Saturday, June 11, 2016

PEMBUKAAN Kitab Keramat YMTG RA yang dikarang YMTG Haji Abdul Rahim Al Hassaniyyah

Pembukaan 


Siapakah Sebenarnya Yang Mulia Tuan Guru Tuan Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj Al-Ghaus, Al-Bikangi RA itu?  

Saya tidak berkata bahawa YM Tuan Guru RA itu seorang Wali Allah yang mempunyai martabat yang tinggi disebabkan hanya kenyataan orang lain atau dengan peristiwa-peristiwa luarbiasa yang berlaku ke atas beliau. Tetapi saya berkata bahawa YM Tuan Guru RA seorang Wali Allah yang mempunyai makam yang tinggi di sisi Allah SWT berdasarkan tiga perkara yang berlaku keatas saya:-  

1. Pada tahun 1978, iaitu kali pertama saya berjumpa dengan YM Tuan Guru RA setelah beliau balik dari Pakistan. Ketika itu saya telah bersembahyang fardhu Zohor berjemaah di Masjid Lama Bandar Lahad Datu. Tiba-tiba selepas kami selesai menunaikan sembahyang datanglah YM Tuan Guru RA bersama kawannya singgah di masjid untuk menunaikan fardhu Zohor.    

Maka ketika saya mencium tangan YM Tuan Guru RA beliau lalu menyebut nama saya sedangkan saya belum pernah berjumpa dengan beliau dan beliau pun tidak tahu siapa nama saya.   

Maka yakinlah saya bahawa YM Tuan Guru RA adalah seorang Wali Allah, kerana hanya seorang Wali Allah sahaja yang mengetahui rahsia nama orang yang belum dikenali seperti yang berlaku ke atas Saidi Ibrahim Al-Khawas RA. 

Satu ketika Saidi Ibrahim Al-Khawas RA telah melintasi sebuah hutan. Tiba-tiba di hutan itu beliau terjumpa seorang pemuda yang belum lagi tumbuh janggutnya. Beliau lalu memberi salam kepada pemuda tersebut.   

Pemuda itu menjawab, “Selamat sejahtera atas engkau wahai Ibrahim.” Lalu Saidi Ibrahim Al-Khawas RA bertanya, “Bagaimana tuan tahu namaku padahal belum pernah kita berjumpa?” 
Pemuda itu menjawab, “Wahai Ibrahim, kalau seseorang telah kenal Allah SWT tiada lagi ghaib baginya. Tiada lagi rahsia. Semua baginya adalah jelas.”   

Ini bererti tiada lagi rahsia bagi Wali Allah SWT. Mereka akan tahu nama orang yang belum mereka jumpa dan kenal.  

2. Pada tahun 1980, saya mengunjungi YM Tuan Guru RA di kediamannya di Kampung Bikang. Saya telah bermalam di rumah beliau. Pada esok paginya saya ingin bertanya kepada YM Tuan Guru RA tentang amalan zikir dalam Thariqat beliau. Sebelum dapat berkata-kata, YM Tuan Guru RA terlebih dahulu telah membaca isi kandungan hati saya.   

Beliau lalu berkata, “Tuan akan dapat apa yang tuan citacitakan tetapi tunggu masanya.” 
  
Ini bererti YM Tuan Guru RA adalah seorang Wali Allah kerana hanya seorang Wali Allah sahaja yang dapat membaca hati manusia.  

