
namun saya tidak menghiraukannya. Saya
terus berhenti kerja dan menutup kedai-kedai perniagaan saya. Saya balik ke Lahad Datu. Mulai dari saat itu, saya telah menghindarkan
diri dari segala keseronokan dan kemewahan hidup serta keperluan yang
berlebih-lebihan kecuali hal-hal yang asas dalam kehidupan.”
PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU SEMASA PEMERINTAHAN JEPUN
“Saya kembali ke Lahad Datu dan ketika itu ialah masa
pemerintahan Jepun. Tidak berapa lama kemudian tibalah arahan dari tentera
Jepun untuk mengambil orang awam sebagai askar.
Saya termasuk dalam kerahan itu, dan saya bersama-sama beberapa penduduk
tempatan Lahad Datu akan dihantar ke Singapura untuk menjalani latihan
ketenteraan.
Sebelum berangkat, saya telah ditanya oleh ketua askar
Jepun, sama ada saya mempunyai isteri, sedangkan orang lain tidak ditanyakan
hal serupa itu. Kemudian penolong kanan
ketua tersebut sendiri menjawab dan menyatakan bahawa saya mempunyai
isteri. Oleh yang demikian saya tidaklah
dihantar ke Singapura.
Peristiwa ini menyebabkan saya terpaksa berkahwin. Dua minggu sebelum hari perkahwinan, saya
telah membeli sebidang tanah di Kampung Bikang dengan harga RM 700.00, atas
nasihat seorang ahli ibadat. Walaupun pada mulanya saya enggan membelinya,
tetapi saya yakin kata-kata ahli ibadat itu mengandungi hikmah.
Pada penghujung bulan Jun tahun 1943, saya telah
melangsungkan perkahwinan dengan sepupu sendiri yang bernama Rahimah bte
Penghulu Muhamad Panji Alam. Hasil dari perkongsian hidup itu, kami telah
dikurniakan dua orang putera dan tiga orang puteri.”
Setelah meletus Perang Dunia Kedua dan bermulanya
penjajahan Jepun di Asia Tenggara maka timbullah pelbagai masalah. Suasana
peperangan telah menghancurkan dan membinasakan kekayaan hasil bumi negara ini.
Kemelesetan ekonomi dan sosial menyebabkan wujudnya masalah kekurangan makanan,
pakaian dan tempat tinggal.
Penduduk-penduduk di daerah Lahad Datu terpaksa mengerjakan
kebun-kebun kecil dan bercucuk tanam untuk menampung kehidupan seharian. Oleh
yang demikian, tidak kuranglah mereka yang sentiasa berpindah dari suatu tempat
ke tempat yang lain untuk mendapatkan kawasan yang sesuai. Tetapi keluarga YM
Tuan Guru RA tidak menghadapi apa-apa masalah kerana di rumah beliau sentiasa
ada beras, gula dan tepung yang berguni-guni.
Suasana ini bertambah rumit lagi apabila askar-askar Jepun masuk ke
kampung-kampung dan menggeledah rumah orang-orang kampung. Mereka merampas
binatang ternakan, hasil-hasil tanaman dan apa saja bahan makanan orang-orang
kampung sebanyak mana yang mereka mahu.
YM Tuan Guru RA menceritakan beberapa peristiwa yang
mencemaskan ketika berhadapan dengan askar Jepun. Kata Beliau:
"Satu ketika, tiga orang askar Jepun bersama
komandannya hendak masuk ke Masjid Bandar Lahad Datu. Ketika itu jemaah sembahyang Zohor baru
sahaja selesai. Keempat-empat orang askar Jepun tersebut cuba masuk ke dalam
masjid tanpa menanggalkan kasut mereka melalui pintu kecil. Saya tidak
membenarkan mereka masuk. Saya menutup pintu kecil tersebut. Maka terjadilah pertengkaran antara saya
dengan komandan Jepun itu. Apabila pertengkaran sudah hangat, maka semua jemaah
dalam masjid terjun ke dalam lumpur untuk menyelamatkan diri kerana mereka
sangat maklum dengan sifat askar Jepun
yang pantang ditentang akan terus memancung leher. Komandan tersebut sangat marah kerana
dihalang masuk. Tetapi akhirnya komandan
itu tunduk dan memberi tabik hormat kepada saya. Inilah kebesaran Allah SWT. Siapa takut hanya kepada Allah SWT, maka
semua makhluk akan takut kepadanya.
Pada suatu hari ketika saya sedang berehat-rehat di dalam
masjid, tiba-tiba seorang askar Jepun mengejar seorang wanita yang sedang
berjalan dekat masjid itu. Wanita itu
pun melarikan diri dan berlakulah kejar-mengejar, menyebabkan keadaan di situ
huru-hara.
Pada masa itu saya ada memiliki sebilah pedang. Saya berkata dalam hati, bahawa ini tidak
baik dibiarkan kerana sangat memalukan.
Saya ingin memancung sahaja leher askar Jepun tersebut. Tetapi sebelum dapat bertindak apa-apa,
timbul pula dalam fikiran saya untuk melaporkan perkara itu kepada ketua askar
Jepun. Kalau mereka tidak peduli,
barulah saya bertindak.
Menurut adat orang Jepun pada masa itu, biasanya orang yang
melapor tentang askar Jepun akan mendapat hukuman. Setiba saya di pejabat ketua askar Jepun itu,
saya pun menceritakan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Tidak berapa lama kemudian, ketua askar itu
mengarahkan beberapa orang askar supaya menangkap askar itu dan memancung
lehernya.
Semasa pemerintahan Jepun, orang-orang Filipina datang ke
Kuala Sungai Bikang, Lahad Datu secara sulit.
Kedatangan mereka telah diketahui oleh askar-askar Jepun setelah
mendapat aduan daripada orang-orang tertentu.
Mengikut aduan tersebut beberapa orang Trinis (Rekrut Amerika) masuk ke
Kuala Sungai Bikang. Komandan Jepun
mengarahkan semua ketua kampung hadir di tempat pertanyaan Batu 5, Jalan
Segama.
Setelah bermesyuarat, orang kampung bersetuju bahawa mereka
akan pergi beramai-ramai ke tempat pertanyaan.
Saya berpendapat cukup seorang sahaja sebagai wakil. Tidak ada seorang
pun yang berani berbuat demikian kerana takut dipancung leher. Oleh yang
demikian saya sendiri telah pergi ke tempat pertanyaan itu. Setiba saya di Batu 5, Jalan Segama dengan
berjalan kaki dari Bandar Lahad Datu, saya dibawa masuk ke dalam hutan di mana
tempat perbincangan itu diadakan. Siapa
yang didapati bersalah pasti dipancung.
Komandan Jepun bertanya, "Adakah trinis datang?"
Jawab saya, “Ada.”
“Berapa banyak?”
“Saya tidak kira.”
“Ada senjata?”
“Ada handgrenade (bom tangan).”
“Apa mereka cakap?”
“Mereka bertanya kalau ada Jepun di sini.
Saya jawab, “Ya.”
“Adakah mereka juga ke rumah lain?”
“Tidak tahu.”
Saya cuba mengelakkan kawan-kawan saya pula daripada
ditanya. Askar-askar Jepun ingin ikut
sama, tetapi saya cuba melarang. Saya berkata kepada mereka, “Kalau kamu mahu,
jagalah ketiga-tiga pengkalan iaitu, Kuala Bikang, Kuala Bikang Besar dan Kuala
Tamimah.”
Selepas disoal, saya
dibawa ke rumah ketua Jepun. Saya
dijemput minum kopi, tetapi menolaknya kerana saya sedang berpuasa. Ketua Jepun memberikan wang kepada saya. Saya kemudian balik ke Bikang tanpa gangguan
dari Jepun.”
PERISTIWA-PERISTIWA YANG
BERLAKU SEMASA PEMERINTAHAN BRITISH
“Sewaktu saya tiba di
Lahad Datu, ketika itu Lahad Datu merupakan sebuah perkampungan kecil dan
sebahagian besar penduduknya terdiri daripada kaum Idahan. Suku kaum Idahan
merupakan masyarakat tempatan yang sangat kuat berpegang kepada amalan sihir.
Ketara sekali di kala itu pengetahuan agama Islam amat tipis dan belum lagi
bertapak dengan kukuh. Hanya dua tiga
orang sahaja yang bersembahyang lima waktu di masjid. Orang-orang Idahan amat kuat berpegang dengan
amalan sihir, hingga dikatakan dengan hanya menunjukkan jari pada seseorang,
orang itu akan muntah darah dan mati.
Ada di antara ahli-ahli
sihir yang sangat terkenal di kalangan orang-orang Idahan telah mencuba
kehandalannya dengan mengenakan sihir kepada saya. Seorang daripada ahli sihir tersebut beramal
dengan cara menyelam ke dasar Sungai Sepagaya, selama empat belas hari,
hinggakan ikan-ikan yang ada di sungai itu banyak yang mati. Namun demikian,
sihir dan amalan yang dikenakan kepada saya sedikit pun tidak memberi apa-apa
kesan.
Pernah satu ketika saya
bertemu dengan salah seorang ahli sihir di sebuah kedai kopi. Saya lalu bertanya sama ada benar kata orang
bahawa jika ahli-ahli sihir menunjukkan jari mereka pada seseorang, orang
tersebut akan mati ataupun muntahkan darah.
Saya kemudian
mencabarnya dan menjelaskan bahawa jika benar seperti apa yang dikatakan orang,
saya meminta agar ia membuktikannya ke atas diri saya sendiri. Jika sihir itu
berkesan, saya akan memberi wang padanya. Akan tetapi jika sebaliknya yang
berlaku, saya tidak meminta wang kerana saya tahu ahli sihir itu tiada
wang. Tetapi saya akan memotong sedikit
hidungnya sebagai tanda, bahawa ia adalah seorang pembohong. Tetapi ahli sihir tersebut tidak berani
menyahut cabaran saya.
Saya kerapkali mencabar kehandalan ahli sihir tempatan,
tetapi setiap kali itu juga mereka takut menerima cabaran-cabaran tersebut.
Akhirnya ahli-ahli sihir itu berduyun-duyun mengikuti tunjuk ajar saya dan
bertaubat di atas kesilapan-kesilapan mereka yang telah lalu. Dengan ini, lenyaplah amalan-amalan sihir di
Lahad Datu.”
PENGUZLAHAN DAN PENYEBARAN AGAMA ISLAM
Atas usaha YM Tuan Guru RA pada tahun 1945, beliau mula bergerak dari satu kampung ke
satu kampung dalam Daerah Lahad Datu dan kemudian dari satu daerah ke satu
daerah di North Borneo, untuk menyebarkan dakwah lslamiah kepada masyarakat
tempatan. Dengan ditemani oleh beberapa
orang pengikut, beliau menjelajah ke merata tempat di daerah Lahad Datu, Kunak,
Tawau dan juga Sandakan.
Beliau menasihati penduduk setiap tempat yang dilalui
dengan penuh kasih sayang dan hikmah. Beliau mengajak mereka kembali kepada
Allah SWT dengan bertaubat dari segala dosa dan mengerjakan amal ibadat
terutamanya sembahyang lima waktu.
"Setiap orang Islam", kata YM Tuan Guru RA kepada mereka, "mestilah
mengerjakan sembahyang lima waktu agar selamat dunia dan akhirat. Sembahyang mesti dilaksanakan walaupun dengan
hanya melakukan perbuatan sembahyang itu sahaja. Memadailah bagi permulaan. Ibarat orang bekerja ia sudah menerima
upahnya. Kemudian barulah belajar
bacaan-bacaan dalam sembahyang.”
Dengan budi pekerti yang luhur serta keramat YM Tuan Guru RA itu menyebabkan ajaran yang
dibawa oleh beliau cepat tersebar luas di merata tempat. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh beliau
serta nasihat yang penuh hikmah itu menyebabkan orang ramai terpikat kepada
ajaran beliau sehingga mereka merasa mudah melaksanakannya.
Mereka sangat menghormati beliau. Ke mana sahaja beliau pergi, berpusu-pusu
orang datang ke pelabuhan untuk menyambut dan menemui beliau. Di mana-mana
sahaja tempat yang telah diziarahi beliau, maka penduduk di situ mulalah
bersembahyang. Akhirnya Agama Islam
berkembang di mana-mana. Maka bertambahlah bilangan pengikut-pengikut beliau
dari hari ke hari. Pengikut beliau
terdiri daripada suku kaum Bajau, Idahan, Suluk dan juga Indonesia. Pihak British mula berasa bimbang dengan
keadaan tersebut.
Di samping itu, beliau terus juga beriktikaf dan beruzlah
di masjid-masjid lama dan terpencil terutamanya di Bolos, Longdanau dan Bikang
secara bergilir-gilir. Beliau juga
beriktikaf di masjid Bandar Lahad Datu dan masjid Bombalai Tawau. Maka
bertambah kuatlah kerohanian beliau, sehingga masalah-masalah yang tidak dapat
diselesaikan oleh pihak berkuasa Lahad Datu terpaksa dirujuk kepada beliau
dengan menyuruh pihak-pihak berkenaan berjumpa dengan beliau. Kesemua masalah
tersebut dapat diselesaikan oleh beliau
dengan memuaskan kehendak semua pihak.
Beliau berasa ibadatnya terganggu. Maka tergeraklah hatinya untuk
beruzlah dari kesibukan manusia.
KE FILIPINA
Dalam tahun 1959, selepas beriktikaf kali keempat di Gua
Madai, sekumpulan orang-orang Filipina telah datang ke kediaman beliau di
Kampung Bikang, Lahad Datu untuk mengundangnya ke Filipina. Mereka datang dengan menaiki kumpit
(motorbot). Mereka mengundang beliau ke
Filipina untuk menasihati lanun-lanun (mundu) yang mengganas di negara itu.
Mereka suka membuat huru-hara dan kerosakan di Jolo Sulu, Filipina. Sehubungan dengan hal ini YM Tuan Guru RA
meneruskan ceritanya:
"Ketika itu saya tidak memiliki sebarang pasport untuk
ke Filipina. Saya teringat, seperti
orang asing yang datang ke Lahad Datu terutamanya orang Indonesia dan Filipina,
yang mana di atas jaminan orang-orang tempatan, mereka boleh menetap di Lahad
Datu. Saya sangka begitulah juga yang
akan berlaku di Filipina. Pada saya bumi
ini adalah kepunyaan Allah SWT dan tidak layak bagi seorang hamba Allah takut
pada sesiapa selain Allah SWT. Pada pagi
esoknya, saya membuka Al-Quran dan tiba-tiba terdapat ayat berbunyi:
وَلَهُ= مَا فِي الْسَّمَاوَاتِ
وَالأَرْضِ وَلَهُ الدِّينُ وَاصِبًا & أَفَغَيْرَ اللّهِ تَتَّقُونَ
“Dan kepunyaanNya segala apa yang ada di
langit dan di bumi dan untukNya ketaatan itu selama-lamanya. Maka mengapa kamu takut kepada selain
Allah?" (Surah An-Nahl : 52)
Dengan demikian saya pun bertolak ke Filipina bersama-sama
orang Filipina itu, tanpa sebarang pasport.
Semasa dalam pelayaran sebelum sampai ke perairan Filipina, rombongan
kami telah disekat dan ditangkap oleh Polis Laut. Perahu yang kami naiki dibawa
ke sebuah pulau, yang dikenali sebagai Pulau Gaya untuk siasatan
selanjutnya. Ketika hendak bertolak ke
pulau tersebut, berlakulah satu perkara yang aneh, di mana kapal Polis Laut
tersebut tidak bergerak sungguhpun enjinnya masih hidup. Anak-anak kapal itu
berasa hairan, bagaimana perkara demikian boleh berlaku. Melihat perkara itu, saya pun berdoa kepada
Allah SWT supaya menggerakkan kapal tersebut. Tiba-tiba kapal itu pun bergerak,
lalu menuju ke Pulau Gaya.
Setelah tiba di Pulau Gaya, saya sempat memberi nasihat
kepada anak-anak kapal Polis Laut supaya taat kepada perintah Allah SWT. Kemudian saya dihadapkan kepada Ketua Polis
itu untuk disoal siasat. Ketua Polis
Laut itu pun bertanya kepada saya, ‘Mengapakah Tuan Haji mengikuti orang-orang
ini tanpa pasport?’ Saya menjawab,
‘Orang-orang ini meminta saya memberi nasihat kepada lanun-lanun yang
bermaharajalela di Jolo Sulu. Saya tidak bermaksud untuk berniaga barang-barang
dunia, sebaliknya saya membawa perniagaan akhirat berupa Dua Kalimah Syahadat.
Jika kamu melepaskan saya, insyaAllah kamu akan selamat.’ Berkata Ketua Polis
itu, ‘Kami telah bersumpah untuk mematuhi peraturan iaitu, 'tidak boleh
melepaskan orang-orang yang bersalah.’
Mendengar kata-katanya, saya pun naik marah lalu berkata,
‘Saya juga telah berjanji dengan Allah SWT akan mematuhi segala perintahnya.
Maka jalankanlah tugas kamu dan saya jalankan tugas saya itu.’
Setelah selesai membuat pertanyaan, Ketua Polis itu terus
menghubungi Ketua Polis Lahad Datu, memaklumkan bahawa saya hendak ke Filipina
tanpa pasport. Ketua Polis Lahad Datu
akhirnya memberi arahan agar membenarkan saya meneruskan perjalanan tanpa
pasport. Sebelum bertolak, saya
mengambil kesempatan memberi nasihat
kepada Ketua Polis dan anak-anak buahnya supaya takut kepada Allah SWT dengan
mematuhi segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Kehendak Allah SWT juga terlaksana dan bukan
kehendak manusia. Selepas memberi
nasihat, kami pun meneruskan perjalanan ke Filipina.
Kami tiba di Filipina di sebuah pulau yang bernama
Sitangkai. Kedatangan kami disambut oleh
semua penduduk pulau tersebut. Sambutan
orang ramai yang membanjiri tempat kedatangan kami telah menarik perhatian
pihak keselamatan bandar Sitangkai. Beberapa orang PC (Polis Konstabel) telah
datang menemui dan memeriksa sama ada saya memiliki pasport atau tidak. Oleh kerana saya tidak memiliki pasport, maka
PC-PC berkenaan pun membawa saya ke Balai Polis.
Empat orang penduduk Sitangkai menemani saya ke Balai Polis
dengan membawa sepuluh ribu Peso seorang untuk menjamin saya. Tetapi pihak
pemerintah enggan membebaskan saya.
Seterusnya saya dibawa ke sebuah tempat bernama Batu Batu. Di sana
gambar saya diambil dan saya disoal siasat selama tiga hari mengenai ketiadaan
pasport kerana mengikut undang-undang Filipina, pendatang mesti menggunakan
pasport. Saya pun memberitahu bahawa ramai orang yang datang ke Lahad Datu
tidak memiliki pasport, tetapi mereka dibenarkan menetap atas jaminan penduduk
tempatan. Saya menyangka perkara
seumpama itu juga berlaku di Filipina.
Di Batu Batu saya sempat
juga menasihati penduduk-penduduk di situ, hingga ramai yang menangis mendengar
nasihat saya, walaupun mereka tidak mengerti apa yang saya ucapkan. Setelah disoal siasat, dari Batu-Batu saya
telah dibawa ke satu tempat bernama Tianggi untuk siasatan selanjutnya. Di situ saya telah diajukan soalan yang sama
dan saya menjawab dengan jawapan yang sama juga. Saya diberitahu, jika sabit kesalahan saya
itu, saya boleh dihukum penjara selama empat belas tahun. Segala kenyataan saya
pun diambil oleh pihak berkuasa. Tetapi pegawai yang ditugaskan untuk mengambil
dan menulis kenyataan itu, tidak dapat menulis kerana tiba-tiba sahaja
tangannya menggeletar dan mukanya menjadi pucat. Saya masih ingat lagi kata-kata pegawai itu,
‘my hand shake.’
Mesin taip yang
digunakan pula tidak dapat mencatatkan apa-apa perkataan, seakan-akan tidak
berkarbon. Oleh yang demikian tugas itu
telah diserahkan kepada orang lain. Tetapi pegawai yang ditugaskan itu
lalu meminta kepada Presiden Garcia
supaya membiarkan saja saya berdakwah. Presiden Garcia
bersetuju sekiranya saya mempunyai pasport.
Jika tidak ada pasport, saya tidak akan dibenarkan berdakwah dan akan
dipulangkan ke Lahad Datu.
Dalam keadaan itu,
tiba-tiba muncullah seorang lelaki berbangsa Suluk, lalu memegang pedangnya
seraya berkata, ‘Mengapa ramai paderi dibiarkan mengajar dan memberi nasihat di
Filipina, sedangkan saudara kami ini tidak dibenarkan, padahal dia tidak
bermaksud untuk membunuh orang. Kami menjemputnya ke sini untuk menasihati kami
terutama mundu-mundu, agar keadaan menjadi aman. Jika dia tidak dibenarkan memberi nasihat di
sini, maka hantar balik kesemua paderi itu. Kalau tidak, kami 90,000 orang
Islam di Filipina akan membunuh mereka
semua.’
Orang-orang Islam di
Daerah Tianggi itu pun menghantar telegram kepada Presiden Garcia, memberitahu
keputusan mereka dan mencadangkan supaya saya dibenarkan berdakwah. Presiden Garcia bersetuju dengan permintaan
mereka dengan syarat saya dijaga oleh pihak keselamatan. Presiden Garcia pun menghubungi Gabenor di
Tianggi. Akhirnya saya dibenarkan
berdakwah di bawah jagaan Kolonel Haji Zakaria.
Akhirnya saya juga
diberi kemudahan menggunakan kereta kerajaan bagi menjalankan dakwah saya. Di samping itu, orang ramai juga menawarkan
khidmat mereka dengan menjemput saya menaiki kenderaan mereka untuk berdakwah
ke kampung-kampung. Kerajaan meminta
saya memberitahu mereka terlebih dahulu sebelum melawat satu-satu kampung untuk
mengelakkan pertempuran di antara PC-PC dengan mundu-mundu.”
DI TIANGGI
Setiba YM Tuan Guru RA di Tianggi pada mulanya tidak
mendapat perhatian daripada orang ramai.
Perhatian mereka tertumpu kepada beliau ketika mereka mendengar beliau
berzikir dan berdoa, selepas menunaikan sembahyang fardhu di Masjid Tulai,
Tianggi. Irama zikir beliau begitu
menusuk jiwa mereka sehingga mereka yang lalu di masjid itu berhenti terpegun
mendengar alunan zikir beliau. Lalu
bertambahlah tarikan tersebut, sehingga mereka datang ke masjid beramai-ramai
untuk mendengar zikir beliau. Hari demi
hari, bertambah ramailah orang yang datang ke masjid untuk mendengar nasihat
beliau, sehingga mereka yang ke pasar membeli ikan juga turut singgah mendengar
nasihat beliau sehingga habis busuk ikan mereka kerana terlalu asyik mendengar
dan tidak pulang ke rumah. YM Tuan Guru
RA meneruskan ceritanya:
“Selepas beberapa hari menetap di Tianggi, saya mulai
bergerak ke tempat-tempat di sekitar Tianggi memberi tunjuk ajar kepada mereka.
Ramailah yang datang ke kediaman saya untuk mengajak saya ke tempat mereka
masing-masing sehingga masa saya dipenuhi oleh lawatan. Siang dan malam saya dikerumuni orang ramai.
Saya hanya mempunyai sedikit sahaja masa untuk berehat di waktu malam. Tidak berapa lama kemudian Sultan Sulu pun
mengundang saya ke istana untuk menghadiri satu majlis dakwah yang dihadiri
oleh rakyat Tianggi.
Dalam majlis tersebut saya telah dipelawa duduk di atas
kerusi Sultan Sulu sendiri, sedangkan Sultan Sulu duduk di bawah bersama-sama
ahli keluarga serta rakyatnya. Sultan Sulu mencium tangan, muka serta kaki saya
dan menyuruh ahli keluarganya berbuat demikian.
Setelah itu diikuti pula oleh rakyat jelata seorang demi seorang sama
ada orang Islam mahupun yang bukan Islam.
Saya merasa hairan dan terharu melihat layanan Sultan Sulu itu. Tiba-tiba terdengarlah suara keTuhanan
berkata:
‘Hai HambaKu! Ini ialah balasan bagimu. Dahulu engkau
berniat untuk datang ke Filipina tanpa pasport lalu menyerahkan urusanmu
pada-Ku, engkau hanya takut pada-Ku. Lihatlah kemuliaan yang Aku berikan pada
mu.’
Saya menasihati penduduk-penduduk Tianggi dengan penuh
kasih sayang dan mesra tanpa membeza-bezakan antara satu sama lain, sehingga
ada di antara orang-orang Kristian yang datang mengunjungi saya menyatakan,
bahawa saya merupakan jelmaan Nabi Isa AS.
Mereka berkata bahawa mereka belum pernah menemui orang seperti saya
yang sangat sayang kepada seluruh umat manusia, tidak mengira bangsa dan
agama. Saya juga menasihati orang bukan
Islam supaya memeluk Agama Islam kerana tiada agama yang diterima oleh Allah
SWT selain Agama Islam.
Satu ketika dalam majlis yang dihadiri oleh rakyat Tianggi,
saya mengatakan, jika ada di antara penduduk di situ yang tidak mempercayai
atau meragui tentang kebenaran Agama Islam, saya sanggup membuktikannya dengan
mengajak seorang paderi tampil ke hadapan, kemudian menyuruh PC di situ
menembak saya dan paderi itu. Siapa yang
benar tidak akan mati ditembak. Atau
dengan cara kami berdua memasuki sebuah rumah yang kemudiannya disiram dengan
minyak tanah lalu dibakar. Siapa yang
benar agamanya akan selamat dan tidak terbakar seperti Nabi Ibrahim AS. Atau
kami berdua belayar ke sebuah pulau tanpa membawa sebarang makanan. Siapa yang
benar agamanya tidak akan mati kelaparan.
Namun demikian, tiada seorang paderi pun yang hadir di situ
berani menyahut cabaran tersebut. Saya
mengemukakan cabaran tersebut bukan untuk menghina agama mereka, tetapi adalah
semata-mata untuk meyakinkan orang-orang Kristian dengan kebenaran Agama Islam,
supaya mereka memeluk Agama Islam dan selamat dunia serta akhirat.
Satu hari dua orang askar telah datang menemui saya dan
menerangkan keyakinan mereka terhadap Nabi Isa AS. Mereka berkata bahawa Nabi Isa AS adalah anak
Tuhan kerana ia tidak mempunyai bapa. Kata saya, ‘Kalau begitu banyaklah Tuhan
kamu? Nabi Adam AS tidak juga mempunyai ibu dan bapa. Kalau begitu ia juga Tuhan kamu.’ Kedua-dua askar tersebut tidak dapat berhujah
lalu mendiamkan diri. Keesokan harinya
mereka berdua datang ke tempat saya, lalu memeluk Agama Islam di hadapan orang
ramai.
Seorang gadis berbangsa Cina telah datang ke tempat saya
dengan botol airnya. Dia meminta saya
menawarkan airnya. Saya lalu berkata
kepadanya, ‘Wahai anak! Apakah sebabnya kamu menyuruh saya menawarkan airmu?
Mungkinkah kerana kau melihat saya sembahyang?
Hai anak! Air ini akan habis dan
apabila saya telah balik tiada lagi yang akan menawarkan airmu. Tetapi kalau kau sembahyang kau juga boleh
menawarkan air.’ Gadis itu meminta
tempoh untuk berfikir. Esok paginya dia pun datang ke tempat saya, lalu memeluk
Agama Islam dengan disaksikan oleh orang ramai.
Satu hari saya telah melalui sekumpulan orang, lalu saya
memberi salam dan berjabat tangan dengan mereka semua. Rupa-rupanya di dalam
kumpulan itu terdapat seorang lelaki beragama Kristian. Keesokan harinya lelaki itu datang ke tempat
saya dan melahirkan hasratnya untuk memeluk Agama Islam kerana katanya dia
sangat terharu apabila saya memberi salam dan berjabat tangan dengannya
kelmarin.
Ketika berada di Tianggi hampir semua daerah tersebut telah saya ziarahi. Orang
ramai pun berduyun-duyunlah datang ke tempat saya siang dan malam. Orang-orang
yang melakukan maksiat dan yang tidak mendirikan sembahyang, akhirnya bertaubat
setelah mendengar nasihat.
Pernah saya dan rombongan melalui sebuah kampung di Tianggi
yang mana berlaku di situ satu pertempuran antara dua pihak lengkap dengan
senjata api. Saya lalu keluar dari
kereta dan berkata dalam hati bahawa hanya Tuhan sahaja dapat menyelamatkan keadaan
tersebut. Tiba-tiba kedua-dua pihak
berundur dan balik ke tempat mereka masing-masing. Saya pun beredar dari tempat itu.”
Satu ketika YM Tuan Guru RA telah dibawa ke satu tempat
dibahagian darat Tianggi, yang dikenali sebagai Luuk. Kawasan ini didiami oleh 'mundu' atau lanun.
Orang luar tidak berani menghampiri kawasan ini kerana terkenal dengan
keganasan mundu-mundu tersebut. Adalah
dikatakan, bahawa ketika beliau dalam perjalanan bersama rombongannya menuju ke
kawasan Luuk, mundu-mundu yang ada di kawasan itu bersembunyi di sebalik 'bud'
(bukit) di sepanjang jalan. Mereka menembak beliau dan rombongannya. Tetapi
yang anehnya senapang yang mereka gunakan tidak meletus.
Tidak berapa lama kemudian, ketua mundu tersebut keluar
dari tempat persembunyiannya, lantas memberi salam kepada beliau, lalu
beliaupun menyambut salamnya. Kemudian
dia meniup wiselnya. Sejurus selepas itu
keluarlah anak-anak buah ketua mundu itu.
Beliau terus ke masjid yang terdapat di kawasan itu untuk
mengerjakan sembahyang Zohor. Di luar
masjid itu, kelihatan ramai mundu yang berkumpul. Beliaupun mengajak mereka
mendirikan sembahyang, tetapi mereka enggan dengan memberi alasan, bahawa
mereka perlu berkawal kerana PC akan datang menyerang pada bila-bila masa
sahaja. Beliaupun memberi nasihat supaya
mereka mengerjakan sembahyang agar Allah SWT akan memelihara mereka dari segala
bahaya dan mereka tidak payah lagi berkawal malam. YM Tuan Guru RA meneruskan ceritanya:
"Pada sebelah
malamnya, selepas sembahyang lsyak saya serta rombongan dipelawa untuk makan
malam. Ketua mundu juga turut sama pada
waktu itu. Kemudian ketua mundu tersebut
mengeluarkan azimat-azimatnya yang merupakan ayat Al-Kursi dan batu-batu yang
telah dibelinya dari orang Indonesia dengan harga $500 satu.
Saya menerangkan bahawa ayat Al-Kursi tersebut
hanya berguna kepada orang yang taat kepada Allah SWT dan bukan kepada
orang-orang yang derhaka kepadaNya bahkan akan membawa kesialan kepada orang
itu. Saya menyuruh mereka memeriksa
badan saya kalau ada azimat.
Kata saya, ‘Di dada saya
hanya ada Dua Kalimah Syahadat. Jika
kamu tidak percaya dengan apa yang telah aku katakan itu boleh dibuktikan
dengan cara kamu menembak saya. Jika
saya tidak mati, maka pakailah pula azimat kamu dan saya pula akan menembak
kamu.’
Mendengar yang demikian
itu ketua mundu serta pengikut-pengikutnya gementar serta pucat ketakutan. Mereka tidak pernah dicabar sehebat itu
kerana telah menjadi sifat mereka yang pantang dicabar melainkan segera
menyahutnya. Tetapi mendengar cabaran saya itu, mereka tidak dapat berkata sepatah pun kerana keberanian mereka
telah hilang. Saya pun menasihati mereka
supaya tidak melakukan keganasan terutamanya membunuh dan merampas harta orang
lain.
Ketua mundu pun
mengemukakan soalan kepada saya, ‘Bolehkah kami merampas harta orang-orang
kafir?’ Jawab saya, ‘Tidak boleh sebab
orang kafir jua adalah hamba Allah. Kamu
tidak berhak untuk merampas harta mereka.
Kamu telah dikurniakan oleh Allah SWT dua tangan untuk bekerja mencari
rezeki sendiri bukan untuk mencuri atau merampas harta orang lain.’ Dia bertanya lagi. ‘Bagaimana pula kalau kami
menembak PC yang datang ke tempat kami, boleh atau tidak?’ Saya menjawab.
‘Tidak boleh, kecuali mereka menembak kamu terlebih dahulu.’
Dia serta
pengikut-pengikutnya lalu bertaubat di hadapan saya dan berjanji tidak akan
mengulangi lagi segala perbuatan mereka dahulu. Segala tunjuk ajar saya mereka
turuti.
Selang dua hari
kemudian, setelah saya menasihati lanun-lanun di Luuk, berlakulah satu
pertempuran antara lanun-lanun tersebut dengan P.C. Dalam kejadian tembak-menembak itu tiada
seorangpun lanun yang mati, sedangkan mereka tidak lagi memakai azimat. Sebaliknya dalam kejadian itu pasukan PClah
yang ramai terkorban. Selepas peristiwa ini lanun-lanun tersebut bertambah
yakin dengan tunjuk ajar saya.
Saya berada di Filipina selama tiga bulan. Sungguhpun setiap hari saya pergi ke
kampung-kampung di Daerah Tianggi, namun tidak semua dapat diziarahi. Saya berasa belas kasihan kepada mereka yang
datang berkunjung siang dan malam dari tempat-tempat yang jauh.
Saya berasa sangat penat dan tidak terdaya lagi untuk
melayani mereka yang datang menziarahi saya kerana pada waktu siang saya
berpuasa dan pada waktu malam pula sedikit sahaja tidur saya. Oleh yang demikian saya pun meminta izin dari
Sultan Sulu untuk balik ke Lahad Datu.
Tetapi Sultan Sulu tidak membenarkan saya balik, bahkan
telah menyediakan tempat untuk saya dan keluarga. Sultan Sulu bercadang mengambil anak dan
isteri saya supaya tinggal bersama-samanya di Tianggi. Maka saya lalu berdoalah
kepada Allah SWT agar saya dibenarkan balik ke Lahad Datu. Akhirnya doa saya dimakbulkan Allah SWT. Dengan itu saya pun pulanglah ke Lahad Datu
diiringi oleh rakyat Tianggi dengan linangan airmata.”
BAGAIMANA BELIAU MENDAPAT GELARAN TUAN AULIA SEMASA DI
TIANGGI
Ketika di Tianggi YM Tuan Guru RA mendapat gelaran Tuan
Aulia melalui beberapa peristiwa yang berlaku semasa berada di situ. Sebelum kedatangan beliau, Tianggi telah
mengalami tujuh tahun kemarau. Sebaik
saja beliau tiba di Tianggi, hujan pun turunlah mencurah-curah.
Satu ketika semasa berada di Tianggi, ada orang yang
sengaja menguji beliau dengan menguncinya di dalam sebuah bilik di tingkat atas
sebuah rumah pada waktu malam. Tetapi pada keesokan hari, mereka mendapati
beliau telah berada di masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Subuh.
Melihat kejadian itu, mereka pun bertanya bagaimana beliau
boleh keluar dari bilik tersebut sedangkan pintunya dikunci. Menurut beliau pintu tersebut tidak berkunci.
Apabila mereka pergi memeriksa pintu tersebut, didapati pintu itu masih
dikunci.
Sultan Sulu mempunyai dua orang adik yang telah berselisih
faham selama tujuh tahun. Tiada seorang
pun yang dapat mendamaikan mereka. Penduduk Tianggi lalu mengadukan perkara ini
kepada YM Tuan Guru RA. Mereka meminta
beliau berdoa agar Sultan mereka adik-beradik boleh berdamai.
Dalam satu majlis dakwah, beliau telah menerangkan
keburukan memutuskan silaturrahim. Kata
beliau, ‘Dalam satu majlis pernah Nabi SAW memberi kenyataan, ‘mulai hari ini
dilarang duduk dengan kita qati'ur rahim (seorang yang putus hubungan dengan
kerabatnya).’ Kemudian salah seorang
berdiri dan meninggalkan tempat itu.
Kemudian kembali ke majlis Nabi SAW. Lalu Nabi SAW bertanya apa maksud
perbuatannya itu. Lelaki itu menjawab bahawa dia telah faham apa maksud Nabi
SAW. Ia mempunyai makcik yang telah lama
dia tidak bercakap dengannya. Dia telah meminta maaf kepadanya lalu Nabi SAW
bersabda yang bermaksud bahawa di mana majlis yang terdapat qati'ur rahim doa
majlis itu tidak akan diterima Allah SWT.”
Abang kepada adik Sultan Sulu itu lalu berdiri meninggalkan
majlis. Sejurus kemudian kembali bersama adik beliau. Di hadapan YM Tuan Guru
RA mereka berdamai. Dengan demikian
rakyat Tianggi pun gembira dan senang hati.
