Friday, August 19, 2016

Kesan Fahaman Wahhabi

Apakah kesan fahaman Wahhabi pada dunia Islam hari ini?

Dua Tanah Suci, Makkah dan Madinah telah diselubungi oleh kegelapan sejak dinasti Saud mulai memerintah dua Tanah Suci itu.  Kenapa demikian? Dinasti Saud yang diasaskan atas fahaman Wahhabi itulah yang membawa kegelapan kepada dua Tanah Suci itu.

Sebagaimana telah diterangkan bahawa fahaman Wahhabi ini telah menjadikan Umat Islam kasar dan agresif, dari suka beramal kepada suka berdebat dan menyalahkan orang lain, berani menuduh sesat Umat Islam yang bermazhab dan berTasawwuf, berani menuduh bahawa mazhab-mazhab terutama yang diasaskan oleh 4 Imam Mujtahid, memecah-belahkan Umat Islam dan yang kononnya menjadikan fikiran Umat   Islam jumud, kolot, sempit serta tidak dinamik serta jauh dari ajaran Islam yang sebenarnya kerana bertaklid buta kepada mazhab itu.

Kenapakah semuanya ini berlaku? Ini kerana fahaman Wahhabi ini menjadikan hati-hati Umat Islam kasar, keras, buta, jauh dari cahaya makrifatullah dan jauh daripada kasih sayang Allah dan RasulNya SAW.

Konsep anti mazhab mereka itu menyebabkan umat Islam bebas berfikir dan berani mempersoalkan ajaran Islam terutama hukum Syara' yang telah disusun oleh empat Imam Mujtahid itu dan dengan demikian mempermudah-mudahkan ajaran  Islam mengikut tafsiran mereka.

Lahirlah berbagai-bagai pendapat tentang ajaran Islam sehingga membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan serta kekeliruan.

Dari kefahaman Wahhabi ini lahirlah umat Islam yang mendakwa bahawa ada di antara ulama Islam terdahulu hanya menekankan ilmu keagamaan semata-mata tanpa menghiraukan ilmu keduniaan yang berupa ilmu fardhu kifayah serta mentafsirkan ajaran Islam untuk kepentingan diri mereka sendiri.  Ini kata mereka menyebabkan bangsa-bangsa lain dapat menguasai Umat Islam di semua lapangan hidup.

Kata mereka kalau mahu Islam dimuliakan oleh umat-umat yang lain maka hendaklah Umat Islam itu sendiri memiliki ilmu pengetahuan serta teknologi yang dimiliki oleh bangsa-bangsa lain supaya dapat bersaing dalam kemajuan dunia. Kalau tidak Umat Islam akan mundur dan ketinggalan zaman lalu menjadi hina serta ditindas dan dizalimi oleh bangsa-bangsa lain. Justeru itu mereka cuba menafsirkan semula ajaran Islam supaya sesuai dengan keinginan mereka dan mencadangkan agar Al-Quran itu diberi tafsiran baru agar    Islam itu sesuai dengan zaman.  Maka penafsiran semula perlu dibuat kerana ulama-ulama dahulu telah menutup pintu ijtihad yang menjadikan ajaran Islam itu sempit, tidak sesuai pada setiap zaman.  Oleh itu mereka melakukan penilaian baru terhadap Agama Islam dengan menitikberatkan kemajuan duniawi dengan cara penguasaan ilmu fardu kifayah dalam segala bidang ilmu dan kemajuan agar setanding dengan umat-umat lain.

Umat manusia sebenarnya tidak memiliki apa-apa ilmu pengetahuan.  Ilmu pengetahuan samada yang  terdapat dalam Al-Quran atau di luar Al-Quran, semuanya adalah milik Allah SWT.  Allah SWT telah menyimpan maklumat-maklumat dalam Al-Quran.  Bagi orang-orang yang diberi kurniaan oleh Allah SWT untuk membaca dan memahami Al-Quran akan dapat mengumpul maklumat-maklumat yang terkandung dalam Al-Quran dan menjadikannya berbagai-bagai cabang ilmu seperti ilmu sains, ilmu falak, ilmu kedoktoran, ilmu iktisad, ilmu siasah, ilmu pelayaran dan ilmu pendidikan.

Begitu juga Allah SWT telah menyimpan maklumat-maklumat di seluruh alam seperti di langit, di laut, di bumi, pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Orang-orang yang telah Allah SWT kurniakan kefahaman untuk membaca maklumat-maklumat yang terkandung dalam alam-alam tersebut akan dapat mengumpulkannya dan menjadikannya berbagai-bagai cabang ilmu seperti ilmu-ilmu tersebut di atas. Maklumat-maklumat samada yang terdapat dalam Al-Quran atau di seluruh alam sebenarnya adalah berkait rapat serta saling jelas- memperjelasi di antara satu sama lain untuk membentuk ilmu-ilmu berupa fardu kifayah. Maka jelaslah segala bentuk ilmu pengetahuan adalah datangnya daripada Allah SWT bukan dari manusia.  Sebagaimana firman Allah SWT dalam  Surah Al Isra’ ayat 85:


وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit.”