3.  Pada 10 Januari 1984, semasa Yang Mulia Tuan Guru RA menghantar kami ke surau Kampung Bulus, Lahad Datu untuk beriktikaf, beliau berkata kepada saya: "Peguam ada minta sama Tuhan supaya dapat ujian seperti saya tentang masjid Bandar Lahad Datu. Doa peguam telah Tuhan makbulkan.” Saya berasa hairan. Ini adalah kerana saya tidak pernah memberitahu kepada YM Tuan Guru RA tentang permintaan saya itu. Bagaimana beliau mengetahui tentang doa saya dan bagaimana pula Yang Mulia Tuan Guru RA tahu bahawa doa saya telah dimakbulkan Tuhan?  
Kesimpulannya, ini menunjukkan bahawa Yang Mulia Tuan Guru RA merupakan seorang Wali Allah yang mempunyai makamnya yang sangat tinggi di sisi Allah SWT, kerana hanyasanya Wali yang mempunyai makam yang sedemikian dapat mengetahui tentang perkara ghaib.   
Kata Yang Mulia Guru RA itu benar-benar menjadi kenyataan. Selepas 10 tahun iaitu pada awal tahun 1994, saya berserta khatib-khatib dan bilal-bilal lantikan Yang Mulia Tuan Guru RA telah diberhentikan dari bertugas di masjid Bandar Lahad Datu. Kami juga tidak dibenarkan masuk ke masjid Bandar Lahad Datu selama-lamanya.   
InsyAllah kami akan kembali bertugas di masjid Bandar Lahad Datu, suatu hari nanti sebagaimana halnya dengan Yang Mulia Tuan Guru RA. Beliau telah dihalau ke Pakistan kerana mempertahankan masjid Bandar Lahad Datu, akan tetapi beliau akhirnya dapat kembali juga.  

Maka dengan tiga (3) dalil di atas yakinlah saya bahawa YM Tuan Guru RA adalah seorang Wali Allah yang agung. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mendekati YM Tuan Guru RA untuk menyelami rahsia kewaliannya. Untuk tujuan tersebut pada tahun 1982, saya pun berhenti bekerja.  

Saya tahu bahawa sesetengah Wali Allah mempunyai perjalanannya sendiri yang telah menyampaikannya kepada Allah SWT. Setiap perkataan, perbuatan dan gerak-geri YM Tuan Guru RA saya teliti.  Untuk itu saya sentiasa mengunjungi beliau di kediamannya di Kampung Bikang, Lahad Datu. Dalam setiap perjalanan beliau saya selalu berada di sisinya. Maka untuk mengenali YM Tuan Guru RA dengan lebih dekat lagi saya meminta izin dari beliau untuk tinggal di sebuah rumah kosong kepunyaan menantunya yang berdekatan dengan rumah beliau.
   
Alhamdulillah, YM Tuan Guru RA merestui permintaan itu. Maka kami sekeluarga pun menetap di rumah itu selama satu tahun.  

Hasil daripada pergaulan serta pendekatan kepada YM Tuan Guru RA itu, maka saya membuat kesimpulan bahawa YM Tuan Guru RA itu adalah seorang Wali Allah yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah SWT serta disayangi oleh Nabi SAW. Selain tiga yang di atas ada tujuh alasan lagi yang menyebabkan saya berkata demikian:   

1. Sejak kecil lagi YM Tuan Guru RA telah mendapat pimpinan, taufik serta hidayah dari Allah SWT sehingga beliau jelas kelihatan berbeza sekali dengan budak-budak sebaya dengannya samada dari segi ibadat mahupun akhlak. Diri beliau sentiasa dihiasi oleh berbagai-bagai ibadat serta akhlak yang mulia. Beliau telah berpuasa selama 30 tahun berturutturut dan melakukan uzlah atau pengasingan diri dari masyarakat umum di masjid-masjid terpencil, gua-gua, hutan rimba dan padang pasir selama 12 tahun.  

Keistimewaan ini jarang diperolehi kecuali seorang Wali yang besar pangkatnya di sisi Allah SWT. 
  
2. YM Tuan Guru RA telah bermimpi satu malam. Dalam mimpi itu YM Tuan Guru RA telah dipersilakan naik ke atas puncak gunung untuk membaca Al-Quran dan memberi nasihat kepada orang ramai yang berada di bawah kaki gunung itu. Dengan itu beliau yakin bahawa beliau telah diwakilkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan kebenaran kepada seluruh umat manusia. 

