Tuesday, August 30, 2016

Konsep baru Islam Kesan dari Fahaman Wahhabi

Kesan daripada fahaman Wahhabi yang menjadikan umat Islam bebas mengeluarkan pendapat sendiri, telah muncul daripada mulut ulama beberapa konsep baru dalam Islam iaitu:

1.    Kemiskinan Penyebab Kehinaan Umat Islam

Hari ini para pemimpin dan Ulama Islam merasa malu kalau umat Islam dikatakan miskin lalu mereka berpendapat bahawa kemiskinan itu adalah penyebab bagi kemunduran dan kehinaan umat Islam hari ini sehingga umat-umat yang lain tidak lagi menghormati serta memandang tinggi umat Islam.

Justeru itu pemimpin dan Ulama Islam menitikberatkan ilmu fardhu kifayah kerana kata mereka dengan ini sahajalah Umat Islam akan dapat bersaing dan menandingi umat lain dan akan dipandang mulia.

Ilmu fardhu kifayah akan menjadikan seseorang mengenal dunia dan segala nikmatnya dengan lebih dekat lagi. Apabila ilmu fardhu kifayah lebih diutamakan daripada ilmu fardhu ain, maka ia akan menyebabkan seseorang itu mengenal dunia lebih dari negeri Akhirat.  Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 7

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِّنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ اْلآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ
“Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.”

Apabila seseorang tidak mendapat didikan kerohanian, maka hatinya akan menjadi keras dan justeru itu akan diliputi oleh sifat-sifat tercela seperti hubud-dunia iaitu cintakan dunia sedangkan cintakan dunia itu adalah pangkal segala maksiat dan kejahatan seperti sabda Nabi SAW:

“Bemula cintakan dunia itu kepala bagi segala kesalahan dan kejahatan.”

Hasil daripada penitikan berat ilmu fardhu kifayah dan tiada latihan kerohanian ini, telah menyebabkan umat Islam hari ini berlumba-lumba mencari harta kekayaan, pangkat dan kedudukan sehingga terjadilah persaingan di kalangan mereka, fitnah memfitnah serta jatuh menjatuhkan yang akhirnya menyebabkan hilangnya kasih sayang di antara mereka. Akibatnya tidak wujud lagi perpaduan sebenarnya di kalangan Umat Islam sebagaimana dikehendaki oleh Agama Islam iaitu perpaduan yang diasaskan atas dasar kasih sayang, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Sebenarnya bukan kemiskinanlah yang menyebabkan Umat Islam hari ini menjadi hina serta tidak disegani oleh umat-umat lain, tetapi harta kekayaan, pangkat dan kedudukanlah yang menyebabkan mereka hancur dan hina sebagaimana sabda Nabi SAW:

فَوَاللهِ مَاالْفَقُر أَخْشَى عَلَيْكُمْ . وَلٰكِنِّى أَخْشَى أَنْ يُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا يُسِطَتْ عَلىَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوْهَا كََمَاتَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكُكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ .

“Demi Allah, bukan kefakiran aku takuti ke atas kamu sekalian tetapi aku takuti akan dibentangkan
 dunia ke atas kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana telah dibentangkan  ke atas mereka sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya dan ia akan 
.menghancurkan kamu sebagaimana ia telah menghancurkan mereka   
(HR Bukhari, Muslim, At-Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Sabda Nabi SAW:
إِذَا عَظَّمَتْ اُمَّتِى الدُّنْيَا نُزِعَتْ مِنْهَا هَيْبَةُ اْلاِسْلاَمِ وَاِذَا تَرَكَتِ اْﻷَمْرَ بِالْمَعْرُوْفِ وَالنَّهْيَ عَنِ الْمُنْكَرِ حُرِمَتْ بَرَكَةُ الْوَحْيِ.
    (رواه الترمذي )
“Apabila umatku mengagungkan dunia, maka dicabutlah kehebatan Islam darinya. Dan apabila meninggalkan amar makruf nahi mungkar, maka terdindinglah keberkatan wahyu.”  (HR. Termizi)
  
