Pada abad ke 7
hijrah telah muncul satu ulama yang bernama Ahmad Taqiyuddin yang diberi
gelaran Ibnu Taimiah yang telah cuba mengubah sejarah pegangan Ahlis-Sunnah
Wal-Jamaah dan telah membawa kerosakan pada persatuan Umat Islam yang kukuh dan
kuat sebelumnya.
Ibnu Taimiah
mendakwa bahawa tujuan utamanya ialah untuk membasmi kononnya amalan bidaah dan
khurafat di tengah masyarakat Umat Islam dan menganjurkan supaya berijtihad
sendiri dan tidak bertaklid kepada sebarang Mazhab Fekah. Dengan ganas dia mengancam
kesahihan amalan sufi. Dia menganggap bahawa ahli Tasawwuf mempunyai keyakinan
serta amalan sesat lagi menyesatkan, amalan yang penuh dengan bidaah dan
khurafat.
Ibnu Taimiah
telah bermusuhan dengan para ulama sufi kerana ia tidak mempunyai pandangan
kerohanian. Ia banyak menggunakan logik,
akal fikiran untuk mentafsirkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Ia banyak
mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan pegangan Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah
dalam masalah hukum syara’, iktikad dan Tasawwuf. Ibnu Taimiah mengaku menganut
Mazhab Hambali tetapi fatwa-fatwanya tidak mencerminkan demikian. Ini semua adalah tipu helahnya supaya Umat
Islam akan mendengar dakwahnya kerana ia juga bermazhab.
Bagaimana ia
dikatakan bermazhab sedangkan ia anti Mazhab? Walaupun ia menafikan bahawa
fatwa-fatwanya adalah suatu mazhab tetapi itulah ia cuba ketengahkan. Ia mahu Umat Islam ketika itu mengkaji semula
ajaran Islam itu dan melihatnya sebagaimana ia melihatnya dan memahaminya. Ia ketengahkan fatwa-fatwanya agar masyarakat
umat Islam berpandu dengannya.
Fahaman Ibnu
Taimiah ini adalah merupakan benih atau embrio dari gerakan pembaharuan
Muhammad Abdul Wahab pada abad ke 12 Hijrah.
Mohammad Abdul Wahab juga mengaku menganut Mazhab Hambali. Tetapi dalam melancarkan fahamannya yang
terkenal dengan nama Wahhabi itu ia sangat agresif berbanding dengan Ibnu
Taimiah. Fahaman Muhammad Abdul Wahab
ini akhirnya mendapat pengikut raja-raja di Nejd dan keluarga Ibnu Saud. Semua raja-raja yang telah menganut
fahamannya itu kemudian ikut aktif menyebarkan fahaman tersebut di daerah
masing-masing.
Pada tahun 1926
Ibnu Saud diangkat menjadi raja di Hijaz dan sultan di Nejd. Akhirnya pada tahun 1932 semua daerah-daerah
yang direbut tentera Ibnu Saud itu dipersatukan dalam sebuah kerajaan Wahhabi
yang diberi nama kerajaan Arab Saudi.
Melalui kerajaan Arab Saudi inilah fahaman Wahhabi ini disebarkan ke
negara-negara Islam yang lain. Gerakan
Pembaharuan ini juga disusuli di Mesir oleh gerakan Muhammad Abduh dan
Jalaluddin Al-Afgani kemudian oleh Rasyid Rida.
Rasyid Rida adalah pelaksana idea-idea Muhammad Abduh.
Cita-cita mereka
semua ini kononnya inginkan kembali kepada
zaman Salaf dengan memurnikan Islam dari bidaah, khurafat, suasana
taklid buta yang kononnya membelenggu Umat Islam.
Sebenarnya mulai
pada abad ke 7 Hijrah telah mula muncul titik hitam dalam sejarah tamadun Umat
Islam dengan bangkitnya Ibnu Taimiah dengan fahaman anti-mazhab, anti-Tasawwuf
dan dengan konsep tauhid yang baharu.
