Sunday, June 19, 2016

TAKRIF DAN PENGENALAN KEPADA ILMU TASAWWUF



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MUQADDIMAH

Ketahuilah seluruh ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW itu dibahas dan dijelaskan dalam 3 jenis ilmu iaitu:

1. Ilmu Fekah.
2. Ilmu Usuluddin.
3. Ilmu Tasawwuf.

Pembahagian tiga jenis ilmu ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Al-Faruq RA dimana Jibril AS telah menjelma sebagai manusia lalu mendatangi Nabi SAW dan bertanya mengenai tiga perkara iaitu apakah Al-Islam, Al-Iman dan Al-Ihsan itu.

Daripada Al-Islam timbullah Ilmu Fekah untuk membahas rukun Al-Islam itu. Daripada Al-Iman timbullah Ilmu Usuluddin yang membahas rukun Al-iman itu. Manakala daripada Al-Ihsan itu timbullah Ilmu Tasawwuf untuk membahas apakah Al-Ihsan dan bagaimana mencapainya.

Ketiga-tiga jenis ilmu ini adalah wajib dipelajari oleh setiap orang Islam yang mukallaf kerana ketiga-tiganya merangkumi keseluruhan ajaran yang terdapat dalam Agama Islam.

Ilmu Fekah membahas syariat lahir Nabi SAW. Ilmu Usuluddin membahas itikad serta pegangan Nabi SAW yang telah menjadi pegangan Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah. Manakala Ilmu Tasawwuf membahas syariat bathin Nabi SAW. Di sini apa yang dibincangkan ialah Ilmu Tasawwuf.

Ketahuilah bahawa Ilmu Tasawwuf itu adalah merupakan ilmu yang terpenting kerana ia membahaskan persoalan mengenai perhubungan di antara hamba dengan Tuhannya.  Dalam masalah ini hati manusialah yang menjadi maudhu atau topik utama yang perlu dibahaskan terutama bagaimana kaifiat mensucikan hatinya dari segala penyakit jiwa dan segala bentuk syirik.

Pembersihan penyakit-penyakit hati (bathin) yang bersarang dalam hati susah dikesan melainkan setelah kita menyuluhinya dengan Ilmu Tasawwuf.

Sebenarnya ilmu Tasawwuf itu adalah merupakan ajaran Islam kerana ia bersumber daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam hadis yang mahsyur di mana Nabi SAW telah ditanya oleh Jibril AS tentang Al-Ihsan, Nabi SAW menjawab bahawa Al-Ihsan itu ialah:
  
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka (yakinlah) sesungguhnya bahawa Dia sentiasa melihat engkau.”

Hadis ini menunjukkan Al-Ihsan adalah menyangkut persoalan hati di mana peringkat pertama Al-Ihsan itu ialah seolah-olah melihat Tuhan iaitu melihat dengan mata hati yang disebut dalam ilmu Tasawwuf sebagai makam Musyahadah. Manakala peringkat kedua Al-Ihsan itu ialah meyakini dan merasai bahawa Allah sentiasa melihat kita yang disebut dalam ilmu Tasawwuf sebagai makam Muraqabah. Kedua-dua peringkat ini ada kaitan dengan hati.

Kebahagiaan seseorang di dunia dan akhirat adalah terletak kepada keadaan hatinya. Kalau hatinya baik bahagialah ia dan kalau hatinya kotor maka celakalah ia. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Asy-Syam 9 dan 10:
  
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ,-9 وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا 

“Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya.”

 
Sabda Nabi SAW:

إِنَّ فِى الجَسَدِ مُضْغَةً اِذَا صَلُحَتْ صَلُحَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وهِىَ اْلقَلْبُ.

“Di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah sekalian jasad itu. Ketahuilah iaitu ialah kalbu atau hati.”


Berdasarkan dalil-dalil di atas ia membuktikan bahawa hati itu memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan seseorang di dunia dan akhirat.