عَنْ ثَوْبَانَ رَضِىَ الله ُعَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ  ﷺ  : يُوْشِكُ اْﻷُمَمُ اَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَاتَدَا عَى اْﻷَ كَلَةُ اِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ : أَوَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ الله ُمِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ الله ُفِى قُلُوْبِكُمْ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ : يَا رَسُوْلُ اللهِ وَمَاالْوَهْنُ ؟ قَالَ : حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. (رواه ابوداود)

"Akan datang suatu masa, umat lain akan memperebutkan kamu, ibarat orang yang lapar yang merebutkan makanan dalam hidangan. Maka berkata seorang: "Apakah lantaran jumlah kami hanya sedikit pada waktu itu?  Jawab Nabi SAW: bahkan, kamu pada waktu itu banyak, akan tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung di atas air bah. Dan sesungguhnya Allah SWT akan mencabut kehebatan kamu dari dada musuh-musuh kamu dan Allah SWT akan mencampakkan dalam hati kamu al-wahan (kelemahan dan kehinaan)."  Berkata seorang: "Ya Rasulullah apakah itu al-wahan? Baginda menjawab: cintakan dunia dan takut mati..”

Cintakan dunia dan takut akan mati adalah penyebab kehinaan bagi umat Islam hari ini. Sebenarnya para ulama Islamlah yang bertanggungjawab ke atas berlakunya perkara ini kerana mereka adalah penganjurnya.

Hari ini umat Islam telah rosak disebabkan oleh para ulama Islam sendiri. Inilah natijah daripada fahaman Wahhabi yang telah menjalar dalam masyarakat Islam yang menyebabkan Umat Islam lemah, hina dan tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

2.    Membasmi kemiskinan sehingga sifar

Miskin dan kaya bukan ditentukan oleh agama tetapi ditentukan oleh Allah SWT.  Ada yang mengatakan bahawa kebanyakan umat Islam itu miskin belaka seolah-olah Agama Islam itu penyebab berlakunya demikian. Ada yang mengatakan bahawa ulama-ulama terdahulu adalah penyebab kemiskinan dan kemunduran umat Islam hari ini kerana mereka hanya menekankan ilmu fardhu ain dan mengabaikan ilmu fardhu kifayah serta menutup pintu ijtihad. Justeru itu ada di antara ulama hari ini yang telah mereka berbagai-bagai konsep kononnya untuk mengangkat semula darjat Umat Islam. Di antara konsep itu ialah membasmi kemiskinan sehingga sifar.

Ketahuilah bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah dua faktor yang sangat penting bagi membina masyarakat Islam yang berkasih sayang. Setiap hamba telah ditentukan rezekinya oleh Tuhan, ada yang kaya ada yang miskin. Ini adalah satu ketetapan daripada Allah SWT, yang pasti mengandungi hikmah disebaliknya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At-Thalaq ayat 3:

قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Sebuah masyarakat akan rosak apabila semua anggotanya kaya belaka. Begitu juga ianya akan rosak apabila semua anggotanya terdiri daripada orang-orang miskin belaka. Justeru itu kaya dan miskin perlu wujud dalam sebuah masyarakat untuk mengimbangi kekayaan yang wujud dalam masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 7:

مَّاۤ أَفَاۤءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لاَ يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ اْلأَغْنِيَاۤءِ مِنكُمْ
“Apa saja harta rampasan yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.”

Untuk tujuan tersebut Allah telah mewajibkan ke atas umat Islam sistem zakat.  Ini kerana sistem zakat akan melahirkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan bertimbang rasa yang akan mewujudkan masyarakat yang prihatin serta berkasih sayang.  Inilah hikmah yang terkandung dalam sistem zakat.  Membasmi kemiskinan hingga sifar menyebabkan sistem zakat tidak bererti lagi dan sia-sia.  Ini bererti kita lebih pandai daripada Allah SWT.

Sebenarnya apa yang perlu bukan membasmi kemiskinan hingga sifar tetapi membantu orang-orang miskin. Disebabkan adanya orang-orang miskin maka orang-orang kaya akan mendapat pahala dan doa daripada mereka. Lagipun orang-orang kaya mendapat pertolongan serta rezeki dari Allah SWT disebabkan adanya orang-orang miskin sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَعَنْ أَبِىْ الدَّرْدَاءِ عُوَيْمِرٍ رَضِىَ الله ُعَنْهُ قَالَ :سَمِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ ﷺ
يَقُوْلُ: اَبْغُوْنِى فِى الضُّعَفَاءِ فَاءِنَّمَا تَنْصُرُوْنَ وَتُرْزَقُوْنَ بِضُعَفَائِكُمْ. (رواه ابوداود)

“Dari Abi Darda Uwaimir RA ia berkata “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Carikan untukku orang-orang yang lemah kerana sesungguhnya kamu mendapat pertolongan dan rezeki berkat adanya orang-orang yang lemah di sekitar kamu.”    (HR Abu Daud).

Ada diriwayatkan bahawa dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj Nabi SAW telah dibawa oleh Jibril AS melawat ke syurga dan neraka.  Nabi SAW mendapati bahawa kebanyakan penduduk syurga itu terdiri daripada orang-orang miskin manakala kebanyakan penduduk neraka itu terdiri daripada kaum perempuan dan orang-orang kaya.

Adalah diriwayatkan juga bahawa orang miskin masuk syurga lebih dahulu daripada orang kaya yang masuk syurga dengan kadar setengah hari `hari akhirat’ iaitu 500 tahun `hari dunia’.

Kesimpulannya bukan kemiskinan yang menyebabkan umat Islam hari ini mundur serta hina tetapi kekayaanlah yang menyebabkan mereka demikian seperti yang terjadi pada kerajaan Islam di Sepanyol. Begitu juga hari ini negara-negara Islam di Timur Tengah kaya raya, tetapi ditindas dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain.

3.    Keseimbangan di antara dunia dan akhirat

Ada diantara ulama Islam hari ini mengenengahkan konsep keseimbangan di antara dunia dan akhirat untuk menaikkan semula darjat Umat Islam yang telah rosak hari ini.  Mereka membawa dalil daripada Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 201 dan Surah Al-Qasas ayat 77.

Surah Al-Baqarah ayat 201:
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ 
“Dan di antara mereka ada yang berdoa “Ya Tuhan kami, berikan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”

Surah Al-Qasas ayat 77:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ اْلآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagian) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.”

Berdasarkan dua dalil di atas mereka mengatakan bahawa Agama Islam menganjurkan konsep keseimbangan di antara dunia dan akhirat. Sebenarnya kebaikan hanya satu sahaja iaitu kebaikan di akhirat.  Adapun kebaikan dunia yang berupa kenikmatan duniawi tidak akan dikatakan kebaikan kalau ia tidak membawa kepada kebaikan di akhirat.  Persoalan ini akan dibahaskan dalam tajuk ‘ Dunia dan segala perhiasannya’.

Sebenarnya dalam Agama Islam amalan seseorang itu boleh jadi dunia atau akhirat bergantung dengan pelaksanaan serta niat amalan itu.  Amalan yang dianggap sebagai dunia seperti menuntut ilmu, berniaga, berkerja dan seumpamanya boleh jadi akhirat kalau pelaksanaannya mengikut undang-undang dan peraturan Agama Islam serta niat yang ikhlas.

Dan begitu juga sebaliknya amalan yang dianggap sebagai akhirat seperti sembahyang, bersedekah, berpuasa dan seumpamanya jadi dunia kalau pelaksanaannya tidak mengikut undang-undang dan peraturan Agama Islam dan niat yang tidak ikhlas.  Sabda Nabi SAW:

وَكَمْ مِنْ عَمَلٍ يَتَصَوَّرُ بِصُوْرَةِ اَعْمَالِ الدَّنْيَا وَيَصِيْرُ بِحُسْنِ النِّيَّةِ مِنْ اَعْمَالِ اْﻷَخِرَةِ. وَكَمْ مِنْ عَمَلٍ يَتَصَوَّرُ بَصُوْرَةِ اَعْمَالِ اْﻷَخِرَةِ ثُمَّ يَصِيْرُ مِنْ اَعْمَالِ الدُّنْيَا بِسُوْءِۤ النِّيَّةِ.

“Dan berapa banyak daripada amalan yang menyerupai amalan-amalan dunia lalu menjadi amalan akhirat kerana niat yang baik dan berapa banyak daripada amalan yang menyerupai amalan-amalan akhirat lalu menjadi amalan dunia kerana niat jahat.”

Jadi amalan seseorang itu boleh dikira sebagai dunia atau akhirat bergantung kepada pelaksanaan dan niatnya. Ini bererti segala nikmat dunia ini kalau tidak digunakan mengikut undang-undang dan peraturan Agama Islam akan tidak menjadi amalan serta kebaikan akhirat.  Ini menyebabkan seseorang itu tidak mendapat kebaikan akhirat bahkan ia tidak mempunyai apa-apa bahagian di negeri akhirat melainkan seksa seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 200:  

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي اْلآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
“Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) dunia, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.”

Ini kerana segala nikmat yang Allah berikan kepadanya tidak digunakan untuk mencari keredhaan Allah SWT dengan mengikut segala undang-undang dan peraturan Agama Islam.

Apakah maksud firman Allah SWT dalam Surah Al-Qasas ayat 77:
وَلاَ تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia.”

Kalau maksud ‘bahagian dari dunia’ itu rezeki maka kurang tepat kerana tiada seorang pun di dunia ini yang akan lupa kepada makan minum, pakaian dan tempat tinggalnya. Selagi manusia masih hidup ia tetap akan berusaha untuk mendapatkan bahagiannya itu.

Ini mereka tidak lupa, tetapi apa mereka sentiasa lupa ialah bahagian mereka berupa kesenangan di akhirat. Ini perlu diperingati agar umat manusia tidak lupa pada kesenangan mereka di akhirat. Seseorang itu hendaklah ia jangan lupa bahagiannya yang boleh dia bawa dari dunia ke negeri akhirat iaitu berupa ketakwaan.

Berkata Mujahid dan Ibnu Zaid dimaksudkan dengan ‘janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia’ ialah amalan berupa ketaatan kepada Allah SWT.  Maksudnya hendaklah seseorang itu beramal untuk akhiratnya. Inilah hakikat bahagiannya dari dunia. (Tafsir Al-Futuhatul-Ilahiyyah karangan Syeikh Salman b. Umar.)

Sabda Nabi SAW:
مَنْ اَحَبَّ دُنْيَاهُ اَضَّرَّ بِاَخِرَتِهِ وَمَنْ اَحَبَّ اَخِرَتَهُ اَضَّرَّ بِدُنْيَاهُ فَاۤثِرُوْا مَايَبْقٰى عَلَى مَايَفْنٰى.
“Barangsiapa kasih akan dunianya nescaya jadi mudarat akan akhiratnya. Dan barangsiapa kasih akan akhiratnya nescaya jadi mudarat akan dunianya, maka utamakanlah yang kekal (akhirat) atas yang fana (dunia).”

Hadis ini menunjukkan bahawa tidak wujud konsep keseimbangan di antara dunia dan akhirat bahkan Nabi SAW menyuruh umatnya memilih akhirat daripada dunia. Seseorang itu hendaklah memilih dunia atau akhirat kerana mustahil akan wujud dalam hidup ini konsep 50% akhirat, 50% dunia. Ini kerana nafsu yang ada pada diri manusia sangat cenderung kepada dunia dan segala perhiasannya.  Jiwa yang tidak mendapat didikan kerohanian akan melebihkan dunia daripada akhirat.