Pada tahun 1950, ketika beliau menziarahi makam Nabi SAW, Baginda keluar dari makamnya lalu memberi beliau sebuah AlQuran. Tentang ini YM Tuan Guru RA menceritakan:  

“Satu ketika dalam tahun 1950, saya telah menghantar orang naik haji. Saya berasa sedih hati kerana teringin hendak menunaikan fardhu haji. Pada malamnya selepas sembahyang Isyak saya tidak terus balik ke rumah tetapi saya berfikir bagaimana hendak naik haji. Saya tidak ada wang ketika itu. Saya pun terfikir hendak pinjam wang dari kawan-kawan saya yang kaya. Saya terfikir lagi, tidak baik meminjam wang bimbang nanti tidak terbayar.   

Lalu saya berkata kepada Allah SWT:  

‘Ya Allah! Kesemua manusia di muka bumi in adalah ciptaanMu. Semua manusia datang dari perut ibu tanpa pakaian, wang dan pangkat. Engkau juga yang memberikan semuanya. Ya Allah! Saya mahu ziarah Baitullah dan Makam Nabi SAW. Hantarkanlah saya ke sana.’  

Sedang saya berfikir-fikir, tiba-tiba saya tertidur lalu bermimpi. Dalam mimpi itu, saya berjumpa empat orang ahli ibadat lalu saya teringat pesan Nabi SAW,   

‘Apabila berjumpa dengan orang ibadat, mintalah dia mendoakan kamu.’   

Saya pun meminta mereka mendoakan saya agar saya dapat naik haji.  Salah seorang di antara mereka lalu bertanya, ‘Mahu naik haji?’  Saya jawab, ‘Ya.’   

Orang itu tidak berdoa tetapi membawa saya ke satu tempat. Apabila ia sampai ke tempat itu, saya pun disuruh mengambil wudhu dari mata air. Setelah saya berwudhu, orang itu pun bertanya, ‘Kau tahu air ini?’  Saya menjawab bahawa saya tidak tahu, lalu ia memberitahu saya bahawa itulah air ZamZam.   

Rupa-rupanya saya sudah sampai di Mekkah. Kami pun mengerjakan sembahyang. Di antara empat orang itu, seorang sahaja yang bercakap dan dialah yang jadi imam. selepas sembahyang dia pun bertanya kalau saya mahu ke Madinah.  Kata saya, ‘Ya.’  Kami pun berangkat.
   
Apabila telah sampai ke Madinah, saya dibawa menziarahi makam Nabi SAW. Saya berdiri tidak betul di hadapan makam Nabi SAW lalu orang itu memperbetulkan saya. Kemudian saya keluar mencari kitab-kitab.
   
Tiba-tiba keluar seseorang dari makam itu lalu memberikan saya Al-Quran dengan katanya, ‘Jangan cari kitab-kitab lain, tetapi cukuplah Al-Quran sahaja yang kau bawa dari sini.’  Rupa-rupanya itulah Nabi SAW. Kemudian seorang ahli ibadat pula memberikan saya dua ratus riyal.  

Keesokan harinya saya memberitahu isteri saya bahawa saya akan naik haji. Isteri saya berasa hairan kerana di rumah hanya ada $30.00. Tidak lama kemudian kerajaan menyuruh saya naik haji. Paspot dan perbelanjaan saya mereka telah atur. Maka dengan itu saya pun bertolaklah ke Mekkah. Setelah sampai ke Jeddah, ada orang dari Madinah memberikan saya dua ratus rial.  Dari Madinah saya  juga dapat sebuah Al-Quran sebagaimana yang saya mimpikan.”  

“Janganlah cari kitab lain tetapi bawalah manusia kembali kepada Allah SWT berpandukan Al-Quran”.  

Inilah kata-kata Rasulullah SAW kepada YMTG RA tatkala menyerahkan kitab Al-Quran kepada beliau.  