Maka justeru itu lahirlah ilmu Tasawwuf yang membahaskan persoalan hati ini. Maka sasaran ilmu Tasawwuf itu adalah untuk mencapai makam Al-Ihsan dalam rangka untuk  menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Konsep Tasawwuf dalam Islam mengandungi beberapa pendekatan yang bertujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Di antaranya ialah pendekatan yang menekankan kebersihan jiwa raga seluruhnya daripada segala bentuk kekotoran dan kesyirikan yang boleh memusnahkan ikatan tali dengan Allah SWT yang ditekankan dalam proses Takhalli. Dan pendekatan yang menumpukan perhatian kepada konsep keindahan akhlak dan budi pekerti yang luhur kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang ditekankan dalam proses Tahalli.

Maka definasi ilmu Tasawwuf itu sebagaimana terdapat dalam kitab Ar-Risalatul-Qusyairiah ialah merupakan ilmu yang  dengannya akan dapat dikenal hal ehwal penyucian jiwa serta pengheningan akhlak, beramal dengan anggota zahir dan batin untuk mencapai kebahagiaan yang abadi (cinta Ilahi).

Proses Tarbiyyah ini juga disebut sebagai jihad sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud“Kita kembali dari jihad kecil (melawan musuh) kepada jihad yang lebih besar. Apabila Nabi SAW ditanya: ‘Apakah jihad yang lebih besar itu’, Baginda menjawab bahawa jihad yang lebih besar itu ialah jihad melawan hawa nafsu.”


Allah SWT telah berjanji bahawa siapa sahaja yang bersungguh-sungguh menjalani proses pendidikan kerohanian iaitu bermujahadah di jalanNya nescaya Allah SWT akan bukakan jalan-jalan menuju kepadaNya hingga ia sampai kepadaNya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 69: 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

“Siapa yang berjuang di jalan Kami, nescaya Kami tunjuki mereka ke jalan Kami.” 

 Proses pendidikan itu ialah:

Attazkiah  – pembersihan jiwa.
Almujahadah  – melawan hawa nafsu.
Almuhasabah  – menghitung diri.
Almuaqabah  – mengajar diri.
Almuahadah  – berjanji akan melaksanakan perintah Allah.
Almuraqabah  – menyedari bahawa Allah SWT sentiasa melihat kita.

Ke enam-enam proses tarbiyah di atas sebaik-baiknya dilakukan semasa beruzlah (mengasingkan diri) samada di dalam masjid yang disebut sebagai iktikaf atau di tempat-tempat yang sunyi seperti di gua, di padang pasir atau di hutan belantara. Perbuatan ini telah dilakukan oleh Nabi SAW sebelum Baginda diutus menjadi  Rasul. Nabi SAW sentiasa berulang-alik mengasingkan diri (berkhalwat) di gua Hira  di Jabal Nur sehinggalah Baginda SAW diangkat sebagai Rasul, utusan Allah kepada seluruh umat manusia di akhir zaman ini.

Proses ini bertujuan untuk mencapai hakikat Tarbiyyah dan Tarqiyyah.

Makna Tarbiyyah itu ialah asuhan jiwa yang terkandung dalam dua sistem pembersihan iaitu Attakhliyyah (membersihkan hati dari segala sifat mazmumah-tercela) dan Attahliyyah (menghiasi diri dengan segala sifat mahmudah-terpuji).

Manakala Tarqiyyah pula bermaksud meningkatkan berbagai-bagai maqam hati atau rohani supaya hampir kepada Allah SWT. Makam pertama ialah makam taubat. Kemudian meningkat ke makam harap dan takut kemudian ke makam zuhud kemudian ke makam sabar kemudian ke makam syukur kemudian ke makam ikhlas kemudian ke makam tawakal kemudian ke makam mahabbah (cinta) kemudian ke makam redha dan akhirnya ke makam makrifatullah.

Tujuan dari Attarbiyyah dan Attarqiyyah itu ialah supaya seseorang itu dapat mencapai Tazkiyatun-nafs (suci hati dari berbagai-bagai sifat tercela dan terhias dengan sifat-sifat terpuji) dan Tasfiyyatun-nafs (suci hati dari unsur-unsur syirik yang jali dan khafi).