Mereka inilah
yang memecah-belahkan masyarakat umat Islam. Sikap para pengikut
gerakan ini yang ganas dan ekstrem telah menimbulkan kemarahan di kalangan
Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah sama ada Ulama Fekah, Tasawwuf atau Usuluddin. Maka
berpecahlah Umat Islam kepada golongan kaum muda dan kaum tua. Hilanglah kasih sayang di antara mereka
sesama umat Islam. Perbalahan pendapat
ini berterusan hingga ke hari ini tanpa kompromi.
Sebagaimana telah
disebut bahawa fahaman Wahhabi ini telah menjadi pegangan dinasti Saud, maka
dengan itu senanglah bagi fahaman ini disebarkan ke merata tempat di seluruh
negara Islam.
Pada permulaan
ajaran gerakan ini telah mendapat tentangan hebat dari Kaum Ahlis-Sunnah
Wal-Jamaah sehingga Ibnu Taimiah beberapa kali dipenjara dan akhirnya mati di
penjara. Tidak ramai umat Islam yang menyertai gerakan ini. Begitu juga Muhammad Abdul Wahab menghadapi
tentangan hebat dari kaum Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah. Menyedari hakikat demikian
ia berusaha untuk menyebarkan fahamannya ini melalui politik. Ia berkawan rapat dengan Ibnu Saud di mana
akhirnya ia berjaya menyakinkan keluarga Ibnu Saud kesahihan ajarannya. Maka pada 1932 atas tajaan kerajaan British
Ibnu Saud telah diangkat sebagai Sultan dua tanah suci menggantikan tempat
Sultan Syarif.
Perlu disebut di
sini bahawa orang yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah Lawrence of Arabia.
Dalam misi untuk menghasut orang-orang Arab memberontak serta menentang
kerajaan Othmaniah, kerajaan British melantik Lawrence of Arabia sebagai orang
yang bertanggungjawab untuk menjayakan misi tersebut. Kenapa British memilihnya? Kerana ketinggian
ilmu kerohaniannya dalam ajaran Kristian.
Lawrence Of Arabia pun berangkat dan tinggal bersama-sama orang-orang
Arab di padang pasir. Ia memakai pakaian
Arab serta mengikuti kebudayaan mereka.
Dengan ketinggian Ilmu kerohanian yang ia miliki, ia berjaya menawan hati-hati
orang Arab terutama ketua-ketua mereka.
Sebenarnya
disamping ia ditugaskan membangkitkan perasaan kebangsaan kepada orang-orang
Arab agar memberontak menentang kerajaan Othmaniah, ia juga mengkaji rahsia di
mana letaknya kekuatan Umat Islam itu. Dengan pergaulannya itu ia dapat mengetahui
bahawa kekuatan Umat Islam itu terletak pada Tasawwuf dan Thariqat. Maka ia pun cuba membawa fitnah terhadap
Tasawwuf dan Thariqat bahawa ianya bukan daripada Islam tetapi diambil dari
sumber luar terutamanya daripada Kristian.
Ia telah mengupah ulama Islam menulis untuk memburuk-burukkan lagi
Tasawwuf dan Thariqat. Ia telah berjaya
dalam kedua-dua misi ini.
Ia berjaya
menghasut Sultan Syarif untuk memberontak dan menentang Kerajaan Othmaniah
dengan mengapi-apikan semangat kebangsaan pada orang-orang Arab. Setelah Sultan Syarif berjaya membebaskan
kerajaannya dari pemerintahan kerajaan Othmaniah dengan bantuan tentera
British, Lawrence of Arabia akhirnya berpihak kepada Ibnu Saud dalam
melantiknya sebagai Sultan bagi dua Tanah Suci menggantikan kesultanan Sultan
Syarif. Sultan Syarif dan keluarganya melarikan diri. Lawrence of Arabia
memilih Ibnu Saud daripada Sultan Syarif
kerana hasrat dan cita-citanya akan
tercapai melalui Ibnu Saud yang berfahaman Wahhabi yang anti Tasawwuf dan
Thariqat. Maka terbentuklah satu dinasti
baru di bawah pemerintahan Sultan Ibnu Saud yang diberi nama kesultanan Arab
Saudi. Melalui kerajaan Arab Saudi
fahaman Wahhabi ini perlahan-lahan disebar dan ditanamkan kepada orang-orang
yang menunaikan haji atau umrah dan juga kepada para pelajar yang datang dari
beberapa buah negara Islam. Proses yang
sama berjalan juga di Mesir.