Saya telah meminta izin dari YM Tuan Guru RA  untuk melihat Al-Quran itu. Alhamdulillah, beliau memperkenankan permintaan itu. Saya pegang Al-Quran itu, membaca beberapa ayat darinya kemudian saya menciumnya sebagai mengambil berkat dari bekas tangan YM Nabi SAW itu. 

Hanya Wali yang mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT sahajalah yang mendapat keistimewaan ini dan seterusnya mendapat tauliah atau ijazah dari Nabi SAW untuk mengajak umat manusia kembali kepada Allah SWT dengan berpandukan keseluruhan Al-Quran bukan hanya sekadar kumpulan zikir atau beberapa wirid seperti yang berlaku ke atas Wali-wali yang lain yang penerimaannya secara jaga (yaqazah).  

Dengan ini saya yakin bahawa YM Tuan Guru RA  adalah penegak kebenaran yang mendapat restu dari Nabi SAW di zaman ini. Sebelum YM Tuan Guru RA wafat beliau telah mengirim beberapa risalah ke seluruh dunia menasihati ketuaketua negara serta orang ramai agar bertaubat dari segala kesalahan dan kembali kepada Agama Islam, agama yang benar di sisi Allah SWT, kembali mentaati Allah SWT dan RasulNya SAW. Risalah-risalah ini adalah sebagai ganti diri YM Tuan Guru RA kerana beliau tidak lagi mampu mengelilingi dunia kerana sangat uzur.  

Saya yakin ajaran YM Tuan Guru RA suatu masa nanti akan menjadi amalan orang ramai di setiap rantau dia sampai.   

3. Di kediaman YM Tuan Guru RA ada sebuah bilik khas dihiasi oleh permaidani merah. Pintu bilik ini sentiasa tertutup. Tiada seorang pun dibenarkan masuk ke dalamnya. YM Tuan Guru RA juga tidak menggunakannya sebagai tempat sembahyang. Bilik ini penuh dengan rahsia yang tidak diketahui oleh orang ramai.  Apakah rahsia bilik ini? 

YM Tuan Guru RA menggunakan bilik ini sebagai tempat bermesyuarat para Wali Allah yang datang dari pelbagai tempat di seluruh dunia.  

Mesyuarat ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Tetapi anak-anak beliau pernah melihat seorang lelaki tampan yang mereka tidak kenali berada di ruang tamu. Apabila mereka memberitahu YM Tuan Guru RA, beliau menjawab bahawa orang-orang itu ingin berjumpa dengannya. Ketika YM Tuan Guru RA wafat ramai para Wali Allah datang menziarahinya buat kali terakhir di dunia yang fana ini. Hanya Wali yang besar pangkatnya di sisi Allah SWT sahaja yang boleh mengendalikan mesyuarat para Wali Allah serta dikunjungi mereka ketika wafatnya. 
  
4. YM Tuan Guru RA disayangi oleh Nabi SAW. Beliau kerap kali berjumpa dengan Nabi SAW. Dalam mimpi-mimpinya itu beliau menghadapkan segala kemusykilannya kepada Nabi SAW.  

Bahkan kadang-kadang YM Tuan Guru RA berjumpa secara jaga untuk tujuan tertentu seperti yang berlaku pada tahun 1950, di mana beliau menerima Al-Quran daripada tangan Nabi SAW sendiri.
  
Di antaranya juga seperti yang diceritakan oleh isteri Haji Usman Suing, Puan Hajjah Zainab. Katanya:  

“Suami saya sering berdampingan dengan YM Tuan Guru RA.  Pada suatu hari dia menceritakan kepada saya suatu cerita yang disuruh rahsiakan dari pengetahuan orang lain. Menurutnya YM Tuan Guru RA baru sahaja berjumpa (yaqazah) dengan Nabi Muhammad SAW di Madinah. Pada masa itu Baginda SAW sedang duduk di atas sebuah kerusi. Setelah selesai perjumpaan itu YM Tuan Guru RA telah bersalaman dan mencium tangan Rasulullah SAW. Setelah 3 hari beliau balik, tangan YM Tuan Guru RA masih lagi berbau harum. YM Tuan Guru RA menceritakan kisah ini pada suami saya dan menyuruhnya mencium tangan beliau untuk mengambil berkat Nabi SAW. Suami saya berkata bau wangi tangan YM Tuan Guru RA begitu harum dan menusuk kalbu.”   