Suatu masa YM Tuan Guru RA dan rombongannya melalui satu
tempat di mana pada ketika itu sedang berlaku pertempuran iaitu tembak-menembak
di antara mundu dengan PC. Yang anehnya, tiada seorang pun di antara rombongan
itu terkena sasaran peluru, walaupun mereka berada di tengah-tengah pertempuran
itu.
KE SINGAPURA
Tidak kurang daripada tiga kali YM Tuan Guru RA ke
Singapura untuk menyebarkan ajaran Islam yang suci murni. Hasil dari lawatan ke
Singapura ini, ramailah pelaku maksiat dan kaki botol (penagih arak) bertaubat
di hadapan beliau sehingga mereka bertukar menjadi orang yang baik.
Pertama kali sampai ke Singapura beliau telah dikerumuni
oleh orang ramai untuk mendengar nasihat beliau. Di antara yang turut hadir ialah seorang
ketua tentera yang masyhur di kalangan masyarakat tempatan sebagai ahli maksiat
dan penagih arak. Ada orang yang
menyebut namanya di hadapan YM Tuan Guru RA dan mengatakan sekiranya orang
tersebut bertaubat maka amanlah Singapura.
Tanpa disedari orang ramai, ketua tersebut duduk sambil
menundukkan kepalanya mendengar segala nasihat beliau. Nasihat beliau menusuk jiwanya hingga
airmatanya jatuh bercucuran tanda keinsafan.
Akhirnya setelah orang ramai bersurai di tengah malam,
ketua tersebut dan kawannya tidak pulang terus tetapi mereka singgah di kedai
untuk membeli songkok dan kain sarung.
Esoknya mereka terus ke tempat beliau. Ketua tersebut memberitahu segala
yang telah pernah dilakukannya dahulu. Dia bertaubat di hadapan beliau dan
berazam tidak akan menyentuh lagi botol arak.
Akhirnya ketua tersebut bertukar menjadi seorang yang baik sehingga
amanlah kota Singapura daripada gangguannya.
Beliau menasihati rakyat Singapura dengan lemah lembut dan
kasih sayang sehingga bukan sahaja orang Islam yang datang berduyun-duyun
tetapi juga penganut-penganut agama lain turut serta. Maka nama beliau mulalah tersebar luas ke
seluruh kota Singapura. Orang-orang yang
mempunyai masalah dan penyakit tidak juga ketinggalan kerana segala masalah
yang dihadapkan kepada beliau dapat diselesaikan dan segala penyakit dapat
disembuhkan dengan izin Allah SWT.
Orang-orang yang beragama lain sangat kagum dengan peribadi
beliau yang tidak membezakan agama dan bangsa.
Semua dilayan dengan kasih sayang.
Mereka dengan hati gembira mengatakan kepada beliau di hadapan orang
ramai, bahawa belum pernah mereka temui orang seperti beliau yang sangat sayang
kepada manusia sejagat. Ada di antara
orang-orang Cina itu datang ketika beliau mendirikan sembahyang berserta kaum
Muslimin semata-mata untuk melihat bagaimana beliau menyembah Tuhannya. Selepas
mendirikan sembahyang mereka juga turut berjabat dan mencium tangan
beliau. Ada di antara mereka yang
menawarkan sebuah rumah batu yang lengkap dengan kemudahan seperti air,
elektrik dan telefon. Tetapi beliau menolaknya.
Beliau lebih suka tinggal bersama orang-orang Islam yang miskin. YM Tuan Guru RA meneruskan ceritanya:
"Ada seorang budak sekolah memberitahu saya, bahawa di
sekolah tempat dia belajar ada seorang paderi yang mengatakan bahawa Nabi Isa
AS adalah anak Tuhan hasil perkongsian Siti Mariam dengan Tuhan.
Satu pagi tanpa diduga paderi tersebut serta rombongannya
datang ke tempat saya. Bersamanya seekor anak anjing peliharaan. Mereka terus masuk ke dalam rumah dengan
meninggalkan anak anjing tersebut di luar rumah. Tetapi tak semena-mena anak
anjing itu dapat juga melarikan diri ke dalam rumah lalu duduk bersama
tuannya. Ini adalah satu hikmah dari
Allah SWT kerana ianya membuka satu jalan untuk menasihati paderi tersebut.
Lalu saya mengambil kesempatan itu untuk menyindirnya dengan berkata, ‘Tuan
telah bersusah payah memelihara anak anjing itu, sehingga ia sangat sayang
kepada tuan. Maka oleh sebab itu ia
bersusah payah mencari jalan untuk masuk ke dalam rumah dan terus duduk bersama
tuan kerana ia sangat sayang dan kenal tuannya.
Tetapi amat sayang sekali orang-orang yang tidak kenal Tuhan Allah SWT,
yang menjadikannya dari setitik air yang hina, lalu menjadikannya sebaik-baik
kejadian. Mereka tidak berterima kasih
kepadaNya. Bahkan mereka lebih suka mengambil batu, pokok, manusia dan lain-lain
sebagai Tuhan selain dari Allah SWT. Tetapi yang paling bodoh ialah orang yang
mengambil manusia sebagai Tuhannya atau menganggapnya sebagai anak Tuhan,
seperti kepercayaan Agama Kristian. Nabi
Isa AS adalah utusan Tuhan untuk membimbing umatnya ke jalan Allah SWT. Bukan anak Tuhan. Tuhan tidak beranak dan
tidak diperanakkan. Ianya Tunggal tiada sesuatu pun yang serupa denganNya.
KepadaNyalah berhajat segala makhluk.’
Saya berani membuktikan kepada mereka tentang kebenaran
Agama Islam dengan cara membawa orang yang dihidapi penyakit yang tidak boleh
disembuhkan oleh doktor. Saya akan
berdoa kepada Allah SWT dan insyaAllah dengan kebenaran Agama Islam, orang
tersebut akan sembuh. Tetapi tiada seorang pun di antara mereka yang berani
mencuba cadangan itu.
Pernah juga saya mencabar paderi-paderi untuk membuktikan
agama siapakah yang benar, dengan mengajukan kepada mereka tiga cabaran. Iaitu
ditembak, dibakar di dalam sebuah rumah atau belayar ke sebuah pulau tanpa
membawa sebarang makanan atau minuman.
Siapa yang agamanya benar, tidak akan mati. Tetapi tiada seorangpun di
antara mereka yang hadir berani menyahut cabaran tersebut.
Kali pertama saya sampai ke Singapura ramai di antara kaum
wanita yang menziarahi saya memakai perhiasan emas. Tetapi pada keesokan
harinya, tidak lagi kelihatan memakainya. Apabila ditanya kenapa demikian,
mereka menjawab bahawa mereka sudah faham nasihat saya kelmarin.
Pernah satu ketika mereka ketawa di hadapan saya dan
apabila saya tanya kenapa mereka ketawa, mereka menjawab bahawa sebelum mereka
berjumpa dengan saya fikiran mereka tidak tenang, kerana selalu diganggu oleh
pelbagai fikiran dan angan-angan. Tetapi setelah mereka berjumpa dengan saya,
fikiran mereka menjadi tenteram. Segala
gangguan fikiran telah hilang dengan serta-merta. Pengakuan yang sama telah juga diakui oleh
orang-orang lain yang datang menziarahi saya.
Inilah kurniaan Allah SWT bagi siapa yang Ia kehendaki.
Di lain kesempatan saya menasihati penduduk-penduduk
Singapura supaya yakin dengan janji-janji Allah SWT dalam Al-Quran, seperti tersebut dalam surah
Al-Baqarah, iaitu satu ringgit kita sedekahkan kerana Allah SWT akan dibalas
oleh Allah SWT tujuh ratus ringgit atau lebih.
Ada di antara yang hadir
itu seorang lelaki yang hendak mencuba kebenaran kenyataan saya. Ketika lelaki tersebut berjalan di bandar
Singapura, dia sedekahkan sepuluh sen kepada pengemis di situ. Tiba-tiba ketika sedang berjalan dia ternampak
wang kertas sepuluh ringgit diterbangkan angin ke arahnya. Tiada seorangpun yang lalu di sana
mempedulikan wang tersebut. Akhirnya dia
mengambilnya. Maka yakinlah dia tentang kebenaran kata-kata saya itu.
Di lain kesempatan pula, ketika saya sedang menunggu di
Lapangan Terbang Singapura untuk bertolak ke Jakarta, saya sempat menasihati
orang-orang di situ supaya yakin dengan janji Allah SWT. Sesiapa yang membelanjakan seringgit kerana
Allah SWT akan dibalas dengan tujuh ratus ringgit atau lebih. Ketika itu saya
hanya mempunyai $50.00 lalu saya sedekahkan $45.00 kepada kawan-kawan di
situ. Tiba-tiba datang seorang berbangsa
Cina yang tidak saya kenali memberikan saya sehelai sampul surat. Saya menyuruh
kawan di sebelah saya untuk membuka sampul surat tersebut. Di dalamnya terdapat
$500.00.
Maka bertambah yakinlah orang-orang yang hadir di situ
tentang janji-janji Allah SWT. Allah SWT sengaja memperlihatkan kebesaranNya
agar manusia kembali mengingatiNya.
Pernah juga saya
menasihati pemandu-pemandu teksi supaya mendirikan sembahyang lima waktu dan
sentiasa berzikir, menyebut nama Allah SWT ketika memandu serta mengeluarkan
zakat daripada pendapatan mereka. Setiap
$10.00 zakatnya hanya 25 sen. Kalau ini
dilakukan, insyaAllah penghidupan mereka akan senang dan pendapatan mereka akan
diberkati Allah SWT.
Ada seorang di antara
pemandu teksi itu cuba mengikut petunjuk saya. Lalu dia berzikir sepanjang
perjalanannya. Tiba-tiba keretanya bergoyang mengikut rentak zikirnya dan
ketika berhenti untuk memuat penumpang dilihatnya pokok-pokok disekitarnya
turut bergoyang. Dia sangat hairan.
Kemudian dia terus ke
masjid untuk bersembahyang tanpa mengambil penumpang lagi. Ketika hendak balik
tiba-tiba enjin keretanya tidak hidup, seolah-olah telah rosak. Setelah diperiksa didapatinya ada kerosakan
pada enjin kereta tersebut. Kemudian dia
berdoa pada Allah SWT dengan katanya, ‘Ya Allah, aku datang ke masjid untuk
sujud kepadaMu. Engkaulah yang
menciptakan manusia dari setitik air.
Engkaulah berkuasa atas segala sesuatu. Maka hidupkanlah keretaku ini.’
Maka dengan serta-merta
enjin keretanya hidup dan yang anehnya, walaupun keretanya telah kehabisan
minyak tetapi enjin keretanya hidup seperti biasa. Kemudian dia melaporkan
perkara tersebut kepada saya. Saya menerangkan bahawa apa yang dilihatnya itu
membuktikan betapa agung dan hebatnya mengingati Allah SWT, sehingga makhluk
lain turut sama berzikir mengikut rentak zikirnya.
Saya menerangkan lagi,
bahawa pada hakikatnya, yang menggerakkan kereta adalah Allah SWT, bukan
semata-mata kerana enjin atau minyak. Dengan peristiwa itu, Allah SWT telah
memperlihatkan kudratNya berkat daripada sembahyang orang itu.
Ketikanya berada di
Singapura, pernah juga saya diundang oleh pihak polis ke kediaman mereka untuk
memberi ceramah dan nasihat. Saya
menasihati mereka supaya sentiasa taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah
SAW, berbelas kasihan terhadap sesama manusia, jangan bertindak dengan
sewenang-wenangnya, jangan minum arak dan main judi, jangan makan rasuah dan
menipu.
Ketua polis yang turut
hadir di situ ketika mendengar nasihat saya, tiba-tiba sahaja menangis
tersedu-sedu. Dia berkata bahawa nasihat
yang sama telah didengarnya dalam mimpinya dua puluh tahun yang lalu. Ketua
polis tersebut sangat menghormati saya.”
Maka dengan peristiwa-peristiwa yang luarbiasa itu serta
keluhuran peribadi YM Tuan Guru RA, bertambah yakinlah para penduduk kota
Singapura terhadap kebenaran beliau.
Bukan sahaja orang-orang Islam yang sayang dan menghormati beliau,
bahkan orang-orang beragama lain pun turut sayang dan menghormatinya.
Ini jelas kelihatan apabila sudah tiba masa YM Tuan Guru RA
berangkat kembali meninggalkan kota Singapura.
Berduyun-duyunlah orang Islam dan bukan Islam mengiringi beliau ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura, sehingga sesaklah lapangan terbang
tersebut. Suasana ketika itu diselubungi oleh tangisan orang ramai kerana sedih
hati berpisah dengan beliau.
Melihat suasana itu beliau sangat kasihan kepada mereka.
Maka YM Tuan Guru RA menggunakan kesempatan itu untuk menasihati mereka. Nasihat beliau begitu meresap dan menusuk
lubuk hati mereka, sehingga suasana bertambah sedih dan diselubungi oleh
tangisan.
Dalam keadaan demikian beliau terlepas penerbangan dan
terpaksa menunggu penerbangan yang lain.
Beliau masih juga terlepas penerbangan kedua. Rupa-rupanya ada di antara
sahabat beliau yang bernazar berpuasa jika beliau tidak dapat berlepas.
Akhirnya YM Tuan Guru RA dapat juga berlepas dengan
penerbangan yang ketiga.
DI JAKARTA
Dalam kesempatan yang lain YM Tuan Guru RA telah berdakwah
ke Indonesia. Ketika tiba di Kota
Jakarta, tanpa membuang masa beliau terus pergi menziarahi Masjid Raya dan
menunaikan sembahyang berjemaah di situ.
Dalam masjid tersebut terdapat beberapa orang tokoh agama sedang memberi
ceramah agama kepada jemaah yang hadir.
Beliau turut sama mendengar nasihat-nasihat mereka. Ada di antara mereka menjemput YM Tuan Guru
RA tampil memberikan nasihat sepatah dua kata kepada mereka. Beliau berasa hairan dengan pelawaan mereka
kerana ketika itu beliau baru pertama kali ke Jakarta. Mereka belum mengenali beliau lagi.
Lagipun beliau masih dalam keadaan letih. Namun atas permintaan dan desakan mereka,
beliau terpaksa juga ke hadapan untuk memberi nasihat. Beliau tidak tahu apa nasihat yang harus
disampaikan. Tetapi setelah beliau memulakan ucapannya ilham datang secara
langsung dari Allah SWT sehingga beliau sendiri tidak menyedari apa yang
diucapkannya. Dalam keadaan demikian
beliau lihat umpama gugusan bintang-bintang yang terang, keluarlah bulan
purnama yang mengalahkan cahaya bintang-bintang itu.
Demikianlah kelebihan beliau. Setiap nasihat bukanlah
datang dari pendapatnya sendiri, tetapi adalah dari Allah SWT. Beliau tidak perlu bersedia sebelum memberi
nasihat. Akan tetapi nasihat yang
dituturkan adalah merupakan ilham yang datang secara langsung dari Allah
SWT. Setiap ucapan beliau adalah
kehendak Allah SWT jua sebab itulah setiap ucapan yang disampaikan oleh beliau
penuh dengan kekuatan dan keselamatan.
Demi mendengar nasihat beliau, para tokoh agama tadi terus
menundukkan kepala mereka. Setiap nasihat beliau mereka dengar dengan
baik-baik. Sejak dari peristiwa itu,
beliau selalu dijemput untuk memberi nasihat dan menjadi imam. Walaupun beliau
cuba bersembunyi di sebalik tiang masjid, namun mereka tetap mencarinya.
Akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan supaya mereka tidak susah untuk
mencarinya lagi.
YM Tuan Guru RA
meneruskan ceritanya:
"Ketika berdakwah di Indonesia saya ditemani oleh
seorang ketua tentera. Sebelum saya mula berdakwah di daerah-daerah di Jakarta,
ketua tentera tersebut menasihati saya supaya berhati-hati semasa menyampaikan
dakwah, jangan sampai menyinggung perasaan orang Kristian kerana perkara
seumpama itu amat sensitif. Akan tetapi saya tidak peduli. Saya berkata, bahawa saya mesti menyatakan
kebenaran supaya umat lain sedar tentang kebenaran Agama Islam. Mudah-mudahan dengan itu mereka akan memeluk
Agama Islam. Kata ku, ‘Saya hanya
menjual, siapa sudi - beli. Siapa tidak
sudi, apa boleh buat.’
Kerana ketegasan saya, akhirnya ketua tentera tersebut
tidak lagi menegur saya. Dialah sentiasa di samping saya walau ke mana saya
pergi. Dia sangat kagum dengan
keberanian saya dalam menegakkan kebenaran Agama Islam.
Dalam satu majlis yang dihadiri oleh orang beragama
Kristian, saya mengatakan bahawa tiada agama yang benar di sisi Allah SWT
melainkan Agama Islam. Agama lain
semuanya palsu. Untuk membuktikan
kebenaran Agama Islam, saya membuat tiga cabaran iaitu ditembak, dibakar
ataupun kami belayar ke sebuah pulau tanpa membawa sebarang makanan. Siapa yang benar agamanya tidak akan mati
atau mati kelaparan. Namun tiada
seorangpun yang berani menyahut cabaran saya itu.
Pernah, ketika saya sedang memberi ceramah, orang-orang
yang hadir di situ ketawa. Ketika saya tanya kenapa mereka ketawa, mereka
menjawab bahawa apa yang di hati mereka seolah-olah saya tahu.
Ketika berada di Jakarta, saya tinggal di sebuah rumah
orang miskin, walaupun saya beberapa kali dipelawa oleh orang-orang kaya untuk
tinggal bersama mereka. Ini kerana saya
lebih senang bergaul dengan orang miskin daripada orang kaya.”
PERISTIWA MASJID BANDAR LAHAD DATU
Sekembalinya beliau dari Filipina telah berlaku satu
peristiwa yang hebat antara beliau dengan kerajaan. Peristiwa tersebut ialah mengenai
pembongkaran Masjid Bandar Lahad Datu yang terjadi dari sejak pemerintahan
British hinggalah ke pemerintahan USNO.
Kisah penentangan beliau ini tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini
oleh penduduk-penduduk tempatan khususnya penduduk dalam Daerah Lahad Datu.
Pada tahun 1955, pemerintah British telah mengeluarkan
arahan untuk memindahkan Masjid Bandar Lahad Datu ke atas sebuah bukit yang
berhampiran, kerana kawasan Bandar Lahad Datu termasuk tapak Masjid Bandar,
telah terlibat dalam rancangan pembangunan bandar. Pada 20 Disember 1959, beliaupun menulis
sepucuk surat kepada Residen Tawau merayu untuk membatalkan usul memindahkan
Masjid Bandar kerana ianya bertentangan dengan undang-undang Islam. Beliau
menjelaskan bahawa tapak di mana Masjid Bandar didirikan telah diwakafkan oleh
orang-orang kampung untuk pembinaan masjid.
Maka adalah bertentangan dengan hukum syarak memindahkan masjid awal
dari tapak asalnya. Sedangkan kubur
tidak boleh dipindahkan, inikan pula masjid tempat mendirikan sembahyang.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan adalah diumpamakan
sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal rakyatnya, yang mana
ia sepatutnya dapat menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan
seadil-adilnya, menurut undang-undang Islam.
Pada l9 Januari 1960, Pegawai Daerah Lahad Datu ketika itu
membalas surat beliau dengan mengatakan bahawa tiga orang pemimpin tempatan
termasuk imam daerah ketika itu, telah menandatangani satu perjanjian pada 23
Julai 1958, sebagai tanda persetujuan atas pemindahan tersebut. Maka dengan demikian rayuan beliau gagal.
Sekali lagi beliau menghantar sepucuk surat yang
menegaskan, bahawa menurut undang-undang Islam, di mana sebidang tanah telah
diwakafkan untuk pembinaan masjid dan kemudian sebuah masjid telah dibina di
atas tanah itu dan sembahyang telah pun didirikan di dalamnya walaupun sekali, maka tanah tersebut tidak
boleh lagi digunakan untuk keperluan lain, dan masjid yang dibina di atasnya tidak
boleh lagi diroboh dan dipindahkan.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk mempertahankan hak
ini dengan apa cara pun.
Tetapi pemerintah telah mengeluarkan notis supaya Masjid
Bandar dipindahkan juga tanpa menghiraukan rayuan beliau. Kemudian beliau menghantar surat kepada
Gabenor memaklumkan beliau sanggup memberi kerajaan sebidang tanah beliau
seluas 10 ekar di Kampung Bikang, asalkan Masjid Bandar tidak dipindahkan.
Sekiranya pihak kerajaan meneruskan juga rancangannya memindahkan Masjid
Bandar, maka beliau akan sanggup mempertahankannya walaupun seorang diri dan walaupun diri beliau terkorban ditembak
mati. Namun demikian, pemerintah tetap meneruskan rancangannya.
Sewaktu pertengkaran ini, di samping askar dan polis yang
sedia ada, ramai lagi askar Gurkha yang terkenal dengan ketegasan dan
keberanian mereka telah dikerahkan ke Lahad Datu untuk membantu mengawal
keadaan keselamatan kerana ada desas-desus yang mengatakan kononnya beliau dan
para pengikutnya menentang pemerintah. Beliau dituduh menyimpan senjata yang
dibekalkan dari Filipina. Rumah beliau telah dikawal rapi. Tetapi setiap malam
kesemua askar yang mengawal berasa sangat takut, hinggakan menggeletar lutut
mereka. Jagaan dan kawalan yang begitu
ketat tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi beliau.
Orang ramai sentiasa mengerumuni beliau di mana saja beliau
berada. Ketika itu pengaruh beliau
sangat kuat dan beliau dikenali di seluruh pelusuk. Maka berduyun-duyunlah orang datang ke rumah
beliau. Pihak keselamatan juga turut
mengawal ketat pengikut-pengikut beliau dan mengadakan pemeriksaan yang teliti
terhadap mereka, kerana takut ada membawa senjata bersama mereka.
Mereka menyekat pengikut-pengikut beliau yang datang dari
luar Daerah Lahad Datu yang ingin mengikuti beliau bersembahyang, terutama
sembahyang Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dan juga pada hari-hari kebesaran
Islam seperti Israk Mikraj. Mereka mengusir saja pengikut-pengikut beliau balik
ke tempat mereka masing-masing. Namun
pengikut-pengikut beliau tidak mengendahkan sekatan pihak keselamatan itu.
Perhubungan melalui jalan darat amat sukar ketika itu. Oleh yang demikian beliau terpaksa melalui
jalan laut untuk datang ke bandar, terutama untuk mengerjakan sembahyang fardhu
Jumaat di Masjid Bandar. Selalunya
sebelum berangkat ke mana-mana, beliau akan menyuruh pengikut-pengikutnya
melaungkan azan di empat penjuru. Setiap
kali ke bandar, beliau tetap disambut oleh orang ramai. Berpusu-pusu orang ramai menunggu beliau di
pengkalan (Jeti), hingga jalan raya penuh sesak. Mereka membawa panji berwarna hijau yang
bertulis Dua Kalimah Syahadat. Walaupun polis menghalang, tetapi orang ramai
tidak menghiraukannya. Setelah tiba di
pengkalan, orang ramai menyambut beliau dengan mencium tangan dan kaki beliau
hingga satu ketika seorang perempuan yang berada di atas motorbot berhampiran
dengan motorbot yang beliau naiki, menghulurkan tangan hendak berjabat dengan
beliau. Tetapi oleh kerana perempuan itu
berada di atas motorbot yang lain, dan jarak beliau jauh sedikit, perempuan
tersebut hampir-hampir jatuh ke laut.
Begitulah keadaan orang ramai yang sanggup bersusah payah
untuk menemui beliau walaupun dalam keadaan yang rumit, mereka tidak
menghiraukannya.
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
Maka Ustaz pun menjadi pucat dengan serta-merta. Saya berkata lagi, ‘Mengapa jurus ini tidak
dipakai oleh Rasulullah ketika peperangan Uhud?
Rupanya Ustaz lebih hebat dari Nabi SAW.
Tunjukkan pada saya mana imam empat yang mengamalkan Nasrul Haq.’ Ujar Ustaz, ‘Betul tiada, tetapi ini bidaah
Hasanah yang bertujuan supaya orang sembahyang.’ Jawab saya, ‘Bagus juga niat kamu.
Mudah-mudahan Tuhan boleh maafkan. Tapi
Ustaz, saya beritahu kamu kalau lain di mulut lain di hati, Tuhan akan cap
munafik!”
KENAPA YM TUAN GURU TIDAK BERJANGGUT
YM Tuan Guru RA
meneruskan ceritanya:
"Saya sangat hairan dengan sambutan orang ramai,
sehingga saya berpendapat mungkin kerana janggut saya yang panjang menyebabkan
mereka menghormati saya. Oleh sebab itu, sewaktu beriktikaf, saya berdoa kepada Tuhan jika ada kebaikannya bagi
saya agar disimpan saja kebaikan itu untuk negeri akhirat. Tetapi dalam hati
saya terlintas, mungkin janggut saya yang panjang menyebabkan saya disegani
orang ramai.
Pada keesokan harinya saya terasa pipi saya gatal, lalu
saya merabanya. Tiba-tiba janggut saya
jatuh berguguran. Sebab itulah, sehingga
ke hari ini saya tidak lagi berjanggut.
Setiap kali tumbuh, janggut saya akan gugur sendiri.
Suatu ketika saya ingin mengadakan sembahyang beramai-ramai
sempena menyambut Israk dan Mikraj di Padang Bandaran. Saya pun minta kebenaran daripada Pegawai
Daerah (D.O) untuk bersembahyang di padang tersebut. Tetapi saya beritahu, bahawa padang tersebut hanya boleh digunakan
untuk bermain bola. Namun demikian, saya
mengambil keputusan untuk bersembahyang juga di padang itu.
Sewaktu tiba di pengkalan, askar telah sedia untuk menembak
saya dan mereka yang mengikut saya tetapi kami meneruskan perjalanan menuju ke
padang. Oleh kerana jalan menuju ke
padang mesti melalui Pejabat Polis lama yang terletak di atas bukit, maka kami
terpaksa berjalan melintasinya.
Ketua Polis Daerah dan Pegawai Daerah lalu menahan
kami. Mereka memberi amaran sekiranya kami meneruskan juga
perjalanan itu, maka askar Gurkha yang berkawal hari itu akan menembak
kami. Ketua Polis Daerah berkata, ‘Kami
telah diarah supaya menembak tuan dan pengikut-pengikut tuan jika meneruskan
juga perjalanan ini.’ Mendengar
kata-katanya saya menjawab, ‘Hari ini kami juga diarah oleh Tuhan kami untuk
bersembahyang di padang. Kamu jalankan
tugas kamu dan kami jalankan pula tugas kami.’
Kemudian saya pun menyuruh orang ramai meneruskan
perjalanan menuju ke padang bandar, tanpa menghiraukan ancaman dari pihak
keselamatan. Akhirnya pihak keselamatan
tidak dapat mengambil sebarang tindakan ke atas kami. Manusia tiada mempunyai
apa-apa kuasa. Yang berkuasa hanyalah Allah
SWT juga.
Selepas peristiwa itu, saya dipanggil oleh Pesuruhjaya
Polis yang telah datang ke Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis itu pun bertanya kepada saya, ‘Saya dengar ada
kekacauan yang berlaku di sini.’ Saya
pun menjawab, ‘Sebenarnya tidak ada apa-apa kekacauan di sini. Kami cuma ingin bersembahyang di padang. Saya telah memberitahu tuan D.O. mengenainya
dan mengaku akan bertanggungjawab jika ada kekacauan yang dilakukan oleh
pengikut-pengikut saya. Tetapi tuan D.O.
tidak membenarkan kami menggunakan padang kerana katanya padang adalah tempat
bermain bola. Tuan, saya sangat hairan
kenapa padang boleh digunakan untuk bermain bola dan tidak boleh digunakan
untuk bersembahyang, sedangkan padang adalah bumi Tuhan yang semestinya
digunakan untuk beribadat menyembahNya bukan untuk bermain bola.
Tuan, kita dicipta oleh Tuhan adalah untuk menyembahNya
bukan untuk main bola. Jika ada kekacauan dilakukan oleh pengikut-pengikut
saya, saya rela ditembak. Tetapi dalam soal agama, tolong jangan ganggu kami.
Kami taat kepada kerajaan selagi ia tidak bertentangan dengan agama kami.’ Pesuruhjaya itu berkata lagi, ‘Lain kali
buatlah saja di Bikang dan orang bandar biarkanlah di bandar.’ Tetapi saya menjawab, ‘Dalam syariat Islam,
kami disunatkan tiap-tiap hari berkumpul dan bersembahyang di masjid-masjid
kampung, tiap-tiap minggu pada hari Jumaat
berkumpul di Masjid Bandar, masjid awal dan tiap-tiap tahun berkumpul di
padang pada hari kebesaran Islam.’ Lalu
Pesuruhjaya itu berkata lagi, ‘Lain kali beritahulah dahulu.’ ‘Ya’ jawab saya.
Selepas peristiwa ini, bertambah lagi kawalan pihak
keselamatan ke atas saya dan pengikut-pengikut saya kerana mereka mengira bahawa kami mahu
menentang kerajaan. Pihak British
bertambah yakin bahawa kami benar-benar menentang kerajaan apabila saya telah
mewujudkan 'Jami'atul Khairiah' pada tahun 1960.
Tertubuhnya persatuan 'Jami'atul Khairiah' disebabkah pada
suatu hari telah datang seorang balu bersama anak-anaknya ke tempat saya. Dia mengadu kepada saya bahawa suaminya telah
meninggal dunia dan dia tidak mempunyai wang untuk menguruskan pengkebumian
suaminya. Saya berasa amat kasihan
kepada balu dan anak-anaknya itu. Saya
pun menyuruh pengikut-pengikut saya menubuhkan persatuan yang diberi nama
'Jami'atul Khairiah.' Tujuan persatuan
tersebut supaya dapat membantu orang dalam kesusahan terutamanya yang ada
keuzuran di setiap kampung. Setiap ahli
persatuan 'Jami'atul Khairiah' memakai lencana yang bertulis Dua kalimah
syahadat.”
Arahan pun telah dikeluarkan untuk menembak YM Tuan Guru RA
dan pengikut-pengikutnya sekiranya didapati menimbulkan huru-hara. Sebab itu, satu ketika semasa beliau dan
pengikut-pengikutnya menaiki bot dan keluar dari Sungai Bikang untuk ke bandar,
sebuah bot marin yang siap sedia di situ telah menembak bot mereka dengan meriam.
Tetapi yang anehnya senjata itu tiba-tiba sahaja tidak
mengeluarkan letupan, seakan-akan telah lama rosak. Kisah
ini diakui oleh salah seorang anggota marin yang berada di
bot marin pada ketika itu.
Di atas bukit yang berhampiran dengan Masjid Bandar para
askar dan polis sentiasa bersiap sedia dengan senapang mereka menghadap ke arah
masjid itu, terutama bila beliau berjalan dengan pengikut-pengikutnya melalui
bawah bukit itu, setelah tiba dari kampung Bikang. Di padang juga beliau dan pengikut-pengikutnya
dikawal rapi oleh pihak keselamatan, terutama pada hari-hari kebesaran
Islam. Sehubungan dengan itu, pihak
pemerintah telah menimbulkan soal kedudukan beliau sebagai rakyat asing
(pendatang) dan bukan penduduk tempatan dalam daerah Lahad Datu. Tetapi beliau
menjelaskan, bahawa beliau tidak bermaksud untuk meminta tanah, malah jika orang-orang miskin meminta tanah
beliau akan memberinya.
Dalam keadaan demikian, berita mengenai pembongkaran masjid
ini telah sampai kepada orang-orang Islam di Filipina. Mereka telah menghubungi Gabenor mereka dan
menegaskan bahawa 90,000 orang Islam di Filipina akan berkorban apa saja untuk
mempertahankan yang hak. Maka Gabenor tersebut pun menghubungi Gabenor di North
Borneo menyatakan hal demikian. Oleh itu
beliau telah dipanggil oleh Pegawai Daerah (D.O.).
Beliau telah disoal sebab-sebab mengapa beliau menimbulkan
kekacauan dan hanya beliau sahaja yang membuat penentangan sedangkan orang lain
telah bersetuju dengan tindakan itu (memindahkan Masjid Bandar Lahad
Datu). Beliau juga dituduh sebagai ketua
mundu (lanun di Filipina) kerana pihak pemerintah mendapati beliau ada
bergambar bersama mundu-mundu sewaktu di Filipina dulu.
Setelah mendengar kenyataan itu, beliau pun menjawab,
"Alim Ulama yang memerlukan gaji memang takut untuk mengatakan kebenaran
kerana mereka pandang wang dan pangkat.
Tetapi saya tidak pandang wang dan pangkat, kerana kalau saya mati,
kesemua itu akan tinggal juga. Apalah gunanya pangkat kerana kalau tuan mati
dan saya mati tidak juga membawa pangkat ke kubur. Begitu juga dengan harta kekayaan tidak juga
ikut ke kubur.” Pegawai Daerah itu lalu
mengaku kebenaran kenyataan beliau dengan katanya. "Tuan Haji telah berkata benar. Dalam seribu orang Tuan Haji sahaja yang
berani mengatakan kebenaran. Tetapi apa
boleh buat kami makan gaji.” Beliau
berkata lagi, "Walau bagaimanapun jika ada alim Ulama lain yang mengatakan
masjid boleh dipindahkan, akan saya turuti kata mereka.”
MUZAKARAH DENGAN PARA MUFTI DI JOHOR BAHRU
YM Tuan Guru RA meneruskan ceritanya:
"Ekoran dari peristiwa tersebut, saya telah dipanggil
ke Kuala Lumpur. Ketika itu Sabah sudah
mulai menjadi sebahagian dari Malaysia (tahun 1963). Saya telah dijemput menghadiri satu perjumpaan
yang dihadiri oleh Ulama-ulama dan Mufti-mufti.
Perhimpunan tersebut adalah bertujuan untuk memberi fatwa mengenai masjid, sama ada boleh
dipindah atau tidak. Maka berangkatlah
saya bersama beberapa pengikut saya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri muzakarah
tersebut.
Selama lebih kurang dua minggu di Kuala Lumpur, kami dijamu
istimewa. Saya telah memberi amaran
kepada pengikut saya agar jangan terpedaya dengan jamuan sedap-sedap, hingga
menyebelahi pihak kerajaan. Kami telah
dibawa melawat negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Ini adalah satu cara untuk mematahkan semangat
kami untuk menentang sebarang keputusan para alim Ulama mengenai isu pemindahan
masjid kelak.
Akhirnya satu perjumpaan telah diadakan di Negeri Johor,
yang dihadiri oleh para alim Ulama dan Mufti-mufti serta seorang alim dari
Mesir sebagai pemerhati. Para alim
Ulama dan Mufti-mufti telah membahaskan tentang masalah pembongkaran dan
pemindahan masjid dan membuat keputusan bahawa masjid boleh dipindah jika
pemerintah menghendaki dan tempat sesuai telah disediakan untuknya. Ini berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ
أَطِيعُواْ الله َوَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ
"Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan
ketua pada kamu.”
(Surah An-Nisa : 59)
Tetapi salah seorang daripada alim Ulama itu pada mulanya
sependapat dengan saya, katanya, ‘Kenapa Masjidil Haram tidak dipindah,
sedangkan ianya terletak di tengah lembah, sehingga apabila hujan semua kotoran
akan berkumpul di Masjidil Haram? Masjidil Haram tetap juga di situ.’
Tetapi kawan-kawan yang di sebelah berbisik-bisik
dengannya. Lalu dia mengubah
pendiriannya dengan berkata, ‘Masjid boleh juga dipindah tetapi bekas tapaknya
itu hendaklah ditanam dengan bunga-bunga.’
Selang satu minggu alim ini meninggal dunia.
Salah seorang dari rombongan saya membisikkan kepada saya
supaya tidak melawan dan menerima sahaja keputusan para alim Ulama itu. Rupanya dia telah terpedaya oleh makanan
sedap-sedap dan lawatan ke beberapa tempat.
Saya menyedari bahawa alim Ulama telah menyatakan apa yang
telah dikatakan oleh kerajaan walaupun menyalahi kebenaran. Saya berasa sedih kerana yang diharap
mempertahankan kebenaran ialah alim Ulama.
Tetapi kini mereka telah menyebelahi pihak kerajaan kerana takut dibuang
pangkat dan kedudukan. Mereka telah
mengkhianati Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Saya lalu menghadapkan hati saya kepada Allah SWT, Tuhan Seru Sekalian
Alam, yang membela hambaNya dalam menegakkan kebenaran.
Saya sangat memerlukan pertolongan Allah SWT ketika
itu. Mereka lalu mempersilakan saya
untuk berucap atau mengemukakan pertanyaan.
