Thursday, February 28, 2019

Sempena Memperingati hari haul YMTG RA ke 29_1 Rejab 1440🌹

Siapakah Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al Haj Al-Khatamul Muhamadiyyah Al-Bikangi RA (1411-1440)?

Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al Haj Al-Khatamul Muhamadiyyah Al-Bikangi RA dilahirkan pada tahun 1920 disebuah desa dibahagian Barat Pakistan yang dikenali dengan nama Dara Hazarah. Sejak berumur 7 tahun beliau mulai berpuasa setiap hari kecuali hari-hari yang tidak boleh berpuasa sehingga selama 30 tahun lamanya. Beliau sentiasa sembahyang berjemaah di masjid walaupun ada ketika jatuh sakit. Kegemaran beliau ialah berzikir dan membaca Al-Quran. Mulai beriktikaf pada umur 8 tahun. Tidak biasa bermain dengan kawan-kawan sebayanya. Beliau suka duduk sendirian di tepi Sungai bertafakur mengingati tentang kebesaran ALLAH SWT. Setiap hari membaca Al-Quran mulai waktu subuh dan akan khatam selepas waktu Ishak. Beliau gemar beriktikaf/beruzlah di tempat-tempat sunyi jauh dari orang ramai seperti di gua-gua, hutan dan padang pasir. Apabila beliau berhijrah ke bumi Sabah pada tahun 1938 di Lahad Datu, beliau meneruskan iktikaf/uzlah beliau dan Gua Madai, Lahad Datu, Sabah merupakan salah satu tempat yang pernah beliau beriktikaf.

Sepanjang hidup YMTG RA selain beliau berdakwah didalam negara, beliau juga berdakwah di luar negara termasuk Filipina, Singapura, Indonesia dan Pakistan. Dimana sahaja beliau hadir, maka berduyun-duyun manusia tidak kira apa bangsa dan fahaman agama datang menemui beliau untuk mendapatkan nasihat dan mengubati penyakit. Dengan izin ALLAH SWT semua penyakit dan masalah dapat diatasi. Pelbagai penyakit yang pelik-pelik dan masalah yang rumit dan sukar telah dapat diatasi. Semuanya dari kehendak ALLAH SWT. Sebagai kekasih ALLAH SWT semua permintaan beliau telah Tuhan makbulkan.

Sepanjang hayat beliau, YMTG RA menyampaikan dakwah kebenaran agama islam dengan cara aman dan penuh dengan kasih sayang.

YMTG RA wafat pada 1 Rejab 1411 (16 Januari 1991) ketika berumur 71 tahun dan dimakamkan di Kg Bikang meninggalkan pusaka yang sangat bernilai iaitu ajaran-ajaran dan amalan-amalanbeliau yang akan menjadi warisan sehingga ke hari kiamat. Semua ajaran dan amalan ini bagaikan cahaya yang menyelinap keseluruh setiap hati-hati insan yang mengamalkannya bahkan ke seluruh alam ini. Semua ajaran & amalan YMTG RA adalah bersumber dari fahaman Ahlul Sunnah Waljamaah yang tentunya berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang berasaskan kasih sayang. Begitulah juga dengan keperibadian YMTG RA dimana beliau memiliki sifat Ithaar iaitu mengutamakan keselamatan atau kepentingan orang lain daripada diri sendiri. Hayat beliau diwarnai dengan sifat terpuji ini.