Friday, June 10, 2016

PENDAHULUAN KATA KITAB KERAMAT karangan YMTG Haji Abdul Rahim AlHassaniyyah

Pendahuluan kata dari kitab keramat YMTG RA yang dikarang oleh YMG Guru Abdul Rahim Al-Hassaniyah.




Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang telah menghias hati para kekasihNya dengan perhiasan Agama dan menerangi hati -hati mereka kerana sayang kepada mereka dengan cahaya iman, dengan semata-mata kurnia dan kemurahanNya. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Nabi Muhammad SAW yang telah diutus oleh Allah SWT sebagai rahmat bagi sekalian alam yang telah mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan, kesesatan dan syirik, kepada cahaya terang benderang iaitu cahaya Tauhid dan Iman. Begitu juga ke atas keluarga dan para Sahabatnya yang diibaratkan sebagai bintang-bintang di langit. Siapa yang mengikuti mereka akan mendapat hidayah dari Allah SWT.

Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana  telah diperkenankan untuk menyiapkan Buku Bahagian 2 tentang keramat YM Tuan Guru RA ini. Dengan pertolongan serta taufik dan hidayahNya sahajalah segala sesuatu itu dapat dilaksanakan.

Buku Manaqib Al-Kubra YM Tuan Guru Bahagian 1 telahpun selesai dan kini disusuli pula dengan Buku Bahagian 2 mengenai keramat YM Tuan Guru RA untuk melengkapi riwayat hidup YM Tuan Guru, sebagaimana yang telah dijanjikan. Dengan ini mudah-mudahan para pembaca dapat memahami siapa sebenarnya YM Tuan Guru Tuan Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj Al-Ghaus, Al-Bikangi RA.

Saya telah menumpukan masa, tenaga dan daya fikiran untuk menyelami rahsia YM Tuan Guru RA terutamanya tentang keistimewaan-keistimewaannya atau keramatnya sebagai seorang Wali Allah. Alhamdulillah hasil daripada pengorbanan itu, saya telah menyaksikan sendiri keramat itu berlaku pada diri YM Tuan Guru RA. Di samping pengalaman itu, saya juga dapat mengumpul beberapa keramat YM Tuan Guru RA dari beliau sendiri dan juga daripada pengikut-pengikut beliau yang bersama-sama berjuang di samping beliau  sejak 1950, dan daripada mereka yang bersama beliau sejak 1976. Saya sebutkan nama-nama mereka di sini supaya sesiapa yang ingin mengetahui maklumat lanjut bolehlah berjumpa dan bertanya sendiri kepada mereka.

Banyak lagi keramat beliau yang belum dikumpulkan kerana bagi saya memadailah sebahagian sahaja dibukukan untuk menilai siapa sebenarnya YM Tuan Guru RA ini. Maka semua keramat yang terkandung dalam buku ini adalah benar lagi sahih, yang telah disahkan kebenarannya oleh YM Tuan Guru RA sendiri semasa hayatnya.

Buku ini adalah mengenai keramat seorang Wali Allah. Maka sebelum kita mulai membaca isi kandungan buku ini eloklah kita memahami apa keramat itu sebenarnya, dan apakah tujuannya.
Pada umumnya perkara-perkara luarbiasa yang berlaku dengan izin dan keredhaan Allah SWT itu boleh dikategorikan kepada empat:
1. Mukjizat iaitu yang nyata pada sekalian Nabi yang mursal;
2. Irhas iaitu yang nyata pada sekalian Nabi ketika belum diangkat menjadi Rasul;
3. Keramat iaitu yang nyata pada Aulia Allah;
4. Ma'unah iaitu yang nyata pada orang Soleh.

Keramat adalah perkara yang menyalahi adat atau luarbiasa yang dikurniakan Allah SWT ke atas hamba-hambaNya yang beriman lagi bertaqwa, yang disebut di dalam Al-Quran sebagai Aulia Allah.

Di antara tujuan keramat yang terpenting ialah:

1. Untuk memantapkan keimanan serta keyakinan seorang Wali Allah yang sedang menuju ke tahap yang lebih tinggi lagi dalam makam kewalian yang juga disebut Wali kecil. Wali kecil masih lagi memerlukan bukti yang nyata berlaku di alam musyahadah ini untuk mengukuhkan keimanan serta keyakinan terhadap Allah SWT. Allah SWT memperlihatkan kebesaran-Nya di alam nyata ini kepada WaliNya agar iman dan keyakinannya bertambah teguh dan mantap.