Saya bangun dan memulakan ucapan saya dengan puji-pujian bagi Allah SWT
dan selawat dan salam atas RasulNya, serta bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan saya dengan alim
Ulama. Sebelum meneruskan ucapan, saya
membaca lima potong ayat dari Al-Quran yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ
اتَّقُواْ الله َ وَكُونُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ
"Hai orang-orang yang beriman,
bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (Surah At-Taubah: 119)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوَاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ
يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ
"Hai orang-orang yang beriman jika kamu mengikuti
sebahagian dari Ahli Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi
kafir sesudah kamu beriman.”
(Surah Al-Imran: 100)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ
لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَآءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ
فَإِنَّهُ= مِنْهُمْ إِنَّ الله َلاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
"Hai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu angkat orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) menjadi
pemimpin, sebahagian mereka menjadi pemimpin bagi yang lain. Barangsiapa di
antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin maka orang itu termasuk dalam
golongan mereka.” (Surah Al-Maidah: 51)
وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ
وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
"Tidak akan redha sekali-kali orang
Yahudi dan Nasrani terhadapmu sehingga kamu mengikuti agama mereka.” (Surah Al-Baqarah: 120)
فَنَجْعَل لَّعْنَةُ اللهِ عَلَى
الْكَاذِبِينَ
"Serta kita meminta supaya lak'nat Allah atas
orang-orang pendusta.”
(Surah Ali-lmran: 61)
Selesai sahaja saya membaca ayat-ayat tersebut, saya
melihat wajah para alim Ulama dan Mufti-mufti yang hadir berubah menjadi hitam
seperti mana hitam songkok Melayu.
Dengan itu saya yakin pertolongan Allah SWT telah tiba. Lalu saya minta para alim Ulama untuk
menunjukkan keterangan dari Al-Quran dan Hadis, yang membolehkan masjid boleh
dipindah ke tempat lain.
Mereka terpegun dan tidak menjawab walau sepatah perkataan
pun. Kemudian salah seorang dari mereka
pun berkata, ‘Yang sebenarnya kerajaan menyuruh kami untuk mengatakan masjid
boleh dipindah.’ Mendengar penjelasan
tersebut saya berkata lagi, ‘Sayang sekali ilmu tuan-tuan tidak ada nilainya di
sisi Allah SWT walau satu sen pun.
Berjihad dengan perkataan tidak kuasa, apa lagi dengan harta dan jiwa.’
Setelah perhimpunan selesai, maka kami pun keluarlah dari
dewan persidangan dan menuju ke masjid.
Ulama dari Mesir itu mempersilakan saya supaya berjalan di
hadapannya. Tetapi saya enggan dan
menyuruhnya pula supaya berjalan lebih dahulu.
Dia juga segan, lalu membaca sepotong ayat, ‘Semulia-mulia kamu di sisi
Allah SWT ialah orang yang paling taqwa antara kamu.’
Akhirnya kami pun
berjalanlah beriringan antara satu sama lain. Dia menghadiahkan saya sebuah kitab Al-Quran
kecil. Setelah berada selama dua minggu
di Kuala Lumpur kami pun kembalilah ke Lahad Datu.”
PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU SEMASA PEMERINTAHAN USNO
Dalam pemerintahan USNO banyak peristiwa yang berlaku ke
atas beliau dalam menegakkan kebenaran.
Di antara yang terpenting ialah peristiwa Masjid Bandar Lahad Datu, pertemuan dengan Datu Mustapha, di Penjara Pudu Kuala Lumpur dan diusir balik
ke Pakistan.
YM Tuan Guru RA
meneruskan ceritanya:
"Sewaktu pemerintah British hendak memindahkan Masjid
Bandar Lahad Datu ke atas sebuah bukit, saya telah berdoa kepada Allah SWT
supaya pemerintah akan bertukar kepada orang-orang Islam, agar orang-orang yang
beribadat tidak diganggu lagi. Saya juga
berdoa supaya Datu Mustapha menjadi Ketua Menteri kerana pada waktu itu saya
mendapat tahu dari orang ramai, bahawa dia seorang yang bijak.
Berkat doa itu, setelah North Borneo merdeka dan telah
menjadi sebahagian dari Malaysia (tahun 1963), Datu Mustapha telah dilantik
menjadi Ketua Menteri selepas Peter Lo.
Setelah mendapat tahu hal itu, saya berasa gembira kerana orang Islam
telah memegang teraju pemerintahan. Saya
dan penduduk-penduduk Lahad Datu telah mengirim sepucuk surat kepada Datu
Mustapha untuk mengucapkan kesyukuran
serta berdoa semoga dia kekal memerintah. Saya juga meminta kebenaran untuk memperbaiki
Masjid Bandar Lahad Datu tanpa meminta bantuan kewangan daripada kerajaan.
Selang beberapa waktu kemudian, Datu Mustapha telah
membalas surat saya itu dan menyatakan, bahawa tapak masjid tersebut mengikut
rekod telah menjadi kepunyaan seorang Cina.
Oleh itu Masjid Bandar Lahad Datu
mestilah dibongkar dan dipindah. Surat tersebut telah dibaca di khalayak umum
pada hari Jumaat. Kesemua orang ibadat
yang ada di situ tidak senang hati mendengar berita itu. Mereka berasa hairan bagaimana pula tapak
masjid tersebut menjadi kepunyaan seorang Cina, sedangkan orang-orang Cina itu
adalah pendatang. Masjid tersebut telah
didirikan di atas tanah orang-orang kampung (tempatan) dan bukan milik orang
Cina.
Oleh sebab itu saya masih juga menentang pemindahan Masjid
Bandar itu. Maka kerajaan USNO terus mengekalkan kawalan ketat ke atas saya dan
para pengikut saya. Di mana-mana saya
pergi akan diekori oleh mata-mata gelap (CID) untuk mengintip hal ehwal
saya. Namun demikian, usaha mereka
tidak menemui hasil kerana saya hanya menyeru manusia menyembah Allah SWT
dengan mentaati perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Tidak pernah saya menghasut orang ramai atau
pengikut saya melawan kerajaan.
Kerajaan ketika itu telah sependapat dengan kerajaan
British, bahawa saya menyimpan senjata api di kampung Bikang yang dibekalkan
dari Filipina untuk menentang kerajaan. Maka pada 1 Mac 1965, satu jenis waran yang dipanggil
‘Warrant to search place of deposit suspected’ telah dikeluarkan untuk memberi
kuasa kepada ASP Khanizaman, OCPD ketika itu dan lnspektor Sulaiman memeriksa
rumah saya di Kampung Bikang kerana disyaki ada senjata api disembunyikan di
situ.
Mereka pun memeriksa dan menggeledah rumah saya sehingga ke
bilik air, namun tidak menemui sebarang senjata selain pisau dan parang yang
tumpul. Mereka berdua pun membuat
laporan sulit kepada pihak keselamatan. Akhirnya saya dipanggil oleh Ketua
Menteri Sabah, Datu Mustapha untuk bertemu dengannya.
PERTEMUAN DENGAN DATU MUSTAPHA
Datu Mustapha telah mengundang saya untuk bertemu dengannya
pada pukul 9:00 malam di sebuah hotel di Lahad Datu. Dalam perbualan itu Datu Mustapha berkata,
"Apa sahaja keputusan mesyuarat kami hendaklah Tuan Haji ikuti.” Saya pun menjawab, "Sedangkan pemerintah
Jepun dan British pun kami patuhi arahannya, apalagi tuan sendiri yang sesama
Islam, asalkan tidak bertentangan dengan agama. Tetapi kalau bertentangan
dengan agama maka saya tidak akan turuti walaupun saya ditembak mati.”
DIUSIR BALIK KE PAKISTAN
Saya diarah oleh Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Haji Mustapha
selaku Presiden Parti USNO, supaya pergi ke Daerah Semporna, yang terletak
lebih kurang 120 batu dari Lahad Datu dengan menaiki bot, untuk berkempen bagi
Parti USNO. Setelah bersedia untuk ke
Semporna tibalah serombongan utusan Kerajaan Malaysia untuk menjemput saya
kononnya untuk melawat Pakistan selama tiga bulan. Oleh yang demikian, terbatallah rancangan
saya ke Semporna dan mereka terus terbangkan saya ke Kuala Lumpur.
Sebenarnya rancangan ini adalah merupakan satu tipu helah
daripada kerajaan ketika itu. Saya
menghadapi cabaran ini dengan tenang dan sabar. Memang sebelum ini saya telah
memberitahu pengikut-pengikut saya, bahawa akan datang satu ujian bagi saya, di
mana saya akan diusir balik ke Pakistan, tetapi saya menyuruh mereka bersabar
kerana saya akan balik juga ke Lahad Datu.
DI PENJARA PUDU
Setelah tiba di Kuala Lumpur, saya ditangkap oleh pihak
berkuasa lalu dimasukkan ke Penjara Pudu.
Sebaik sahaja saya tiba di pintu penjara tersebut, pengawal yang berada
di situ terus menangis ketika melihat saya.
Ketika dalam penjara ini pelbagai perkara yang saya hadapi.
Pada hari pertama, semasa hendak mandi, saya mendapati
semua tawanan berkumpul di satu tempat mandi dengan tidak menutup aurat. Maka saya pun membatalkan niat saya untuk
mandi. Kemudian pada hari berikutnya
ketika saya hendak mandi, tiba-tiba datanglah ketua penjara, lalu memberikan
dua helai tuala kepada saya dan menyuruh orang-orang tawanan beredar dari kolam
mandi. Selepas saya mandi, barulah
mereka mandi. Kemudian saya diberikan
satu bilik lengkap dengan kamar mandi.
Dengan kemudahan ini, saya lebih mudah beribadat seolah-olah saya tidak tinggal dalam penjara.
Saya tidak disuruh bekerja dalam penjara. Selama berada
dalam penjara itu, ramailah antara tawanan yang beragama Islam bertaubat serta
mengerjakan sembahyang. Maka kedengaranlah suara azan berkumandang di segenap
penjuru penjara. Sebelum saya dipenjara,
memang saya telah mohon kepada Allah SWT agar dimasukkan sahaja ke penjara
selama 40 hari untuk mengasingkan diri dari orang ramai, yang tidak putus-putus
mengunjungi saya.
Doa saya telah dimakbulkan Allah SWT di mana setelah genap
40 hari berada di penjara, saya telah dibebaskan. Tetapi sebaik sahaja saya keluar dari
penjara, datanglah pula arahan menyatakan, bahawa saya dikehendaki pulang ke
negara asal saya Pakistan dan tidak dibenarkan lagi masuk ke Malaysia,
khususnya Sabah sepanjang hayat saya.
Dengan itu saya pun berangkatlah balik ke Pakistan pada tahun 1965
dengan meninggalkan keluarga di Bikang.
DI PAKISTAN (1965-1976)
YM Tuan Guru RA meneruskan lagi ceritanya:
"Setelah tiba di Pakistan, saya pun ke kampung halaman
yang saya tinggalkan selama 28 tahun yang lampau. Sebaik saja sampai ke kampung
halaman, saya disambut keluarga dengan hati yang gembira, penuh kesyukuran
kepada Allah SWT. Ayah dan ibu saya
telah meninggal dunia. lbu saya telah berpesan sebelum mati, sekiranya saya
balik hendaklah saya tidur di kuburannya.
Maka hasrat ini saya tunaikan, sebaik saja sampai.
Kaum kerabat saya ingin bergilir-gilir mengambil saya ke
rumah mereka masing-masing, namun saya tolak permintaan mereka. Saya suka bersendirian. Seorang sepupu perempuan ingin sekali berjumpa
saya dan telah berkali-kali mempelawa saya ke rumahnya. Namun setiap undangannya saya tolak sehingga seorang ahli ibadat dari
keluarga saya meminta saya memenuhi hasrat sepupu saya itu. Saya menyuruh orang tersebut supaya
memberitahu sepupu saya agar datang sahaja pada waktu sembahyang dengan memakai
purdah. Kesempatan ini diambil oleh sepupu saya.”
Belum pun lama beliau menetap di kampungnya, ramailah orang
yang datang ke rumah beliau untuk bersua muka dengannya serta mendengar
nasihat. Mulailah terkenal nama beliau di kampungnya sehingga berduyun-duyun
orang datang dengan membawa masalah.
Setiap masalah mereka dapat diselesaikan oleh beliau dan setiap penyakit
mereka dapat disembuhkan dengan izin Allah SWT.
YM Tuan Guru RA
meneruskan ceritanya:
"Saya berasa tidak tenteram dengan keadaan orang ramai
yang datang berduyun-duyun menziarahi saya.
Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menyembunyikan diri dari
orang ramai. Lalu saya berpindah dan
beriktikaf dalam masjid Universiti Asyrafiah.
Saya bercadang untuk memberi wang kepada sebuah hotel di situ supaya
menghantarkan saya makanan buat berbuka puasa setiap hari. Tetapi rancangan
tersebut tidak terlaksana kerana pada satu petang tiba-tiba sahaja seorang
lelaki masuk ke masjid lalu mencium tangan saya. Lelaki itu melahirkan hasratnya untuk
menghantarkan saya makanan selama saya beriktikaf. Pada mulanya saya menolak tawaran tersebut,
tetapi setelah orang itu merayu beberapa kali hingga menitiskan air mata,
akhirnya saya pun bersetuju.
Di universiti itu terdapat seorang Ulama Syeihkul-Hadis
bernama Maulana Idris yang sangat dihormati dan disegani oleh orang ramai. Walaupun tubuh badannya kecil sahaja tetapi
jika seseorang yang bengis dan garang berhadapan dengannya, orang itu akan
berasa gementar. Tetapi lain pula halnya
ketika dia bertemu dengan saya. Dia
sangat menghormati saya malah Ulama itu sendiri yang menghantarkan makanan
serta alas tempat tidur saya.
Di masjid itu juga terdapat seorang lagi Ulama berusia 130
tahun yang sangat kuat beribadat.
Apabila berjalan Ulama tersebut bongkok-bongkok dan tidak bertenaga.
Tetapi jika mengerjakan sembahyang ia berdiri tegak seolah-olah orang muda.
Pertama kali Ulama tersebut bertemu dengan saya, dia berkata, ‘Bertemu dengan tuan samalah seperti aku
mikraj (menemui Allah SWT).’ Ulama
itu sangat menghormati saya.
Begitu juga dengan ketua universiti itu yang bernama
Maulana Hafiz Abdul Rahman, juga sangat menghormati saya. Tidak berapa lama kemudian orang ramai mula
mengenali saya maka saya pun berpindah ke tempat lain.”
Demikianlah beliau selama sebelas tahun di Pakistan,
menghabiskan masanya dengan beriktikaf dan beruzlah, di samping memberi nasihat
agama dan memberi pertolongan kepada orang susah. Beliau memencilkan diri dengan cara
beriktikaf supaya orang ramai tidak mengunjunginya. Tetapi jika tempat beliau beriktikaf mula
diketahui orang ramai, maka berduyun-duyunlah orang datang ke tempat itu. Oleh itu beliau akan berpindah lagi ke tempat
yang baru untuk meneruskan uzlahnya.
YM Tuan Guru RA menceritakan sebahagian daripada
peristiwa-peristiwa luarbiasa yang terjadi semasa beliau berada di
Pakistan. Katanya:
"Sudah menjadi kebiasaan saya sering mengerjakan
sembahyang Tasbih selepas waktu lsyak di sebuah padang dengan dihadiri oleh
beribu jemaah dari merata tempat. Mereka
yang bekerja pada waktu malam, meminta saya menunggu mereka kerana ingin
bersama-sama mengerjakan sembahyang tasbih itu.
Kami bersembahyang sehingga larut malam.
Walaupun begitu, masih juga terdapat orang-orang yang tidak dapat bersembahyang bersama kami
dan mereka berasa terlalu rugi sehingga menitiskan air mata.
Terdapat sebuah gua yang terletak di sebuah bukit di
Karachi, di mana saya menjadikan gua tersebut sebagai tempat beruzlah. Bukit itu terletak jauh dari orang ramai dan
di kawasan padang pasir. Pada suatu malam
datanglah seorang lelaki menawarkan diri untuk membawakan saya air setiap
hari. Sehinggalah tiba suatu ketika,
lelaki tersebut jatuh sakit dan tidak dapat membawa air untuk kegunaan saya. Akhirnya air yang ada pada saya cuma segelas
sahaja dan saya menyimpannya untuk berbuka puasa. Apabila hampir masuk waktu Maghrib, tiba-tiba
datang seorang lelaki meminta air untuk diminum. Walaupun saya tidak mempunyai air lain
melainkan segelas itu, saya memberikan juga air tersebut kepadanya.
Apabila tiba waktu Maghrib, maka saya pun melaungkan azan,
dan ketika saya melafazkan 'Haiya Alassallah,' tiba-tiba saya
terdengar air dicurahkan ke dalam tempayan.
Selepas azan, saya melihat tempayan tersebut penuh berisi air sedangkan
saya tidak melihat sebarang bekas kaki yang menunjukkan ada orang yang
menghampiri tempat tersebut. Mulai hari
itu, sedikit demi sedikit, orang ramai pun berpindah dan menetap di tempat itu
dan menjadikannya sebuah kampung berhampiran dengan bukit tersebut.
Semasa saya sedang beriktikaf di bukit yang sama, saya
terlihat kampung yang berhampiran dengan bukit itu sedang terbakar dan api yang
membakar itu semakin mengganas, ditambah pula dengan tiupan angin yang
kencang. Terdapat beratus buah rumah di
kampung tersebut yang diperbuat daripada papan.
Memikirkan keadaan ini, saya merasa sedih dan berdoa kepada Allah SWT,
agar kampung tersebut diselamatkan.
Dengan kehendak Allah SWT, angin yang sedang bertiup itu menukar
haluannya dengan tiba-tiba dan tiupannya menyebabkan api itu terpadam. Kampung
itu pun terselamat.
Semasa berada di dalam gua itu, saya hanya memiliki sekotak
mancis. Pada suatu malam, saya membuka
kotak mancis tersebut dan secara tidak sengaja pemetik mancis tercicir ke
lantai gua dan hanya tinggal sebatang sahaja lagi dalam kotak tersebut. Saya pun menggunakan pemetik yang tinggal
satu itu.
Pada keesokan harinya, saya mencari pemetik yang tercicir
di lantai gua itu tetapi tidak menemui apa-apa di situ. Apabila tiba waktu malam, saya sekali lagi
meraba-raba di tempat yang sama.
Tiba-tiba saya mendapati sebatang pemetik api dan menggunakannya pula
untuk malam itu. Begitulah kisahnya,
setiap siang hari saya tidak melihat sebarang pemetik api di lantai, tetapi
mendapati sebatang pada setiap malam, selama saya beriktikaf di gua tersebut.
Di lain ketika pula semasa saya beruzlah di gua, datanglah
seorang lelaki meminta pertolongan saya.
Lelaki tersebut menanggung hutang yang banyak, hingga tidak sanggup lagi
untuk membayarnya. Dia menyuruh saya
berdoa kepada Allah SWT agar melepaskannya dari hutangnya itu atau pun
mematikannya sahaja.
Mendengar kata-kata lelaki itu, saya berasa sangat sedih
dan saya mengangkat Al Quran, lalu berdoa, ‘Ya Allah! orang ini sangat susah.
Saya orang maksiat, tetapi dengan berkat Al-Quran ini, bebaskanlah orang ini
dari segala hutangnya dan murahkanlah rezekinya.’
Tiga hari kemudian, lelaki tersebut datang semula kepada
saya dengan ditemani kawan-kawannya serta membawa kalungan bunga, makanan dan
pelbagai barang berharga kerana dengan berkat doa, dia telah dapat menjelaskan hutangnya. Bukan sahaja dia dapat menjelaskan hutangnya,
tetapi orang lain pula berhutang padanya.
Lalu saya berkata kepadanya bahawa saya tidak dapat menerima apa-apa
dari orang yang susah kerana orang yang hendak membunuh dirinya akibat
kesusahan yang ditanggungnya, adalah orang paling susah di muka bumi ini. Sebaliknya, kalau boleh, saya akan menolong
orang itu. Tetapi lelaki itu merayu agar
saya menerima barang-barang tersebut.
Akhirnya, saya pun menyuruh orang itu membahagi-bahagikan barang itu
kepada orang-orang miskin.
Semasa saya beruzlah dalam gua di Karachi, saya telah
membawa bersama seutas jam tangan untuk mengetahui waktu sembahyang dan
bersahur. Saya meletakkannya di dalam saku.
Ketika saya tunduk, jam itu telah jatuh dan terhentak ke atas batu.
Mujurlah jam tersebut tidak pecah, tetapi jarum penunjuknya langsung tidak
bergerak. Saya mulai risau lalu
berkata-kata dalam hati, "Bagaimanakah aku hendak melihat waktu sembahyang
dan waktu untuk makan sahur nanti.” Lalu
saya berdoa kepada Allah SWT, 'Ya Allah, Engkaulah yang menyebabkan semua ini
terjadi, Engkaulah yang menciptakan manusia dari setitik air dan Engkaulah
berkuasa atas segala sesuatu. Perbaikilah jam ini.'
Tiba-tiba sahaja jarum jam itu bergerak semula. Saya mendapatinya berpusing terlalu
cepat. Ketika datang orang berziarah ke
tempat saya, saya bertanyakan waktu.
Saya mendapati jam saya cepat dua
jam dari yang sepatutnya. Lalu saya pun
berdoa, 'Ya Allah Engkaulah juga yang berkuasa, Engkaulah yang mempercepatkan
perjalanan jam ini serta melambatkannya.'
Selepas itu tiba-tiba sahaja jarum jam itu berundur
sedikit, lalu bergerak seperti biasa.
Ketika datang seorang lain menziarahi saya, sekali lagi saya bertanyakan
waktu dan mendapati jam itu tepat masanya.
Suatu masa di Wilayah Kashmir, terdapat seorang doktor yang
telah gila. Doktor itu merupakan anak
tunggal kepada seorang guru besar.
Ayahnya telah berusaha untuk mengubati anaknya, tetapi tidak juga
berjaya. Berbagai cara telah dilakukan
oleh ayahnya, termasuklah menemui dukun-dukun, orang keramat dan
hospital-hospital tetapi tidak satu pun yang berjaya menyembuhkan penyakit
anaknya. Saya mengetahui kisah doktor
yang gila itu, apabila datang seorang lelaki ke tempat saya. Lelaki itu meminta
pertolongan bagi menyembuhkan penyakit
orang gila itu. Maka saya pun pergilah
ke tempat orang yang sakit itu. Ayah
doktor itu menceritakan kepada saya bagaimana dia memelihara anaknya dari kecil
sehingga berjaya menjadi seorang doktor, tetapi dengan tiba-tiba anaknya
menjadi gila. Dia menceritakan juga
bagaimana susahnya dia mencuba untuk mengubati anaknya di merata tempat. Lalu saya berkata, 'Ada satu lagi tempat yang
kamu belum pergi'.
Mendengarkan kata-kata saya itu, ayah doktor itu pun berasa
hairan kerana pada pendapatnya tiada lagi tempat yang dia belum pergi. Sedang ia berfikir-fikir, lalu saya berkata
lagi, 'Siapakah yang menjadikan anak tuan?' Lantas dia menjawab, ‘Allah.’ Maka saya pun menyahut, 'Tempat itulah yang
kamu belum pergi!'
Saya pun memberi nasihat kepada ayahnya. Kata saya 'Allah SWT menciptakan manusia
daripada setitik air dan daripada setitik air itulah terjadinya lelaki ataupun
perempuan, hitam atau pun putih. Jadi
masakan Allah SWT tidak dapat menyembuhkan penyakit gila anak kamu'.
Saya pun berdoa kepada Allah SWT agar menyembuhkan penyakit
orang itu dan menjadikan dia siuman semula.
Akhirnya, penyakit yang telah tiga tahun dihidapi oleh doktor itu, dapat
sembuh dalam masa dua jam, iaitu selama saya berada di rumah itu.
Apabila telah sembuh, doktor itu sendiri menawarkan diri
untuk menghantar saya balik dan dalam perjalanan saya menasihatinya supaya
bersembahyang. Dia memberitahu saya,
bahawa dia sembahyang tetapi disebabkan terlalu sibuk, maka dia meninggalkan
sembahyangnya sekali-sekala. Saya berkata, ‘Mengapa sembahyang boleh
ditinggalkan tetapi kerja hospital tidak boleh ditinggalkan?’ Saya menasihatinya agar jangan meninggalkan
sembahyang walaupun sibuk. Dia pun
berjanji tidak akan meninggalkan sembahyang lima waktu.
Di kampung saya terdapat sebuah masjid dan imam masjid itu
bernama Abdul Malik. Masjid itu perlu dibaiki dan untuk tujuan itu, orang ramai
diminta menghulurkan derma pada setiap hari Jumaat. Tetapi malangnya setelah tiga tahun imam
masjid memberitahu orang ramai, tidak ada juga orang yang memberikan bantuan
yang diperlukan. Lalu saya berkata
kepada imam tersebut, ‘Saya telah lama mendengar tuan meminta pertolongan kepada
orang ramai. Jadi sekarang cuba Tuan
Imam mengubah haluan dan meminta kepada Allah SWT pula.’
Maka iapun bertanya bagaimana caranya. Saya mengajaknya
bersembahyang hajat dan atas permintaannya saya menjadi imam. Tidak berapa lama berlakulah peperangan di
antara orang Islam dengan Qadiyani.
Selepas itu, seorang ketua tentera dan dua orang tentera yang lain,
bekas penganut Qadiyani bertaubat dan memeluk Agama Islam.
Mereka ini telah datang ke masjid tersebut untuk
bersembahyang pada hari Jumaat. Semasa berada di dalam masjid, tiba-tiba
berdirilah dua orang tentera tadi dan memberitahu bahawa mereka menderma wang
lima ribu tiap seorang untuk masjid itu.
Kemudian bangun pula ketua tentera itu dan memberitahu bahawa dia akan
menanggung segala perbelanjaan masjid tersebut.
Mendengarkan kata-kata mereka, imam itu lalu menghampiri dan memeluk
saya sambil berkata, ‘Betul jua kata-kata tuan.
Suatu ketika pula di Karachi, seorang wanita telah dirasuk
jin. Tubuh badan wanita itu kurus kering kerana hilang selera makan. Ayahnya telah berusaha mengubatinya, namun
begitu penyakitnya bertambah teruk.
Kemudian ayahnya meminta saya datang mengubati anaknya. Ayahnya
menceritakan kepada saya bagaimana anaknya mulai sakit.
Menurutnya peristiwa itu terjadi ketika anaknya akan
melangsungkan perkahwinan. Tiba-tiba ia dirasuk jin, sehingga menyebabkan
perkahwinan itu terpaksa dibatalkan. Seterusnya ayah wanita itu berjanji,
sekiranya anaknya sembuh dari penyakitnya, dia akan mengadakan kenduri tanda
kesyukuran kepada Allah SWT. Ketika saya
berhadapan dengan wanita tersebut sejurus kemudian wanita itu menggeletar
kerana dirasuk oleh jin. Lalu saya
membaca ayat Kursi dan meniup badan wanita itu. Kemudian kedengaran wanita
tersebut menjerit-jerit, ‘Terbakar! terbakar!’
Beberapa minit kemudian, dia pun sedar dan sembuh daripada
penyakitnya. Selang beberapa waktu, saya
telah diundang ke majlis kenduri untuk menyempurnakan hajat ayah wanita
tadi. Semasa tiba di rumah wanita itu,
saya hampir tidak dapat mengenali wanita itu kerana keadaan tubuh badannya yang
sihat dan gemuk.
Di kampung tempat wanita itu tinggal, ada seorang lelaki
yang telah lumpuh sebelah badannya selama 25 tahun. Doktor telah mengesahkan, bahawa penyakitnya
tidak dapat disembuhkan lagi. Lelaki itu
telah mendengar kisah bagaimana saya dapat menyembuhkan penyakit wanita itu,
lalu dia pun datang bertemu dengan saya dengan harapan dia dapat disembuhkan
pula. Semasa tiba di rumah wanita itu,
dia pun memberitahu hajatnya. Walaupun
saya berasa bahawa orang itu tidak dapat disembuhkan lagi, namun saya tetap
juga berdoa kepada Allah SWT agar lelaki itu sembuh. Saya meminta sebotol minyak makan lalu berdoa
kepada Allah SWT. Saya menyuruh lelaki
itu menyapu minyak tersebut pada seluruh badan dan mengerjakan sembahyang. Tiga bulan selepas itu, kaki lelaki itu pun
sembuh dan tidak lama kemudian ia melangsungkan perkahwinan dan dikurniakan
cahayamata.”
Dengan sembuhnya orang yang lumpuh tadi, maka semakin
tersebar luaslah kemasyhuran beliau ke seluruh Pakistan hingga ramailah orang
yang mengenali beliau. Keadaan ini telah
diketahui oleh ketua gerombolan perompak yang terkenal di negeri itu. Maka ketua gerombolan itu berjumpa dengan
beliau dengan tujuan untuk menuntut ilmu yang akan mereka gunakan untuk
merompak.
Sehubungan dengan perkara ini YM Tuan Guru RA meneruskan
ceritanya:
"Pada suatu masa dalam musim sejuk, ketika itu saya
sedang beriktikaf, datanglah ketua perompak itu menemui saya. Apabila tiba waktu sembahyang saya pun
menyuruh ketua perompak itu berehat di tempat yang selalu saya gunakan untuk berehat
sementara menanti saya mengerjakan sembahyang.
Tetapi dia meminta saya menunggunya kerana dia ingin sama mengerjakan
sembahyang.
Selepas bersembahyang maka saya pun menasihatinya supaya
mengerjakan sembahyang Taubat. Mulai
dari hari itu ketua perompak itu pun bertukar menjadi seorang yang baik dan
suka menolong orang lain.
Tidak lama kemudian ketua perompak itu telah menemui
rakan-rakannya, lalu mengajak mereka pergi menonton wayang gambar. Rakan-rakannya pun bersetuju. Tanpa disedari
oleh mereka ketua perompak itu membawa mereka ke tempat saya. Apabila tiba dia
meminta saya menasihati rakan-rakannya supaya bertaubat. Maka mereka pun bertaubatlah di hadapan saya
dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mereka yang telah lalu itu. Sejak dari hari itu tempat itu pun jadi aman
dari gangguan perompak.”
Para alim Ulama berasa hairan kerana dengan cara beliau
yang lemah lembut itu dapat memberi kesedaran dan menyebabkan ramai orang
bertaubat, sedangkan mereka telah memberi berbagai nasihat secara lantang,
tetapi tidak memberi sebarang kesan.
Beliau sangat dikenali oleh orang ramai sehinggakan apabila
beliau sedang berjalan, orang ramai akan mengerumuni beliau dan menyebabkan
pihak polis terpaksa mengawal keadaan.
Oleh kerana itu beliau mengambil keputusan untuk menaiki teksi apabila
hendak berjalan di bandar.
Semasa di kampung, setiap kali beliau berjalan pulang dari
masjid, orang ramai akan menanti beliau di sepanjang jalan dan meminta beliau
memberikan nasihat kepada mereka. Keadaan
ini menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kemudian datanglah seorang polis peronda untuk memeriksa sebab kesesakan
itu berlaku. Dia ingin menyuraikan
kumpulan orang ramai yang menyebabkan kesesakan di situ. Ketika
dia terdengar kata-kata nasihat beliau, dia menitiskan air mata. Dia membatalkan niatnya itu.
YM Tuan Guru RA meneruskan lagi ceritanya:
"Pernah kaum keluarga sultan di negeri saya sendiri
memasakkan makanan dan menghantarkannya kepada saya. Malah mereka sendiri yang mengemaskan makanan
itu apabila saya selesai makan. Sultan
juga menawarkan kepada saya tanah seluas 20 ekar, di mana terdapat sungai
mengalir di tengah-tengahnya dan meminta saya menetap di situ. Tetapi saya menolak tawaran tersebut.
Di sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri yang telah
melangsungkan perkahwinan sejak sepuluh tahun yang lalu. Tetapi yang anehnya, selepas sahaja mereka
bernikah mereka telah mengaku untuk bersaudara sahaja. Lama kelamaan, keadaan mereka telah diketahui
oleh penduduk kampung tersebut. Isterinya
berasa malu, lalu meninggalkan suaminya dan balik ke rumah ibu bapanya. Suaminya telah dinasihatkan oleh orang ramai
supaya dia kembali kepada isterinya, tetapi tidak diendahkannya. Kemudian
rakan-rakannya membawanya berjumpa
dengan saya.
Setelah bertemu dengan saya, maka dia pun menceritakan hal
mereka suami isteri. Kemudian saya bertanya, ‘Mengapa tuan tidak suka kepada
isteri tuan? Apakah sebabnya?’ Dia
menjawab, ‘Setiap orang yang berkahwin mesti berkehendakkan isterinya,
tetapi entahlah fikiran saya terus tawar.’
Mendengar kata-katanya saya berasa sedih. Lalu saya berdoa kepada Allah SWT dalam hati,
‘Ya Allah hati manusia dalam genggaman tanganMu. Pusingkan hati orang ini supaya dia suka
kepada isterinya.’
Beberapa minit kemudian dia pun berkata, "Saya akan
ikut apa saja tuan katakan.” Saya pun
menasihatinya supaya mengambil kembali isterinya. Lelaki itu pun bersetuju tetapi dengan syarat
saya hendaklah ikut bersama-samanya ke rumah ibu bapa wanita itu. Akhirnya
suami isteri itu pun hidup bahagia dan mempunyai beberapa orang anak.”
Ketika YM Tuan Guru RA
berada di Pakistan, orang-orang yang beruzlah di hutan keluar untuk
bertemu dengannya. Pada suatu masa,
sultan di negeri itu mengadakan jamuan untuk para Ulama di negeri itu. Salah seorang Ulama datang menemui beliau
sebelum menghadiri jamuan dan memberitahu beliau bahawa sultan mengadakan
jamuan untuk mereka. Ia juga bertanya
kepada beliau, jika mengenali siapa
sultan di negeri tersebut. Beliau
menjawab, ‘Tuan, saya tidak mempunyai masa untuk mengenal manusia,
sedang Dia belum lagi saya kenal.’
Semasa berada di Pakistan, beliau bukan sahaja menjelajah
ke setiap kampung untuk memberi nasihat kepada orang awam, tetapi juga pergi ke
penjara-penjara dan tempat tinggal polis memberi peringatan kepada mereka
tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah SWT.
Setelah berada di Pakistan selama 11 tahun, maka timbullah
di hati beliau keinginan untuk balik ke Sabah.
Beliau berpegang kepada janji Allah SWT dalam Al-Quran yang menegaskan
bahawa sesiapa yang menurut perintah Allah SWT nescaya Allah SWT
mengembalikannya ke tempat asalnya.
Dengan itu beliau pun menulis sepucuk surat kepada Tun Datu Mustapha,
Ketua Menteri ketika itu.
Antara isi kandungan surat tersebut beliau telah menyatakan
hasrat beliau kembali ke Sabah untuk menemui keluarga dan tempat kediaman
beliau, yang telah ditinggalkannya sekian lama.
Beliau juga menjelaskan, jika Tun Datu Mustapha menerima kedatangan
beliau, nescaya selamatlah dia dan akan mendapat kemenangan. Tetapi sebaliknya, jika Datu Mustapha enggan
menerima kedatangan beliau dia akan 'jatuh' (kalah). Beliau juga menegaskan, bahawa beliau akan
tetap kembali ke Sabah walaupun seluruh kerajaan dunia menghalangi beliau. Setelah beberapa lama, namun surat beliau
tidak juga berbalas.
Tetapi kemudiannya Datuk Harris Salleh telah menghantar
telegram sebanyak dua kali kepada beliau berserta tiket kapalterbang mengajak
beliau balik ke Sabah. Beliau tidak
kenal siapa Datuk Harris, tetapi dia minta kepada Allah SWT agar Datuk Harris
diberi pangkat yang tinggi. Ketika itu
Sabah sedang dalam pilihanraya umum.
Datuk Harris telah mengarahkan beliau untuk singgah di Singapura dan
terus ke Brunei sementara menunggu keputusan pilihanraya.
Setelah menerima tiket beliau pun bertolaklah dari Pakistan
langsung ke Singapura. Sebelum bertolak ke Brunei, beliau telah terdengar
khabar bahawa kerajaan Sabah telah bertukar kepada Parti BERJAYA di bawah
pimpinan Fuad Stephens setelah mengalahkan USNO yang dipimpin oleh Tun Datu
Mustapha. Maka beliau pun tidaklah ke
Brunei lagi, tetapi terus balik ke Sabah.
Akhirnya beliau telah selamat kembali ke Sabah dan tiba di Kampung
Bikang, Lahad Datu dalam tahun 1976. Dengan demikian, terbuktilah kebenaran
kata-kata beliau.
Beliau kembali ke Sabah dan Tun Datu Mustapha telah
jatuh. Dan doa beliau juga telah
dimakbulkan Allah SWT di mana Datuk Harris akhirnya menjadi Ketua Menteri
Sabah.
BALIK KE SABAH
Setelah mengetahui tentang kepulangan YM Tuan Guru RA, orang ramai telah siap sedia di
lapangan terbang Lahad Datu untuk menyambut kepulangan beliau.