Berdasarkan dari ayat di atas, bahawa segala bentuk ilmu samada berupa fardu ain atau fardu kifayah adalah pemberian dari Allah SWT.  Umat manusia hanya mengumpul maklumat-maklumat yang ada dalam Al-Quran atau di luar Al-Quran dan menjadikannya berbagai-bagai jenis ilmu.  Tidak ada yang dikatakan itu ilmu Islam atau itu bukan ilmu Islam.  Semuanya itu ilmu Allah SWT.

Kefahaman untuk membaca maklumat-maklumat yang ada di seluruh alam ini sebenarnya diberikan kepada orang-orang bukan Islam supaya mereka dapat menjadikannya berbagai-bagai cabang ilmu berupa fardu kifayah.  Dengan ini mereka akan dapat memakmurkan dunia ini kerana dunia ini adalah syurga bagi mereka. Umat Islam diberi kesenangan untuk menggunakan serta memakai kemudahan-kemudahan hasil daripada penemuan-penemuan mereka itu.  Mereka adalah tukang manakala umat Islam adalah pengguna. Inilah di antara keistimewaan yang Allah SWT kurniakan kepada umat Islam.

Agama Islam hanya memberi panduan bagaimana ilmu itu digunakan pada tempatnya supaya tidak disalahgunakan.

Hari ini juga ada diantara Para Ulama Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah yang telah dipengaruhi dan terikut-ikut dengan fahaman Wahhabi yang anti Tasawwuf dan Thariqat.  Mereka turut menyatakan bahawa Tasawwuf dan Thariqat adalah merbahaya kepada Umat Islam.  Umat Islam harus menjauhkan diri mereka daripada Tasawwuf dan Thariqat.  Ajaran, amalan serta iktikad ulama Tasawwuf dan Thariqat bagi mereka adalah sesat dan menyesatkan, penuh dengan bidaah dan khurafat.  Sebab itulah mereka berpendapat bahawa gerakan Thariqat ini wajib disekat dan dibendung.

Sikap mereka terhadap Tasawwuf dan Thariqat ini menyebabkan Umat Islam takut kepada Tasawwuf dan Thariqat.  Apabila Umat Islam tidak bergaul dan mendekatkan diri dengan guru-guru kerohanian, mereka tidak akan mendapat didikan kerohanian. Apabila hati-hati manusia tidak mendapat didikan kerohanian maka ia akan mati, lalu menjadi keras, maka nafsulah yang akan menguasai dirinya.  Bagi dia sesuatu itu hendaklah dinilai mengikut akal fikiran dan melalui kaca mata dunia.

Kerana itu tidak hairanlah kalau hari ini akhlak serta moral Umat Islam telah menuju ke jurang kehancuran. Manusia tanpa didikan kerohanian akan dikuasai oleh hawa nafsunya.

Apabila nafsu telah menguasai diri manusia itu maka rosaklah masyarakat manusia.

Kita lihat hari ini Umat Islam berlumba-lumba mencari harta kekayaan serta berebut untuk memiliki pangkat dan kedudukkan.  Terjadilah persaingan di kalangan Umat Islam sehingga menyebabkan berlakunya fitnah, penindasan serta jatuh menjatuhkan di antara mereka yang menyebabkan perpecahan dan permusuhan sesama mereka.

Lebih-lebih lagi ada di kalangan para pemimpin dan ulama   Islam hari ini menggalakkan Umat Islam supaya merebut segala peluang yang ada supaya dapat meninggikan taraf hidup mereka agar dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Oleh sebab ketiadaan sistem didikan kerohanian di institusi-institusi pengajian tinggi maka lahirlah daripada institusi-institusi ini ulama serta intelek Islam yang alim pada lidah tetapi hati kosong daripada makrifatullah yang sebenarnya. Maka apabila mereka keluar kepada masyarakat mereka hanya boleh memberi ilmu pengetahuan kepada mereka tetapi tidak boleh membimbing jiwa mereka ke arah akhlak yang mulia.

Pendek kata mereka tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.  Maka jadilah sekarang ini makin ramai ulama dan intelek Islam makin rosaklah pula akhlak dan moral masyarakat Umat Islam.