Apabila segala proses ini dapat dilaksanakan dengan sempurna ia akan membawa seorang itu ke maqam Muraqabah iaitu sentiasa merasa diawasi Allah SWT dan akhirnya makam Musyahadah iaitu melihat Allah SWT dengan mata hati. Kedua-dua makam ini ialah yang dikatakan makam Al-Ihsan yang disebut dalam Hadis Nabi SAW itu.  Inilah hakikat Tasawwuf.

Sebagai langkah pertama, hendaklah kita terlebih dahulu membersihkan hati kita dari segala sifat-sifat tercela yang menjadi penyakit dan kotoran bagi hati.  Kita tidak akan berjaya membersihkan hati dari segala penyakit rohani mengikut kaifiat yang diterangkan dalam Ilmu Thariqat dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji dan bersihkan diri dari segala bentuk syirik, kalau kita tidak mengenal terlebih dahulu sifat-sifat terpuji dan tercela.

Sebagai titik permulaan, dalam perjalanan kerohanian kembali kepada Allah SWT, marilah kita tumpukan perbahasan kita ini kepada mengenal sifat-sifat yang terpuji agar kita boleh berusaha, berdasarkan kaedah Thariqat, untuk membuang sifat-sifat yang tercela dari hati kita melalui proses Takhalli dan seterusnya dihiasi dengan sifat-sifat yang terpuji melalui proses Tahalli.

Kitab ini adalah pendahuluan bagi kitabالطريق الى الله    (At-ThariqilAllah). Siapa ingin menempuh jalan kembali kepada Allah SWT hendaklah membaca kitab tersebut.

PEMBERSIHAN DAN PENSUCIAN ZAHIR BATIN

Ketahuilah bahawa kaedah pembersihan itu ada empat (4) tahap atau peringkat iaitu:

1.   Membersihkan anggota zahir dari najis dan hadas.
2.  Membersihkan anggota zahir dari dosa-dosa yang zahir seperti    mencuri, menipu, makan riba dan sebagainya.
3.  Membersihkan hati dari dosa-dosa yang bathin seperti ujub, riya’   dan sombong.
4. Membersihkan hati dari selain daripada Allah SWT, inilah  pembersihan para wali Allah RA.

Adapun bahan-bahan yang digunakan untuk bersuci itu ada empat (4):

1.   Air
2.  Tanah
3.  Cahaya
4.  Api

Air dan tanah digunakan untuk mensuci najis dan mengangkat hadas.  Manakala cahaya yang terbit daripada segala bentuk amalan kebaikan digunakan untuk mensuci najis berupa dosa bathin yang menyebabkan hati kotor dan gelap.  Sedangkan api pula digunakan untuk mensucikan dosa di Negeri Akhirat kelak agar layak memasuki Syurga Allah.


PENSUCIAN HATI

Ada dua (2) cara untuk mensucikan hati:

1. Mensucikan hati menerusi usaha dan ikhtiar
2. Mensucikan hati menerusi kasih sayang Allah SWT

Mensucikan Hati Menerusi Usaha dan Ikhtiar

Pensucian hati menerusi usaha dan ikhtiar dapat dilakukan dengan:

1. Taubat
2. Zikir kepada Allah (Zikrullah)
3. Membaca Al-Quran
4. Ingat akan Mati (Zikrulmaut)
5. Selawat atas Nabi SAW
6. Sembahyang
7. Puasa
8. Sedekah

Mensucikan Hati Menerusi Kasih Sayang Allah SWT

Mensucikan hati menerusi kasih sayang Allah SWT dengan:

1. Penyakit
2. Kesusahan
3. Kesedihan
4. Kesakitan yang dialami

Hal ini diterangkan dalam bab sabar.


untuk mengetahui lebih mendalam kitab ini, boleh dapatkan Kitab Tasawwuf dengan menghubungi kami di AnNisa Team.