Pengikut-pengikut beliau menyambut kepulangannya dengan tangisan gembira kerana
sekian lama mereka kehilangannya.
Demikianlah ketabahan dan kesabaran beliau selama beberapa tahun,
akhirnya beliau kembali juga menemui keluarga, para pengikut beliau dan seluruh
masyarakat yang telah merasa kehilangan beliau.
Maka benarlah apa yang beliau katakan bahawa dia akan
kembali ke Lahad Datu. Kedatangan beliau menyerikan kembali syiar agama yang
telah pudar setelah bertahun-tahun beliau dalam buangan. Beliau umpama air yang menyirami bunga yang
telah layu dan beransur-ansur mekar kembali.
Masjid Bandar dipenuhi kembali oleh jemaah-jemaah seperti dahulu. Mereka datang berduyun-duyun untuk mendengar
nasihat dari beliau.
Pendirian beliau untuk menegakkan kebenaran dan menentang
kebatilan, serta ajaran yang menyeleweng berterusan walaupun baru saja kembali
dari buangan. Ini nyata
sekali apabila beliau menentang ajaran Nasrul Haq, Jemaah Tabligh,
Jemaah Darul Arqam, Kassim Ahmad dan MUIS.
PENENTANGAN BELIAU TERHADAP NASRUL HAQ
Sekitar tahun 1977-1978, ajaran Nasrul Haq di bawah naungan
Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, telah mendapat sambutan hangat dari
semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
Tiap-tiap masjid dipenuhi oleh pengikut-pengikut ajaran Nasrul Haq yang
terdiri dari kaum wanita dan lelaki.
Mereka datang untuk belajar ‘Jurus.’
Pengaruh ajaran Nasrul Haq telah sampai ke Sabah dan
mendapat sambutan hangat dari semua lapisan masyarakat termasuklah para
pemimpin, Ulama hinggalah kepada rakyat biasa.
Pihak MUIS (Majlis Ugama Islam Sabah) tidak menghalang ajaran tersebut,
bahkan turut mengalu-alukan ajaran itu.
Pada keseluruhannya tiada Ulama yang menghalang penyebaran ajaran
tersebut secara terang-terangan, ataupun terbuka di seluruh negara. Tetapi setelah mendapat tahu tentang
penyebaran ajaran tersebut, beliau terus menentangnya secara terang-terangan.
Beliau mencabar pemimpin-pemimpin Nasrul Haq di seluruh
Malaysia supaya menjurus beliau. Beliau
menegaskan jika sekiranya ia tidak memberi apa-apa kesan kepada beliau, beliau
pula akan menjurus mereka. Tetapi tidak
seorangpun di antara pemimpin-pemimpin Nasrul Haq yang menyahut cabaran itu.
Beliau berani menentang ajaran Nasrul Haq adalah
semata-mata untuk menyelamatkan umat Islam dari jatuh ke lembah syirik kerana
ajarannya mengandungi unsur-unsur syirik.
Siapa yang terlibat dalam kumpulan Nasrul Haq akan menjadi murtad,
kerana mempercayai adanya kuasa selain
dari kekuasaan Allah SWT. Sedangkan bahaya
murtad itu adalah:-
1. Semua
pahala amalannya dihapuskan;
2. Sekiranya dia berkahwin, putus
nikahnya;
3. Jika
dia bercampur dengan isterinya, hukumnya zina;
4. Kalau mendapat anak, anak itu dikira
haram;
5. Kalau
tidak bertaubat akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
YM Tuan Guru RA meneruskan ceritanya:
"Saya melawat ke beberapa tempat di Sabah seperti Kota
Kinabalu dan Kudat untuk memberitahu umat Islam bahaya Nasrul Haq. Di sepanjang lawatan saya itu, tiada
seorangpun pemimpin-pemimpin Nasrul Haq yang berani berhadapan dengan saya.
Akhirnya saya diberi amaran supaya mendiamkan diri sahaja sekiranya enggan
mengikut ajaran tersebut. Saya diancam
akan diusir sekali lagi jika sekiranya terus menentang ajaran Nasrul Haq.
Namun demikian saya tetap dengan pendirian saya untuk
menegakkan kebenaran sekalipun saya diancam untuk diusir. Saya menganggap adalah tidak adil membiarkan
orang lain binasa, seperti membiarkan seorang buta atau kanak-kanak yang hampir
jatuh ke dalam perigi.
Akhirnya beberapa orang
Ulama termasuk khalifah Nasrul Haq sendiri telah datang ke Lahad Datu untuk
menemui saya. Tetapi hanya dua orang
sahaja yang datang ke rumah saya di kampung Bikang. Mereka ialah Ustaz Aliuddin Kamidi dan Mufti
Negeri.
Di sekitar perbualan tersebut Ustaz Aliuddin berkata;
‘Adakah salah menghadiahkan Fatihah kepada Rasulullah, diri sendiri dan
keluarga serta seluruh umat Islam?’
Saya menjawab, ‘Memang tidak
salah.’ ‘Adakah salah zikrullah itu?’
Tanya Ustaz Aliuddin lagi. Saya
menjawab, ‘Tidak salah.’ Maka dia pun berkata, ‘Nah inilah ajaran Nasrul Haq.’
Rupanya soalan-soalan Ustaz Aliuddin itu bertujuan untuk
menegakkan kebenaran Nasrul Haq. Saya
lalu berkata, ‘Rupanya Ustaz juga turut sependapat bahawa Nasrul Haq tidak
salah di sisi agama. Saya kata bahawa
Nasrul Haq adalah salah kerana:
1. Kamu kata orang yang dijurus atau ditiup terus
bergolek-golek dan dia terus mati. Ini
adalah syirik. Kamu tidak tahu bahawa
dalam Al-Quran Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلاَّ بِإِذْنِ
الله كِتَابًا مُّؤَجَّلاً
"Tiap-tiap ajal tertentu masanya tidak boleh kemudian
atau terdahulu walaupun satu saat dan tiap-tiap nyawa itu tidak mati kecuali
dengan izin Allah juga, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” (Surah Al-A’raaf: 34, Surah
Ali-Imran: 145)
2. Meletakkan
perempuan di tengah-tengah lalu dijurus dan kemudian disuruh orang lelaki
mengambilnya. Ini adalah pekerjaan
syaitan. Ustaz, bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram)” (Surah An-Nur:30)
Ustaz Alauddin gementar dan bertambah pucat. Dengan itu baliklah Ustaz dan rakan-rakannya
ke Bandar Lahad Datu dengan hampa. Saya
pun berkata dalam hati, ‘Apa lagi orang yang bodoh, sedangkan orang yang alim
pun turut terikut-ikut juga.’ Dengan
rasa sedih hati saya berdoa, ‘Ya Allah! Tunjukkanlah kebenaran agar umat
Islam terselamat dari bahaya syirik.’
Allah SWT telah makbulkan doa saya kerana tidak lama
kemudian pada tahun 1978, Nasrul Haq telah diisytiharkan haram kerana
bertentangan dengan hukum Islam dan pengikut-pengikutnya dinasihatkan supaya
bertaubat. Saya pun menyuruh umat Islam
bertaubat. Syukur kepada Allah SWT yang
telah menyelamatkan umat manusia daripada syirik.”
JEMAAH TABLIGH/WAHHABI
Jemaah Tabligh yang berasal dari India adalah satu cabang
daripada Wahhabi kerana para guru Maulana Ilyas, pengasas Jemaah Tabligh,
adalah terdiri dari kaum Wahhabi. Maka sebab itu pendapat Maulana Ilyas adalah
sama dengan tok gurunya. Mereka tidak
ada mazhab kerana bagi mereka mazhab itu memecah-belahkan umat Islam. Bagaimana
YM Tuan Guru RA mengesan kesalahan jemaah Tabligh ini adalah diceritakan beliau
seperti berikut:-
"Satu ketika waktu masih kecil lagi, saya pernah
membaca kitab yang dikarang oleh pengikut Jemaah Tabligh. Dalam kitab tersebut diterangkan bahawa
berdoa bagi orang mati di kuburan tidak dibolehkan. Saya pun berkata dalam hati, 'Jika saya
bertemu dengan Ulama ini, saya akan bertanya kepadanya, apakah sebabnya
dilarang berdoa di kuburan sedang tempat itulah tempat mengingati mati.'
Peluang ini terbuka apabila saya kembali ke Pakistan pada tahun
1965. Waktu di Pakistan saya perhatikan perbezaan di antara Jemaah Tabligh
dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kedua
belah pihak saling tuduh-menuduh dan kafir-mengkafiri di antara satu dengan
lain. Pada mulanya saya tidak mengikuti
mana-mana pihak. Kadang-kadang saya ke masjid Tabligh dan kadang-kadang ke
masjid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Di masjid
Tabligh saya dapati mereka tidak berzikir dan berdoa selepas sembahyang fardhu
sebagaimana terdapat di Masjid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akhirnya saya tidak lagi
ke masjid kaum Tabligh kerana saya dapatinya tidak secocok dengan jiwa.
Pada satu malam ketika saya sedang beruzlah mengasingkan
diri, saya bermimpi melihat beberapa orang berpakaian jubah dan serban serta
berjanggut panjang datang menemui saya. Tiba-tiba kedengaran satu suara yang
mengatakan bahawa mereka sebenarnya adalah Mukhalif (penentang) Nabi SAW. Pada keesokan hari datang sekumpulan Ulama
Jemaah Tabligh bersama kitab mereka bertemu dengan saya, walaupun ada nota
melarang orang ramai berjumpa dengan saya.
Saya terpaksa melayan mereka. Rupanya mereka datang untuk memberitahu
saya bahawa imam Abdul Malik serta jemaahnya telah membuat kesalahan dalam
agama. Saya bertanya apa kesalahan itu
agar saya dapat membantu memperbetulkannya.
Mereka pun menerangkan kesalahan-kesalahan yang kononnya telah dilakukan
di mana imam Abdul Malik serta jemaahnya telah:-
1. Berzanji ketika
Maulud Nabi;
2. Zikir
beramai-ramai selepas sembahyang fardhu;
3. Mengucapkan
Assalatu assalamualaika yang seharusnya tidak boleh kerana Rasulullah SAW sudah
wafat. Oleh itu tidak boleh menggunakan
perkataan 'engkau';
4. Tarhim sebelum
Subuh.
Menurut mereka semuanya itu adalah bidaah terlarang. Dan kata mereka lagi, buat permulaan ini
cukuplah setakat itu sahaja mereka terangkan kepada saya. Maka saya pun mengerti bahawa merekalah yang
saya mimpi. Saya lalu menjelaskan,
'Tuan, Imam Abdul Malik serta jemaahnya
tidak payah diberitahu kerana saya lihat kamu yang salah, bukan mereka. Kata kamu, Maulud Nabi itu salah. Saya kata -wajib dibaca berzanji (Maulidin
Nabi) kerana mengandungi kisah Nabi SAW.
Allah SWT sendiri mewajibkan kita mencontohi Nabi SAW. Maka dengan membaca kisah Maulidin Nabi kita
akan tahu keperibadian Nabi SAW yang wajib kita contohi.
Adapun zikir selepas sembahyang tidak salah. Para sahabat berkata ‘Apabila kami dengar
zikir maka tahulah kami bahawa sembahyang telah selesai.’ Sabda Nabi SAW, ‘Zikirlah kamu
kuat-kuat sehingga dikatakan gila.’
Adapun selawat dan tarhim kedua-duanya perkara baik.
Rombongan Ulama Jemaah Tabligh itu tidak dapat berhujah
dengan saya, seolah-olah telah hilang kepandaian mereka. Entah kenapa. Maka
pulanglah mereka dengan hampa.
Saya tahu benar kesalahan-kesalahan Jemaah Tabligh kerana
mereka datang melawat saya dan saya selalu mendengar percakapan mereka. Berkali-kali saya menegur kesalahan mereka
tetapi mereka tidak menghiraukan teguran saya.
Apabila saya balik ke Sabah baharulah saya secara
terang-terangan menentang Jemaah Tabligh.
Di mana-mana saya berada saya selalu menasihati orang ramai supaya
berhati-hati dan tidak terlibat dengan Jemaah Tabligh. Di antara jemaah yang terkeluar dari Ahli
Sunnah Wal Jemaah, Jemaah Tablighlah yang paling berbahaya kerana mereka pada
zahirnya mengajak manusia menghidupkan Sunnah Nabi SAW, padahal mereka adalah
musuh dalam selimut.
Mereka tidak bermazhab. Kegiatan mereka sukar dikesan oleh
Ulama biasa, melainkan Ulama yang mendapat firasat daripada Allah SWT. Oleh
kerana Jemaah Tabligh tidak mendapat tentangan dari seluruh dunia, maka ianya
telah tersebar luas ke seluruh dunia.
Demi Allah SWT, saya tidak melihat rahmat pada muka ahli
Jemaah Tabligh. Muka mereka seperti
pencuri. Saya berasa kasihan kepada
orang ramai yang tidak faham ajaran Jemaah Tabligh. Mereka telah terikut-ikut kerana menyangka
bahawa Jemaah Tabligh benar-benar menghidupkan Sunnah Nabi SAW. Jemaah dari India dan Pakistan dengan
permainan lidah mereka, dapat meyakinkan orang ramai terutama dari golongan
terpelajar, pemuda-pemuda dan kanak-kanak sekolah akan tujuan Jemaah Tabligh.
Oleh kerana saya sayang kepada seluruh umat manusia, maka
saya telah menghantar risalah ke seluruh dunia pada tahun 1983, mendedahkan
kesalahan-kesalahan Tabligh agar manusia tidak tertipu dengannya.
Di antara kesalahan-kesalahan mereka adalah seperti berikut:-
1. Mereka melarang umat Islam
menziarahi kuburan;
2. Mereka melarang keras talkin dan
kenduri atas orang mati;
3. Mereka melarang bersedekah dan
menerima sedekah;
4. Mereka melarang keras perayaan
maulud dan membaca kisah-kisah maulud Nabi SAW (berzanji);
5. Mereka
melarang keras zikir beramai-ramai selepas setiap sembahyang fardhu;
6. Kesalahan mereka yang paling besar
ialah mereka menganggap dan menuduh umat Islam lain syirik serta kafir; dan
7. Mereka beranggapan tidak perlu
beriktikaf di satu masjid. Mereka
berjalan dan berpindah dari satu masjid ke satu masjid yang lain dengan membawa
bersama mereka alat-alat masakan.
Saya menghantar surat berserta risalah tersebut kepada
semua imam besar di seluruh negara. Di
dalam surat tersebut saya berkata:-
‘Jangan benarkan Jemaah Tabligh memasuki masjid untuk
memberi nasihat Agama. Bacalah risalah ini waktu hari Jumaat. Sebarkan juga risalah ini kepada imam di
setiap daerah supaya mereka semua tahu.’
Sebelum menulis dan mengedarkan risalah ini ke seluruh
dunia, saya telah berkali-kali mendirikan sembahyang istikharah, memohon
pertunjuk dari Allah SWT, samada perlu kirim risalah tersebut atau tidak kerana
menuduh orang sesat tidaklah semudah itu. Tetapi tiap-tiap kali lepas
sembahyang istikharah, saya mendapat gerakan kuat dari Allah SWT supaya
mengirim risalah tersebut ke seluruh dunia.
Bahkan saya pernah bermimpi berada di makam Rasulullah SAW
di Madinah. Dalam mimpi itu saya dapati pintu makam Nabi SAW terbuka luas lalu
saya masuk ke dalamnya serta menaburkan minyak wangi ke makam Nabi SAW. Maka dengan dorongan ghaib inilah, saya mula
menyiarkan risalah tersebut ke seluruh dunia.
Dalam risalah tersebut dan juga di mana-mana, saya mencabar
Jemaah Tabligh untuk membuktikan kebenaran mereka. Saya mengajak mereka
bermuzakarah. Kalau sekiranya dalam muzakarah tersebut tidak boleh diputuskan
siapa yang benar, maka diputuskan sahaja dengan cara kedua belah pihak berdoa
kepada Allah SWT di dalam sebuah rumah yang kemudiannya disiram minyak gas lalu
dibakar. Mengambil contoh Nabi Ibrahim AS, semoga siapa yang benar tidak akan
mati terbakar. Atau, dengan cara belayar ke sebuah pulau tanpa membawa sebarang
bekalan makanan. Siapa yang benar tidak
akan mati kelaparan. Namun sehingga hari
ini tiada di antara Jemaah Tabligh yang berani menyahut cabaran tersebut.
Pernah juga ketua Jemaah Tabligh seluruh Malaysia serta
tiga rakannya datang ke tempat saya untuk bermuzakarah. Dalam muzakarah tersebut saya menerangkan
kepada rombongan Jemaah Tabligh itu kesalahan-kesalahan mereka satu persatu.
Mereka juga mencatatnya. Selama dua jam
muzakarah tersebut berjalan, ketua Jemaah Tabligh yang telah belajar di Mekkah
selama 14 tahun itu tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun untuk membangkang
saya. Tetapi hanya menundukkan kepalanya
sahaja.
Sementara ketua dari Kelantan terus menangis mendengar
penerangan saya itu. Saya lalu bertanya
kepada mereka, ‘Apa kesalahan saya?’
Seorang dari ahli Jemaah Tabligh dari Tawau terus berkata, ‘Tuan Haji
membuat satu kesalahan iaitu azan beramai-ramai. Azan beramai-ramai ini tidak
dilakukan di mana-mana tempat di dunia hanya di Lahad Datu sahaja.’ Saya menjawab, ‘Oh! ini saja kamu nampak
salah. Tetapi baiklah, saya mahu tanya ketua kamu.’ Lalu saya bertanya kepada ketua Jemaah Tabligh
itu, ‘Tuan di mana pada tahun 1950?’
Jawab ketua tersebut, ‘Saya sedang menuntut di Mekkah ketika itu.’ Kata saya lagi. ‘Jawab kerana Allah, kalau tidak kamu akan gila di sini juga. Saya tahu jika seorang sahaja Jemaah Tabligh
bercakap bohong, semua yang lain akan ikut berbohong. Ibarat anjing satu sahaja menyalak, semua
akan ikut menyalak. Berapa banyak tukang
azan tuan dengar di Masjidil Haram tiap-tiap waktu?’ Jawabnya, ‘Empat
orang.’
Lalu saya berkata, ‘Sayang! Otak kamu ini terlampau
kotor. Perlu dicuci lama-lama kerana
kamu ini bukan sahaja tidak boleh diikuti, tetapi wajib diperangi. Kenapa kalau rumah kamu, kamu tidak berani
menembaknya? Tetapi, jahanam kaum kamu
ini, telah menembak rumah tempat lahir Rasulullah SAW di Mekkah dengan meriam.
Kamu tidak hormat Nabi SAW. Kalau ada
orang berkata ajaran saya salah dan mencabar saya, sebelum saya minum saya akan
sahut cabarannya dahulu. Tetapi kamu
berkali-kali saya membuat cabaran, kamu tidak berani menyahutnya.’ Kemudian ketua Jemaah Tabligh tersebut terus
memeluk saya serta meminta doa semoga Tuhan menunjuki mereka jalan yang benar.
Saya pernah berkata bahawa dalam penglihatan saya, orang
Tabligh tidak akan mati kecuali dibunuh.
Tidak lama kemudian tersebar luaslah berita tantang kematian dua orang
pengikut Jemaah Tabligh yang dibunuh di Filipina dan seorang lagi di
Semenanjung Malaysia. Orang itu sedang
memberi nasihat agama. Kalau orang-orang
Tabligh tidak bertaubat mereka akan sial dunia dan akhirat. Di hadapan Rabbul Jalal mereka akan tahu
siapa benar. Sehingga hari ini tiada
lagi Jemaah Tabligh yang berani berhadapan dengan saya.”
Kata YM Tuan Guru RA kalau jemaah tabligh ini tidak disekat
dan diharamkan akan membawa bala kepada mana-mana tempat mereka menjalankan
dakwah. Contohnya negara India dan
terutamanya negara Bangladesh, sentiasa ditimpa bala yang mengorbankan harta
dan beribu-ribu jiwa setiap tahun kerana jemaah tabligh selalu berdakwah dan
mengadakan perhimpunan di negara
tersebut.
JEMAAH DARUL ARQAM
Mengenai Darul Arqam YM Tuan Guru RA berkata:
"Saya lihat kumpulan Darul Arqam ini juga tidak betul
cara. Kalau betul kenapa mereka suka memakai pakaian hitam dan hijau sedangkan
yang disuruh oleh Rasulullah SAW ialah memakai pakaian putih. Mereka seolah-olah membuat satu pakaian
seragam sendiri supaya dapat dikenali mereka itu golongan Darul Arqam.
Membuat kumpulan adalah sangat berbahaya kerana
masing-masing akan menarik seberapa ramai pengikut supaya bertambah ramai ahli
kumpulannya. Sepatutnya mereka mestilah menarik manusia kepada Tuhan
bukan kepada mereka. Saya lihat Darul
Arqam berat ke dunia. Pakaian mereka
hitam menyerupai pakaian kaum Syiah.
Sedangkan Syiah itu telah terkeluar dari Islam kerana mempercayai bahawa
Saidina Ali RA itu sepatutnya menjadi Nabi dan bahawa Al-Quran mengandungi 40
juzuk.
Saya memberitahu orang ramai supaya berhati-hati terhadap
kumpulan Darul Arqam kerana ia juga menyimpang dari jalan yang benar. Walaupun saya tidak tahu benar Darul Arqam
tetapi dalam penglihatan saya mereka tidak betul jalan. Tidak lama terjadilah
peristiwa di mana seorang ketua Darul Arqam di Semporna telah menipu orang
ramai dengan melesapkan berpuluh-puluh ribu wang ringgit dan melarikan diri
balik ke Semenanjung Malaysia.”
Akhirnya penglihatan YM Tuan Guru RA ternyata tepat kerana
pada 15 Oktober 1986, di berita 'Harian Express' tersebar luaslah mengenai rahsia Syeikhul Arqam Ustaz Haji Ashaari
Mohammad pengasas Darul Arqam. Rahsianya terbocor apabila naibnya Ustaz Haji
Mokhtar Yaakub keluar dari Darul Arqam kerana katanya pertubuhan tersebut sudah
menyeleweng. Antara lain Haji Mokhtar
berkata, "Darul Arqam adalah milik tunggal Syeikhulnya Ustaz Ashaari dan
beliau bebas berbuat sesuka hatinya pada pertubuhan itu. Atas kepercayaan itu, Ustaz Ashaari bebas
menganjurkan beberapa langkah yang kini sudah jelas kepada saya sebagai cubaan
untuk menyelewengkan akidah pengikutnya bagi memenuhi cita-cita politiknya.
Dan sebagai seorang yang sedar, saya perlu keluar dari
pertubuhan itu serta mengingatkan mereka yang masih bersamanya supaya segera
keluar daripadanya" kata Haji
Mokhtar. Menurutnya, hasrat politik Haji
Ashaari sungguh hebat. Katanya lagi, "Bagi mencapainya hanya kesetiaan
yang tidak berbelah bagi daripada anggotanya diperlukan. Dengan kesetiaan ini sahajalah akan
membolehkannya melakukan apa sahaja tanpa bangkangan umpamanya untuk menubuhkan
sebuah kerajaan Islam secara revolusioner di negara ini. Sekarang mereka bersiap-siap untuk berhijrah
ke Alas Kotonggo bagi menyambut kemunculan Imam Mahdi. Sebuah tongkang besar disediakan untuk
membawa mereka ke sana.
Kata Haji Mokhtar lagi, "Bagi mencapai tahap kesetiaan
itulah Haji Ashaari dikatakan menganjurkan beberapa perkara terutamanya mengenai
kemunculan Imam Mahdi. Haji Ashaari bermati-matian mahu pengikutnya meyakini
bahawa pelopor tarikat Muhammadiah iaitu Asy-Syeikh Muhammad As-Suhaimi itulah
sebenarnya Imam Mahdi yang kononnya belum mati tetapi akan muncul di Alas
Kotonggo.”
Inilah sebahagian rahsia Ustaz Haji Ashaari Mohammad yang
terpapar dalam akhbar 'Harian Express’ 15 Oktober 1986 itu. Rupanya kepercayaan
pertubuhan Darul Arqam mengenai Imam Mahdi adalah sama dengan kepercayaan kaum
Syiah. Kaum Syiah juga mengatakan bahawa
seorang imam mereka telah ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi bagi
menyelamatkan umat manusia di akhir zaman.
Dalam surat khabar lain, Ustaz Mokthar juga berkata bahawa
pertubuhan Darul Arqam ada mengamalkan silat bernama 'Silat Sunda' dan juga
Ustaz Ashaari percaya dalam menggunakan jin untuk membantu.
Ada orang menyebut di hadapan YM Tuan Guru RA bahawa Ustaz
Haji Mokthar Yaakub telah wafat. Lalu
beliau berkata, "Ustaz Haji Mokthar adalah orang yang baik. Sebab itulah sebelum dia mati Tuhan telah melarikan
dia dari Darul Arqam agar dia selamat.”
Akhirnya Jemaah Tabligh dan Darul Arqam ini telah
diharamkan bergerak di Sabah melalui fatwa Majlis Fatwa MUIS pada l3 Mac 1989.
Namun begitu pengharaman ini tidak berkuatkuasa. Hanya pada tahun 1994 Darul Arqam telah
diharamkan di seluruh negara kerana ajaran Ustaz Ashaari didapati sesat dan
menyesatkan.
PENENTANGAN TERHADAP KASSIM AHMAD
Dr. Kassim Ahmad bekas Pengerusi Parti Sosialis Rakyat
Malaya (PSRM) telah muncul dengan pendapatnya bahawa semua hadis adalah palsu
belaka, rekaan alim Ulama. Kassim Ahmad
ini telah berguru melalui sebuah buku berjudul 'Computer Speaks: God message to
the World' karangan Dr. Rashid Khalifa Imam Masjid Besar Tucson, Arizona,
Amerika Syarikat. Rashid Khalifa antara
lain berpendapat bahawa:-
1. Hari Kiamat boleh ditentukan
masanya dengan menggunakan komputer berdasarkan kod 19;
2. Azan dan tasyahud adalah syirik;
3. Kaabah adalah berhala besar di muka
bumi ini; dan
4. Semua hadis adalah palsu, rekaan
alim Ulama.
Pada bulan Jun 1985, pendapat Kassim Ahmad telah tersiar di
akhbar Watan. Kassim Ahmad berpendapat
bahawa semua hadis adalah palsu belaka, rekaan para alim Ulama dan tarikh Hari
Kiamat boleh ditentukan berdasarkan kod 19.
Dia mencabar alim Ulama yang mengatakan dia salah. Dia berani berhadapan dengan sesiapapun untuk
mempertahankan pendapatnya kerana katanya, "Berani kerana benar.”
Setelah beliau mengetahui perkara ini, beliau pun menulis
surat kepada Kassim Ahmad pada 12/7/1985 menyahut cabaran beliau. Dalam surat tersebut beliau menegaskan bahawa
siapa yang mengatakan,
1. Azan dan tasyahud itu syirik;
2. Kaabah itu berhala besar;
3. Hari kiamat boleh ditentukan
masanya dengan Computer; dan
4. Semua hadis adalah palsu;
orang itu menjadi murtad.
Antara lain dalam surat itu beliau berkata:-
"Dengan ini saya
menyahut cabaran Kassim Ahmad yang termuat dalam surat khabar Watan keluaran
Sabtu 1-3 Jun 1985. Bila dan di mana
sahaja Kassim Ahmad mahu, saya akan datang insyaAllah. Kumpullah semua manusia tidak kira agama dan
bangsa untuk menyaksikannya. Di sini
saya tegaskan bahawa agama yang benar ialah Agama Islam. Dalam Agama Islam hanya Ahli Sunnah Wal
Jemaah sahaja yang benar, yang lainnya seperti Qadiyani, Wahhabbi, Tabligh,
Syiah dan lain-lain adalah sesat. Sesiapa
yang menyangkal kenyataan ini silalah datang ke majlis perdebatan
tersebut. Kenyataan seperti ini telah
saya sebarkan ke seluruh dunia dalam risalah yang bertarikh 5 Disember 1983.
Tujuan saya bukan untuk menghina mana-mana pihak atau
kerana takbur tetapi semata-mata kerana kasih sayang saya terhadap semua
manusia agar yang tersesat balik ke pangkal jalan. Memandangkan perkara ini bukanlah perkara
senda gurau iaitu persoalan akidah, yang mana boleh tersesatnya orang Islam
jika dibiarkan berlanjutan, saya menyahut cabaran Kassim Ahmad dengan
mengemukakan dua cabaran iaitu:
Siapa yang kalah dalam perdebatan tersebut dikehendaki
memberi $20,000.00 kepada yang menang dan Si kalah ditembak mati kerana orang
yang membawa agama sesat tidak guna hidup; atau
Sekiranya tidak putus juga dalam perdebatan tersebut maka
sama-samalah berdoa kepada Allah SWT agar yang mengadakan pendustaan dilaknat
Allah SWT. Selepas itu saya dan Kassim Ahmad bolehlah masuk ke dalam sebuah
rumah yang kemudiannya hendaklah dibakar. Siapa yang benar akan selamat dan
tidak terbakar seperti Nabi Ibrahim AS.
Anjuran seperti ini dibolehkan oleh Allah SWT. Sila lihat surah Ali-lmran ayat 61. Dalam
penglihatan saya, Kassim Ahmad telah miring otaknya. Saya harap Kassim Ahmad, tok gurunya dan
pengikut-pengikutnya cepat-cepatlah bertaubat kalau tidak akan turun bala Allah
SWT, menyesallah dan bertaubatlah sebelum terlambat.”
Surat beliau tidak dibalas.
Oleh itu beliau menulis surat kepada:-
1. Yang Dipertuan Agong, kerana
sebagai penaung umat Islam dia bertanggungjawab atas akidah umat Islam jangan sampai
menyeleweng.
2. Dr. Mahathir Mohamad, kerana selaku
Perdana Menteri Malaysia dia bertanggungjawab atas keselamatan umat Islam
lebih-lebih lagi menjaga mereka dari ajaran atau pendapat yang sesat.
3. Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi selaku
Menteri Pelajaran ketika itu bertanggungjawab atas keselamatan para pelajar
jangan sampai mereka tersesat jalan.
4. Para
imam besar seluruh negara kerana bertanggungjawab atas imam-imam lain.
Dalam surat-surat tersebut beliau menegaskan kepada mereka
bahawa Kassim Ahmad tidak boleh dibiarkan kerana ia menyesatkan umat Islam
dengan pendapatnya. Dia mesti diambil
tindakan. Kalau tidak seluruh negara
akan mendapat bala nanti.
PERTENGKARAN DI ANTARA MUIS DENGAN BELIAU
MUIS merupakan satu badan yang telah ditubuhkan oleh Parti
BERJAYA yang bertujuan untuk mengawas, mengurus dan bertanggungjawab ke atas
hal ehwal keagamaan umat Islam di Sabah.
Ia juga merupakan badan dakwah yang membimbing umat Islam ke arah
keselamatan dunia dan akhirat lebih-lebih lagi menjaga mereka dari ajaran
sesat.
Maka atas dasar tersebut di atas, para alim Ulama khasnya
dan para kakitangan MUIS mestilah sentiasa berada di jalan lurus. Kata Beliau:
"Bagaimana MUIS membimbing umat Islam ke arah jalan
benar kalau sekiranya mereka sendiri
tidak betul jalan serta tidak dapat memberi contoh yang baik kepada
masyarakat. Mereka mestilah berada di
jalan yang benar kerana kalau mereka menyeleweng, umat Islam lain pun turut
menyeleweng.
Sebagai orang yang mengetahui, saya berasa bertanggungjawab
untuk memberi teguran dan nasihat kepada MUIS kiranya mereka telah melakukan
perkara-perkara yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Teguran saya adalah semata-mata tanda kasih
sayang saya terhadap MUIS agar mereka selamat dan umat Islam yang lain pun
selamat. Sebab itu dari semenjak saya
tiba ke Kampung Bikang, Lahad Datu selepas diusir, saya sentiasa menasihati
pihak MUIS supaya selalu memperbetulkan jalan mereka. Pihak MUIS menyalahtafsirkan tujuan saya yang
sebenarnya. Di antara perkara-perkara
yang saya pernah tegur kerana bertentangan dengan hukum ialah:-
(i) Nasrul Haq
Telah dikatakan bahawa Nasrul Haq
telah mendapat sambutan baik dari umat Islam di Sabah. Apa sebabnya ajaran Nasrul Haq tersebar luas
di Negeri Sabah? Tiada lain melainkan sebab MUIS sendiri yang merasmikan
penubuhannya dan secara langsung menjadi tenaga penggerak bagi menyebarkan
ajaran tersebut di Sabah. Umat Islam pun menyambut ajaran Nasrul Haq dengan
tangan terbuka kerana mereka berpendapat kiranya ajaran tersebut sesat tentu
MUIS tidak merasmikannya dan tidak pula melibatkan diri dalamnya.
“Saya lihat bahawa umat
Islam sedang dalam keadaan bahaya kerana MUIS sebagai badan yang
bertanggungjawab menjaga umat Islam dari ajaran sesat, kini telah menjerumuskan
diri dalam ajaran Nasrul Haq yang sesat.
Maka untuk menyelamatkan
umat lslam dari bahaya syirik, saya terpaksa berdiri di tengah-tengah
masyarakat memberitahu MUIS dan umat Islam yang lain, bahawa ajaran Nasrul Haq
sebenarnya adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang suci murni. Rupanya pihak MUIS tidak puas hati dengan
teguran saya itu kerana mereka percaya bahawa ajaran Nasrul Haq adalah sesuai
dengan ajaran Islam. Lalu mereka
mengutus Prof. Mokhtar Lintang, Ustaz Aliuddin Kamidi (pengarah Dakwah MUIS)
dan Mufti Sabah ke tempat saya untuk memberi penerangan kepada saya hakikat
ajaran Nasrul Haq.
Sebagaimana telah disebutkan terdahulu bahawa Ustaz Aliuddin
tidak dapat berhujah dengan saya dan sekaligus tidak dapat menegakkan kebenaran
ajaran Nasrul Haq.
(ii) Pertandingan Al-Quran
Saya menasihati MUIS supaya menghentikan sahaja majlis
pertandingan Al-Quran kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam. Pertandingan membaca Al-Quran adalah haram
kerana di tempat pertandingan itu berlaku pergaulan bebas tanpa batas antara
lelaki dengan perempuan ajnabi. Suara
perempuan meninggi membaca Al-Quran, lelaki dan perempuan bernasyid di khalayak
ramai, semua ini tidak dibenarkan oleh syarak.
Lagi pun Al-Quran itu bukan untuk dipertandingkan tetapi diamalkan.
(iii) Sistem
pungutan zakat
Saya menyuruh pihak MUIS membetulkan sistem pungutan zakat
termasuk zakat fitrah agar tidak disalahgunakan. Pihak MUIS telah menggunakan wang zakat
fitrah dengan tidak sewajarnya.
Sepatutnya penduduk kampung atau sesuatu tempat itu lebih berhak dengan
penggunaan wang zakat fitrah. Tidak semestinya
menghantar kepada pihak MUIS.
Wang zakat fitrah hendaklah diserahkan kepada yang berhak
menerimanya sebelum Hari Raya Puasa agar mereka dapat merayakan Hari Raya
bersama. Oleh kerana sistem pengumpulan
wang zakat yang telah dijalankan oleh pihak MUIS tidak betul, ia menyebabkan
adanya penyelewengan. Buktinya hampir
sejuta ringgit wang zakat telah diambil oleh orang-orang yang tertentu di
kalangan pegawai-pegawai MUIS. Begitulah yang terjadi sepanjang pentadbiran
MUIS.
(iv) Perlantikan
pegawai-pegawai MUIS terutama Yang Dipertua MUIS
Saya mengesyorkan kepada MUlS supaya ketua-ketua MUIS
dilantik oleh orang-orang yang arif dalam agama bukan dilantik berdasarkan
kepentingan politik. Oleh sebab perlantikan pegawai-pegawai tertinggi MUIS
berdasarkan politik, maka MUIS sepanjang penubuhannya belum dapat menjayakan
matlamatnya lagi.
Pihak MUIS mestilah memberikan contoh yang baik kepada
semua lapisan masyarakat kerana mereka adalah merupakan cermin keperibadian
seseorang Muslim. Saya lihat bahawa para
pegawai MUIS ini tidak dapat memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.
Pegawai-pegawai MUIS tidak menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat umum
seperti mereka tidak tentu sembahyang, memakai seluar pendek, tidak menutup
kepala, berpakaian seperti pakaian orang kafir dan terlibat dalam sukan.
Saya menekankan bahawa Yang Dipertua MUlSlah orang yang
pertama-tama yang mesti menunjukkan contoh yang baik. Perangainya
mestilah sesuai dengan tuntutan Islam kerana masyarakat bukan Islam akan
mengukur dan menilai Islam itu pada diri yang Dipertua MUIS.