Kesan daripada fahaman Wahhabi ini juga ada di kalangan pemimpin Islam dan ulama Islam yang memperkecil-kecilkan Sunnah Nabi SAW.  Kalau ditanya kepada mereka kenapa mereka tidak pakai pakaian putih, tidak berserban dan tidak menyimpan janggut, mereka akan menjawab bahawa itu sunnat sahaja, kalau dibuat dapat pahala ditinggalkan tidak dapat dosa.  Kata mereka ada lagi yang lebih penting dari itu yang hendak dilakukan.  Kata mereka, kita sibuk mempersoalkan perkara remeh temeh dan membesar-besarkannya sehingga menyebabkan Umat Islam ketinggalan zaman, bangsa-bangsa lain sudah ke bulan tetapi kita Umat Islam asyik memperkatakan tentang pakaian dan janggut, masih lagi membahaskan bab air.  Itulah kata mereka.
Semua Sunnah Nabi SAW adalah penting bagi kita Umat Islam amalkan, tidak ada yang remeh temeh atau kurang penting.  Membeza-beza serta meringan-ringankan Sunnah Nabi SAW adalah memperkecil-kecilkan Sunnah itu serta tidak menghormatinya.  Sudahlah kita tidak mengamalkannya kita pula memandangnya rendah dan kurang penting.

Lebih teruk lagi hari ini ada di antara para pemimpin dan Ulama Islam itu yang menganggap pakaian putih dan serban itu tidak lagi sesuai dengan masyarakat moden, ia hanya sesuai di padang pasir sahaja.  Sebab itulah hari ini para pemimpin dan Ulama Islam memakai pakaian barat iaitu kot dan tali leher walaupun di negara yang beriklim panas agar tidak dikatakan kolot atau ketinggalan zaman.  Kita lebih berbangga memakai pakaian Barat daripada pakaian yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Sabda Nabi SAW:


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka ia dari mereka (kaum itu).”
(H.R Abu Daud, Ahmad)


Mereka bukan sahaja memandang rendah orang-orang yang berpakaian putih dan berserban tetapi menganggap mereka sebagai pengganas, ekstrem, berfikiran jumud dan kolot serta merbahaya.   

Yang lebih dahsyat lagi bahawa fahaman Wahhabi ini menjadikan Umat Islam berani menjatuhkan taraf Rasulullah SAW, Para Sahabat RA serta Wali Allah RA dengan menyatakan mereka semua ini adalah manusia biasa.  Kata mereka manusia tidak mempunyai apa-apa berkat kerana berkat itu  kepunyaan Allah SWT.  Rasulullah SAW setelah wafat tidak mempunyai apa-apa berkat.  Para Sahabat RA dan Wali Allah RA tidak mempunyai apa-apa berkat .  Sebab itu tidak boleh bertawassul dengan orang mati walaupun Nabi SAW sendiri apa lagi minta doa kepada mereka kerana perbuatan demikian adalah syirik dan mereka yang digunakan bertawassul itu adalah sama dengan patung berhala yang kafir musyrik sembah sebagai perantaraan di antara mereka dengan Tuhan.

Mereka berkata Rasulullah SAW juga buat kesalahan sebagaimana orang lain kerana ia juga manusia biasa seperti kita.

Semua tuduhan ini menjatuhkan taraf Nabi SAW, Para Sahabat dan Wali Allah bahkan menghina mereka. Justeru itu menghina Allah SWT yang telah memuliakan mereka itu.

Kesan daripada fahaman Wahhabi ini juga, telah wujud sekumpulan Umat Islam sekarang ini yang bukan sahaja meragui ulama Fekah tetapi juga ulama Hadis. Mereka mengatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ulama Hadis seperti Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Baihaqi dan lain-lain lagi tidak boleh dipastikan kesahihannya, mungkin benar atau mungkin hanya rekaan mereka sendiri. Oleh kerana adanya keraguan maka jalan selamat ialah hanyalah bergantung kepada Al-Quran semata-mata yang tiada keraguan padanya.  Justeru itu kata mereka, mereka menolak hadis bukan kerana mereka anti-hadis tetapi oleh kerana hadis-hadis yang telah diriwayatkan itu tidak pasti samada benar-benar berasal daripada Nabi SAW atau ianya hanya rekaan ulama sahaja.

Kerana bahayanya fahaman Wahhabi ini, maka Yang Mulia Tuan Guru RA telah mengutus sebuah risalah pada tahun 1993 ke seluruh dunia terutama kepada Imam Besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawiyyah mendedahkan ajaran sesat kaum Wahhabi.

Kesimpulan

Kesan yang paling buruk yang menimpa ke atas umat Islam hari ini akibat daripada fahaman Wahhabi ini, ialah terjadinya ramai ulama yang hanya alim pada lidah sahaja sedang hati mereka jauh daripada Petunjuk Ilahi.

Untuk memahami memahami kenapa keadaan ini berlaku maka terlebih dahulu hendaklah kita mengetahui ciri-ciri ulama yang benar iaitu ulama pewaris Nabi SAW.

Dari kitab Agama ALLAH Rahmat dan Penyelamat Bagi Seluruh Alam ditulis oleh Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah