Saturday, December 23, 2017

WAHAI UMAT ISLAM BANGUNLAH DARI TIDUR…..


Isu yang dihadapi oleh umat Islam hari ini bukanlah merupakan isu penubuhan Negara Palestin yang bebas, tetapi merupakan isu pembebasan Baitulmuqaddis daripada Israel dengan sekutunya Amerika, yang mana bukan lagi merupakan isu umat islam Palestin sahaja tetapi isu umat Islam keseluruhannya.

Sejak pengisytiharan Amerika secara rasmi pada 7 Disember 2017 bagi mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, negara-negara islam tidak bersatu dalam satu tindakan.

Dalam “Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki pada 13 Disember 2017, diantara resolusi yang disepakati dalam persidangan tersebut adalah:-

1. Pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin.
2. Menolak pengisytiharan Amerika berkaitan Baitulmuqaddis.
3. Meminta PBB menghentikan penjajahan Israel keatas Palestin

Yaman sebagai Pengerusi Arab Group dan Turki sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah meminta kepada President General Assembly PBB untuk mengadakan perjumpaan. Maka pada 21 Disember 2017, satu persidangan diadakan untuk menolak pengisytiharan Jerusalem sebagai ibu negara Israel oleh Amerika  yang mana 128 negara bersetuju, 9 negara menolak dan 35 negara berkecuali.

Kita sedia maklum bahawa isu Baitulmuqaddis bukanlah isu politik antarabangsa tetapi isu agama di antara Israel, Kritian dan Islam yang hanya boleh diselesaikan melalui undang-undang Allah swt dan bukan undang-undang antarabangsa atau undang-undang PBB.  Dalam hal ini, PBB tiada kuasa langsung untuk menyelesaikan masalah isu Baitulmuqaddis dan kita umat Islam tidak perlu sokongan daripada negara-negara bukan Islam untuk menentukan kedudukan Baitulmuqaddis.

Sepatutnya negara-negara Islam mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi terutama isu Baitulmuqaddis tanpa bantuan dan simpati daripada negara-negara bukan islam khususnya PBB. Ini kerana agama Islam mempunyai undang-undang dan peraturan yang komprehensif yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi bukan sahaja masalah akhirat tetapi masalah dunia.  Sepatutnya negara-negara bukan Islam terutama Amerika yang meminta bantuan daripada kita untuk menyelesaikan masalah mereka. Tindakan kita meminta bantuan PBB dan negara-negara bukan Islam jelas menjatuhkan maruah kita sebagai umat Islam sekaligus menjatuhkan maruah Islam. 

Jelas daripada peristiwa isu Baitulmuqaddis ini, umat Islam tidak bersatu sehingga mereka tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

Nabi SAW menyebut tentang perpecahan umat Islam dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Thabrani yang bermaksud:

“Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah kepada 73 golongan, yang mana satu golongan masuk syurga dan 72 golongan yang lain masuk neraka, maka para sahabat bertanya siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi SAW bersabda:  Mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah”.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abi Darda RA:

“Sesungguhnya Nabi SAW bersabda; Sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu atas jalan yang luas lagi jelas terang benderang dimana malamnya seperti siangnya tiada yang menyimpang daripadanya selepasku melainkan orang yang binasa”.

Jelaslah 72 firqah masuk neraka disebabkan mereka menyeleweng daripada  jalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, kerana jalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW adalah jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebab itu tidak hairanlah kenapa kita negara-negara Islam tidak bersatu dan menjadi lemah serta menuju kehancuran dan kebinasaan kerana kita umat Islam telah berpecah kepada 73 firqah sebagaimana telah dinyatakan dalam hadis Nabi SAW itu. Ini nyata majoriti umat Islam termasuk dalam 72 firqah yang menyelewang itu.

Firman Allah swt dalam surah Al-Anfal Ayat 46:

…. وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَرِيحُكُمْ

“Dan taatilah Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berselisih serta berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar, lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…”

Dalam keadaan umat Islam yang sedemikian, bagaimana kita akan mendapat pertolongan Allah swt? Sebab itu tidak hairanlah jika masalah Myanmar, Syria, Iraq, Palestin, Afghanistan, Selatan Filipina tidak mampu diselesaikan kerana kita tidak dapat pertolongan daripada Allah swt.

Doa untuk keselamatan umat Islam yang tertindas yang sentiasa umat Islam panjatkan terutama pada musim Haji tidak dimakbulkan kerana kita majoriti umat Islam tidak berada dijalan yang benar yang ditinggalkan oleh Nabi SAW itu.

Kalau kita umat Islam inginkan bantuan Allah swt untuk menyelesaikan masalah terutama isu Baitulmuqaddis, hendaklah kita semua umat Islam kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ini bererti langkah pertama yang perlu diambil oleh umat Islam untuk menyelesaikan masalah keselamatan umat Islam terutama Baitulmuqaddis ialah bersatu dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kalau tidak segala usaha ikhtiar kita akan menjadi sia-sia sebagaimana yang telah dan sedang terjadi.

Sudah tiba masanya untuk menyelamatkan umat Islam yang dalam keadaan mendesak dan tertindas sekarang, para ulama dikalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mesti bangun menyedarkan dan membawa umat Islam kembali bersatu dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hendaklah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan setiap negara Islam menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah, mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai perlembagaan mereka masing-masing. Dan disamping itu hendaklah mereka berusaha membebaskan Baitulmuqaddis daripada Israel dan Kristian untuk selama-lamanya.

Inilah tugas alim ulama dikalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika mereka tidak bangun untuk mengambil apa-apa tindakan, akan menjadi sebab munculnya satu golongan dari Timur yang akan menyelamatkan keadaan sekarang sekaligus membebaskan Baitulmuqaddis.

dibentangkan oleh Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Alhassaniyyah