Kalau kelakuannya tidak senonoh, agama Islam akan ikut
tercemar. Sebab itulah saya memberi
teguran dan nasihat kepada Haji Sunoh Marsoh ketika dia memegang jawatan
Dipertua MUIS dalam pemerintahan parti BERJAYA. Sebagai Dipertua MUIS,
sepatutnya Haji Sunoh Marsoh tidak berani melakukan perkara-perkara yang
bertentangan dengan hukum seperti tari-menari dengan perempuan, bermesyuarat
tanpa menghiraukan azan yang sedang dilaungkan dan tidak menepati janji.
Pihak MUlS tidak senang
hati dengan teguran saya itu, lalu mereka mencari jalan untuk mempersalahkan
saya. Kesempatan yang mereka
tunggu-tunggu terbuka luas apabila saya mengedarkan sebuah risalah ke seluruh
pelusuk dunia pada 5 Disember 1983.
Pihak MUIS mengambil kesempatan ini untuk mempersalahkan saya kerana
kata mereka, menurut undang-undang yang mereka buat bahawa saya tidak
dibenarkan menyebarkan sebarang risalah tanpa mendapat kebenaran dari pihak
MUIS terlebih dahulu. Maka pada 1 Mac
1984, mereka mengirim surat rasmi kepada
saya menyatakan kesalahan saya. Di
antara kandungan surat tersebut ialah:-
‘Tuan telah membuat kesalahan kerana mengeluarkan sesuatu
risalah mengenai agama kepada orang ramai tanpa kebenaran dan yang juga telah
menyentuh negara-negara Islam berkenaan Saudi Arabia.’
Saya telah dinasihatkan supaya menarik balik semua
risalah-risalah saya itu dengan membuat pengumuman di tempat-tempat di mana
surat saya diedarkan secara bertulis.
Saya diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian, kalau tidak, tindakan
akan diambil ke atas saya mengikut seksyen 93A undang-undang pentadbiran hukum
Syarak no. 15/77.
Saya lalu membaca isi kandungan surat tersebut kepada orang
ramai pada hari Jumaat. Saya menyatakan
bahawa undang-undang tersebut adalah undang-undang syaitan. Tidak boleh dipatuhi. Saya nampak MUIS sebagai panghalang
kebenaran. Ia semestinya dihapuskan oleh
kerajaan, kalau tidak BERJAYA akan kalah.
Di hadapan khalayak ramai pada hari Jumaat, saya berkata
bahawa Datuk Sunoh Marsoh akan menjadi sial dan jatuh pangkat kalau tidak
taubat bahkan kerajaan parti BERJAYA akan jatuh sekiranya Datuk Sunoh Marsoh
tidak dibuang oleh Datuk Harris.
Saya
lalu membaca sepotong ayat suci Al-Quran yang bermaksud:
"Sesiapa yang menentang Allah SWT dan Rasulullah SAW
akan menjadi hina dan siapa yang dihinakan oleh Allah SWT tiada seorang pun
yang dapat memuliakannya lagi.”
(Surah Al-Mujaadalah:20 dan Surah
Al-Hajj:18)
Selepas itu, ramailah orang kenamaan (VIP) yang datang ke
tempat saya untuk bertanyakan perkara yang sebenarnya dan cuba mendamaikan saya
dengan Datuk Sunoh. Saya enggan berdamai
dan saya berkata, ‘Perkara berkaitan agama begini tidak boleh berdamai, sebab
Sunoh Marsoh adalah penentang Allah dan RasulNya. Sekiranya dia bertaubat, maka
bolehlah berdamai dan sebaliknya.’
Tetapi Sunoh Marsoh enggan mengakui kesilapannya dan parti
BERJAYA tidak pula membuang Sunoh Marsoh, bahkan dinaikkan pangkat dan
dianugerahkan gelaran Tan Sri. Maka
tersebar luaslah berita di kalangan orang ramai yang mengatakan sejak Sunoh
Marsoh menentang saya, dia bertambah dinaikkan pangkat.
Lalu saya menjelaskan kepada orang ramai bahawa memang
begitulah keadaan orang yang akan jatuh, terlebih dahulu akan diberi kenaikan
pangkat - ibarat bunga, sebelum layu ia kembang dahulu.
Tidak lama kemudian, datanglah timbalan Mufti negeri ke
Masjid Lahad Datu untuk menemui saya pada hari Jumaat. Ia bertujuan untuk bertanya kepada saya
apakah yang menyebabkan saya benci kepada Sunoh Marsoh. Saya lalu menjawab ‘Sunoh Marsoh tidak layak
menjadi Yang Dipertua MUIS kerana dia menari dengan perempuan. Dia juga berjanji sekiranya dia menang dia
akan membesarkan Masjid Bandar Lahad Datu tetapi dia tidak menunaikan
janjinya. Ketika bermesyuarat di dewan
yang berhampiran dengan Masjid Bandar, dia tidak menghiraukan azan yang dilaungkan
dari masjid, serta tidak berhenti bermesyuarat untuk mengerjakan
sembahyang. Dia melarang penduduk Pulau
Sakkar dari mengerjakan sembahyang di Masjid Bandar Lahad Datu dan kesalahannya
yang paling besar ialah menentang penyebaran risalah itu.’
Sekali lagi saya memberitahu dengan tegas bahawa BERJAYA
akan jatuh sekiranya Sunoh Marsoh tidak dibuang dari parti itu.”
Mulai dari sini pihak MUIS telah mengambil langkah-langkah
yang nyata untuk menyekat ajaran beliau kononnya kebanyakannya bidaah. Menurut
mereka, beliau telah mengamalkan beberapa perkara yang tidak dikehendaki oleh
syarak seperti:-
1. YM Tuan Guru RA membaca ayat
panjang di dalam sembahyang fardhu Jumaat;
2. Azan dilaungkan oleh empat orang
bilal; dan
3. Membawa qunut tiap-tiap waktu.
Maka melalui surat yang bertarikh 14 Julai 1984, Mufti
Negeri Sabah telah mengarahkan Imam Daerah untuk menghentikan azan
beramai-ramai dan qunut pada tiap-tiap waktu.
Namun beliau tidak menghiraukan arahan itu. Maka pihak MUIS di Daerah Lahad Datu tidak
membenarkan azan beramai-ramai di lapangan terbang ketika menghantar
orang-orang naik Haji.
YM Tuan Guru RA sangat marah lalu menyuruh tujuh orang
bilal melaungkan azan di lapangan terbang.
Kata beliau, "Bumi ini kepunyaan Allah SWT. Maka tiada seorangpun yang berhak melarang
nama Allah disebut di mana-mana. Kalau
begini sikap MUIS tidak lama bala akan menimpa Daerah Lahad Datu.”
Maka tepatlah kata beliau kerana tidak lama kemudian Daerah
Lahad Datu telah didatangi sekumpulan perompak yang telah menembak mati
beberapa orang dan merampas wang dari Standard Chartered Bank. Pihak keselamatan tidak dapat berbuat
apa-apa.
Pada tahun 1986, pihak MUIS mendapat satu kesempatan lagi
untuk memburuk-burukan YM Tuan Guru RA
iaitu apabila YM Tuan Guru RA menunaikan sembahyang Hari Raya Haji tidak
serentak dengan tarikh yang telah ditetapkan oleh Agong. Agong telah menetapkan sembahyang Hari Raya
Haji pada 15 Ogos 1986 iaitu pada hari Jumaat.
Tetapi beliau hanya bersembahyang pada 16 Ogos 1986 iaitu hari Sabtu.
Mengikut beliau 10 Zulhijjah jatuh pada hari Sabtu bukan pada hari Jumaat
sebagaimana yang ditetapkan. Pada tahun
1987, sekali lagi beliau mengulangi sembahyang Aidiladha di Masjid Bandar Lahad
Datu kerana mengikut beliau hari yang ditetapkan tidak tepat dengan kiraan anak
bulan.
lnilah satu kesempatan yang paling baik bagi MUIS dan
kuncu-kuncunya untuk menyifatkan perbuatan YM Tuan Guru RA sebagai menentang
pihak kerajaan. Lalu mereka melaporkan
kepada pihak keselamatan bahawa YM Tuan Guru RA adalah berbahaya bagi
keselamatan dalam negeri kerana memecah-belahkan umat Islam. Peluang ini
terbuka apabila terjadi penangkapan ISA beramai-ramai pada tahun 1987.
PENANGKAPAN YM TUAN GURU RA DI BAWAH ISA
Maka pada 7 Disember 1987, kira-kira jam dua pagi sebuah
lori polis secara mengejut datang ke kediaman YM Tuan Guru RA di Kampung
Bikang, lantas membawanya ke Tawau untuk ditahan di penjara Air Panas di bawah
ISA. Memang sebelum ini YM Tuan Guru RA
telah memberitahu pengikutnya, bahawa satu cubaan akan berlaku ke atas dirinya,
tetapi tidak sehebat apa yang berlaku atasnya pada tahun 1965 di mana beliau
telah dipulangkan ke negara asalnya, Pakistan.
Sebelum ditangkap beliau telah bermimpi seolah-olah berada
di satu tempat di mana orang-orangnya tidak bersembahyang. Atas nasihat beliau, penduduk tempat tersebut
lalu mengerjakan sembahyang. Apa yang
dimimpi oleh YM Tuan Guru RA menjadi kenyataan apabila beliau dibawa ke penjara
Air Panas kerana itulah tempat yang beliau mimpi di mana pegawai keselamatannya
tidak bersembahyang. Maka atas nasihat
beliau mereka pun mula bersembahyang.
Ketika YM Tuan Guru RA dibawa berhadapan dengan pegawai
penyiasat, beliau bertanya, "Kenapa saya ditangkap?" Jawab pegawai
berkenaan, "Kami tidak tahu. Kami ikut sahaja arahan dari atas.”
Kata YM Tuan Guru RA, "Kalau arahan manusia kamu ikut
walaupun tidak tahu dari mana asal usulnya, tetapi arahan dari yang menjadikan
kamu dari setitik air yang hina supaya berdiri di hadapanNya beberapa minit
sahaja, kamu tidak patuhi. Kalau berdiri
di hadapan ketua-ketua atau menteri, kamu sanggup walau berjam-jam lamanya,
tetapi berdiri di hadapan Tuhan, kamu tidak sanggup walaupun beberapa minit
sahaja. Ini fikiran tidak betul. Cuba
kamu fikir kalau Allah SWT pusing otak kamu supaya gila, mengambil penglihatan
kamu menjadi buta dan menutup pendengaran kamu menjadi tuli, maka kamu tidak
akan berguna lagi - sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Katakanlah:
Khabarkanlah kepadaku, jika Allah melenyapkan pendengaran dan penglihatanmu dan
mencap (menutup) mata hatimu, siapakah Tuhan selain Allah yang akan memberi
kamu? Perhatikanlah bagaimana Kami menerangkan beberapa ayat, kemudian mereka
berpaling juga.”
(Surah Al-An’am: 46)
Kamu akan dibuang pangkat.
Sebab itu hendaklah kamu takut kepada Allah SWT. Dirikanlah sembahyang
di hadapan Tuhan yang hanya akan mengambil masa lebih kurang sepuluh minit
sahaja.”
Alhamdulillah atas tunjuk ajar beliau itu, mereka mulai
bersembahyang bersamanya. Kata mereka, "Kami hanya mendengar nama Tuan
Haji. Ini adalah satu hikmah dari Allah
SWT membawa Tuan Haji ke sini agar kami bersua muka dengan Tuan. Rupanya apa
yang dikatakan orang tentang Tuan Haji adalah merupakan fitnah belaka. Nasihat Tuan Haji belum terfikir dalam otak
kami, baru kali ini kami dengar nasihat semacam itu.”
Ketika dalam penjara datanglah seorang pegawai untuk
menanyakan hal ehwal beliau dari sejak
kecil hingga dewasa bermaksud untuk mengambil 'statement'. Kata beliau padanya, "Tuan
janganlah buang masa menanyakan masa
kecil saya yang tidak berfaedah. Saya
tidak suka buang masa kerana membuang masa tanpa berfaedah adalah saudara
syaitan. Tanyalah kenapa saya ditangkap?
Carilah kalau ada kesalahan saya dari tahun 1938. Kalau kamu dapat cari satu sahaja kesalahan
saya dan ada seorang sahaja saksi dengan bukti yang terang, kamu boleh tembak
saya sebab orang zalim tidak guna hidup.
Tetapi kesalahan kerajaan, saya boleh beritahu satu persatu sekarang.”
Pegawai tersebut berkata bahawa dia mahu menulis riwayat
hidup beliau. Lalu dia menanyakan tentang sembahyang sunat dan iktikaf serta
fadhilatnya. Beliau menjelaskan
semuanya. Kemudian pegawai tersebut
memberitahu beliau bahawa mereka telah menerima aduan dari pihak tertentu mengenai
ajaran beliau dan mereka ingin tahu sejauh manakah kebenaran aduan
tersebut. Aduan itu ialah:-
1. YM Tuan Guru RA lambat sembahyang
Jumaat serta membaca ayat panjang pada rakaatnya;
2. Sembahyang fardhu Zohor selepas
sembahyang Jumaat;
3. Azan beramai-ramai, dan
4. Membawa doa qunut pada tiap-tiap
sembahyang fardhu; serta
5. Sembahyang Aidiladha menyalahi
arahan Dipertuan Agong.
Pegawai tersebut minta penjelasan dari beliau. Lalu beliau jelaskan dan berkata,
"Manusia boleh berdiri di hadapan ketua atau menteri berjam-jam, duduk di
hadapan TV berjam-jam lamanya tanpa sebarang sungutan. Tetapi kenapa kalau
berdiri di hadapan Tuhan yang menciptakannya dari setitik air, rasa tidak tahan
padahal hanya beberapa minit sahaja.
Bukankah ini pendapat salah.
Adapun qada zohor selepas sembahyang Jumaat itu tidak salah. Bahkan berpahala pula. Jumaat adalah 'hari raya' dan 'haji' bagi
fakir miskin. Sedangkan pahala
orang-orang yang mengerjakan satu kebajikan di Tanah Suci ketika menunaikan
fardhu Haji diberi ganjaran seratus ribu kebaikan. Alangkah baiknya kalau kita mengambil
kesempatan di hari Jumaat untuk membayar hutang kita, iaitu mengqadhakan
sembahyang Zohor yang kita tinggalkan dahulu kerana pahalanya seperti kita
mengqadhakan seratus ribu fardhu Zohor.”
Adapun tentang azan beramai-ramai sekali lagi beliau
jelaskan:
"Tidak ada menghalangnya kecuali orang itu munafik
atau orang yang jahil yang tidak suka nama Allah SWT diulang-ulang beberapa
kali. Azan adalah merupakan
zikrullah. Tidaklah menjadi kesalahan
mengulang-ulang nama Allah SWT beberapa kali.
Bahkan Allah SWT dan RasulNya menyuruh kita umat Islam memperbanyakkan
menyebut nama Allah SWT.
Dalam tahun 1950, ketika menunaikan fardhu haji, saya
dapati empat orang melaungkan azan di Masjidil Haram. Tiada seorang Ulama pun yang menentangnya
ketika itu. Ini bererti telah mendapat
persetujuan dari alim Ulama. Lagi pun
azan beramai-ramai banyak faedahnya.
Diantaranya:-
1. Orang yang jauh tempatnya dari
masjid sempat berjamaah di masjd.
2. Syaitan
akan lari jauh-jauh. Sabda Nabi SAW iaitu:
"Syaitan akan lari
jauh ketika azan dilaungkan dan hanya balik setelah selesai azan.”
Alangkah
baiknya kalau azan beramai-ramai supaya syaitan lambat datang kepada kita.
3. Pahala azan adalah lebih menguntungkan
dibandingkan dengan dunia dan seisinya, sehingga Nabi SAW menyuruh umatnya
berlumba-lumba melaungkan azan walaupun terpaksa diadakan undi. Jadi kalau ramai azan maka ramailah dapat
pahala dan kebaikan.
4. Makhluk yang mendengar azan akan menjadi
saksi di hari Kiamat bagi orang yang melaungkan azan.”
Mengenai qunut tiap-tiap waktu pula beliau menjelaskan
bahawa ia sepatutnya dikerjakan.
Katanya:
"Telah thabit (nyata) dalam hukum bahawa adalah sunat
membawa qunut pada tiap-tiap waktu kiranya ada kekacauan, peperangan,
kebuluran, penyakit dan maksiat berleluasa.
Masa kini umat telah ditimpa oleh kehinaan. Maksiat berlaku di mana-mana sahaja. Maka sewajarnyalah kita umat Islam membawa
qunut tiap-tiap waktu, memohon keselamatan dan petunjuk dari Allah SWT, agar
umat Islam ditunjukkan jalan yang benar.
Sekarang bala telah menimpa umat Islam di mana-mana kerana umat Islam
tidak lagi menghiraukan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ramai yang sudah
menyimpang dari jalan yang benar, jalan Ahli Sunnah Wal Jemaah.”
Tentang sembahyang Hari Raya Haji lewat sehari dari yang
ditetapkan, beliau menjelaskan:
"Tidak menjadi kesalahan. Dalam hukum, sembahyang Hari
Raya Haji mestilah pada tanggal 10 Zulhijjah atau selepasnya, sekiranya ada hujan
sehingga tidak dapat mendirikan sembahyang.
Tetapi tidak boleh sekali-kali melakukannya sebelum l0 Zulhijjah. Kerana akibatnya - korban tidak sah dan hanya
akan jatuh sebagai sedekah biasa sahaja.
Lagipun disunatkan kita berpuasa pada tanggal 9 Zulhijjah hari Arafah
yang sangat besar pahalanya. Maka
mengikut kiraan saya, berdasarkan anak bulan, 10 Zulhijjah jatuh pada 16 Ogos
1986 bukan 15 Ogos 1986. Sesuai juga dengan tarikh yang ada dalam kalendar
dan dairi. Saya hanya ikut perintah
Allah SWT dan RasulNya. Saya tidak ada
maksud untuk menentang keputusan Agong atau sesiapa sahaja.”
Pegawai tersebut lalu menyatakan, "Rupanya Ustaz-ustaz
MUIS tidak juga benar.”
DI HOSPITAL BESAR TAWAU
Memang kebelakangan ini YM Tuan Guru RA sentiasa berada
dalam keadaan sakit. Maka ketika pihak keselamatan membawa beliau ke Penjara
Air Panas, beliau terpaksa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk diperiksa
penyakitnya. Mengikut pemeriksaan
doktor, beliau menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Mereka
menahan beliau di hospital beberapa hari.
Walaupun beliau tidak suka ke hospital, namun ini adalah ketentuan Allah
SWT yang mengandungi hikmah yang jarang manusia mengetahuinya.
Di sini Allah SWT hendak memperlihatkan bahawa doktor
kerohanian melebihi doktor biasa, kerana doktor kerohanian bukan hanya dapat
menyembuhkan penyakit batin tetapi juga penyakit zahir.
Ini nyata terbukti ketika beliau ditahan di hospital
tersebut. Sepatutnya orang yang ditahan di hospitallah yang perlu diubati bukan
sebaliknya mereka yang mengubat. Tetapi inilah yang berlaku terhadap
beliau. Ramai orang yang sakit datang
kepada beliau dengan membawa air dalam botol untuk ditawarkan. Bukan sahaja orang ramai yang datang bahkan
doktor sendiri pun datang minta diubati.
Sekiranya beliau berada di hospital lebih lama lagi, tiada yang akan
berubat dengan doktor. Semuanya akan
pergi ke tempat beliau. Bahkan sehingga
beliau dalam penjara Air Panas pun ada orang datang minta diubati.
PEMBEBASAN YM TUAN GURU RA
Genap dua minggu YM Tuan Guru RA dalam tahanan ISA, beliau
telah dibebaskan. Hari itu hari Jumaat
di mana Ketua Polis sendiri yang datang menyampaikan keputusan tersebut.
Setelah bebas, pihak keselamatan menyuruh beliau menyekat orang ramai datang ke
rumahnya. Beliau buat lagi satu notis daripada yang sedia ada. Tetapi orang
ramai masih juga datang berkunjung.
Beliau menyuruh pihak keselamatan datang ke rumahnya untuk
melihat keadaan sebenarnya. Tiga orang
pegawai keselamatan datang dan tinggal di rumah beliau. Setelah tinggal
beberapa hari di kediaman beliau dan membuat siasatan lengkap, mereka pun
kembali ke Tawau.
PERGERAKAN BELIAU SELEPAS PENANGKAPAN DI BAWAH AKTA
KESELAMATAN NEGERI ISA 1967
Beliau telah dibebaskan dari penjara Air Panas Tawau di
bawah akta ISA 1967 tanpa syarat. Pihak
MUIS merasa hampa kerana segala aduan mereka tidak berkesan. Pihak yang
berkuasa telah meneliti aduan-aduan yang telah dibuat, dan mendapati beliau
bebas dari tuduhan-tuduhan tersebut.
Namun pihak MUIS masih tidak putus
asa dari mencari jalan untuk mempersalahkan beliau.
Jalan itu terbuka apabila berlaku satu peristiwa pada Mei
1988. Dalam peristiwa itu pihak polis
telah menembak mati lapan orang pelampau, ketika mereka menuju ke lbu Pejabat
Polis Sandakan dengan parang terhunus, sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak
polis dalam akhbar.
Pegawai MUIS Sandakan telah membuat kenyataan dalam akhbar
bahawa lapan orang yang ditembak mati itu adalah anak murid kepada seorang guru
di Lahad Datu. Menurutnya, gambar guru mereka terdapat pada salah seorang di
antara mereka. Katanya lagi tanda mereka itu sesat ialah mereka memakai dua
serban bertindih.
Maka yang dimaksudkan oleh pegawai MUIS itu ialah YM Tuan
Guru Haji Muda di Kampung Bikang, Lahad Datu.
Pihak MUIS mengambil kesempatan untuk menyiarkan dalam
suratkhabar tempatan bahawa ajaran beliau adalah sesat, dan menuduh beliau ada
kaitan dengan lapan orang yang mati itu.
Yang Di Pertua MUIS Datuk Haji Abdul Wahid sendiri membuat kenyataan
bahawa ajaran beliau adalah fanatik, atau melampau jauh dari amalan-amalan
orang-orang Islam di Sabah.
Pegawai-pegawai polis telah datang ke rumah beliau dengan
membawa azimat dan gambar lapan orang itu.
Beliau tidak mengaku bahawa mereka semua anak muridnya, dan dia tidak
pernah menyuruh orang memakai tangkal seperti yang dipakai oleh lapan orang
itu. Kata beliau bahawa dia tidak pernah
menyuruh sesiapapun membunuh orang atau melawan kerajaan.
Beliau menyuruh Di Pertua MUIS supaya menarik balik
tuduhannya. Kalau tidak beliau akan membawanya ke hadapan pengadilan. Akhirnya Di Pertua MUIS terpaksa membuat
kenyataan bahawa dia tidak pernah menuduh beliau sesat. Katanya kenyataan dalam suratkhabar adalah
putar belit pemberita.
Dia mengaku kawan baik YM Tuan Guru RA, dan pernah berjumpa
dengan beliau beberapa kali, walaupun yang sebenarnya dia belum pernah berjumpa
dengan beliau. Secara tidak rasmi, dia meminta maaf kepada beliau.
Akhirnya Ketua Polis Negara membuat kenyataan dalam surat
khabar bahawa YM Tuan Guru RA tidak terlibat dalam peristiwa lapan orang itu.
BERZIARAH SAMBIL BERDAKWAH
Selepas Asyura pada 23 Ogos tahun 1988, YM Tuan Guru RA
telah mendapat gerakan dari Allah SWT untukmenyampaikan kalimah ‘LAAILAHAILLALLAH.’
Kata beliau kepada pengikut-pengikutnya:
"Saya rasa mulai sekarang kita ziarah tiap-tiap masjid
pada setiap hari Ahad. Kalau orang
berehat waktu hari Ahad kita ambil pula kesempatan untuk menziarahi
masjid-masjid mengingati Allah SWT. Bumi
Allah SWT ini sudah haus dan laparkan zikrullah. Oleh sebab itu kita mestilah
azan atau bertakbir di sepanjang perjalanan agar bumi yang kehausan itu berasa
gembira, dan di Hari Kiamat nanti akan menjadi saksi bagi kita. Lagipun azan hendaklah diperdengarkan kepada
orang-orang kafir agar mereka mendengar kalimah tauhid. Mudah-mudahan mereka ingat Tuhan. Azan juga dapat menghindarkan bala.”
Atas dasar inilah YM Tuan Guru RA telah mulai bergerak pada
4 September 1988, ke Daerah Semporna untuk menyampaikan kalimah Hak.
Hari itu hari Jumaat. Ketika beliau sedang menyampaikan
kalimah yang hak, beliau telah ditentang oleh imam daerah dan pegawai dakwah
luar MUIS, Ustaz Tua dan juga beberapa orang lain.
Mereka itu tidak senang hati. Mereka mahu beliau berhenti berucap kerana
waktu fardhu Jumaat telah masuk, beliau menerangkan kepada mereka bahawa kalau
ada perkara penting yang hendak disampaikan pada umat Islam yang akan membawa
mereka selamat dunia akhirat maka boleh melambatkan menunaikan fardhu Jumaat.
Tetapi mereka berkeras dengan pendirian mereka sehingga
imam daerah berdiri mengumumkan bahawa beliau hanya akan dibenarkan memberi
ceramah selepas fardhu Jumaat. Mereka
yang terlibat ini akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT kerana menentang
yang hak.
Semenjak itulah pada setiap hari Ahad beliau telah bergerak
dengan rombongannya ke tiap-tiap masjid di dalam dan di luar Daerah Lahad Datu,
khususnya ke Tawau, Kunak, Tungku, Tanjung Labian dan Sandakan. Beliau telah mendapat tentangan hebat dari
pihak MUIS dan pihak keselamatan. Namun
beliau terus bergerak tanpa menghiraukan ancaman mereka. Beliau menasihati pihak polis supaya tidak
campur urusan agama selagi tidak ada kekacauan berlaku.
YM Tuan Guru RA meneruskan lagi ceritanya:
"Ketika berlaku peristiwa lapan orang ditembak mati di
Sandakan, saya mencabar pihak MUIS supaya membuktikan bahawa ajaran saya adalah
salah berdasarkan Al-Quran dan Hadis.
Kenyataan rasmi tentang perkara ini tersiar dalam surat khabar 'Sabah
Times' yang bertarikh 4 Jun 1988.
Dalam surat khabar itu saya menyeru kepada pihak Majlis
Ugama Islam supaya dengan seberapa segera menghantarkan wakilnya ke Lahad Datu
untuk menyiasat sama ada ajaran yang saya sampaikan sejak tahun lima puluhan
kepada murid-murid saya sesat atau tidak.
Saya sanggup berhadapan dengan mana-mana Ulama bukan saja
di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, untuk berbincang mengenai pembawaan
saya. Sesiapa yang mendapati, setelah
berbincang, bahawa ajaran saya ini sesat, insyaAllah saya akan bertaubat dan
memberi sedekah kepada yang berkenaan sebanyak $30,000.00 (Tiga Puluh Ribu
Ringgit). Akhirnya saya telah diundang
ke Kota Kinabalu untuk menghadiri majlis muzakarah pada 16 Ogos 1989.”
MUZAKARAH
Pada 15 Ogos 1989, YM Tuan Guru RA dan rombongannya
bertolak dari Lahad Datu dengan menaiki kapalterbang dan tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sebelah petang. Apabila sahaja beliau dan rombongannya keluar
dari pintu keluar lapangan terbang mereka telah disambut oleh orang ramai
dengan laungan takbir. Para bilal Masjid Bandar Lahad Datu lalu mengumandangkan
azan. Selepas azan, beliau terus ke
Masjid Negeri untuk menunaikan fardhu Asar.
Beliau berada di Masjid Negeri sehingga selesai menunaikan sembahyang
fardhu Isyak.
Keesokan harinya beliau dan rombongan tiba di Wisma MUIS
pada jam lapan pagi untuk menghadiri majlis muzakarah yang telah ditetapkan
oleh pihak MUIS. Ahli majlis muzakarah
itu terdiri daripada ahli-ahli majlis tertinggi, ahli fatwa MUIS, Yang Dipertua
MUIS, Mufti Negeri, pakar rujuk, pengarah Amar Makruf dan Nahi Mungkar daripada
MUIS. Sebaik-baik sahaja masuk ke bilik
muzakarah, beliau menyuruh anaknya Abdul Hakim mengumandangkan azan. Pihak MUIS yang berada di situ berasa hairan.
Sebaik-baik sahaja majlis dimulakan, pihak MUIS bertanya
kepada YM Tuan Guru RA tentang mazhab dan akidahnya. Beliau menjelaskan bahawa
beliau bermazhab Imam Syafie dan akidahnya ialah akidah yang hak (sesuai dengan
akidah Ahli Sunnah Wal Jemaah).
Ketahuilah bahawa iktikad para Wali Allah itu sangat tinggi
sehingga sampai kepada hakkul-yakin.
Bukan seperti kita orang awam yang masih beriktikad berpandukan ilmu
tauhid semata-mata. Masih lagi mengikut
aliran Imam Abul Hassan Asyaari atau Imam Abul Mansur Al Maturidi RA.
Mengenai muzakarah ini YM Tuan Guru RA meneruskan
ceritanya:
"Dalam muzakarah itu pihak MUIS meminta saya
memberikan dalil samada dalam Al-Quran atau Al-Hadis kenapa saya:
1. Azan beramai-ramai;
2. Melaungkan azan di sepanjang jalan;
dan
3. Membawa qunut pada tiap-tiap lima
waktu.
Tentang azan beramai-ramai, saya menjelaskan kepada mereka
bahawa ketika saya menunaikan fardhu Haji ke Makkatul-Mukarramah pada tahun
1950, di Masjidil-Haram empat orang bilal melaungkan azan pada tiap-tiap
sembahyang lima waktu. Tiada seorang pun Ulama ketika itu melarangnya. Ini bererti azan beramai-ramai itu adalah
perkara kebaikan.
Dalam Al-Quran, Tuhan telah berfirman:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللَّهِ
وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Siapa yang terlebih baik perkataannya dari
orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal saleh dan berkata
Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”
(Surah Fussilat: 33)
Ayat ini menunjukkan kelebihan azan. Azan beramai-ramai banyak faedahnya, di
antara faedahnya:-
1. Orang-orang yang bekerja (makan
gaji) akan sempat berjamaah;
2. Azan merupakan zikrullah. Apabila
disebut nama Allah bahaya tidak akan menimpa;
3. Azan lebih baik daripada dunia dan
seisinya; dan
4. Kalau ramai orang melaungkan azan,
maka ramailah yang mendapat pahalanya.
Tetapi pihak MUIS mahu keterangan yang jelas mengatakan
bahawa azan dilaungkan oleh empat orang dibolehkan dalam syarak. Saya pun meminta mereka memberi keterangan
dari Al-Quran atau Hadis yang melarang azan beramai-ramai. Seorang Ustaz, pakar
rujuk MUIS berdiri memberi keterangan bahawa azan beramai-ramai adalah
bidaah. Katanya Nabi SAW telah bersabda:
"Siapa yang mengamalkan satu amalan tanpa perintahnya dari kami maka
ianya tertolak.”
Katanya lagi azan beramai-ramai tidak pernah dilakukan oleh
Rasulullah SAW dan para Sahabat. Maka azan beramai-ramai adalah bidaah dan
sia-sia sahaja berdasarkan hadis itu.
Ustaz itu berkata lagi, bahawa azan menurut mazhab Imam Syafie ialah
memberitahu bahawa waktu sembahyang sudah masuk.
Saya pun berkata Ustaz itu tidak faham maksud hadis
tersebut, kerana sekiranya azan beramai-ramai salah sudah tentu para alim Ulama
tahun lima puluhan telah melarang bilal-bilal di Masjidil-Haram melaungkan azan
beramai-ramai ketika itu.
Kata saya lagi, bahawa azan adalah merupakan zikrullah dan
bukan sahaja digunakan untuk memaklumkan waktu sembahyang, tetapi adalah sunat
juga hukumnya memperdengarkan azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir. Begitu juga sunat azan bagi orang-orang yang
berangkat ke Tanah Suci menunaikan fardhu Haji dan kalau ada kebakaran.
Menjawab soalan saya, Pengarah Amar Makruf dan Nahi Mungkar
menerangkan bahawa ketika dia masih belajar di kota Mekkah dia mendengar bukan
sahaja empat orang melaungkan bahkan sampai lima orang di setiap penjuru
Masjidil Haram kerana katanya ketika itu tiada lagi mikrofon atau pembesar
suara.
Mufti Negeri lalu memberi penjelasan bahawa azan
beramai-ramai di Masjidil Haram pada tahun lima puluhan dibolehkan dalam syarak
kerana:-
1. Ketika itu
alat pembesar suara belum ada lagi;
2. Umat Islam
telah bertambah ramai; dan
3. Masjidil
Haram terlalu luas.
Maka untuk itu perlu beberapa bilal melaungkan azan di
setiap penjuru Masjidil Haram agar penduduk-penduduk di sekelilingnya dapat
mendengar azan. Dengan adanya pembesar
suara, maka satu bilal telah memenuhi tuntutan syarak. Sebab itulah di Masjidil Haram sekarang hanya
seorang bilal sahaja yang melaungkan azan.
Hujahnya telah dipersetujui oleh para Ustaz MUIS sehingga
ada seorang Ustaz di antara mereka berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang
bermaksud, ‘Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu.’
Oleh itu dengan adanya alat pembesar suara sekarang tidak
lagi perlu azan beramai-ramai. Seorang
bilal sudah memadai. Katanya lagi Nabi
SAW pernah bersabda bahawa apa yang dipandang baik oleh orang Islam, maka
baiklah di sisi Allah SWT dan apa yang dipandang tidak baik oleh orang Islam
maka tidak baiklah di sisi Allah SWT. Menurutnya lagi nyata umat Islam kini
tidak suka azan beramai-ramai. Maka
sebab itulah ia mesti dihentikan.
Saya lalu menyangkal pendapatnya. Saya menjelaskan bahawa hadis itu berbunyi
dan bermaksud bahawa apa yang dipandang baik oleh orang beriman, maka baiklah
di sisi Allah SWT dan apa yang dipandang tidak baik oleh orang beriman maka
tidak baiklah di sisi Allah SWT. Orang
Islam sekarang tidak lagi mempedulikan hukum Tuhan. Ramai di antara mereka yang makan riba, minum
arak dan main judi. Pandangan mereka
tidak bolehlah lagi dianggap baik.
Mufti Negeri lalu menyambung hujahnya, bahawa Masjid Bandar
Lahad Datu adalah kecil dan penduduk Islam tidak ramai. Pembesar suara sudah ada. Maka tidak lagi perlu azan
beramai-ramai. Katanya azan orang yang
kedua, ketiga dan keempat adalah sia-sia dan tidak dikehendaki syarak, ibarat
masalah saksi dalam hukum nikah. Dalam
nikah hanya dua saksi diperlukan. Jadi
kalau ada empat orang berebut menjadi saksi, maka saksi ketiga dan keempat
adalah sia-sia dan tidak dikehendaki syarak.
Lagipun, kata Mufti tiada negara Islam di seluruh alam ini yang
mengamalkan seperti apa yang diamalkan oleh saya di Lahad Datu.
Saya lalu menyangkal pendapat Mufti itu. Saya berkata bahawa sama ada satu perkara itu
salah atau tidak, tidak boleh dibandingkan dengan amalan orang-orang Islam di
seluruh dunia atau adat istiadat, tetapi mestilah dirujuk pada Al-Quran dan
hadis Nabi SAW. Kalau diikut perbuatan
orang-orang Islam di seluruh dunia sekarang ini kita akan sesat kerana ramai
sudah di antara umat Islam yang makan riba, minum arak dan main judi dan
lain-lain lagi jenis kemaksiatan.
Mufti lalu meminta saya supaya azan beramai-ramai
dihentikan. Saya menolak permintaannya. Saya berkata bahawa saya tidak berani
melarang orang-orang yang mahu azan beramai-ramai kerana Tuhan akan murka. Saya
menyuruh Mufti sendiri melarangnya.
Mufti juga meminta saya supaya menghentikan azan dalam
kereta ketika dalam perjalanan dan menggantikannya dengan zikir biasa seperti
Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahu Akbar, tetapi katanya hendaklah
zikir itu perlahan-lahankan supaya tidak riak (menunjuk-nunjuk). Permintaan ini pun saya tolak. Kata saya, ‘Kalimah Tauhid hendaklah diperdengarkan
bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi lebih-lebih lagi kepada orang-orang
kafir yang jarang-jarang mendengarnya.
Mudah-mudahan dengan demikian, akan terbukalah hati mereka kepada
kebenaran.’
Saya menjelaskan lagi bahawa azan di sepanjang perjalanan
tidaklah salah kerana azan merupakan zikrullah. Allah SWT dan RasulNya SAW
menyuruh memperbanyakkan zikir. Zikir hendaklah kuat kerana Nabi SAW telah bersabda yang
bermaksud:-
"Sebutlah nama Allah banyak-banyak sehingga orang
mengatakan kamu gila.”