Pernah satu hari beliau memberitahu anak-anaknya bahawa dia baru sahaja kembali dari Kota Suci Madinah. Kata beliau kalaulah kerana tidak sayangkan umat Islam, beliau tidak akan kembali ke Kampung Bikang tetapi akan menetap di Kota Suci itu, berjiran dangan Nabi SAW. Tetapi semuanya ini YM Tuan Guru RA rahsiakan dari pengetahuan orang ramai yang tidak dapat memahami hakikatnya, takut akan menjadi fitnah.  

Saya nyatakan rahsia ini kepada orang ramai untuk membuktikan siapa YM Tuan Guru RA sebenarnya.  

Tidak ada kemustahilan atau kesesatan dalam perkara ini kerana Wali-wali dahulukala telah berjumpa dengan Nabi SAW secara jaga seperti yang berlaku ke atas Sultan Arifinbillah Saidi Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani RA, Syeikh Ahmad Ar-Rifani RA, Syeikh Abul Hassan Al-Khirqani RA dan ramai lagi. Ini adalah semata-mata kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada mereka kerana mereka telah mencintai Allah SWT dan RasulNya SAW dengan jiwa dan raga mereka.   

5. Sepanjang pergaulan dengan YM Tuan Guru RA saya dapati pada diri beliau itu sifat-sifat terpuji, sifat-sifat mulia yang tersebut di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang diterangkan dengan cara terperinci di dalam kitab-kitab Tasawwuf.  

Sifat utama bagi para Wali Allah itu ialah mereka adalah orang -orang yang beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka sangat berpegang teguh dengan hukum-hukum Allah SWT serta mencontohi Nabi SAW dalam segala hal. Para Wali Allah tidak berasa susah hati terhadap hal-hal keduniaan kerana hati mereka telah kosong daripadanya.  

Mereka yakin sesungguhnya dengan perjanjian Allah SWT dan RasulNya SAW. Mereka tidak berganjak dalam menegakkan kebenaran walaupun berhadapan dengan pemerintah dan mereka tetap membanteras kezaliman. Mereka berasa belas kasihan bukan sahaja terhadap setiap Muslim bahkan kepada seluruh umat manusia. Biarlah jiwa mereka berasa sengsara asalkan manusia selamat dari bahaya dunia dan akhirat. Sebab itulah orang-orang yang tidak ikut nasihat atau menentang mereka akan sial dunia dan akhirat.  

Penglihatan mereka itu tepat kerana mereka melihat dengan pancaran cahaya ketuhanan bukan dengan pancaran cahaya matahari. Sebab itulah apabila mereka berkata perkara itu baik, maka baiklah di sisi Allah SWT dan apabila mereka berkata perkara itu jahat, maka jahatlah di sisi Allah SWT. Dengan kurnia Allah SWT mereka dapat membaca hati manusia dan mengetahui samada orang itu jahat atau baik. Bahkan mereka tahu dosa yang dilakukan oleh setiap orang yang berhadapan dengan mereka.   

Bagi mereka tiada lagi ghaib. Semuanya terang-benderang. Mereka bergerak dengan pantas dari satu tempat ke satu tempat. Mereka tidak lagi memerlukan masa dan jarak.   Tidaklah dijadikan oleh Allah SWT WaliNya kecuali atas sifat murah hati dan budi pekerti yang baik. Hati mereka bersih dari syirik dan buruk sangka terhadap orang Islam. Mereka pemalu. Tidak mahu bercakap yang tidak senonoh atau siasia. Mereka sangat merendah diri di hadapan orang ramai. Allah SWT menyimpan di lidah mereka “syifah” atau penawar sehingga penyakit yang tidak dapat diubati doktor, mereka dapat sembuhkan. Bahkan mereka dapat mengubati penyakit batin.  Ini yang terpenting.  

Mereka dikasihi oleh para makhluk di langit dan di bumi. Apabila mereka meminta, Allah SWT akan kabulkan, dan apabila minta perlindungan, Allah SWT akan melindungi mereka. Siapa yang memusuhi mereka, Allah SWT isytiharkan perang ke atas mereka.  

Semua sifat-sifat yang tersebut itu terdapat pada diri YM Tuan Guru RA.   

6. YM Tuan Guru RA berada di tengah-tengah masyarakat dalam usahanya membimbing mereka ke jalan yang benar.   

Selepas tamat melakukan beberapa tahun pengasingan diri dari masyarakat umum dengan cara beriktikaf, berkhalwat atau beruzlah di tempat-tempat yang sunyi lagi terpencil, maka Allah SWT akhirnya menempatkan beliau hidup di tengah-tengah masyarakat umum untuk membimbing mereka ke jalan yang benar.  

YM Tuan Guru RA tidak lagi dapat dipengaruhi oleh orang ramai bahkan beliaulah yang mempengaruhi mereka. Jasad beliau bersama manusia tetapi hatinya sentiasa bersama Allah SWT. Beliau berkhalwat dalam keramaian. Makhluk tidak dapat lagi menghijabkan beliau dari Allah SWT.  
YM Tuan Guru RA ibarat seorang yang masuk ke dalam kegelapan dengan membawa cahaya terang sehingga hilanglah kegelapan itu.  YM Tuan Guru RA berjuang menegakkan kebenaran di tengah-tengah masyarakat tanpa segan dan takut kepada sesiapapun. Beliau selalu berkata: 

“Demi mempertahankan kebenaran Agama Islam saya berani berhadapan dengan seluruh kerajaan di dunia ini. Saya seorang diri di sebelah, mereka semua di sebelah. Pasti saya akan lawan.”  

Inilah sifat seorang Wali Allah yang menjadi pewaris risalah Nabi SAW.  

7.  YM Tuan Guru RA pernah memberitahu saya bahawa Allah SWT telah menyerahkan Negara Malaysia untuk ditadbir khususnya dan amnya seluruh dunia. Sebab itulah beliau berani mengutus beberapa risalah ke seluruh dunia tanpa dapat dihalang oleh sesiapapun.  

Itulah bukti-bukti bagi saya mengatakan YM Tuan Guru RA adalah seorang Wali Allah yang agung sangat tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.  Bahkan ia adalah Mujadid pada kurun  ini sepertimana yang saya nyatakan dalam kitab “RIWAYAT HIDUP (MANAQIB AL KUBRA) YANG MULIA TUAN GURU TUAN HAJI GHULAM HASSAN ALI AKBAR AL-HAJ ALGHAUS, AL-BIKANGI RA” dan “AJARAN DAN AMALAN YANG MULIA TUAN GURU TUAN HAJI GHULAM HASSAN ALI AKBAR AL-HAJ AL-GHAUS, AL-BIKANGI RA.”  

Itulah pandangan saya terhadap YM Tuan Guru RA sepanjang pengetahuan saya.  

Sekarang tibalah giliran anda pula membuat penilaian sendiri siapa sebenarnya YM Tuan Guru RA itu dengan membaca keramat-keramat beliau yang seterusnya.  



YMTG Haji Abdul Rahim AlHassaniyyah menjunjung AlQuran anugerah Rasulullah SAW kepada YMGA RA secara "yaqazah" ketika ziarah YMTG ke Makam Rasulullah SAW di Masjidil Nabawi, Medina