Akhirnya
penentang terhadap fahaman Wahhabi ini makin berkurangan bahkan tidak kurang
bilangannya para ulama sekarang ini yang telah menganut fahaman Wahhabi
terutama yang telah belajar di Arab Saudi dan Mesir.
Sebagaimana Ibnu Taimiah, Muhammad Abdul Wahab,
Jalaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Rida ini, hati-hati mereka telah jauh dari Cahaya Makrifatullah. Mereka sebenarnya tidak kenal Allah dan
RasulNya dengan kenalan yang semestinya.
Konsep Tauhid
yang diajari oleh Muhammad Abdul Wahab iaitu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid
Uluhiyyah serta konsepnya tentang bidaah menjadikan kaum Wahhabi ini menjadi
ganas dalam melaksanakan dakwah mereka.
Bertawassul
kepada orang mati seperti berkata seseorang "Ya Allah dengan berkat NabiMu
ini atau dengan berkat Syeikh Abdul Qadir Jailani ampunkan dosaku atau
tunaikanlah hajatku ini”, mengikut kaum ini adalah syirik kerana mengadakan
perantaraan di antara Tuhan dengan hambaNya. Perbuatan ini bagi mereka adalah
sama dengan perbuatan yang musyrik yang menyembah berhala sebagai perantaraan
di antara mereka dengan Tuhan.
Dengan ini mereka
telah menghina Nabi SAW, Para Sahabat RA dan Para Wali Allah RA kerana
menyamakan mereka ini dengan berhala. Bahkan mereka menuduh Syeikh Abdul Qadir
RA dan Syeikh Ibnu Arabi RA sebagai berhala yang paling besar.
Cuba bayangkan
betapa dahsyatnya mereka ini menyamakan orang-orang mulia di sisi Allah SWT
sama dengan patung berhala rekaan manusia. Begitu juga kalau seseorang berkata
"Ya Rasulullah, Ya Ibnu Abbas, Ya Syeikh Abdul Qadir Jailani pintalah
kepada Allah agar dosaku diampun Tuhan, atau agar hajat saya Allah tunaikan.”
Inipun kata mereka adalah perbuatan musyrik.
Bagi mereka
seseorang itu hanya dibolehkan berdoa begini: "Ya Allah mudah-mudahan di
Hari Qiamat nanti Engkau mengizinkan Rasulullah SAW untuk meminta syafaat bagi
saya.”
Dalam iktikad
Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah dibolehkan bertawassul dengan orang yang hidup atau
mati. Cukuplah bagi kami menyatakan
bahawa Nabi Adam AS bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW agar dosanya
diampunkan oleh Allah SWT sedangkan ketika itu Nabi SAW belum lagi wujud
(hidup) apa lagi mati.
Dalam risalah
mereka mengenai haji yang diedarkan kepada jemaah haji pada tiap musim haji,
mereka mempersoalkan ziarah ke Makam Nabi SAW.
Mereka mengatakan bahawa bersalawat ke atas Nabi SAW boleh dilakukan di
mana-mana tidak semestinya di hadapan kubur Nabi SAW. Kata mereka apa faedahnya menziarahi Makam
Nabi SAW di Madinah kerana yang kita ziarahi itu ialah kubur, bukan Nabi SAW.
Nabi SAW sudah
wafat dan seperti manusia biasa dia mati dan dikubur. Dan seperti manusia biasa
dia tidak hidup dalam kubur dan tidak juga dapat mendengar sebagaimana mereka
yakin bahawa orang-orang yang mati itu tidak dapat mendengar percakapan orang
yang hidup.