Saya menjelaskan bahawa hadis ini bermaksud bahawa zikir
itu hendaklah kuat kerana sekiranya zikir itu perlahan-lahan atau dalam hati,
orang tidak akan menuduh gila. Kata saya
lagi, sama ada orang itu riak atau tidak, tiada seseorang pun yang mengetahui
kecuali Allah SWT.
Saya lalu meminta para alim Ulama MUIS memutuskan sama ada
azan beramai-ramai salah atau tidak.
Kata saya, ‘Janganlah cakap banyak kerana cakap sia-sia itu membazir
sedangkan orang yang membazir itu kawan syaitan. Kalau sekiranya azan beramai-ramai itu salah,
tolong tunjukkan dalam Al-Quran atau Hadis. Saya akan berhenti dan bertaubat,
tetapi kalau tidak, jangan suruh saya hentikan azan beramai-ramai. Nanti Tuhan marah sama kamu.’
Pihak MUIS hanya dapat mengatakan bahawa azan beramai-ramai
itu adalah sia-sia sahaja dan tidak dikehendaki syarak. Kata saya, ‘Begini sajalah kalau tidak putus,
marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT. Siapa yang benar Tuhan sahaja yang
tahu.’ Tetapi pihak MUIS enggan berdoa
bersama saya. Kata saya, ‘Tulislah hari
ini, bahawa kalau kamu tidak taubat, kamu akan sial.’
Sekali lagi saya meminta Mufti dan para Ustaz MUIS
menjelaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa azan beramai-ramai adalah bidaah
tercela dan haram hukumnya, dan orang-orang yang melakukannya adalah
berdosa. Hadis yang digunakan sebagai
dalil untuk membidaahkan azan beramai-ramai, adalah terlalu umum.
Namun Mufti dan para alim Ulama MUIS tidak boleh memutuskan
bahawa azan beramai-ramai adalah bidaah tercela dan orang yang melakukannya
adalah berdosa. Mereka hanya dapat mengatakan bahawa azan beramai-ramai itu
rugi atau sia-sia sahaja dan tidak dikehendaki oleh syarak.
Tentang qunut pada tiap-tiap lima waktu, ada tiga pendapat
dalam mazhab Syafie iaitu:-
Pertama, pendapat sahih lagi
masyhur iaitu apabila terjadi sesuatu bencana, kedatangan seteru, kemarau,
wabak penyakit dan sesuatu kemelaratan yang lain, disukailah kita membacakan
qunut dalam setiap sembahyang fardhu;
Pendapat kedua, disukai kita membaca qunut,
baik di dalam keadaan senang, mahupun di dalam keadaan susah; dan
Ketiga, tidak disukai kita
membaca qunut, baik di dalam keadaan senang, mahupun dalam keadaan susah.
Setelah perbahasan mengenai qunut selesai, pihak MUIS tidak
dapat mempersalahkan beliau. Hanya
mereka meminta beliau membawa qunut bersendirian. Semua cadangan pihak MUIS beliau tolak.
Akhirnya pihak MUIS memutuskan bahawa dalam muzakarah
tersebut tiada yang menang dan tiada yang kalah. Mereka meminta YM Tuan Guru RA
merahsiakan perkara ini dari orang ramai.
PENJELASAN
Dalam majlis muzakarah ini, pihak MUIS melarang YM Tuan
Guru RA melaungkan azan beramai-ramai hanya berdasarkan dalil hadis yang khusus
tentang bidaah, yang sangat umum maknanya, serta qias yang tidak tepat. Mereka tidak mengemukakan dalil dari Al-Quran
atau pendapat-pendapat dari Ulama Syafie mengenai azan beramai-ramai ini. Sesuatu amalan hanya boleh dikatakan salah
berdasarkan dalil yang kuat atau putus.
Mufti Negeri Sabah menganjurkan YM Tuan Guru RA merujuk
kepada kitab Imam Syafie Al-Umm sedangkan dia tidak menyedari bahawa dalam
kitab ini Imam Syafie berkata:
“Dan sukalah bang oleh
tukang bang kemudian daripada satu tukang bang, jangan bang beramai-ramai
sekali sama-sama, dan jika adalah masjid itu besar tetapi ada baginya beberapa tukang bang, maka
tiadalah mengapa bang pada tiap-tiap menara baginya oleh tukang bang, supaya
mendengarlah untuk orang yang sekeliling masjid pada waktu yang satu.”
Jelaslah bahawa Imam Syafie membolehkan azan beramai-ramai
walaupun masjid itu kecil. Ini bererti
azan beramai-ramai itu bukan bidaah tercela yang membawa ke neraka atau
perbuatan yang sia-sia dan tidak bermanfaat sebagaimana didakwa oleh Ulama
MUIS. Entah mazhab apa yang mereka anuti
dalam masalah ini.
YM Tuan Guru RA menegaskan bahawa azan beramai-ramai itu
bukan bidaah kerana azan itu dilakukan oleh Nabi SAW. Hanya masalahnya penambahan dari satu tukang
bang kepada empat tukang bang. Tetapi
dalam hal ini Saidina Usman RA telah melakukan penambahan yakni waktu hari
Jumaat dua kali azan, yang sampai ke hari ini kita mewarisinya padahal azan di
zaman Rasulullah SAW pada hari Jumaat hanya dilakukan oleh seorang bilal
sahaja. Ini bermaksud azan itu boleh
ditambah banyaknya memandang kepada kemuslihatannya, sebagaimana pendapat Ulama
Syafie dalam kitab FIQH DAN PERUNDANGAN ISLAM JILID SATU, terjemahan Syed Ahmad
Syed Hussien, DBP 1995 dalam halaman 565.
Lagipun sebagaimana yang dijelaskan oleh YM Tuan Guru RA bahawa pada tahun 1950, beberapa
tukang azan melaungkan azan beramai-ramai di Masjidil Haram. Para alim Ulama ketika itu tidak ada yang
membantah. Ini bererti mereka telah menyetujuinya secara diam.
Mufti Negeri melarang YM Tuan Guru RA melakukan azan
beramai-ramai di Masjid Bandar Lahad Datu kerana katanya Masjid Bandar Lahad
Datu itu kecil. Penduduk Islamnya
sedikit dan pembesar suara sudah ada.
Dia menekankan bahawa dengan adanya pembesar suara sekarang ini
memadailah seorang saja tukang azan melaungkan azan tiap-tiap waktu. Kalau juga diadakan azan beramai-ramai maka
katanya, ‘… yang lain sia-sia saja azan mereka.’ Adakah dengan adanya pembesar suara sekarang
ini maka tidak boleh lagi azan beramai-ramai?
Adakah Ulama dahulu mensyaratkan pembesar suara dalam masalah azan?
Belum wujud lagikah pembesar suara pada tahun 1950 sehingga
kerajaan Saudi Arabia terpaksa menggunakan beberapa tukang azan melaungkan azan
pada setiap waktu untuk memberitahu orang ramai bahawa waktu sembahyang telah
masuk? Bagaimana pula pada tahun 1960
hingga 1970an, masih lagi kedengaran beberapa tukang azan melaungkan azan
beramai-ramai di Masjidil Haram sedangkan ketika itu mereka sudah menggunakan
pembesar suara? Hari ini tidak ada lagi kedengaran azan beramai-ramai di dua
kota suci itu kerana kaum Wahhabi telah menghentikannya.
Yang anehnya dalam muzakarah ini kalau diperhatikan bahawa
pakar rujuk dan Mufti negeri tidak sependapat mengenai azan beramai-ramai. Mengikut pakar rujuk, azan beramai-ramai
adalah bidaah tercela sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi SAW mengenai
bidaah.
Manakala Mufti Negeri hanya mengatakan bahawa azan
beramai-ramai itu sia-sia, bukan bidaah yang tercela, kalau dilakukan tanpa
keperluan syarak. Ini bererti Mufti
Negeri membolehkan azan beramai-ramai dilakukan jika ada keperluan syarak seperti
sekiranya masjid itu besar dan penduduk Islam di situ ramai. Imam Nawawi RA membolehkan azan beramai-ramai
walaupun masjid itu sempit, iaitu tidak besar.
Siapakah di antara mereka ini yang benar?
Yang benar ialah azan beramai-ramai itu bukan bidaah
tercela ataupun sia-sia tetapi bermanfaat sebagaimana pendapat Ulama Syafie.
YM Tuan Guru RA berpendapat bahawa azan beramai-ramai
adalah bermanfaat lebih-lebih lagi di akhir zaman ini di mana ramai di antara
umat Islam sudah lalai mengingati Allah SWT.
Maka mereka mesti dikejutkan dengan Kalimah Tauhid berulang-ulang.
Lagipun orang yang tinggal jauh dari masjid akan sempat berjemaah.
Pihak MUIS juga mengatakan bahawa amalan azan beramai-ramai
ini tidak diamalkan di negara-negara Islam di seluruh dunia. Tetapi nampaknya pihak MUIS hanya
memperkatakan sesuatu mengikut sangkaan mereka sahaja tanpa menyelidik perkara
yang sebenarnya. Ternyata sangkaan
mereka tidak benar kerana sebagaimana kita lihat dalam dokumentari Jejak Rasul
ke-2 terbitan TV3, terdapat sebuah
masjid di Syria yang melaungkan azan beramai-ramai pada satu waktu.
(InsyaAllah, masalah azan ini akan dijelaskan secara lebih terperinci di dalam buku Ajaran dan Amalan YM Tuan Guru
RA).
Dalam masalah qunut pula sudah jelas bahawa mengikut mazhab
Imam Syafie bahawa adalah sunat membawa qunut nazilah pada tiap-tiap sembahyang
lima waktu ketika umat Islam dilanda bala.
Kata YM Tuan Guru RA hendaklah
dilakukan qunut nazilah setiap waktu apabila ada tanda-tanda bahawa azab atau
bala akan turun ibarat pepatah Melayu 'sediakan payung sebelum hujan'. Ini mestilah dilakukan terus-menerus sehingga
bala itu terangkat.
YM Tuan Guru RA terasa bahawa bala Tuhan akan turun atas
seluruh umat manusia kerana mereka tidak lagi mempedulikan hukum Tuhan. Kerana itulah qunut nazilah mesti diamalkan
setiap sembahyang lima waktu agar bala itu terangkat. Tetapi pihak MUIS melarang YM Tuan Guru RA
berbuat demikian yang bererti mereka mahu bala Tuhan menimpa ke atas umat
manusia. Sepatutnya mereka mestilah
menganjurkan supaya umat Islam di Sabah khasnya membawa qunut nazilah pada
tiap-tiap lima waktu agar negeri kita terhindar dari bala.
Sekarang ini seluruh dunia telah dilanda bala Tuhan
sebagaimana yang dirasai oleh YM Tuan Guru RA.
Contohnya di Malaysia kegawatan ekonomi dan masalah sosial yang tidak
terkawal adalah bukti jelas bahawa kita sedang dilanda bala Tuhan. Pada waktu begini barulah umat Islam di
Malaysia kelam kabut mengerjakan sembahyang hajat untuk dihindarkan dari bala
Tuhan.
Selepas muzakarah itu, pihak MUIS telah memberi kenyataan
di akhbar bahawa mereka akan bersidang untuk memutuskan samada azan
beramai-ramai, azan di sepanjang jalan dan qunut pada tiap-tiap lima waktu
boleh diamalkan atau tidak. Pihak MUIS telah melanggar janjinya untuk
merahsiakan keputusan muzakarah tersebut.
Oleh sebab pihak MUIS telah membuka rahsia muzakarah pada 6
Ogos 1989, maka pada 7 September 1989, YM Tuan Guru RA pun menulis surat kepada
pihak MUIS mendedahkan kesalahan-kesalahan mereka. Di antara kandungan surat itu ialah:-
"Dengan nama Allah dan atas gerakanNya saya menulis
surat ini semata-mata sebagai tanda kasih sayang kepada tuan-tuan.
Kita umat manusia hendaklah sentiasa meminta petunjuk
kepada Allah SWT kerana tiada daya dan upaya kita untuk melakukan ketaatan dan
menjauhi kemaksiatan melainkan dengan pertolongan Allah SWT. ltulah maksud:
لاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ اِلاَّ بِا اللهِ
Sebenarnya saya tidak mahu bercakap walaupun jika sepatah
perkataan dibayar dengan harga $100,000.00 (seratus ribu ringgit) kerana Nabi
SAW ada bersabda:
“Sekali menyebut Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahu
Akbar lebih beruntung dari seluruh dunia dan seisinya”
Tetapi saya terpaksa bersuara memandangkan tuan-tuan tidak
mempunyai fikiran yang betul kerana apa yang saya dapati dalam muzakarah
baru-baru ini Ustaz-ustaz, Kadi-kadi dan Mufti telah dikalahkan oleh hawa nafsu
sehingga tidak berani berkata sepatah perkataan pun tentang kebenaran.
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ
إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى
سَمْعِهِ~ وَقَلْبِهِ~ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ~ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن
بَعْدِ اللَّهِ أَفَلاَ تَذَكَّرُونَ
Ertinya: "Adakah engkau lihat orang yang mengambil
hawa nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya, kerana ilmunya dan
menutup pendengaran dan mata hatinya dan mengadakan tutupan di atas
pemandangan. Maka siapakah yang akan
menunjukinya sesudah Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan? (Surah Al-Jaatsiyah: 23)
Maksud ayat ini ialah alim Ulama yang mengikut hawa
nafsunya (yang membesarkan dunia) akan ditutup oleh Allah pendengaran, mata
hati dan pemandangan mereka sehingga mereka tidak dapat petunjuk dari Allah SWT
lagi dan tidak berani memperkatakan kebenaran.
Dalam hal ini juga Nabi SAW pernah bersabda:
Ertinya: "Cinta akan dunia pangkal segala dosa dan
maksiat.”
Tambahan pula tuan-tuan takut kehilangan pangkat dan
kedudukan. Justeru itu tuan-tuan lebih
taat kepada pemerintah daripada Allah SWT.
Sepatutnya kita tidak boleh taat kepada sesiapa pun jika ianya salah di
sisi Allah SWT kerana sabda Nabi SAW:
Ertinya: "Tidak boleh taat kepada makhluk dalam
perkara yang bertentangan dengan Allah SWT.”
Sayang sekali, sekiranya saya diberi peluang untuk bercakap
semasa muzakarah, mungkin fikiran tuan-tuan terbuka kepada kebenaran. Rupa-rupanya kamu pandai main silat, tetapi
tidak takut kepada Tuhan.
Di dalam kitab Al-Umm karangan Imam Syafie Rahmatullah
alaihi katanya:
"Aku sukalah bang oleh tukang bang kemudian daripada
satu tukang bang, iaitu dengan bergilir-gilir.”
Bagi pendapat saya, azan adalah sunat bagi orang yang
mendirikan sembahyang dan wajib hukumnya diperdengarkan Kalimah Haq 'Laailahaillallah'
kepada seluruh umat manusia tidak kira bangsa dan Agama, kerana azan adalah
satu cara yang paling baik untuk mengajak manusia kepada Agama Allah SWT
sebagaimana firmanNya:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu
dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka
dengan cara yang baik” (Surah An-Nahl: 125)
Bahkan Allah SWT sendiri memuji tukang azan (muazzin) dalam
Al-Quranul Karim yang berbunyi:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا
“Dan siapakah yang terlebih baik
perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) serta beramal
saleh.” (Surah Al-Fussilat:33)
Sesungguhnya tidak ada perbuatan yang lebih baik daripada
tukang azan itu kerana orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya), sebenarnya
menyeru kepada kebaikan, keselamatan, kebahagiaan dan kemakmuran di dunia dan
di akhirat.
Barangsiapa yang melarang dan benci kepada azan maka orang
itu adalah syaitan kerana hanya syaitan sahaja yang benci mendengar azan. MUIS ini adalah ganti syaitan, rupa macam
manusia tetapi perangai macam syaitan.
Kalaulah MUIS bukan ganti syaitan tidak patut mengarahkan saya supaya
menghentikan azan. Barang yang baik kamu
katakan haram dan bidaah.
Kalaulah MUIS melarang maksiat seperti makan suap, makan
riba, minum arak, main judi, main bola, berzina dan mencuri saya
berbanyak-banyak terima kasih. MUIS ini sudah dimurka Tuhan kerana yang hak
kamu katakan batil dan yang batil kamu katakan hak. Allah SWT sudah pusing mata hati kamu
daripada kebenaran seperti orang gila - yang putih kamu katakan hitam dan yang
hitam kamu katakan putih.
Saya menyampaikan amanat Allah SWT dan RasulNya bukan
kerana pandang duit dan pangkat ataupun minta diundi tetapi adalah semata-mata
kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT mengikut jejak langkah Rasulullah SAW,
biarpun mati saya tetap akan bercakap benar.
Nabi SAW menyampaikan amanat Allah SWT bukan kerana gaji
begitu juga semua Nabi-nabi. Gaji dan
upah mereka adalah dari Allah SWT.
Adapun kemuliaan dan kehinaan semuanya adalah di tangan Allah SWT
bukannya di tangan manusia.
Pendek kata kalau MUIS tidak puashati maka kamu carilah
satu Ulama yang paling pandai dalam dunia ini.
Kalau kamu boleh tunjukkan keterangan dalam Al-Quran kepada saya bahawa
azan, doa qunut dan qadha Zohor salah dan bercanggah dengan ajaran Islam yang
sebenarnya, insyaAllah saya akan berikan kamu komisen $50,000.00 (lima puluh
ribu ringgit) dan saya bertaubat serta saya rela ditembak, sebab orang yang
bawa ajaran salah dalam agama tidak guna hidup, lebih baik mati jika hanya
menyusahkan dan menyesatkan orang lain.
Sekiranya perkara ini tidak juga dapat diputuskan maka kita
sama-sama berdoa kepada Allah SWT dan masuk ke dalam sebuah rumah kemudian
rumah itu dibakar. lnsyaAllah siapa yang benar agamanya, tidak akan terbakar
seperti Nabi Ibrahim AS.
Akhirulkalam, saya berpesan dan menasihati saudara-saudara
MUIS supaya segeralah bertaubat sebelum terlambat. Kalau tidak, kamu akan sial dunia dan
akhirat.
Surat beliau ini belum mendapat balasan lagi dari pihak
MUIS semasa hayatnya. Hingga ke hari ini Majlis fatwa MUIS belum lagi bersidang
untuk memutuskan sama ada ajaran beliau sesat atau tidak.
Tetapi pihak MUIS telah meminta kerjasama dari pihak
Imigresen dan pihak polis untuk membendung pergerakan beliau dan
pengikutnya. Ini jelas kelihatan apabila
beliau melawat Sandakan.
Pada bulan September 1989, YM Tuan Guru RA serta rombongan,
dengan menaiki kereta dan bas telah pergi ke Sandakan atas undangan orang-orang
Islam di Sandakan. Setelah sampai ke
Bukit Garam, YM Tuan Guru RA dan rombongan telah disoal siasat oleh anggota
polis yang bertugas di 'Check Point' Bukit Garam. Setelah selesai disoal siasat, beliau dan
rombongan meneruskan perjalanan. Setiba
di 'Check Point' Batu 32 Sandakan sekali lagi beliau dan rombongan disoal
siasat. Tetapi kali ini pihak polis
telah mendapat arahan dari lbu Pejabat Polis Sandakan supaya beliau dan
rombongan ditahan dan diperiksa dengan teliti.
Setelah selesai pemeriksaan polis, beliau dan rombongan
telah dibenarkan meneruskan perjalanan dengan kawalan dan iringan pihak
polis. Sebuah kereta yang dinaiki oleh
anggota polis telah mengawal dan mengiringi beliau ke lbu Pejabat Polis Lama
Sandakan. Setiba sahaja di Ibu Pejabat
Polis beliau dan rombongan telah
dimasukkan ke dalam pagar besi tawanan.
Pihak polis dengan senjata yang lengkap telah mengepung beliau. Dari Ibu Pejabat Polis Lama itu beliau dan
rombongan telah diiringi oleh pihak polis ke Ibu Pejabat Baru Polis di Kampung
Sim Sim. Di sini pihak polis telah
mengambil gambar beliau dan rombongannya.
Setelah disoaljawab beliau telah dibenarkan bersembahyang
di Masjid Lama Sandakan. YM Tuan Guru RA
mempelawa pihak polis ke masjid untuk mendengar ceramahnya supaya mereka dapat
menilai sendiri sama ada ceramah beliau membahayakan keselamatan dalam negeri
atau sebaliknya. Pihak polis tidak boleh
berbuat apa-apa kerana ceramah beliau hanya mengajak manusia supaya mentaati
Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.
Selepas sembahyang Isyak, YM Tuan Guru RA dan rombongan bertolak balik
ke Lahad Datu tanpa sebarang sekatan daripada pihak polis.
Tidak lama kemudian setelah beliau tiba dari Sandakan,
datanglah OCPD dengan rombongannya ke tempat beliau. OCPD itu memberitahu beliau bahawa dalam
undang-undang polis tidak boleh menggunakan pembesar suara di khalayak ramai
tanpa permit dari polis. OCPD pun
menasihati beliau supaya tidak menggunakan pembesar suara ketika melaungkan
azan di sepanjang jalan. Beliau lalu
menjelaskan:
“Tuan, sebenarnya bumi ini adalah kepunyaan Tuhan. Maka tidak patut perlu permit untuk menyebut
nama Tuhan di muka bumi ini. Tuan OCPD,
cuba fikir, kalau tuan disuruh oleh
ketua tuan untuk menyampaikan satu surat ke satu tempat dalam peperangan, tentu
tuan akan menyampaikannya walaupun dalam keadaan bahaya. Maka begitulah
saya. Walaupun azan ini susah tetapi
saya mesti sampaikan kepada umat manusia kerana ini adalah suruhan dari
Tuhan, Raja segala raja.”
OCPD pun terdiam.
PEMBONGKARAN PUSAT LATIHAN DAKWAH ISLAMIAH DAN SEBUAH SURAU
DI KAMPUNG TAMPASAK DALAM DAERAH KECIL TONGUD, ULU KINABATANGAN
Pada suatu hari, Ketua Kampung Kenang-Kenangan telah datang
mengadu kepada YM Tuan Guru RA bahawa orang-orang Kristian kampung Tampasak
telah membongkar sebuah Pusat Latihan Dakwah lslamiah dan sebuah surau di
kampung itu.
Pusat Latihan Dakwah lslamiah dan surau tersebut adalah
merupakan projek Kerajaan pusat di masa pemerintahan BERJAYA. Tetapi apabila sahaja PBS menang dalam
pilihanraya umum 1985, orang-orang Kristian di kampung Tampasak telah
membongkar pusat latihan dan surau itu dan perkakasnya mereka gunakan untuk
membina rumah. Perkara ini telah
disahkan oleh bekas ADO dan ketua-ketua daerah kampung tersebut.
Penduduk tempatan Tongud telah mengadu kepada pihak MUIS
sejak 1986, tetapi pihak MUIS tidak mengambil apa-apa tindakan. Buat langkah terakhir orang-orang Islam di
kampung tersebut telah mengadu kepada YM Tuan Guru RA. YM Tuan Guru RA pun memanjangkan pengaduan
mereka kepada pemimpin-pemimpin Islam dan MUIS. Tetapi sedihnya mereka tidak
menghiraukan perselisihan tersebut.
Beliau lalu menulis surat kepada Ketua Menteri namun Ketua Menteri tetap
membisu.
Pada 1 Disember 1989, buat kali terakhir beliau telah
menulis surat kepada Ketua Menteri Datuk Joseph Pairin Kitingan. Isi kandungan surat tersebut adalah seperti
berikut:-
“Kemudian daripada itu, sekali lagi saya ingin menarik
perhatian YAB mengenai perkara di atas.
Ketahuilah sekiranya tuan tidak mengadili perkara ini seadil-adilnya
nama tuan akan tercemar dan menjadi busuk bukan sahaja di dunia bahkan
lebih-lebih lagi di akhirat kerana tuan akan dibawa menghadap Tuhan yang akan
membalas setiap perbuatan tuan yang melanggar hukumNya.
Nama tuan tercatat dalam sejarah manusia bahawa dalam masa
pemerintahan tuan sajalah berlakunya pembongkaran masjid, iaitu penindasan
terhadap Agama Islam, agama yang benar di mana perkara seperti ini belum pernah
berlaku sebelumnya. Walaupun perbuatan membongkar masjid bukan perbuatan tuan,
namun perbuatan ini perbuatan orang-orang tuan yang bererti perbuatan tuan
juga.
Tuan sudah tentu sedia maklum sejak pemerintahan British
lagi saya inginkan keadilan dan menentang sebarang kezaliman. Tetapi nampaknya
PBS tidak juga dapat menegakkan keadilan kerana buktinya PBS menindas Agama
Islam dengan meroboh dan membongkar Pusat Latihan Islamiah di Kampung
Tempasak. Kalaulah bukan kerana nasihat
saya, umat Islam di daerah tersebut telah lama membakar gereja sebagai
tindakbalas terhadap perbuatan orang-orang Kristian di daerah tersebut. Ini adalah perkara agama yang boleh
menyebabkan pertumpahan darah. Oleh itu sekali lagi saya tegaskan jika tuan
inginkan nama tuan tetap wangi hendaklah tuan membangunkan semula surau dan
Pusat Latihan Islamiah di Kampung
Tempasak. Kalau tidak, nama tuan
tetap buruk dunia akhirat.
Dunia ini hanyalah sementara bagaikan mimpi dan
bayang-bayang. Pangkat kekuasaan yang
tuan miliki adalah semata-mata amanah daripada Allah SWT yang seharusnya
digunakan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, kerana pada hari kiamat
kelak tuan akan disoalsiasat dan dihisab di hadapan Tuhan yang menguasai Hari
Pembalasan.
Saya sampaikan nasihat ini semata-mata sebagai tanda kasih
sayang pada tuan, kerana kita umat manusia adalah bersaudara tidak kira bangsa
dan agama, berasal dari satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS.
Mudah-mudahan semua manusia selamat dunia akhirat.”
Tetapi sehingga beliau wafat surat ini tidak mendapat
jawapan. Pemerintah PBS enggan
membangunkan semula Pusat Latihan Islamiah dan surau di Kampung Tampasak,
Daerah Tongud. Ini menambahkan kemarahan
beliau lagi. Beliau lalu berkata,
"Kita umat Islam wajib isytihar perang dengan orang-orang kafir serta
pemerintah kerana mereka telah membongkar masjid kita. Tetapi apakan daya saya sakit dan tempat itu
pun jauh. Lagipun kita kasihankan
orang-orang Kadazan kerana mereka kurang pengetahuan, tidak tahu mana agama
yang benar.”
Beliaupun menerangkan kepada orang ramai bahawa dalam
hukum, umat Islam dilarang memihak orang-orang kafir yang menindas agama
Islam. Kata beliau, "Siapa-siapa
sahaja orang Islam yang memihak kepada orang-orang kafir, kalau mati, mati
kafir. Dan siapa-siapa sahaja orang
Islam tidak ikut dengan orang Islam akan mendapat sial dunia dan akhirat.”
Beliaupun menulis surat kepada semua pemimpin yang beragama
Islam supaya berhati-hati terhadap orang-orang kafir dan menyuruh mereka
bersatu agar mendapat kemenangan dunia dan akhirat. Di antara kandungan surat itu ialah:
“Kemudian ketahuilah! Bahawasanya Allah telah menerangkan
kepada seluruh umat Islam supaya berpegang teguh kepada agama Allah (Islam)
sebagaimana firmanNya:-
وَٱعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ
تَفَرَّقُواْ
Ertinya: “Dan berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah semuanya
dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Al-Imran:103)
وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Ertinya: “Dan janganlah kamu bercerai-berai
(berbantah-bantahan) nanti kamu lemah (kalah) serta hilang kekuatannya.” (Surah Al-Anfal:46)
Perintah Allah SWT di atas adalah wajib dilaksanakan oleh
semua umat Islam, sebaliknya jika ianya tidak ditunaikan maka pasti
mendatangkan bala bencana, kehinaan dan kehancuran.
Hari ini banyak sekali orang-orang Islam yang tidak bersatu
dengan saudara seagama dengannya. Bahkan
ada orang Islam yang menyokong dan mengangkat orang kafir sebagai pemimpin
daripada orang Islam itu sendiri. Yang
demikian ini adalah jelas menyalahi perintah Allah SWT sesuai dengan
firmanNya:-
لاَّ يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ
الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاء مِن دُوْنِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ
فَلَيْسَ مِنَ اللّهِ فِي شَيْءٍ
Ertinya: "Janganlah orang-orang Mukmin mengambil
orang-orang kafir menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Barangsiapa yang berbuat demikian, nescaya
lepaslah ia dari pertolongan Allah.” (Surah Al-Imran:28)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ
لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاء بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء
بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ
Ertinya: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
angkat orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin, sebahagian mereka
menjadi pemimpin bagi yang lain, barangsiapa di antara kamu yang mengambil
mereka menjadi pemimpin maka orang itu termasuk dalam golongan mereka.” (Surah Al-Maidah:51)
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ آبَاءكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ
أَوْلِيَاءَ إِنِ اسْتَحَبُّواْ الْكُفْرَ عَلَى الإِيمَانِ وَمَن يَتَوَلَّهُم
مِّنكُمْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Ertinya: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
angkat bapa-bapamu dan saudara-saudara kamu menjadi pemimpin, kalau mereka
lebih menyukai kekafiran dari keimanan.
Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin maka mereka
itu adalah orang-orang yang zalim.” (Surah At-Taubah:23)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
لاَ تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاء
Ertinya: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi pemimpin.” (Surah
Al-Mumtahanah:1)
Agama Islam mengajarkan
persatuan dan persaudaraan. Oleh itu
binalah persatuan yang kuat dan persaudaraan yang erat dengan menghilangkan
segala prasangka yang bukan-bukan.
Jangan perkara kecil-kecil dijadikan untuk saling tuduh-menuduh,
benci-membenci dan bermusuh-musuhan serta jauh-menjauhi di antara satu sama
lain. Janganlah pandang siapa menjadi
ketua, tetapi pandanglah Islam agama Allah.
Ingat dan sedarlah wahai saudara-saudara kaum Muslimin!
Jikalau kamu tidak dapat bersatu maka yang paling beruntung ialah golongan
agama lain dan akibatnya orang Islam itulah sendiri yang rugi serta tetap dalam
kekalahan dan kehinaan.
Soal menang kalah adalah urusan Allah SWT. Allah berikan kerajaan kepada siapa yang
dikehendakiNya dan dicabutNya kerajaan dari siapa yang dikehendakiNya begitu
juga kemuliaan dan kehinaan adalah di tangan Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT berkuasa atas segala
sesuatu.
Selain itu saya ingin menyampaikan pesanan dan nasihat
kepada semua kaum Muslimin khususnya para pemimpin Islam supaya berniat untuk
berlaku adil dan mengerjakan sembahyang lima waktu, kerana sembahyang itu
adalah tiang agama dan kunci segala kebaikan dan kejayaan.
Adapun saya tidak dari mana-mana parti. Siapa yang bernaung di bawah kalimah “LAAILAHAILLALLAH
MUHAMMAD RASULULLAH” itulah parti dan saudaraku. Saya menyampaikan
nasihat dan amanat Allah SWT dan RasulNya hanyalah semata-mata sebagai tanda
kasih sayang kepada umat Islam supaya selamat di dunia dan di akhirat.
Akhir kalam saya menyeru dan mengajak kepada segenap kaum
Muslimin supaya bersatu mengikut perintah Allah SWT dengan berpegang teguh
kepada Agama lslam. Saya berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan umat Islam
memperolehi perlindungan dan pertolongan supaya mendapat petunjuk jalan yang
lurus dan yang diredhai Allah SWT.
Amin.”
Surat ini adalah merupakan tanda kasih sayang beliau
terhadap umat Islam agar mereka selamat dunia dan akhirat. Dan tidak sekali-kali bermaksud politik.
BAB 2
YM TUAN GURU RA DENGAN ORANG RAMAI
Sebagaimana dinyatakan bahawa pada zaman pemerintahan British, YM Tuan Guru RA mula bergerak menyebarkan agama Islam kepada orang ramai terutama di daerah-daerah Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Semporna. Berduyun-duyunlah manusia datang dan berkumpul mendengar nasihat beliau sehingga mereka bangun daripada kelalaian mereka. Maka dari hari ke hari bertambah ramailah manusia mengerjakan sembahyang. Mereka telah menyedari tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah SWT.
Apabila YM Tuan Guru RA diusir balik ke Pakistan pada tahun 1965, ramai di antara pengikut-pengikut beliau mulai leka. Ibadat sembahyang sunat mereka bertambah berkurangan akhirnya bertambah layu.
Kedatangan YM Tuan Guru RA dari Pakistan menyerikan kembali syiar agama yang telah pudar setelah bertahun-tahun beliau dalam buangan. Beliau umpama air yang menyirami bunga yang telah layu lalu beransur-ansur mekar kembali. Para jemaah kembali memenuhi Masjid Bandar Lahad Datu seperti dahulu. Mereka berduyun-duyun datang untuk mendengar kata nasihat, setelah mereka sekian lama berpisah dengan beliau.
YM Tuan Guru RA menasihati umat Islam dengan kasih sayang dan hikmah. Di mana sahaja beliau berada beliau tidak berhenti-henti mengajak orang ramai kembali kepada mentaati Allah SWT dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Dalam nasihat beliau ada beberapa perkara yang beliau sentiasa tekankan iaitu sembahyang, zakat, mencari nafkah halal menjauhi larangan Allah SWT seperti menipu, mencuri, berdusta dalam mendapatkan rezeki, sabar atas ujian Allah SWT seperti penyakit, berkasih sayang dan mencari bekalan sebelum mati.
Ketika YM Tuan Guru RA memberi nasihat kepada orang ramai, beliau sentiasa menekankan ibadah sembahyang dan zakat. Beliau selalu berkata:
"Tuan-tuan hendaklah mengerjakan sembahyang kalau mahu selamat dunia dan akhirat. Apa saja yang kamu kerjakan dan di mana sahaja kamu berada jangan lupa sembahyang. Sembahyang tidak memakan masa yang lama hanya 10 hingga 15 minit sahaja. Cuba kamu fikir kenapa kalau ada ketua menteri datang kamu sanggup berdiri berjam-jam lamanya di lapangan terbang untuk menyambut kedatangannya. Tetapi di hadapan Allah SWT kamu tidak sanggup berdiri walaupun hanya 10 atau 15 minit sahaja. Bukankah Dia yang menciptakan kita dari setitik air dan memberi kita rezeki?
Kalau ada orang memberi kita sebatang rokok kita terasa begitu terhutang budi dan di mana saja kita jumpa dia kita akan angkat tangan tanda hormat. Kenapa kalau jasa manusia kita ingat dan kita syukuri pemberiannya. Tetapi jasa Tuhan kepada kita yang tidak terkira ini kita lupa dan kita tidak syukuri. Marilah kita ingat jasa Tuhan dengan mengerjakan sembahyang. Kalau tidak Tuhan akan murka. Kalau Tuhan sudah murka, kita akan susah. Cuba kalau Tuhan ambil fikiran kita menjadi gila dan mencabut penglihatan menjadi buta, tidaklah ada gunanya lagi kita. Lebih baik lagi binatang sekurang-kurangnya ada juga guna boleh disembelih dan dimakan.
Kalau tuan-tuan belum tahu bacaan dalam sembahyang, ikut sahaja. Ibarat makan gaji sudah ada gaji. Kemudian barulah perlahan-perlahan belajar. Begitu juga jangan lupa keluarkan zakat kerana zakat ini banyak faedahnya. Ia menjaga harta, keselamatan dan kesihatan kita anak-beranak. Harta dizakatkan tidak berkurang tetapi bertambah. Kalau kita zakat $1.00 Tuhan akan balas $700.00. Bahkan Tuhan akan tambah lagi lebih daripada itu sepertimana firman Tuhan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 261:-
مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Ertinya, “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai seratus buah dan Tuhan melipatgandakan untuk siapa yang disukaiNya dan Tuhan luas pemberianNya dan Maha Mengetahui.”
Sebaik-baiknya apabila sahaja kamu dapat duit terus keluarkan zakat. Kalau ada $100.00 zakatnya $2.50 iaitu 2½ % dari harta itu. Kamu boleh juga menunggu setahun tetapi yang paling baik sekali setiap kali ada duit, keluarkanlah zakatnya kerana ini menjadikan kita anak-beranak sihat serta jauh dari bahaya dunia dan akhirat. Tuhan akan berkati kita.”
Begitulah apa yang selalu ditekankan oleh YM Tuan Guru RA kepada orang ramai mengenai sembahyang dan zakat.
