Monday, November 14, 2022

Menjelang PRU15 _ Budaya & Tabiat BERPOLITIK oleh Yg Bhg Dr Hadi Hasan

Inilah realiti yang diakui oleh semua orang di serata dunia. Semua orang maklum ianya sudah semacam menjadi budaya dan tabiat bagi mereka yang bergelar ahli politik. Dan bagi rakyat pula ianya sudah menjadi semacam kebiasaan dan bukan perkara pelik atau nista kalau ada ahli politik berkelakuan dan melakukan demikian. Buktinya rakyat masih menyokong, mengempen hatta mengundi untuk menaikkan pemimpin sedemikian. Kenapa ini terjadi? Adakah budaya ini sudah boleh diterima pakai sebagai sebahagian dari budaya bangsa dan agama ?

Budaya ini nampaknya sudah susah dipisahkan dari politik. Ianya sudah semacam budaya dan tabiat bagi setiap ahli politik dan kuncu-kuncu hatta menjangkiti kepada orang bawahan, rakyat biasa. Apa tidaknya kalau menang habuan pasti ada. Paling tidak pun akan dapat projek yang boleh membawa keuntungan. Kepentingan rakyat hanya bermain di mulut sahaja namun hakikatnya dikemudiankan. Kepentingan diri sendiri , keluarga dan kroni-kroni didahulukan. Ada orang sanggup mengadai bangsa dan agama serta maruah diri sendiri demi mengejar habuan duniawi yang sementara. Rata-rata ahli politik seperti sudah lupa akan tanggung jawab yang akan ditanyakan oleh ALLAH Taala kepadanya di akhirat kelak.
Selagi tiada pengenalan sebenar kepada ALLAH TAALA dalam diri maka perkara sebegini akan boleh terjadi. Hakikatnya Ilmu dan amal belum cukup menjadi perisai kepada godaan dunia apatah lagi kalau sudah termasuk di dalamnya. Baginda SAW sudah bagi perumpamaan orang yang masuk ke dalam dapur yang menggunakan unggun api. Bagaimanapun cermatnya pasti akan tercalit dengan hitamnya arang. Ini kerana takut sebenar itu bukan terhasil dari ilmu atau amalan tetapi takut itu berkait rapat dengan YAKIN sebenar dalam hati.
Pernah tak kita dengar para sahabat ra menggunakan kuasa dan pangkat untuk mengejar dan mengaut keuntungan dunia. Saidina Umar ra ketika beliau dicari oleh orang luar madinah yang datang untuk menemui, Saidina Umar ra ditemui sedang duduk dibawah naungan sepohon pokok. Itulah tempat rakyatnya menemui beliau untuk membuat aduan dan mengadu masalah mereka selain di masjid. Berapa banyak pula tampalan pada jubah beliau ra? Tapi adakah Saidina Umar ra tidak berjaya memimpin umat Islam ketika itu? TIDAK , sememangnya Saidina Umar ra berjaya. Ini kerana kejayaan pemimpin Islam bukan diukur dalam kejayaan duniawi tetapi diukur dari kejayaan ukhrawi iaitu akhiratnya. Bukti kejayaan Saidina Umar ra masih kita dapat kecapi sehingga hari ini. Buktinya kita dan keturunan kita telah berada dalam ISLAM. Inilah hasil usaha kepimpinan mereka iaitu kepimpinan Baginda SAW dan para Khulafaur Rasyidin.
Jadi sebagai Islam, keinginan kita untuk memikul tanggung jawab sebagai pemimpin adalah untuk menyambung tugas dan pernan mereka iaitu menyelamatkan seramai mungkin manusia dari kesesatan dan bahaya dunia dan akhirnya selamat di akhirat kelak iaitu membawa manusia kepada ISLAM, iaitu menjadi pengamal dan pengikut setia AGAMA ALLAH SWT. Kalau tiada cita-cita dan kesungguhan ke arah ini, pastinya kita akan hanyut dalam gelombang dunia. Apatah lagi cabaran hebat hari ini ditambah lagi dengan sangat-sangat kurangnya guru-guru mursyid sebagai pembimbing terutama kepada para pemimpin.
Kita ingatlah kata-kata Saidina Umar ra :
” Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, Sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya maka Allah menghinakan kita.”
Saya berdoa semoga ALLAH SWT menaikkan seorang pemimpin yang benar-benar menjaga, membimbing dan memakmurkan negara tercinta ini dan rakyatnya agar semua rakyat selamat di dunia dan akhirat. Semoga inilah masanya era FASA KHILAFAH ALA MINHAJIN NUBUWWA yang dijanjikan Nabi SAW.
Dr Hadi Hasan