Bagi mereka juga
bahawa setelah Nabi SAW wafat hilanglah berkatnya. Jadilah Nabi SAW tiada
perbezaannya dengan orang-orang biasa dalam kubur. Jadi bagaimana pula kita
minta syafaat daripada manusia seperti itu. Yang peliknya kaum Wahhabi melarang
para jemaah haji meninggikan suara di samping makam Nabi SAW kerana kata mereka
ini dilarang oleh Allah SWT. Sebagaimana
firmanNya dalam Surah Hujuraat ayat 2:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَرْفَعُوۤاْ أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ
صَوْتِ النَّبِيِّ وَلاَ تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ
أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تَشْعُرُونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan
suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan
suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian
yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedang kamu tidak menyedari.”
Sebagaimana telah
dinyatakan bahawa kaum Wahhabi ini menganggap bahawa Nabi SAW setelah wafat
tidak lagi mempunyai berkat dan kemuliaan dan seperti orang biasa Nabi SAW juga
tidak dapat mendengar percakapan orang hidup.
Kalau kenyatan
mereka ini benar maka tidak ada faedahnya melarang para jemaah haji meninggikan
suara ketika berada di sekitar makam Nabi SAW.
Larangan yang
terkandung di dalam ayat yang disebut di atas hanya berlaku ketika Nabi SAW
masih hidup. Apabila kaum Wahhabi ini melarang para jemaah haji meninggikan
suara di sekitar makam Nabi SAW ini bererti mereka menganggap larangan itu juga
berlaku setelah wafatnya Nabi SAW.
Tanpa menyedari, mereka telah
mengakui bahawa berkat dan kemuliaan Nabi SAW berterusan hingga ke alam barzakh
dan Nabi SAW dapat mendengar percakapan orang yang hidup.
Di lain hal pula
sebagaimana telah dinyatakan mereka melarang para jemaah haji memohon kepada
Nabi SAW agar Baginda SAW berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampuni. Kata mereka perbuatan ini adalah syirik,
walhal Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 64:
وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُواْ أَنفُسَهُمْ جَآؤُوكَ
فَاسْتَغْفَرُواْ اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُواْ اللّهَ تَوَّابًا رَّحِيمًا
“Sesungguhnya jikalau mereka ketika
menganiayai dirinya datang kepadamu lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul
pun memohonkan ampun untuk mereka tentulah mereka mendapati Allah Maha Menerima
taubat lagi Maha Penyayang.”
Dengan melarang para
jemaah haji memohon kepada Rasulullah SAW agar Baginda SAW memohon ampun kepada
Allah SWT bagi pihak mereka, maka kaum Wahhabi telah menggangap bahawa hal yang
tersebut hanya berlaku ketika Nabi SAW masih hidup lagi dan ketika Baginda SAW
telah wafat hal demikian tidak boleh lagi berlaku.
Inilah peliknya golongan
Wahhabi ini. Mereka menggunakan ayat ke 2 dalam Surah Hujuraat sebagai dalil
untuk melarang para jemaah haji meninggikan suara di sekitar makam Nabi SAW,
walaupun Baginda telah wafat. Di masa
yang sama pula mereka tidak menggunakan ayat ke 64 dalam Surah An-Nisa sebagai
dalil untuk membolehkan para jemaah haji memohon kepada Nabi SAW untuk berdoa
memohon ampun kepada Allah SWT bagi
pihak mereka kerana Nabi SAW telah wafat. Jelaslah bahawa pendapat kaum Wahhabi
ini bertentangan di antara satu sama lain.
Inilah yang sebenarnya apa yang berlaku ke atas semua fatwa kaum
Wahhabi.
Begitu juga dalam
risalah mereka itu mereka menyuruh Umat Islam yang menziarahi Makam Saidina Abu
Bakar RA dan Saidina Umar RA berdoa memohon ampun dan rahmat Ilahi bagi
keduanya. Sekali-kali mereka tidak
membolehkan kita berdoa kepada Allah SWT agar kita diberi keampunan dan
rahmatNya berkat Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Doa seperti ini syirik
kata mereka.
Mereka melarang Umat Islam mentakzimkan makhluk Allah SWT
yang Allah SWT telah muliakan seperti Baitullah dan Hajar Aswad kerana kononnya
perbuatan ini adalah perbuatan syirik.
Kaum Wahhabi
menganggap Hajar Al-Aswad sebagai batu biasa yang tidak mempunyai apa-apa
berkat atau rahsia. Mereka membawa dalil bahawa Sayidina Umar RA pernah berkata
bahawa beliau tidak akan mengucup Hajar Al-Aswad kalau ia tidak melihat Nabi
SAW mengucupnya kerana ianya batu sahaja.
Mereka hanya memetik perkataan Saidina Umar RA dan meninggalkan
perkataan Saidina Ali RA dalam peristiwa ini.
Peristiwa ini diceritakan dengan lengkap dalam kitab Sira's-Salikin
seperti berikut:
"Dan adalah
Saidina Umar RA mencium akan dia (Hajar Aswad) kemudian ia berkata: "Bahawasanya
aku ketahui engkau itu tidak memberi manafaat dan tiada memberi mudharat dan
jika tiada aku lihat akan Rasulullah SAW mencium akan dikau nescaya tiada aku
mencium akan dikau." Kemudian maka
ia menangis hingga didengar oleh orang akan suaranya. Kemudian ia berpaling ke
belakang maka melihat ia akan Saidina Ali RA. Maka berkata ia bagi Saidina Ali
RA: "Hai Abul Hassan di sinilah tempat menumpahkan airmata dan tempat doa
yang mustajab." Maka berkata Saidina Ali RA: "Hai Amirul-Mukminin tetapi adalah Hajar
Aswad itu memberi mudharat dan memberi manafaat.” Maka kata Saidina Umar RA:
"Betapa yang demikian itu." Maka kata Saidina Ali RA:
"Bahawasanya Allah Taala tatkala mengambil janji atas zuriat yakni anak
cucu Nabi Adam AS tatkala di dalam alam arwah maka menyuratkan Allah Taala atas
mereka itu akan suratan. Kemudian maka ditaruh di dalam Hajar Aswad itu. Maka
iaitu naik saksi bagi segala orang yang mukmin yang menyempurnakan janjinya itu
dan naik saksi atas orang yang kafir dengan mungkarnya itu." Dan kata
setengah ulama inilah makna perkataan manusia pada ketika mencium Hajar Aswad:
اَللّهُمَّ
اِيْمَانًا بِكَ وَتَصْدِيْقًا بِكِتَابِكَ وَوَفَاءً بِعَهْدِكَ .
"Hai Tuhanku aku percaya akan diKau
dan aku membenarkan akan suratanMu dan aku menyempurnakan akan janji.”
Tersebut dalam hadis
Nabi SAW bahawasanya Hajar Aswad itu iaitu satu permata yang elok daripada
permata syurga dan bahawasanya dibangkitkan akan dia pada Hari Kiamat baginya
dua mata dan lidahnya yang bertutur padahal naik saksi bagi orang yang mencium
akan dia dengan percaya dengan dia.
Maka jelaslah bahawa
Hajar Aswad itu bukan batu biasa tetapi ia mempunyai kemuliaan. Di dalamnya dimetrikan perjanjian di antara
kita manusia dan Allah SWT. Kerana sangat pentingnya mengucup Hajar Aswad kalau
tidak dapat mengucupnya setiap kali pusingan sunat diganti dengan isyarat
sebagaimana kalau tertinggal sunat ab'ad dalam sembahyang hendaklah diganti
dengan sujud sahwi. Mengatakan bahawa
Hajar Aswad adalah batu biasa samalah dengan menghinanya.
Batu Baitullah walaupun
ianya batu tetapi bukan batu biasa kerana ia telah membentuk fizikal
Baitullah. Baitullah mempunyai identiti
tersendiri. Bukan ia batu. Fizikal
Baitullah mungkin dibina daripada batu seperti mana kita saksikan atau juga
boleh daripada kayu atau benda-benda yang lain.
Apa juga digunakan untuk membina fizikal Baitullah akan juga turut dapat
kemuliaan.
Masjid adalah tempat
mulia. Maka hendaklah kita memuliakannya dengan mengerjakan dua rakaat
tahayyatul masjid ketika kita memasukinya sebelum duduk. Begitu juga Baitullah kerana ianya dimuliakan
Tuhan hendaklah juga kita memuliakannya dengan bertawaf mengelilinginya
sebanyak tujuh kali pusingan. Sabda Nabi SAW bahawasanya Allah SWT menurunkan
atas Baitullah pada tiap-tiap hari 120 rahmat iaitu 60 bagi orang tawaf, 40
bagi orang sembahyang (menghadapnya) dan 20 bagi orang yang memandangnya. Lihatlah betapa mulianya Baitullah itu
sehingga melihatnya sahaja dikira sebagai ibadah.
Kemudian
perhatikan maksud doa yang dibaca ketika berhadapan dengan Baitullah, "Allah yang Maha Besar" dibaca tiga kali. “Tiada tuhan yang
disembah dengan sebenarnya melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya,
Tuhan yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Aku memohon berlindung dengan
Tuhan rumah ini (Baitullah) daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan
sempit fikiran. Rahmat Allah dan sejahteraNya mencucuri ke atas Saidina
Muhammad SAW, keluarganya dan Sahabat-sahabatnya. Ya Allah! Tambahkanlah
Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian, kehebatan dan keagungan,
kebaikan dan tambahkanlah wahai Tuhan bagi siapa sahaja yang memuliakan dan
mengagungkannya (Baitullah) daripada kalangan yang mengerjakan haji dan umrah,
kemuliaan, kebesaran, keagungan, kehebatan, ketinggian dan kebajikan.”
Maka jelas sekali
orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah disuruh mendoakan Baitullah dengan
kemuliaan dan keagungan dan mendoakan juga orang-orang yang memuliakan dan
mengagungkan Baitullah agar mereka juga diberi kemuliaan, keagungan dan
kebaikan kerana memuliakan dan mengagungkan Baitullah itu.
Doa ini bagi orang-orang
yang memuliakan dan mengagungkan Baitullah.
Bagaimana pula orang-orang yang tidak memuliakan dan mengagungkan
Baitullah dan hanya menganggapnya sebagai batu biasa dan menghukum haram
menyentuhnya? Tentulah sekali orang-orang semacam ini akan mendapat kehinaan.
Lihatlah betapa cintanya
Rasulullah SAW terhadap Baitullah sehingga Baginda keberatan meninggalkannya
ketika Baginda meninggalkan Kota Suci Mekah berhijrah ke Madinatul-Munawwarah.
Firman Allah SWT dalam
surah Al-Haj ayat 32:
ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن
تَقْوَى الْقُلُوبِ -32,
“Demikianlah (perintah Allah). Dan
barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari
ketakwaan hati.”
Syiar-syiar Allah ialah
tanda-tanda kebesaran Allah seperti tempat-tempat yang dimuliakan Allah SWT
terutama tempat-tempat amalan melakukan amalan ibadat haji dan umrah seperti
Baitullah, Hajar Aswad, Safa, Marwah, Arafah, Mina dan lain-lain tempat lagi.
Meremehkan tempat-tempat seperti ini menunjukkan tiada ketakwaan dalam hati.
Yang lebih dashyat lagi
mereka juga melarang kita mentakzimkan Nabi SAW, Ahli Bait RA, Para Sahabat RA,
juga Para Wali Allah RA dan guru-guru agama istimewa guru-guru mursyid. Bagi mereka sanjungan dan puji-pujian
hanyalah kepada Allah SWT semata-mata.
Sebab itulah mereka
melarang keras Umat Islam membaca "Berzanji" kerana bagi mereka ia
mengandungi puji-pujian terhadap Nabi SAW yang berlebih-lebihan.
Atas alasan yang sama
kaum Wahhabi telah meruntuhkan tempat lahirnya Nabi SAW di Suq-Al-Lail dan
menjadikannya padang untuk mengembala kambing tetapi akhirnya menjadikannya
perpustakaan untuk tempat menyebarkan dakwah mereka.