REZEKI
YM Tuan Guru RA sentiasa menasihati orang ramai agar menjauhi larangan Allah SWT seperti menipu, berdusta, mencuri dan merompak. Beliau tidak pernah mengajar orang supaya meninggalkan pekerjaannya atau berhenti kerja. Malahan kalau ada orang yang mahu berhenti kerja beliau akan menasihatinya supaya tetap bekerja kerana kata beliau orang yang beribadat akan dapat menarik orang ramai melakukan sembahyang serta ibadat lain di pejabatnya dan tempatnya bekerja. Ini akan bermanfaat pada dirinya. Beliau mahu orang bekerja mencari nafkah halal kalau dia tidak sabar. Kata beliau:
“Carilah rezeki halal kerana orang-orang yang mencari rezeki halal itu akan mendapat pahala mati syahid. Adapun rezeki itu tetap sampai kepada kamu sama ada kamu cari atau tidak apabila masanya sudah tiba. Ia tidak akan bertambah atau berkurang kerana usaha dan ikhtiar manusia.”
Sebab inilah juga beliau tidak memarahi orang yang telah berhenti kerja semata-mata kerana beribadat kepada Allah SWT.
TENTANG PENYAKIT
Apabila orang ramai datang ke tempat beliau untuk berubat, YM Tuan Guru RA sentiasa menasihati mereka supaya bersabar. Kata Beliau:
"Tuan-tuan, penyakit adalah ujian dari Allah SWT. Sebab itu apabila kena penyakit hendaklah bersabar dan kuat sembahyang. InsyaAllah, Allah SWT akan menyembuhkan penyakit kamu. Janganlah kelam kabut ke hospital atau ke bomoh kerana penyakit hanya Allah SWT sajalah yang dapat menyembuhkannya. Sembahyanglah sunat taubat dan hajat. Kemudian mintalah kepada Allah SWT supaya menghilangkan penyakit kamu itu. Bacalah surah Al-Fatihah dan tiuplah kepada segelas air lalu minum. InsyaAllah penyakit kamu akan sembuh berkat Nabi SAW. Kerana Nabi SAW bersabda bahawa Al-Fatihah adalah ubat segala penyakit kecuali mati.”
KASIH SAYANG
Kata YM Tuan Guru RA:
“Hendaklah saudara-saudara berkasih-sayang kerana Tuhan tidak sayang kepada kita kalau kita tidak sayang kepada umat manusia. Tolong-menolonglah atas perkara kebaikan dan jauhilah perpecahan, persengketaan, kezaliman dan lain-lain perkara yang ditegah Tuhan supaya kasih-sayang itu wujud di antara kita. Kita hidup di bumi Allah SWT ini ibarat hidup sekeluarga di dalam sebuah rumah.
Kita manusia adalah bersaudara tanpa mengenal bangsa dan agama kerana kita berasal dari satu keturunan iaitu Nabi Adam AS dan Siti Hawa AS. Maka tidak boleh tidak kita yang hidup di dalam satu rumah itu mesti berkasih sayang sehingga faham memahami dan boleh bertolak ansur agar keamanan wujud di rumah itu.
Tanda kasih sayang kita kepada orang yang sesat itu kita tunjukkan jalan yang benar. Orang yang zalim kita nasihati dan hentikan kezalimannya itu. Orang yang bersengketa kita damaikan, orang yang berhajat kita penuhi hajatnya, orang yang sakit kita doakan agar Allah SWT menyembuhkan penyakitnya dan orang yang kafir yang belum memeluk agama Islam kita doakan agar Allah SWT memberi pertunjuk dan hidayah kepada mereka supaya satu masa nanti mereka akan memeluk agama Islam. Dengan itu mereka akan selamat dunia dan akhirat. Itulah tanda kasih sayang kita kepada umat manusia.”
INGAT MATI
Tentang mati YM Tuan Guru RA berkata:
"Saudara-saudara sekalian hendaklah selalu ingat kepada mati. Kita tidak akan terlepas daripada mati. Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Sebab itulah sebelum datang ajal hendaklah kita memperbanyakkan bekalan untuk mati. Hati-hatilah terhadap tipu daya dunia ini, jangan sampai tergoda sehingga menyebabkan kita lalai terhadap perintah Allah SWT dan lalai mengingati mati.
Peluang hidup hanya sekali. Pergunakanlah peluang ini dengan beribadat bersungguh-sungguh. Ramai ahli kubur yang berdoa kepada Allah SWT dengan suara yang keras hingga kedengaran ke langit ketujuh memohon, jika mereka diberi peluang hidup lagi walaupun sekejap, mereka berjanji akan berpuasa pada siang hari dan mengerjakan ibadat pada sebelah malamnya tanpa tidur.
Tetapi doa mereka sia-sia sahaja kerana peluang hidup di dunia ini hanya sekali sahaja. Janganlah kita seperti mereka itu yang telah menyesal selama-lamanya. Marilah kita kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat atas segala dosa dan kita menyerahkan diri kepadaNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.”
Beliau mengajar pengikut-pengikutnya beriktikaf dengan mengasingkan diri dari orang ramai agar mendapat buah fikiran yang baik. Kata beliau, “Iktikaf merupakan perjalanan Nabi SAW. Seseorang yang belum pernah beriktikaf, belum terbuka akal fikiran kepada tahap yang lebih baik, walaupun banyak ilmunya. Kepada orang yang sudah masuk iktikaf empat puluh hari, insyaAllah Tuhan akan memberinya kefahaman agama, sehingga dapat menilai mana yang tembaga dan mana yang emas, seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Siapa tidak berkata-kata (hanya beribadat kepada Allah SWT) selama 40 hari, Allah akan menjadikan di hatinya cahaya.”
Maka dengan cahaya ini dia dapat mengetahui mana yang jahat dan mana yang baik.
Sewaktu iktikaf, masa hendaklah digunakan sepenuhnya mengingati Tuhan, bersembahyang, berzikir dan membaca Al-Quran. Hendaklah bersungguh-sungguh memohon keyakinan kepada Allah SWT, kerana kalau sudah ada keyakinan, barulah mendapat keselamatan dunia dan akhirat. Mohonlah bersungguh-sungguh supaya dapat mengikut jalan yang telah ditunjuki Nabi SAW.
Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mestilah kita masuk iktikaf 40 hari lamanya. Ditambah 5 hari lagi untuk menutupi kekurangan di dalam 40 hari itu. Kalau tidak, rugi."
Atas nasihat beliau ini ramailah pengikut-pengikut beliau melakukan iktikaf. Pada tiap-tiap tahun, bila hampir tiba Nisfu Sya'ban, para pengikut beliau akan datang dari jauh dan dekat berkumpul di Masjid Bandar Lahad Datu. Kemudian atas arahan beliau, mereka memenuhi tiap-tiap masjid yang kosong dan terpencil, seperti Masjid Bolos, Longdanau dan Bikang, beriktikaf selama 45 hari, mulai Nifsu Sya'ban, sehingga Hari Raya Aidilfitri. Belanja mereka yang beriktikaf telah ditanggung sendiri oleh YM Tuan Guru RA.
YM Tuan Guru RA menghabiskan masanya mengajak orang ramai supaya kembali kepada Allah SWT dan RasulNya, berpegang teguh dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW, berhati-hati dengan ajaran yang baharu muncul seperti ajaran Muktazilah, Qadiani, Wahhabbi atau Jemaah Tabligh dan Darul Arqam.
Menjelang akhir usianya, kesihatan beliau sering terganggu. Terpaksalah beliau menghadkan lawatan para pengunjungnya, namun ini masih tidak menghalang orang ramai yang datang dari jauh dan dekat khusus untuk menemui beliau dengan membawa hajat dan masalah masing-masing.
Beliau melayan para tetamunya dengan penuh kasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama. Sebaliknya keuzuran beliau merupakan satu rahmat pula kepada orang ramai yang kalau tidak kerananya, mereka agak sukar menemui beliau yang lebih gemar mengasingkan diri di dalam hutan untuk beribadat kepada Allah SWT. Dengan berkat doa beliau kepada Allah SWT, segala hajat dapat ditunaikan dan masalah mereka dapat diselesaikan dengan memuaskan.
Sebenarnya orang ramai dilarang berkunjung ke kediamannya memandangkan beliau dalam keadaan sakit, tambahan pula ibadatnya akan terganggu.
Notis telah dibuat di Masjid Bandar Lahad Datu dan YM Tuan Guru RA sendiri juga menyatakan bahawa beliau dalam keadaan sakit. Sesiapa yang ingin berjumpa dengan beliau, bolehlah berbuat demikian pada tiap-tiap hari Jumaat di Masjid Bandar Lahad Datu. Walaupun notis telah dibuat, namun orang ramai tetap juga berkunjung ke kediaman beliau.
Penyakit beliau bertambah berat sehingga memaksa beliau bersembahyang dalam keadaan duduk dan akhirnya orang ramai dilarang sama sekali untuk mengunjunginya. Walaupun beliau dalam keadaan sakit beliau tetap meneruskan dakwahnya ke mana-mana tempat seperti biasa.
CADANGAN YM TUAN GURU RA MENGADAKAN KELAS ILMU
YM Tuan Guru RA telah lama bercita-cita untuk mengadakan kelas ilmu bagi para pengikutnya kerana beliau dapati mereka masih kekurangan ilmu untuk beramal. Beliau bercadang mengadakan kelas itu di masjid yang terletak di atas bukit berhampiran dengan Masjid Bandar Lahad Datu. Untuk tujuan tersebut YM Tuan Guru RA telah memanggil saya dan Tuan Haji Usman Suing bermesyuarat di rumah beliau. Kami menyambut cadangan beliau itu dengan hati gembira kerana ini adalah peluang keemasan yang kami tunggu-tunggukan sekian lama. Kami pun membuat persiapan. Namun YM Tuan Guru RA akhirnya membatalkan cadangannya itu. Kata YM Tuan Guru RA, “Saya rasa janganlah kita teruskan niat kita itu. Saya lihat dia orang ini (mereka) suka berkumpul dan makan-makan sahaja, tidak suka belajar. Kita buang masa saja.”
Kerana sifat kebanyakan pengikut beliau yang tidak menunjukkan minat belajar menyebabkan kerugian bagi mereka sendiri, rugi kerana tidak mendapat sebarang ilmu pun dari YM Tuan Guru RA.
Maka tidak hairanlah selepas YM Tuan Guru RA wafat, para pengikutnya tidak dapat meneruskan ajaran beliau kerana mereka tidak dapat memahaminya.
Ajaran YM Tuan Guru RA tidak lagi kelihatan berkembang di daerah Lahad Datu terutama di Masjid Bandar Lahad Datu. Bahkan ajaran itu telah mati apabila para khatib dan bilal lantikan YM Tuan Guru RA disingkirkan dari bertugas di Masjid Bandar Lahad Datu pada tahun 1993.
Maka jelaslah YM Tuan Guru RA tidak mempunyai anak murid, yang ada hanyalah para pengikut sahaja.
YM TUAN GURU RA DENGAN KERAJAAN
Semenjak pemerintahan Jepun lagi sehingga pemerintahan PBS, YM Tuan Guru RA tidak berhenti-henti menegakkan kebenaran serta membanteras kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan tanpa segan dan takut. Beliau tetap memperkatakan kebenaran walaupun berhadapan dengan pihak yang berkuasa kerana dengan cara itu pihak berkuasa akan sedar tentang tanggungjawab mereka sebagai pemerintah. Dengan demikian pemerintah dan rakyat akan berada dalam keadaan selamat dan aman.
Apabila sahaja tiba pilihan raya umum maka menteri-menteri dan ketua-ketua parti mengunjungi YM Tuan Guru RA di tempat kediamannya di Kampung Bikang untuk meminta nasihat. Beliau menasihati mereka supaya mereka mengerjakan suruhan Allah SWT terutamanya sembahyang lima waktu dan berlaku adil kepada rakyat, sekiranya mereka ingin menang dalam pilihanraya.
Kata beliau kepada mereka:
“Siapa-siapa yang melanggar perintah Tuhan dia akan sial dunia dan akhirat. Sesiapa sahaja yang melanggar hukum Tuhan, tidak kira pangkat dan kedudukan akan hina dunia akhirat. Buktinya:-
1. Raja Malik Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya sendiri;
2. Presiden Pakistan, Ali Bhutto telah mati digantung di tali maut;
3. Shah Iran telah memegang teraju pemerintahan turun temurun, tetapi akhirnya diusir dari negaranya sendiri dan mati di negeri lain sebagai dagang;
4. Perdana Menteri India, Puan Indera Ghandi telah mati ditembak oleh pengawalnya sendiri;
5. Presiden Pakistan Zia-ul Haq dan rombongannya telah mati dalam nahas kapal terbang;
6. Presiden Filipina iaitu Presiden Marcos terkenal dengan kepintaran dan tipu muslihat politiknya. Akhirnya digulingkan oleh seorang wanita dan mati dalam buangan di negeri orang, sehingga mayatnya tidak boleh dikebumikan di mana-mana tempat di bumi;
7. Presiden Rumania yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan pengawal yang rapi, tetapi akhirnya mati ditembak bersama isterinya dalam rampasan kuasa, ketika hendak melarikan diri.”
Beliau akan menasihati pihak pemerintah supaya berlaku adil agar mereka tetap memerintah dan rakyatnya akan menjadi aman dan selamat. Pemerintah adalah ibarat seorang bapa sedangkan rakyatnya adalah anaknya. Ia mesti kasihkan rakyatnya sebagaimana bapa sayangkan kepada anak-anaknya.
Tetapi sebagaimana akan diterangkan dalam Buku Bahagian Dua setiap nasihat beliau tidak diendahkan oleh parti-parti Islam sehingga mereka dapat ditewaskan oleh parti orang kafir dalam pilihanraya umum. YM Tuan Guru RA mahukan parti Islam memerintah tetapi mereka sendirilah pada hakikatnya tidak mahu. Kalau mereka patuhi nasihat beliau mereka akan menang sebagaimana janji beliau kepada mereka.
Kadang-kadang ada di antara ahli politik itu datang ke tempat beliau menanyakan siapa akan menang dalam pilihanraya. YM Tuan Guru RA akan menegaskan bahawa parti Islam akan menang kalau ikut perintah Tuhan. Kalau tidak mereka akan kalah.
Pernah beberapa ahli politik dari Kuala Lumpur datang ke tempat beliau pada zaman pemerintahan parti Berjaya menanyakan beliau siapa akan menang dalam pilihanraya umum 1985. YM Tuan Guru RA memberi nasihat kepada mereka. Katanya:
"Tuan-tuan sanggup berjalan dari satu tempat ke satu tempat dari rumah ke rumah demi kepentingan politik. Alangkah baiknya kalau kamu lakukan ini demi menegakkan kebenaran agama Islam. Tetapi ini kamu tidak sanggup. Sayang. Adapun saya beritahu kepada kamu Parti Berjaya akan jatuh walaupun kerajaan pusat tolong sekiranya mereka tidak membuang Datuk Sonoh Marsoh dari Parti Berjaya. Parti PBS akan menang. Kalau kamu tidak percaya tulis dalam diari kamu tarikh haribulan ini sebagai peringatan.”
Mereka seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata YM Tuan Guru RA kerana parti Berjaya pada masa itu kuat dan pada masa yang sama dibantu oleh kerajaan pusat. Tetapi apa yang dikatakan oleh beliau ternyata benar apabila parti PBS dapat menewaskan parti Berjaya dalam pilihanraya 1985.
Dalam kesempatan lain pernah beberapa orang ketua Islam dari parti PBS datang ke rumah beliau. Selepas makan malam beliau berkata kepada mereka;
“Ada orang itu senang hati apabila sudah jadi ketua. Bagi saya tidak ada gunanya jadi ketua kalau tertinggal sembahyang. Biasanya ketua-ketua itu apabila bermesyuarat mereka tidak mempedulikan sembahyang. Mereka sanggup mengqadhakan sembahyang demi kepentingan mesyuarat mereka. Apalah gunanya ketua-ketua seperti ini. Mereka rugi dunia dan akhirat.”
Mendengar keterangan beliau ini mereka tersipu-sipu.
Oleh kerana hikmah dan ketegasan beliau dalam menegakkan undang-undang Allah SWT, maka pihak pemerintah kadang-kadang terpaksa meminta bantuan beliau dalam hal atau keadaan yang rumit yang mereka sendiri tidak dapat menyelesaikannya. Contohnya:-
· Pihak Jepun pernah meminta bantuan YM Tuan Guru RA untuk menangkap Jaafar, seorang penjenayah yang terkenal dengan keganasannya.
· Pihak British menyuruh mereka yang mempunyai masalah bertanya dengan YM Tuan Guru RA sehingga walaupun beliau dalam iktikaf mereka sentiasa datang dengan masalah mereka.
· Pihak USNO meminta beliau membantu mereka dalam pilihan raya umum dengan doa dan nasihat beliau.
· Pihak Berjaya meminta beliau berkempen untuk mereka dalam pilihanraya dan seterusnya mendoakan kejayaan untuk mereka.
· Manakala pihak PBS pula meminta bantuan beliau agar dapat mententeramkan keadaan apabila berlaku kes bom-mengebom di seluruh Sabah yang dilakukan oleh orang-orang Islam. Kononnya orang-orang Kristian telah memalangkan salib di Masjid Negeri dengan cat merah.
Itulah sebahagian daripada contoh di mana pihak kerajaan terpaksa meminta bantuan YM Tuan Guru RA.
YM Tuan Guru RA telah mengirim beberapa risalah kepada pemimpin seluruh dunia. Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab mereka dan meminta mereka berhati-hati terhadap perkara-perkara yang akan menyesatkan akidah manusia atau yang akan menyebabkan turunnya bala Tuhan. Contohnya:-
· Sebagaimana tersebut dalam Bab 1, pada tahun 1983, YM Tuan Guru RA telah mengedarkan sebuah risalah yang menyatakan bahaya jemaah tabligh kepada ketua-ketua negara seluruh dunia. Beliau meminta mereka menyekat pergerakan jemaah tabligh di negara mereka masing-masing. Jemaah tabligh harus diharamkan pergerakan mereka kerana ia akan menyesatkan orang-orang Islam serta menyebabkan bala Tuhan turun seperti yang terjadi di India dan Bangladesh di mana mereka berkumpul setiap tahun.
· Melalui surat YM Tuan Guru RA pada tahun 1985, beliau menasihati khususnya DYMM Dipertuan Agong, Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pelajaran Datuk Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil tindakan ke atas Kassim Ahmad kerana ajarannya sesat lagi menyesatkan. Kalau ajarannya tidak diharamkan ia akan mendatangkan bala kepada Negara Malaysia.
· YM Tuan Guru RA telah melihat tanda-tanda bahawa tidak lama lagi bala Tuhan akan turun menimpa seluruh umat manusia kerana mereka tidak lagi mempedulikan perintah Allah SWT.
Oleh yang demikian beliau telah mengirim beberapa buah risalah pada tahun 1989 dan 1990 kepada ketua-ketua negara di seluruh dunia, tidak kira bangsa dan agama. Beliau menasihati mereka dan rakyat mereka supaya bertaubat serta kembali ke jalan yang benar iaitu Agama Islam. Agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar. Agama selain Islam adalah sesat lagi menyesatkan. Kalau mereka tidak kembali mentaati Allah SWT bala Tuhan akan turun bila-bila masa. Seluruh dunia akan dihujani malapetaka.
Sekarang umat manusia di seluruh dunia telah ditimpa bala Tuhan kerana mereka tidak menghiraukan nasihat dan peringatan itu.
YM TUAN GURU RA DENGAN PARA ALIM ULAMA
Sejak kecil lagi YM Tuan Guru RA sangat menghormati alim Ulama dan sentiasa berada di dalam majlis mereka, mempelajari setiap ilmu yang mereka berikan. Beliau telah berguru kepada lebih kurang seratus alim Ulama. Kata YM Tuan Guru RA:
“Alim Ulama adalah pewaris nabi, ikutan ummah dan merekalah penunjuk jalan yang benar. Sebab itulah mereka mesti sentiasa berada dijalan yang benar, taat dan patuh kepada hukum Tuhan serta berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan mencontohi Nabi SAW terutama dalam masalah ibadah dan akhlak. Mereka hendaklah menjaga maruah mereka dengan menjauhi segala perkara haram dan syubahat iaitu mereka mestilah bersifat wara', zuhud terhadap dunia dan memadai dengan pemberian Allah SWT walaupun sedikit. Hati mereka tidak dapat dipengaruhi oleh hawa nafsu dan hal-hal keduniaan seperti harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Pendek-kata mereka mestilah benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Alim Ulama itu bukanlah mereka yang banyak ilmu pengetahuan tetapi siapa yang takut kepada Allah SWT, dialah yang alim sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Fathir ayat 28:-
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Orang yang tidak takut kepada Allah SWT bukanlah seorang alim tetapi Dajjal, bahkan lebih dahsyat dari Dajjal sepertimana sabda Nabi SAW:
“Aku terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal, maka dikatakan siapakah mereka itu ya Rasulullah, maka sabdanya 'mereka itulah Ulama yang jahat.”
Siapakah Ulama yang jahat yang dimaksudkan oleh Hadis tersebut? Mereka itu yang sangat kasih kepada dunia dan kemuliaannya. Mereka itu adalah lebih dahsyat dari Dajjal. Mereka adalah tempat rujukan orang ramai. Apabila mereka tergelincir dari jalan yang benar maka umat Islam akan turut tergelincir. Alim Ulama seperti ini yang mengikut hawa nafsu, mereka tidak akan mendapat petunjuk dari Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Al Jaatsiyah:-
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلاَ تَذَكَّرُونَ
Ertinya, Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana ilmunya dan menutup pendengaran dan matahatinya dan mengadakan tutupan di atas pemandangan. Maka siapakah yang akan menunjukinya sesudah Allah. Tidakkah kamu menerima peringatan.
Maksud ayat ini ialah alim Ulama yang mengikut hawa nafsunya (yang membesarkan dunia) akan ditutup oleh Allah SWT pendengaran, mata hati dan pemandangan mereka sehingga mereka tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT lagi dan tidak berani memperkatakan kebenaran.
Ulama yang seperti ini tidak boleh diikuti bahkan wajib menjauhkan diri daripadanya. Jangan dengar nasihatnya kerana nasihatnya itu bagaikan racun yang mematikan iman kita. Malah adalah lebih baik termakan racun kerana boleh dimuntahkan dibandingkan dengan nasihat yang tidak baik, yang kalau sudah masuk ke dalam hati dan fikiran susah dikeluarkan atau dilupakan dan akhirnya akan mematikan hati.
Sebab itu berhati-hatilah terhadap Ulama seperti ini. Jangan sekali-kali mendekati mereka.
YM Tuan Guru RA amat berpendirian tegas terhadap para alim Ulama yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Contohnya:-
· Dalam majlis muzakarah mengenai pembongkaran Masjid Lahad Datu yang diadakan di Johor Bahru, YM Tuan Guru RA dengan tegas menegur para mufti dengan katanya, "Sayang sekali, ilmu tuan-tuan tidak ada nilainya di sisi Allah SWT walau sesen pun. Berjihad dengan perkataan pun tidak kuasa, apalagi dengan harta dan jiwa.”
· YM Tuan Guru RA telah mengutuskan beberapa surat kepada MUIS menasihati mereka supaya membetulkan perangai serta tingkah laku mereka dan sistem pentadbiran MUIS diubahsuai mengikut lunas-lunas Islam terutama dalam masalah pungutan zakat.
· Satu ketika YM Tuan Guru RA serta rombongan bersembahyang fardhu Maghrib di Masjid Kg. Binuang. Kebetulan ketika itu jemaah yang berada di situ telah selesai mengerjakan sembahyang dan mereka tidak serta bersembahyang berjemaah bersama YM Tuan Guru RA. Setelah selesai YM Tuan Guru RA berpaling kepada Ustaz dengan berkata, “Kenapa tuan tidak ikut berjemaah? Katanya “Kami telah bersembahyang.”
Kata Tuan Guru RA, “Apa salahnya kamu ikut balik bersembahyang. Engkau tidak bersembahyang orang lain akan turut tidak bersembahyang. Apa engkau ajar manusia sedangkan kamu sendiri tidak tahu mana untung dan mana rugi. Tidakkah engkau tahu bahawa mengulangi sembahyang berjemaah adalah berpahala?”
BILAKAH SESEORANG ITU LAYAK MENGAJAK MANUSIA KEMBALI KEPADA MENTAATI ALLAH SWT?
YM Tuan Guru RA menjelaskan demikian:
"Seseorang hanya boleh menasihati orang lain apabila dia benar-benar takut kepada Allah SWT, terasa di dalam dirinya kehebatan dan keperkasaan Allah SWT sehingga dia merasai dirinya sentiasa diawasi oleh Allah SWT setiap saat. Dia akan hanya sampai ke tahap ini apabila dia telah mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, bukan setakat ilmu pengetahuan sahaja. Mengenal Allah SWT melalui ilmu sahaja tidak akan menjadikan seseorang takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut.
Orang seperti ini walaupun alim, dia tidak boleh menasihati orang lain kerana kalau dia tidak kenal Allah SWT bagaimana pula dia menjadikan orang lain kenal kepada Allah SWT. Kalau dia tidak takut kepada Allah SWT sebagaimana semestinya, bagaimana pula dapat dia menjadikan orang lain takut kepada Allah SWT. Ini tidak akan terjadi. Akhirnya bukan sahaja dia sesat, orang lain yang mendengar nasihatnya akan turut sesat.
Kita mesti tarik manusia kepada Allah SWT bukan kepada diri kita. Tetapi apa yang selalu terjadi ialah orang-orang yang berdakwah akan menarik orang ramai mengikut mereka, untuk bersama-sama mereka dalam satu jemaah. Akhirnya terjadilah perpecahan di kalangan umat Islam.
Di akhir zaman ini seseorang yang ingin menyebarkan kebenaran kepada masyarakat hendaklah terlebih dahulu memperbetulkan dirinya demi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT agar dapat mengenaliNya. Tidak boleh tidak, dia mestilah mengasing diri dari orang ramai mengikut jejak langkah Nabi SAW. Nabi SAW sebelum diutus sebagai Rasul beliau selalu mengasingkan diri dari masyarakat jahiliah di dalam sebuah gua bernama Gua Hira di Jabal Nur sehinggalah datang Jibril AS membawa berita gembira dengan katanya:
“Bergembiralah wahai Muhammad. Saya adalah Jibril dan engkau adalah Rasul kepada umat ini (iaitu kepada umat jin dan manusia).”
Waktu di Gua Hira lah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama dari Allah SWT yang disampaikan oleh Jibril AS.
Jadi bagi kita di akhir zaman untuk mendapat cahaya kebenaran itu hendaklah kita juga mengasingkan diri dari masyarakat umum. Seseorang itu walaupun dia berilmu kalau belum pernah beriktikaf selama 40 hari maka fikirannya belum matang kesempurnaanya kerana Nabi SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa tidak berkata-kata melainkan beribadat selama 40 hari maka Allah SWT akan jadikan di hatinya cahaya (yang dapat membezakan perkara yang haq dan yang bathil).”
Kalau alim Ulama tidak melakukan demikian mereka tidak akan mampu membetulkan masyarakat. Akhirnya makin ramai pendakwah, makin bertambah kemaksiatan, kemungkaran dan kesesatan di kalangan masyarakat. Tidak ada jalan lain melainkan alim Ulama mestilah kembali kepada Allah SWT dengan cara beruzlah atau berkhalwat. Seseorang itu akan tahu membezakan di antara haq dan bathil apabila dia telah dikurniakan oleh Allah SWT di hatinya cahaya semasa dalam khalwatnya itu.
Sayang sekali para alim Ulama tiada yang mendampingi YM Tuan Guru RA untuk mendalami kajian mereka tentang beliau dengan meneliti secara terperinci siapakah sebenarnya YM Tuan Guru RA itu. Adakah beliau pembawa bidaah dan kesesatan atau beliau penegak sunnah Nabi SAW. Mereka hanya membuat penilaian dari jauh.
Apakah yang menyebabkan mereka menjauhkan diri dari beliau sedangkan beliau amat menghormati para alim Ulama yang datang mengunjunginya asalkan niat mereka kerana Allah SWT bukan untuk berdebat.
Tetapi sayangnya mereka bukan sahaja menjauhkan diri dari YM Tuan Guru RA bahkan ada di antara mereka menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak menghampiri beliau kerana kata mereka ajaran beliau adalah sesat dan menyesatkan. Akhirnya rugilah umat manusia terutama orang-orang yang ingin mendampingkan diri kepada Allah SWT disebabkan kegelapan atau fitnah alim Ulama.
BAB 3
PERJUANGAN TERAKHIR YM TUAN GURU RA
Dalam Bab 1 ada dinyatakan bahawa walaupun YM Tuan Guru RA dalam keadaaan sakit, beliau tetap meneruskan dakwahnya keserata tempat seperti biasa.
Kenapa beliau lakukan demikian?
Ia mempunyai sebab yang merupakan rahsia yang jarang orang mengetahuinya. Rahsia ini dijelaskan oleh YM Tuan Guru RA kepada OCPD Daerah Lahad Datu ketika dia melarang beliau menggunakan pembesar suara tanpa permit dari pihak polis. Kata beliau:
"Tuan OCPD cuba fikir, kalau tuan disuruh oleh ketua tuan untuk menyampaikan suatu surat dari satu tempat ke satu tempat dalam peperangan, tentu tuan akan menyampaikannya walaupun tuan dalam keadaan bahaya. Maka begitulah saya, walaupun azan ini nampaknya susah dibuat kerana mendapat tentangan hebat dari pihak-pihak tertentu, saya mesti sampaikan kepada semua makhluk Allah SWT terutama umat manusia kerana ini adalah merupakan suruhan dari Tuhan, Raja dari segala raja. Selagi saya hidup saya mesti teruskan tugas ini walaupun apa yang terjadi. Tuan tidak boleh larang saya. Saya harap tuan jangan campur urusan ini kerana ini urusan agama.”
Itulah rahsia kenapa YM Tuan Guru RA walaupun sakit masih juga bergerak ke serata tempat, bertakbir dan melaungkan azan di sepanjang perjalanan. Beliau telah mendapat gerakan dari Tuhan untuk melakukan demikian. Ini adalah hasil dari permintaan bumi yang telah merasa tersiksa oleh kezaliman perbuatan umat manusia di atasnya. Bumi ini merasa haus sebab itulah dia mahu mendengar 'zikrullah' untuk meringankan penderitaannya. Maka siapa sahaja yang menghalang beliau dari tugasnya ini dia akan mendapat ganjarannya ketika dia pulang ke Alam Kubur (Alam Barzakh) nanti. Tahulah dia apa yang akan dilakukan bumi ke atasnya.
Maka setiap hari Ahad YM Tuan Guru RA dan rombongannya akan bergerak dari satu daerah ke satu daerah lain untuk berdakwah, bertakbir dan melaungkan azan. Sebelum wafat, beliau telah sempat mengadakan beberapa siri dakwah.
Pada hari Ahad 11 Februari 1990, YM Tuan Guru RA dan rombongannya telah bergerak ke Daerah Tawau. Beliau bersembahyang fardhu Zohor di masjid daerah itu serta memperingatkan orang-orang yang hadir tentang kebesaran Tuhan, bertaubat dan mencari bekalan sebelum mati.
Pada hari Ahad 18 Februari, YM Tuan Guru RA dan rombongannya ke masjid daerah Semporna menunaikan sembahyang Fardhu Zuhur bersama-sama penduduk di situ. Beliau sempat juga menasihati mereka supaya tidak lupa kepada Tuhan, memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekal untuk mati dan supaya berhati-hati terhadap tipu daya dunia, syaitan dan nafsu.
Ahad 14 Mac, beliau dan rombongan berdakwah ke Daerah Kunak. Beliau sembahyang Fardhu Asar di Masjid Kunak. Beliau juga sempat memberi nasihat kepada orang-orang yang hadir ketika itu.
Ahad 18 Ogos, beliau dan rombongan sekali lagi bergerak ke Daerah Tawau dan inilah kali terakhir lawatan beliau ke daerah-daerah lain sebelum beliau wafat.
Pada 23 Ogos, buku Manaqib Al-Kubra riwayat hidup YM Tuan Guru RA sebanyak 3000 naskah telah sampai ke tangan kami setelah selesai dicetak di Kuala Lumpur. Kami pun segera ke Kampung Bikang untuk menghantar beberapa naskah itu kepada YM Tuan Guru RA. Kedatangan kami disambut oleh beliau dengan hati gembira. Kami pun mengadakan jamuan pada hari itu sebagai tanda kesyukuran kepada Ilahi kerana buku Manaqib itu sempat dilihat dan diteliti oleh beliau sendiri sebelum beliau wafat. Inilah cita-cita kami.
Pada Hari Jumaat, YM Tuan Guru RA menerangkan kepada jemaah Masjid Bandar Lahad Datu supaya memiliki buku riwayat beliau itu kerana banyak manfaatnya. Kata beliau pada mulanya dia enggan juga ditulis riwayat hidupnya kerana cukup sahaja Tuhan yang mengetahuinya. Tetapi apabila memikirkan tentang faedahnya kepada umat manusia, maka tergeraklah hatinya menyetujui cadangan itu. Kata beliau, "Syukurlah kepada Allah SWT walaupun saya tidak ada lagi kamu boleh baca sahaja buku riwayat saya ini. Mudah-mudahan bermanfaat kepada kamu sekalian.”
Pada hari Isnin 9 Oktober, kami beberapa orang masuk beriktikaf di Masjid Bandar Lahad Datu atas arahan YM Tuan Guru RA, selama 45 hari memandangkan masalah yang dihadapi oleh umat manusia yang hikmahnya beliau sahaja yang mengetahuinya.
Hari Jumaat 16 November, merupakan hari yang penuh rahsia. Hari itu adalah giliran saya untuk berkhutbah. Apabila sembahyang fardhu Jumaat mulai didirikan ternyata bahawa YM Tuan Guru RA dalam keadaan sakit sehingga beliau tidak dapat berdiri lama mengimami orang ramai. Beliau akhirnya memilih saya menjadi imam hari itu. Sayalah jadi imam sedangkan beliau duduk di sebelah kanan saya menjadi makmum. Peristiwa ini sangat penting dalam hidup beliau yang sukar difahami oleh jemaah pada hari itu. Rahsia ini akan diterangkan di Bab 4, "Suasana Kematian YM Tuan Guru RA" yang akan datang insyaAllah.
Pada hari Ahad 18 November, YM Tuan Guru RA telah mengadakan kenduri secara besar-besaran di Masjid Bandar Lahad Datu yang disertai oleh ramai para hadirin. Beliau meminta maaf kepada mereka, bahkan di mana sahaja ada kesempatan beliau sentiasa memohon maaf kepada orang ramai istimewa pada tiap-tiap Hari Jumaat. Beliau merasakan bahawa sakitnya bertambah teruk dan mungkin ajalnya akan tiba.
Pada hari Jumaat 23 November, beliau masih dapat menunaikan sembahyang fardhu Jumaat di Masjid Bandar Lahad Datu bersama para jemaah yang sentiasa menantikan kedatangannya. Beliau duduk mengimami jemaah hari itu. Itulah sembahyang terakhir beliau di Masjid Bandar Lahad Datu bersama jemaah yang disayanginya.
Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini YM Tuan Guru RA telah menetapkan beberapa urusan agama yang terpenting yang berkuatkuasa di Masjid Bandar Lahad Datu:-
1. YM Tuan Guru RA telah menetapkan imam daerah Tuan Haji Amir Hussien sebagai imam Masjid Bandar Lahad Datu hingga mati dan membatalkan lantikan timbalan atau penolong imam. Kata beliau terpulanglah kepada jemaah Masjid Bandar, Lahad Datu untuk memilih timbalan imam siapa mereka suka.
2. YM Tuan Guru RA telah membatalkan lantikan beberapa khatib dan bilal dan akhirnya menetapkan lantikan 4 khatib dan 4 bilal yang akan bertugas seterusnya. Khatib itu ialah Tuan Haji Abdul Rahim (penulis), Tuan Haji Halid, Tuan Haji Ibnu Suhud dan Tuan Haji Saleh Murah manakala 4 bilal ialah, Tuan Haji Bilal Ibrahim, Tuan Bilal Ali, Tuan Haji Bilal Muhammaddin dan Tuan Bilal Syafie.
YM Tuan Guru RA telah menegaskan beberapa kali kepada jemaah Masjid Bandar Lahad Datu di hari-hari Jumaat bahawa walaupun beliau sudah mati, khatib-khatib dan bilal-bilal yang telah dilantik beliau akan terus bertugas tanpa melantik lagi khatib-khatib dan bilal-bilal lain. Ini bermaksud yang beliau lantik ini mereka tidak akan menyeleweng dari ajaran beliau kerana seorang Wali Allah itu dengan firasatnya yang Allah SWT telah kurniakan kepadanya akan tahu sama ada seseorang itu menyeleweng atau sesat pada satu masa nanti. Kalau kita meragui kesahihan lantikan YM Tuan Guru RA ini bererti sama ada kita sedar atau tidak sedar kita telah meragui kewalian beliau. Ini bererti kita menentang beliau. Ini bahaya.