Contohnya:
Satu hari ketika YM Tuan Guru RA beruzlah di Gua Madai, beliau telah jatuh sakit. Beliau teringin sekali makan buah yang masam. Dekat pintu gua itu ada sepohon langsat yang tidak berbuah. Tiba-tiba sahaja pandangan beliau beralih ke pohon langsat itu dan terlihat olehnya beberapa tangkai buah langsat.
Yang anehnya buah itu tumbuh pada ranting yang kering dan mati. Beliau berasa hairan, tiba-tiba terdengar oleh beliau seolah-olah berkata-kata dalam hatinya:

"Wahai hambaKu, kamu mahu buah itu tumbuh di ranting yang hidup tetapi Aku mahu ia tumbuh di ranting yang kering. Lihatlah kebesaranKu."

2. Sebagai bukti kebenaran yang nyata bahawa jalan agama yang dijalani oleh Wali Allah itu benar. Adalah mustahil bagi seseorang itu menjadi kekasih Allah SWT kalau jalan yang dilaluinya itu tidak benar atau sesat. Allah SWT tidak akan mengangkatnya sebagai kekasihNya kalau dia menderhakai Allah dan RasulNya. Apabila Allah SWT memilih hambaNya sebagai Wali, tentu Dia akan membimbingnya sehingga tidak sesat.
Orang-orang yang menyaksikan keramat Wali Allah itu akan menghormatinya. Dengan demikian orang yang telah mengingkari kebenaran Wali itu atau yang menentangnya akan insaf lalu mengakui kebenaran Wali itu. Orang-orang yang berdosa ketika menyaksikan keramat Wali itu akan menyesal dan bertaubat di hadapannya. Maka dengan demikian nama seorang Wali itu akan mashyur di merata tempat.

3. Sebagai bukti kebenaran Agama Islam yang dianuti oleh Wali Allah SWT. Dalam sejarah para Wali Allah, ramai orang kafir telah memeluk Agama Islam setelah menyaksikan keramat para Wali itu.

4. Sebagai rahmat kepada umat manusia. Dengan perkara -perkara luarbiasa yang Allah SWT kurniakan kepada WaliNya itu maka ramai orang akan memperolehi kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat.
Contohnya:Dengan keramat Wali Allah itu orang-orang yang berhajat akan tertunai hajatnya, orang yang dalam kesulitan akan terlepas dari kesusahannya, orang yang berpenyakit akan sembuh dari penyakitnya, orang yang sesat akan bertaubat dari kesesatannya dan bumi yang kering akan dihujani.

Itulah di antara tujuan keramat para Wali Allah itu.

Kemudian untuk mudah merujuk kepada keramat YM Tuan Guru maka buku ini telah dibahagikan kepada tiga bab:

Bab 1. Sifat-sifat YM Tuan Guru yang menjadi bukti keramat beliau.

Bab 2.  Pelbagai keramat yang lain.

Bab 3. Firasat, akibat orang-orang yang tidak mengikut nasihat YM Tuan Guru atau yang menentangnya, serta mimpi dan doa beliau sebagai penutup buku ini.

Maka dengan ini dipersembahkan kepada orang ramai buku Bahagian 2 mengenai keramat YM Tuan Guru ini dengan harapan mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita semuanya terutama bagi mereka yang ingin mendampingi diri kepada Allah SWT. Kepada Allah SWT sahajalah saya serahkan diri dalam segala urusan.

Akhirnya saya pohon kepada Allah SWT  agar semua umat manusia selamat dunia dan akhirat.

Aamiin.

Wassalam.

Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah,
Peti Surat 391,
Kampung Babussalam,
91308 Semporna, Sabah.
MALAYSIA.
Sya’ban 1420.


Wajah kulit Kitab Keramat YMTG



Peta Gua Madai yang terletak di Kunak diantara Semporna dan Lahad Datu, Sabah





Gua Madai tempat YMTG RA beruzlah terletak di daerah Kunnak Sabah