Begitu juga rumah Siti
Khadijah RA tempat lahirnya Siti Fatimah RA dijadikan tandas. Yang peliknya mereka menjaga dan memelihara
istana Raja Abdul Aziz serta barang-barang kepunyaannya di kota Suci Makkah.
Tidak boleh menghormati
mashaf Al-Quran kerana ianya seperti kitab-kitab lain yang dibuat dari kertas
sahaja. Tiada berkat padanya. Sebab
itulah kita lihat terutama di musim haji Al-Quran itu diletak di atas lantai masjid
tanpa alas dan kadang-kadang dilangkah oleh orang-orang haji.
Mereka juga melarang
ketaksuban kepada sebarang makhluk termasuklah Nabi SAW, Para Sahabat RA, Para
Wali Allah RA, orang-orang soleh dan guru-guru Mursyid dan akhirnya tidak boleh
taksub dalam beragama.
Inilah sebahagian
daripada fatwa-fatwa kaum ini yang secara langsung atau tidak langsung sengaja
atau tidak sengaja telah menghina Allah SWT dan RasulNya SAW, menghina para
Sahabat RA para Ulama Salafus Soleh dan para Wali Allah RA dan guru-guru
terutama guru Mursyid.
Kaum Wahhabi ini
mendakwa bahawa mazhab inilah yang menyebabkan Umat Islam jauh menyimpang dari
ajaran Islam yang sebenarnya kerana mereka tidak lagi berpegang dengan Al-Quran
dan As-Sunnah tetapi hanya bertaklid buta sahaja kepada mazhab.
Mereka juga mengatakan
bahawa mazhab-mazhab inilah yang menyebabkan perpecahan dikalangan Umat Islam
kerana sikap mereka yang sangat fanatik terhadap mazhab tertentu.
Bagi mereka Tasawwuf ini
bukan daripada ajaran Islam tetapi diambil daripada konsep Yunani, Yahudi,
Kristian, Buddist dan Hindu. Ilmu dan ajaran Tasawwuf dan Thariqat kononnya
adalah penuh dengan bidaah dan khurafat dan iktikad ulama Sufi adalah sesat dan
menyesatkan. Mereka menyamakan para guru Mursyid atau para Wali Allah RA itu
dengan patung berhala kerana dalam bertawassul mereka itu disamakan dengan
patung berhala sebagai perantaraan di antara Tuhan dan hambaNya, sebagaimana
kafir musyrik menyembah berhala sebagai perantaraan di antara Tuhan dengan
mereka.
Pendek kata fahaman
Wahhabi ini telah menyulit dan menyusahkan ajaran Islam kerana mereka mendakwa
fahaman mereka sahaja yang benar. Tiada
pilihan lain lagi bagi mereka yang inginkan ajaran Islam yang sebenarnya
melainkan mengikut fahaman mereka.
Akhirnya Umat Islam
sampai ke hari ini telah kehilangan didikan kerohanian akibat menjauhkan diri
dari guru-guru yang Mursyid. Sekarang di mana-mana universiti Islam ia hanya
mengajar ilmu pengetahuan sahaja tanpa didikan kerohanian. Hasilnya lahirlah
ulama-ulama yang alim di mulut sahaja sedangkan hati-hati mereka jauh daripada
petunjuk Illahi.
Nabi SAW pernah bersabda
yang bermaksud siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah hidayahnya
maka bukan ia bertambah dekat kepada Allah SWT tetapi makin jauh.
Konsep mereka tentang tauhid,
syirik dan bidaah itu menyebabkan Umat Islam turut menghina Allah SWT dan
RasulNya SAW, Para Sahabat RA, Para-Para Wali Allah RA, orang-orang soleh,
guru-guru terutama guru-guru Mursyid, dan juga tempat-tempat yang Allah SWT
muliakan seperti Baitullah dan Hajar Aswad.
Dari Kitab Agama Allah Rahmat & Peneyelamat Bagi Seluruh Alam tulisan Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al Hassaniyyah.