3. YM Tuan Guru RA telah menghentikan pungutan atau kutipan wang pada tiap-tiap hari Jumaat kerana hukumnya adalah haram memandang keadaan yang berlaku di Masjid Bandar Lahad Datu. Begitu juga YM Tuan Guru RA telah menghentikan lantikan ahli jawatan kuasa Masjid Lahad Datu kerana tidak perlu. Kata beliau memadailah imam serta khatib-khatib dan bilal-bilal yang mengurus urusan Masjid Bandar Lahad Datu supaya tidak menimbulkan masalah.
4. Akhirnya YM Tuan Guru RA telah berpesan supaya Masjid Bandar Lahad Datu dijaga baik-baik, jangan ditinggalkan kerana ia merupakan lambang perjuangan beliau. Ini bukan bermaksud kita mesti menjaga bangunan masjid itu semata-mata dan tidak boleh meninggalkannya sebagaimana pendapat orang-orang yang kurang faham. Pesanan beliau itu bermaksud supaya ajaran beliau tetap dipelihara dan menjadikannya amalan di Masjid Bandar Lahad Datu.
Yang dijaga ialah ajaran beliau supaya ia terus menjadi amalan di Masjid Bandar Lahad Datu. Apalah gunanya menjaga bangunan Masjid Bandar Lahad Datu kalau ajaran beliau tidak dapat lagi diteruskan di dalamnya? Lagipun pesanan beliau itu hanya ditujukan kepada orang-orang yang beliau lantik untuk menjalankan urusan agama bukan kepada semua pengikutnya. Sebab itulah pesanan ini beliau tidak isytiharkan kepada Jemaah Masjid Bandar Lahad Datu.
Kesimpulannya, Masjid Bandar Lahad Datu hendaklah dijaga baik-baik serta memastikan bahawa ajaran YM Tuan Guru RA terus menjadi amalan di Masjid itu.
Sebelum wafat YM Tuan Guru RA sempat lagi mengutus surat kepada Raja Saudi Arabia dan juga imam besar di Masjidil Haram dan Masjid Nabi SAW, bagi memperingatkan mereka tentang tanggungjawab mereka kepada umat Islam seluruh dunia. Sebab itu mereka mestilah sentiasa berada dijalan yang benar. Beliau mengemukakan amalan yang hendak mereka laksanakan agar umat Islam khasnya selamat dunia dan akhirat. Surat itu ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang terjemahannya berbunyi:-
"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Kepada: Yang Mulia Ketua Imam Madinah.
Aku mulai surat ini dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhlukNya, Penghulu kita Nabi Besar Muhammad SAW dan keluarganya serta para sahabatnya sekelian.
Kemudian daripada itu ketahuilah bahawa kita umat Nabi Muhammad SAW adalah bersaudara tidak kira bangsa dan keturunan. Maka adalah tanggungjawab kita bersama untuk nasihat-menasihati agar sentiasa berada di dalam petunjuk Allah SWT. Tuan adalah penjaga bagi seluruh umat Islam dan justeru itu bertanggungjawab memberi nasihat kepada mereka agar selamat dunia dan akhirat.
Pada tahun 1950, ketika saya mengunjungi Kota Suci Mekah untuk menunaikan fardhu Haji, saya dapati 4 orang bilal melaungkan azan di setiap penjuru Masjidil Haram pada tiap-tiap waktu sembahyang fardhu. Kita sudah sedia maklum bahawa azan beramai-ramai banyak fadhilatnya. Di antaranya:-
1. Orang yang tinggal jauh dari masjid sempat datang untuk berjemaah;
2. Menjauhkan bala dan kesusahan yang akan datang menimpa; dan
3. Syaitan akan lari sejauh-jauhnya.
Maka alangkah baiknya kiranya ini dapat dilaungkan kembali. Oleh itu saya harap agar diadakan semula azan 4 orang bilal di empat penjuru Masjidil Haram dan di Masjid Nabawiyyah pada tiap-tiap waktu sembahyang fardhu.
Pada tahun 1950, juga saya pernah sembahyang di luar kaki Makam Nabi Ibrahim AS. Tetapi pada tahun 1974, makam tersebut telah dibuka dan dibuang padahal waktu hayat Nabi SAW, baginda tidak berani membuka makam tersebut. Begitu juga tempat mulia seperti Makam Imam Maliki, Syafie dan Hanbali hendaklah dibina semula kerana tempat yang mulia ini mendatangkan rahmat Tuhan.
Qunut Nazilah hendaklah tuan-tuan sentiasa membawanya pada tiap-tiap sembahyang fardhu memohon taufiq dan hidayah bagi umat Islam agar selamat dunia dan akhirat. Lebih-lebih lagi sekarang ini umat Islam merata-rata telah tewas dalam peperangan melawan hawa nafsu sedangkan nafsu itu menutup hidayah dari Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Al Quran:
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ= هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ~ وَقَلْبِهِ~ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ~ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ & أَفَلاَ تَذَكَّرُونَ
Ertinya: "Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa-nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkannya, kerana ilmunya dan menutup pendengarannya dan mata hatinya dan mengadakan tutupan di atas pemandangannya. Maka siapakah yang akan menunjukinya sesudah Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan?” (Al-Jaatsiyah:23)
Hawa nafsu membawa kita kepada cinta dunia dan cinta dunia itu punca segala maksiat sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Cinta akan dunia pangkal segala dosa dan maksiat.”
Sedangkan maksiat mendatangkan bala Tuhan. Oleh sebab itu Qunut Nazilah perlu dibawa dalam setiap sembahyang fardhu.
Tuan hendaklah mengirim surat ke seluruh negara supaya mereka membawa Qunut Nazilah pada tiap-tiap sembahyang fardhu. Mudah-mudahan dengan itu kita semua umat Islam terhindar dari bahaya yang sedang dan yang akan menimpa, selamat dunia dan akhirat.
Saya pernah menghadiri pengkebumian di Jannatul Baqi di Madinah. Orang yang mati itu dikebumikan di kubur orang lain. Sebelum dikebumikan saya ternampak tulang-tulang jari dalam kubur itu.
Perbuatan ini adalah ditegah dalam syarak. Janganlah dibongkar kuburan orang lain. Bumi Tuhan sangat luas.
Saya harap jauhkanlah segala jenis permainan dari tanah suci terutama di Mekah, Madinah dan Jeddah seperti main bola sepak dan televisyen kerana segala bentuk permainan adalah perbuatan syaitan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT dan melupakan mati. Lebih-lebih lagi kalau berkumpul di sebuah negara secara besar-besaran dengan tujuan mengadakan sukan seperti sukan Olympik.
Alangkah baiknya kalau umat Islam berkumpul di satu tempat seperti di Baitullah beribadat kepada Allah SWT memohon keselamatan dunia dan akhirat. Tiada penyesalan bagi ahli syurga kecuali di dunia dahulu dia melalui satu tempat tanpa menyebut nama Allah sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Tiada suatu perkara yang paling dikesali oleh ahli syurga di Hari Kiamat melainkan dia berjalan di suatu tempat ketika di dunia dahulu dengan tiada menyebut nama Allah.”
Adapun diri saya, sejak kecil lagi saya telah menjauhkan diri dari hal-hal keduniaan. Saya telah menghabiskan masa saya berpuasa dan mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan beriktikaf mengasingkan diri di masjid-masjid, gua-gua dan hutan rimba memohon petunjuk dari Allah SWT agar dikurniakan keyakinan mengikut perjalanan Nabi SAW. Alhamdulillah Allah SWT telah mengurniakan saya keyakinan. Buktinya:-
1. Saya mempunyai tiga belas orang anak. Tidak pernah saya bawa ke hospital sebaliknya ada doktor yang datang ke tempat saya untuk meminta doa agar sembuh dari penyakit mereka.
2. Begitu juga dengan anak arwah Ming Long dari Kampung Sapagaya, Lahad Datu, Sabah, Malaysia telah lumpuh sebelah badannya dan telah puas berubat di Hospital Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu tetapi doktor mengatakan bahawa penyakitnya tidak ada harapan untuk sembuh. Alhamdulillah dengan berkat doa hanya dalam tempoh sehari sahaja dia sudah boleh berjalan.
Adapun keyakinan saya adalah seperti diterangkan dalam Lampiran A.
Saya menyampaikan nasihat ini semata-mata kerana Allah SWT dan tanda kasih sayang saya kepada umat Islam. Siapa ikut selamat dan siapa tidak ikut akan menyesal. Saya harap peringatan saya dalam surat ini dapat dilaksanakan. Kalau tidak, saya takut bala akan menimpa kedua Kota Suci ini. Mekah dan Madinah adalah jantung umat Islam. Sekiranya kedua tempat ini ditimpa kesusahan, umat Islam seluruh dunia akan turut bersedih hati.
Bersama-sama surat ini saya sertakan sepucuk risalah yang telah dikirimkan kepada saya dari Sibutu, Filipina yang menerangkan tentang ajaran dan kesalahan-kesalahan golongan Wahhabi, dalam Lampiran B.
Saya berdoa kepada Allah SWT agar seluruh umat manusia selamat dunia dan akhirat.
Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakathu.
Wassalam.
Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj (Haji Muda),
Kampung Bikang,
Lahad Datu, Sabah, Malaysia.
18 Jun 1990.
25 Zulka'dah, 1410.”
Surat ini melambangkan kasih sayang YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi kepada seluruh umat manusia tanpa beza. Beliau ingin agar semua umat Islam ini kembali berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, kepada empat mazhab kerana ini sajalah jalan yang selamat. Siapa terkeluar dari empat mazhab maka akan susahlah dia di akhirat nanti. Itulah pandangan beliau.
BAB 4
BELIAU WAFAT
Maka pada malam Khamis 1 Rejab, tahun 1411 Hijriah bersamaan 16 Januari 1991 Masehi tibalah utusan dari Allah SWT untuk menjemput YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi kembali ke pangkuanNya untuk selama-lamanya dalam keadaan redha-meredhai. Beliau di makamkan di Tanah Perkuburan Kampung Bikang berdekatan dengan kubur isteri pertamanya yang bernama Puan Rahimah Bte Penghulu Mohd Alam yang tercinta itu. Semoga mereka dirahmati Allah SWT.
AMIN ...
SUASANA KEMATIAN YM TUAN GURU RAHMATULLAH ALAIHI
(i) Alamat Atau Tanda Kematian YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi
Detik-detik terakhir perjalanan hidup YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi sampai ke saat beliau pergi meninggalkan dunia yang fana ini, telah saya ikuti dan perhatikan dengan teliti. Saya dapati sangat menakjubkan.
Rahsia penilitian itu saya nyatakan di sini buat pengetahuan para pembaca. Bagi saya ada beberapa tanda atau alamat YM Tuan Guru RA telah hampir ajalnya.
PERTAMA: Pada setiap hari Jumaat dan di mana sahaja ada kesempatan YM Tuan Guru RA selalu memohon maaf kepada orang ramai. Ini menunjukan bahawa ajalnya sudah hampir tiba.
KEDUA: YM Tuan Guru RA telah berhenti menjalankan tugasnya bergerak dari satu daerah ke daerah yang lain untuk memperdengarkan takbir dan azan kepada semua makhluk Allah SWT. Ini menandakan bahawa ajal beliau sudah di ambang pintu kerana tugas terakhirnya sudah selesai.
KETIGA: Sebagaimana dinyatakan dahulu bahawa Hari Jumaat 16 November 1990, adalah hari yang mengandungi rahsia yang amat penting dalam sejarah hidup YM Tuan Guru RA dan kepada saya sendiri. Oleh kerana sakit, beliau memilih saya menjalankan tugas imam pada hari itu sedangkan beliau duduk di sebelah kanan menjadi makmum. Bagi saya ini adalah alamat yang nyata bahawa beliau tidak lama lagi akan wafat. Orang ramai tidak tahu rahsia ini. Sebenarnya beliau boleh duduk mengimami jemaah sebagaimana terjadi pada hari Jumaat kemudiannya iaitu pada 23 November 1990, di mana beliau menjadi imam sambil di dalam keadaan duduk.
Kenapa terjadi peristiwa ini? Ini semata-mata menunjukkan bahawa riwayat hidup YM Tuan Guru RA tidak lama lagi akan berakhir. Rahsia ini telah diberitahu oleh YM Tuan Guru RA kepada saya terlebih dahulu iaitu ketika saya bersama beliau di kediamannya di Kampung Bikang. Ketika itu beliau telah menceritakan mimpinya, "Pernah saya bermimpi seolah-olah sedang berjalan di tepi laut. Saya lihat ramai orang menunggu giliran untuk berjalan di atas permukaan air laut menuju ke sebuah pulau. Saya juga ikut menyeberanginya.
Apabila saya sampai ke tepi laut itu saya nampak ada pengawal di situ yang memilih siapa yang boleh menyeberang. Saya pun ikut berbaris. Apabila sudah sampai giliran saya menyeberang, pengawal itu berkata, "Tuan Haji, kau belum sampai masanya lagi. Tunggu dulu.”
Maka saya pun menunggu. Sebentar kemudian pengawal itu memanggil katanya,"Tuan haji bolehlah jalan!" Saya pun terus berjalanlah di atas permukaan air laut itu seperti berjalan di darat. Saya pun hairan.”
Begitulah cerita YM Tuan Guru RA dan akhirnya beliau berkata kepada saya, “Peguam, tidak boleh berdiri dua imam di dalam sebuah masjid. Hendaklah mereka bergantian tempat. Begitu juga kalau di satu tempat itu ada satu guru kerohanian tidak boleh orang lain menggantikan tempatnya kecuali guru itu meninggal dunia.”
Setelah peristiwa 16 November 1990 itu berlaku, fahamlah saya bahawa tidak lama lagi beliau akan pergi untuk selama-lamanya.
KEEMPAT: Sebagaimana juga telah dinyatakan bahawa YM Tuan Guru RA telah mengadakan kenduri pada 18 November 1990, secara besar-besaran di Masjid Bandar Lahad Datu yang dihadiri oleh ramai tetamu yang datangnya bukan sahaja dari Daerah Lahad Datu bahkan dari daerah-daerah lain. Kenduri ini diadakan oleh beliau sebagai tanda perpisahan. Sebelum wafat beliau ingin menjamu orang ramai buat kali terakhir, kerana perbuatan inilah yang menjadi kesukaan beliau sepanjang hidupnya.
KELIMA: Pada Hari Jumaat 23 November 1990, berakhirlah iktikaf kami di Masjid Bandar Lahad Datu selama 45 hari. Hari itu YM Tuan Guru RA sembahyang duduk mengimami orang ramai. Ketika beliau dalam kereta hendak pulang ke Kampung Bikang, beliau memanggil saya.
Ketika saya mendekatinya beliau berkata, "Hari ini jangan lagi kau pulang ke Semporna. Malam ini kau minta doa sama Tuhan kerana malam inilah penentuan terakhir bagiku sama ada aku hidup lagi atau sudah masanya aku meninggal dunia.”
Maka mengertilah saya bahawa YM Tuan Guru RA sudah merasa alamat mati itu sebelum tiba saatnya iaitu lebih kurang dua bulan kemudian.
KEENAM: YM Tuan Guru RA telah mengizinkan orang ramai untuk menziarahinya di tempat kediamannya di Kampung Bikang. Maka ramailah orang datang menziarahi beliau. Ini bererti sebelum wafat beliau memberi kesempatan kepada orang ramai untuk bersua muka dengannya buat kali terakhir.
KETUJUH: Akhirnya YM Tuan Guru RA berkata kepada isterinya, "Saya ini ibarat kereta yang sedang menunggu masanya untuk berjalan.”
Itulah di antara alamat atau tanda yang menyakinkan saya bahawa YM Tuan Guru RA tidak lama lagi akan balik ke pangkuan Ilahi.
(ii) Hari-hari Terakhir YM Tuan Guru Rahmatullah Allaihi
Pada Hari Khamis 10 Januari 1991, kami jemaah dari Semporna telah mengambil kesempatan untuk menziarahi YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi. Kamilah di antara jemaah yang terakhir menziarahi beliau. Setelah kami sampai ke rumah beliau kami lalu dipersilakan masuk ke bilik beliau. Kami pun masuk dan duduk di samping beliau. Beliau hanya memejamkan matanya tidak bercakap apa-apa lagi. Kami lalu berdoa mudah-mudahan beliau dipanjangkan umur lagi untuk kepentingan umat manusia. Saya merasai dalam diri saya bahawa beliau tidak lama lagi akan menemui ajalnya. Justeru itu aku mengambil keputusan untuk menetap di rumah Tuan Haji Salleh Mura yang berhampiran dengan rumah YM Tuan Guru RA menunggu tiba saatnya beliau pergi.
Pada tengah malam, iaitu malam Jumaat saya merasai bahawa YM Tuan Guru RA sedang mengalami sakit kuat sehingga hampir-hampir memutuskan nafasnya. Rahsia ini tidak ada orang tahu. Saya menyuruh kawan-kawan berwudhu dan melaungkan azan. Selepas itu kami sembahyang Hajat untuk kesihatan beliau. Syukurlah tiada terjadi apa-apa malam itu.
Pada Hari Jumaat 11 Januari 1991, saya berkhutbah di Masjid Bandar Lahad Datu. Selepas menunaikan fardhu Jumaat saya segera balik ke Kampung Bikang. Saya tidak mahu melepaskan saat-saat yang penuh rahsia itu kerana ia pasti terjadi. Maka selepas itu tiap-tiap hari saya menunggu saat itu terjadi dengan hati yang sedih. Sedih kerana akan kehilangan seorang guru yang tercinta. Seorang guru pembimbing ke arah jalan yang lurus.
Pada malam terakhir, iaitu malam Khamis 1 Rejab, 1411 Hijriah bersamaan dengan 16 Januari, 1991 Masehi, saya pun meminta izin daripada YM Tuan Guru RA untuk bersembahyang di rumah beliau kerana saya rasa itulah saat yang paling sesuai bagi YM Tuan Guru RA kembali ke pangkuan Ilahi. Beliaupun menyuruh kami datang.
Selepas sembahyang Isyak di Masjid Kampung Bikang, saya dan dua temanku iaitu Haji Ibnu Masud dan Haji Salleh Mura terus ke rumah beliau. Kami bertiga lalu sembahyang hajat memohon kepada Allah SWT agar kiranya YM Tuan Guru RA dipanjangkan umur lagi kerana kami berasa masih memerlukan bimbingannya.
Selepas sembahyang kami pun dipersilakan makan. Selepas sahaja kami selesai makan, kami dipanggil masuk ke bilik YM Tuan Guru RA. Setelah kami sampai ke pintu bilik beliau kami dapati keluarga beliau berada disampingnya. Mereka menyuruh kami masuk dan merekapun keluar dari bilik itu.
Rupanya beliau telah menghembus nafas terakhir ketika kami sampai sahaja ke pintu biliknya menurut kata anaknya. Kamipun bertiga masuk memastikan sama ada beliau benar-benar telah wafat. Kami dapati YM Tuan Guru RA telah pergi untuk selama-lamanya.
'INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI ROJI'UN'…
Beliau telah wafat pada jam 10:00 malam, malam Khamis 1 haribulan Rejab, 1411 Hijriah. bersamaan 16 haribulan Januari tahun 1991 Masihi. Itulah malam yang penuh rahsia dan berkat, malam dibukakan pintu-pintu langit untuk YM Tuan Guru Rahmatullah Alaihi. Bulan Rejab adalah bulan yang mulia yang mana junjungan kita Nabi Muhammad SAW di Israk dan di Mikrajkan sehingga bertemu dengan Allah SWT.
Saya mendekati YM Tuan Guru RA lalu mendapati dahinya basah, berpeluh. Saya lihat beliau seperti bayi yang baru dilahirkan. Wajahnya bercahaya gemilang bagaikan Bulan Purnama. Selama hidup belum pernah saya temui wajah orang mati begitu rupanya. Rupanya beliau malam itu sudah siap sedia untuk menunggu utusan dari Allah SWT yang akan membawanya ke hadaratNya.
Itulah saat yang sudah lama ditungguinya, saat yang sukar dilukiskan betapa gembira dan indahnya, itulah saat perjumpaan dengan Nabi SAW dan para Sahabatnya yang tercinta dan perjumpaan dengan Allah SWT. Saya tahu bahawa malam itu beliau sudah siap sedia kerana beliau mati dalam keadaan bersih sebersih-bersihnya. Kepalanya baru sahaja dicukur, tubuh badannya kelihatan segar kerana telah dibersihkan sebersih-bersihnya dan beliau telah dipakaikan jubah dan kain baru.
Selain dari keluarga beliau hanya kami bertiga sahaja yang hadir di saat kematian beliau itu. Tiada seorangpun yang tahu kematian beliau itu walaupun orang-orang Kampung Bikang itu sendiri.
Kedua bapa mertua beliau yang sudah lama menunggu di rumah beliau pada petang itu telah balik ke rumah mereka di Kampung Benuang. Anak-anak beliau yang tinggal jauh juga tidak berpeluang menyaksikan akhir hayat bapa mereka. Begitu juga tiada seorangpun jemaah daripada Lahad Datu yang merasai bahawa Tuan Guru mereka sudah wafat malam itu. Setelah diberitahu esoknya barulah mereka tahu.
Ini bererti Allah SWT tidak mahu YM Tuan Guru RA diganggu di saat dia kembali menghadapNya. Sebab itulah perkara ini kami rahsiakan agar malam itu sunyi tanpa ada gangguan dari manusia kerana banyak perkara yang tidak kelihatan oleh mata kepala (ghaib) telah berlaku pada malam itu.
Malam itu saya menyuruh Haji Salleh Mura menghubungi orang-orang tertentu sahaja yang tahu dan mahir dalam urusan jenazah seperti Khatib Halid dan Haji Pangeran Said yang mengetuai jemaah Semporna. Mereka sempat datang malam itu sebelum sembahyang Subuh. Kami dapat mengkhatamkan Al-Quran untuk YM Tuan Guru RA malam itu juga.
Pada paginya kami sudah sedia untuk menguruskan jenazah beliau. Urusan mayat telah diserahkan kepada saya oleh keluarga beliau. Mereka mahu supaya beliau dapat dikebumikan secepat mungkin dan jemaah diminta supaya menunggu sahaja di Masjid Kampung Bikang kerana sebelum ini mereka telah diberi peluang menziarahi beliau. Maka atas arahan keluarga beliau, kami pun mulailah menguruskan jenazah beliau. Upacara memandikan mayat YM Tuan Guru RA diketuai oleh Haji Pangeran Said dan dibantu oleh beberapa orang. Anak-anak dan menantu beliau juga turut hadir. Mereka memangku mayat beliau ketika beliau dimandikan. Kami dapati keadaan mayat beliau seperti orang masih hidup. Wajahnya kelihatan semakin bercahaya. Atas arahan keluarga beliau, orang ramai tidak lagi dibenarkan menziarahinya selepas mayat beliau dimandikan.
Azan beramai-ramai tidak putus-putus dilaungkan dari sejak mayat beliau dimandi, dikapan dan diturunkan dari rumahnya. Jenazah beliau diiringi oleh kereta merah yang di dalamnya terdapat empat orang bilal Masjid Bandar Lahad Datu yang dilantik oleh beliau sendiri. Maka berkumandanglah azan yang dilaungkan oleh mereka di sepanjang perjalanan yang bermula dari rumah beliau sampailah ke Masjid Kampung Bikang. Orang ramai berganti-ganti mengusung jenazah beliau ke Masjid Kampung Bikang untuk disembahyangkan.
Setelah selesai upacara menyembahyangkan YM Tuan Guru RA lalu upacara pengkebumian dilaksanakan. Di sebelah kubur isteri pertama beliau iaitu Puan Rahimah Bte Penghulu Mohd. Alam jasad YM Tuan Guru RA disemadikan. Maka setelah matahari tergelincir dari tegaknya iaitu kira-kira jam 12:15 minit tengah hari pada Hari Khamis 1 haribulan Rejab tahun 1411, bersamaan dengan 17 haribulan Januari tahun 1991, selesailah upacara pengkebumian YM Tuan Guru RA dengan selamatnya di Tanah Perkuburan Kampung Bikang, Lahad Datu.
Bersemadilah jasad YM Tuan Guru RA di Tanah Perkuburan Kampung Bikang bersama jasad isterinya yang tercinta buat selama-lamanya sehingga tiba Hari Kebangkitan kelak.
Moga-moga Allah SWT merahmati mereka berdua dan dengan berkat mereka berdua mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita umat manusia dari bahaya dunia dan akhirat di sepanjang zaman. Aminnn ...
Ketika anak perempuan YM Tuan Guru RA berada di dalam bilik beliau, dia seolah-olah mendengar satu suara berkata:
"Semua binatang dan makhluk lain menangis hari ini atas kematian Tuan Haji Ghulam Hassan.”
Kata isterinya ketika YM Tuan Guru RA bertambah tenat sakitnya, ia mendapati satu hari beliau menangis mengalirkan air mata. Isterinya lalu bertanya kenapa beliau menangis. Beliau berkata:
"Saya tidak menangis kerana sakit saya, akan tetapi saya menangis kerana saya kasihan kepada umat manusia. Saya melihat manusia sekarang berlumba-lumba mencari kekayaan, harta dan pangkat, memuaskan hawa nafsu mereka sehingga mereka lupa kepada Tuhan, lupa kepada mati. Mereka tidak sedar semua ini akan menjahanamkan mereka. Kasihan umat manusia sedangkan para alim Ulama dalam kegelapan.”
YM Tuan Guru RA menangis kerana kesempatannya untuk menasihati mereka telah berakhir kerana beliau sudah merasai bahawa tidak lama lagi dia akan meneruskan perjalanannya ke negeri Akhirat, tempat kekal abadi selama-lamanya.
Itulah isi kandungan hati YM Tuan Guru RA yang jarang manusia memahaminya. Ada yang benci kepadanya, ada yang menentangnya, bahkan ada yang menuduhnya sesat padahal beliau hanya mahu menyelamatkan mereka dari bahaya dunia dan akhirat.
Rugilah manusia di zaman YM Tuan Guru RA kerana mereka tidak kenal siapakah YM Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj Al-Ghaus, Al-Bikangi RA itu sebenarnya. Manusia sudah dalam kegelapan sehingga tidak nampak cahaya kebenaran, cahaya keWalian yang berada dalam diri beliau.
Para alim Ulama juga turut terhijab daripada cahaya kewalian ini, sehingga mereka tidak ada yang datang menimba ilmu kerohanian daripada YM Tuan Guru RA bahkan ada di antara mereka yang melarang orang ramai mendekati beliau agar tidak terpesong dari jalan yang sebenarnya. Pencinta kebenaran, para Salikin yang ingin menempuh jalan kembali kepada Tuhan mereka juga tidak ada yang datang menemui beliau.
Di manakah mereka semua ini?
Ah! Zaman sudah berlalu!!!
BAB 5
KELUARGA YANG MULIA TUAN GURU RA
Pada penghujung bulan Jun tahun 1943, Tuan Guru telah melangsungkan perkahwinan dengan sepupunya sendiri yang bernama Rahimah bte Panghulu Mohd Alam. Waktu itu gadis tersebut berumur tiga belas tahun dan merupakan anak perempuan disayangi oleh pakcik YM Tuan Guru, sementara ibunya adalah dari suku kaum Badjau. Jadi gadis tersebut berdarah campuran Pakistan dan Badjau.
Gadis tersebut elok wajah dan perawakannya ditambah pula dengan sifat-sifat mulia yang ada padanya. Dari sejak kecil lagi sifat mulia itu terbukti, di mana apabila menjumpai barang kepunyaan orang, dia akan segera mengembalikannya kepada yang empunya. Dia tidak suka keluar tanpa tujuan apalagi jika semata-mata untuk bersiar-siar di pekan sahaja. Pernah Tuan Guru mengajaknya pergi ke pekan untuk bersiar-siar tetapi dia menolak kerana lebih suka tinggal di rumah untuk membuat kerja-kerja rumah yang perlu.
Sungguhpun dia adalah seorang anak perempuan yang manja dan disayangi dalam keluarganya tetapi dia mempunyai kebolehan yang tersendiri. Dia berkebolehan dalam kerja-kerja mengurus rumahtangga, termasuk memasak dan menjahit hingga ramai surirumah yang lain tertarik dengan kerajinan dan ketekunannya dalam setiap perkerjaan.
Emaknya sendiri merujuk kepadanya tentang masakan. Begitu juga dengan jahitannya yang elok dan halus menyebabkan ramai orang datang menghantar pakaian kepadanya untuk dijahit, terutamanya ketika menjelang Hari Raya. Sifat semula jadinya yang pendiam dan pemalu, menyebabkan dia jarang bercakap walaupun dengan YM Tuan Guru sendiri kecuali perkara-perkara yang perlu dan penting untuk diucapkan. Itu pun hanya dua tiga patah sahaja yang diluahkan. Dia tidak pernah memulakan cerita atau perbualan bila berhadapan dengan suami atau dengan tamu wanita yang berkunjung ke rumahnya.
Dia lebih banyak mendengar dan mengangguk-angguk sahaja. Selama tujuh belas tahun hidup bersama beliau, dia tidak pernah ketawa tetapi tidak pula menunjukkan muka yang masam. Sebaliknya senyuman sentiasa mengukir bibirnya. Dia tidak pernah mengeluh atau bersungut walaupun penat atau sibuk mengurus rumahtangga dan mengasuh anaknya.
Sungguhpun kerja-kerja yang dilakukannya banyak, tetapi dia tidak pernah meminta bantuan dari suaminya, apalagi dari orang lain. Jika dapurnya kehabisan kayu api, dia akan mengangkat kayu api sendiri. Begitu juga jika kehabisan minyak makan dia akan mengumpulkan buah kelapa untuk diparut dan dibuat minyak. Malahan jika barang keperluan dapur telah habis pun dia tidak memberitahu Tuan Guru.
Pernah anak kecil mereka meminta roti sedangkan tepung telah habis. Oleh itu suaminya menyuruhnya meminjam sedikit tepung dari emak mertuanya. Belanja emak mertuanya sendiri diberikan oleh Tuan Guru. Tetapi isterinya menolak kerana malu walaupun pada emaknya sendiri. Dia bimbang orang lain akan mengata bahawa suaminya hanya tahu beribadat sahaja tetapi tidak dapat menyediakan belanja anak isteri. Jika Tuan Guru RA keluar dan menyendiri untuk beribadat di Bukit Madai, dia tinggal di rumah, mengasuh anak, menjaga harta dan kehormatan suaminya.
Setiap hari sebelum waktu subuh dia sudah bangun, mengangkat air untuk memenuhkan tempayan serta menyalakan api dapur. Kemudian membelah beberapa biji buah kelapa dan memotong isinya kecil-kecil untuk makanan ayam. Setiap pagi juga dia sempat menyediakan berbagai jenis kuih-muih untuk sarapan.
Walau berapa ramai orang sekalipun yang datang ke rumah mengunjungi Tuan Guru, dia akan menyediakan makanan dan minuman mereka seorang diri sahaja. Pernah berlaku suatu waktu ketika pertengkaran mengenai Masjid Bandar, di mana suatu malam seramai tujuh puluh orang datang menemul beliau di rumahnya. Oleh itu isterinya pun memasak dan menyediakan makanan untuk mereka. Akhirnya semua orang itu selesai makan malam pada pukul tiga pagi. Begitulah ketekunannya bekerja dan mengerjakan ibadat setiap hari. Apabila menjelang bulan puasa pula, dia akan bangun memasak dan menyediakan sahur untuk beliau tanpa dikejutkan.
Sifat baik dan kuat beribadat yang ada pada isteri Tuan Guru ini, ditambah pula dengan sifat yang tidak tamak pada harta benda dunia, merupakan ciri-ciri kemuliaan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya. Dia tidak pernah meminta sesuatu harta dari Tuan Guru. Malahan pakaiannya sendiri hanya sekadar yang ada antara dua atau tiga helai sahaja. Dia tidak suka berlebih-lebihan.
Sewaktu zaman pemerintahan Jepun dulu, masyarakat mengamalkan sistem tukar barang untuk mendapatkan barang lain. Suatu ketika, Tuan Guru RA telah menukarkan kopi dengan emas. Kemudian beliau pulang ke rumah dan memberikan emas itu pada isterinya. Dia mengesyorkan supaya suaminya menjual sahaja emas itu pada orang lain kerana katanya tidak baik menyimpan harta di rumah. Akhirnya Tuan Guru pun menjual emas tersebut. Kadang-kadang, bila beliau membeli tiga helai baju, isterinya akan menegurnya supaya tidak bersifat tamak. Selama bersama Tuan Guru RA, dia tidak pernah membelanjakan wang, walaupun wangnya sendiri.
Pernah suatu ketika dia sakit hendak melahirkan anak, dia mendirikan sembahyang subuh dan sempat pula membuat kerja-kerja seperti biasa dilakukannya setiap pagi. Sudah menjadi kebiasaannya tidak akan mengambil ubat apabila dia sakit. Sewaktu akhir hayatnya ketika sakitnya bertambah tenat, pernah ibunya memberinya ubat tetapi dia menyembunyikannya sahaja di bawah bantal. Setelah ibunya pulang, dia menyuruh anaknya membuang sahaja ubat itu.
Semua kata-katanya adalah seperti ucapan seorang wali Allah. Pernah dia berdoa pada Allah SWT, mudah-mudahan dia mati lebih dahulu dari suaminya kerana pada pendapatnya, jika suaminya mati dulu daripadanya, tiada lagi tempat berlindung kerana tidak ada lagi orang yang berpegang pada Al-Quran dan Sunnah Nabi. Dia juga meminta agar dapat menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan Tuan Guru sendiri dan disaksikannya kerana waktu itu suaminya selalu keluar untuk beribadat atau berdakwah. Dia memberitahu beliau bahawa dia tidak takut mati asalkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Akhirnya kesemua doanya dimakbulkan Tuhan, di mana akhirnya dia mati di hadapan beliau sendiri, pada kira-kira jam tiga pagi. Setelah batuk-batuk dan meludah ke lubang, Tuan Guru RA meletakkan kepala isterinya di tapak tangannya. Waktu itu isterinya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dan terus menghembuskan nafas terakhir.
Suatu ketika sebelum dia meninggal, dia pernah memberitahu beliau bahawa dia bermimpi melihat kebun yang dipenuhi oleh pohon yang rendang serta lebat buahnya. Di situ pula terdapat sebuah rumah dan seorang penjaganya. Dia pun bertanya siapakah pemilik rumah itu dan kebun itu. Dia diberitahu bahawa kebun tersebut adalah kepunyaannya sendiri. Waktu itu dia tidak terlihat beliau dan anak-anaknya di rumah itu. Beliaupun fahamlah bahawa Allah SWT telah memperlihatkan padanya syurga tempat dia kembali dan tanda bahawa ajalnya hampir tiba.
Sewaktu kematiannya, dia hanya ada tiga helai baju. Dia meninggal dunia pada tahun 1961 dan meninggalkan lima orang anak, dua orang putera dan tiga orang puteri.
Kemudian pada 15 November 1962 beliau pun berkahwin lagi dengan seorang gadis yang bernama Puan Salehah bte Haji Imam Hanafiah, dari Kampung Binuang, Lahad Datu. Sungguhpun tidak sama dengan isterinya yang dulu, tetapi yang ini juga baik. Walaupun telah ditinggalkan oleh beliau selama sebelas tahun ketika beliau dalam buangan di Pakistan, tetapi dia tetap tabah dan tidak pulang ke rumah orang tuanya semula. Selama sebelas tahun dia memakai pakaian bertampal sahaja. Beliau mempunyai anak seramai lapan orang dengan isterinya yang kedua ini iaitu empat orang putera dan empat orang puteri.
PENUTUP
Semoga kitab ini menjadi sumber inspirasi bagi orang-orang yang ingin kembali kepada Allah SWT dan yang berhasrat menegakkan kebenaran.
Kami sudahi riwayat YM Tuan Guru RA ini dengan doa beliau,
"YA ALLAH! TUHAN SEKELIAN ALAM, AMPUNILAH DOSA DAN KESALAHAN KAMI DAN KAMI MEMOHON PETUNJUK AKAN DIKAU AGAR SEMUA UMAT MANUSIA SELAMAT DAN DIJAUHKAN DARI SEGALA BAHAYA DUNIA DAN AKHIRAT.
YA ALLAH! YA TUHAN KAMI, ENGKAULAH YANG MENCIPTAKAN KAMI, MAKA BERILAH KAMI TAUFIK AGAR DAPAT BERBUAT KEBAJIKAN.
YA ALLAH! YA TUHAN KAMI, ORANG-ORANG KAFIR BERILAH MEREKA PETUNJUK AGAR MASUK AGAMA ISLAM, ORANG YANG SEMPIT REZEKI LUASKAN REZEKINYA, ORANG YANG SAKIT SIHATKANLAH, ORANG YANG DALAM KESUSAHAN SENANGKANLAH, ORANG YANG SESAT KEMBALIKANLAH KE JALAN YANG BENAR YANG ENGKAU REDHAI.
MUDAH-MUDAHAN SEMUA UMAT MANUSIA SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT.”
AAMINNN ...
28 November 1999