Inilah maksud firman Allah SWT dalam Surah Al-A’la ayat 16- 17:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَوٰةَ الدُّنْيَا  ,  وَاْلآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ  ,
“Tetapi kamu memilih kehidupan dunia sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”

Maka jelaslah tidak wujud konsep keseimbangan di antara dunia dan akhirat dalam Islam.

4. Bertolak ansur, menghormati serta mengiktiraf agama-agama lain

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa Agama Allah itu hanya satu sahaja iaitu Agama Islam yang lain daripadanya adalah palsu, ciptaan manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali-

Imran ayat 19:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ
“Sesungguhnya Agama di sisi Allah hanyalah Agama Islam.”

Hakikatnya agama-agama yang lain daripada Agama Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai agama yang sebenarnya kerana ia adalah palsu direka oleh umat manusia seperti halnya dengan patung berhala dan makhluk lain yang dianggap dan dipanggil sebagai tuhan bukanlah tuhan sebenarnya kerana ia dibuat oleh umat manusia.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 33:

هُوَ الَّذِيۤ أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ 
“Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.”
Ini bererti kita tidak boleh bertolak ansur, menghormati serta mengiktiraf agama-agama yang lain daripada Agama Islam.

Ucapan   ( لا اله الا الله   )  membawa erti tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT. Ini bererti walaupun wujud berbagai-bagai tuhan dengan berbagai-bagai nama tidak boleh dianggap sebagai tuhan. Dengan bertolak ansur, menghormati serta mengiktiraf agama-agama lain bererti kita telah menganggap dan merestuinya sebagai agama yang wujud di samping Agama Islam. Ini samalah dengan menganggap tuhan-tuhan berupa patung berhala dan makhluk lain sebagai tuhan yang wujud di samping Allah SWT.  Ini merosakkan aqidah kita.

Hari ini ada di antara umat Islam yang bertolak ansur, menghormati serta mengiktiraf agama-agama lain kerana bagi mereka agama-agama tersebut juga menyeru kepada kebaikan seperti Agama Islam, lalu mereka turut bersama-sama merayakan upacara-upacara keagamaan tersebut.

Apabila kita mengiktiraf atau merestui agama yang mereka anuti, maka sudah tentu mereka akan yakin dan menganggap bahawa agama mereka itu adalah benar. Dengan demikian mereka tidak akan memeluk Agama Islam lagi. Perbuatan kita itu sebenarnya menjadikan mereka mendapat seksa daripada Allah SWT yang berkekalan di akhirat kelak. Ini bererti kita tidak menyayangi mereka.

Sepatutnya kita umat Islam hendaklah berdakwah dengan menyibarkan Risalah Islam kepada orang-orang yang tidak beragama Islam dengan penuh hikmah dan dengan hujah yang bernas, agar mereka dapat menyedari kesalahan serta kesesatan mereka dan dengan demikian mereka akan dapat melihat kebenaran Agama Islam. Kita tidak boleh membiarkan mereka mati dalam keadaan sesat kerana mereka itu adalah saudara kita juga.

Kerana inilah Rasulullah SAW telah mengutus beberapa surat kepada raja-raja serta para pemimpin orang-orang bukan Islam. Di antaranya ialah Hercules, Pembesar Negeri Rom, Abruwaiz bin Harmizan bin Anu Syirwan, Raja Najasi dan Muqauqis, Pembesar Mesir.

Perhatikanlah isi kandungan surat Rasulullah SAW kepada Raja Najasi serta jawapannya.

“Atas Nama Allah Yang Pengasih lagi Penyayang”

Dari Muhammad Pesuruh Allah kepada Najasi, Raja Hasbsyah.
Kemudian daripada itu, sesungguhnya saya memujikan bagimu pada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, Raja yang Suci yang selamat dari noda, yang memberi keamanan yang menjaga makhluk: dan saya bersaksi sesungguhnya Isa bin Maryam adalah roh dari Allah dan dari kata-kataNya: Ia berikan kepada Maryam yang tiada bersuami, yang suci dan terjaga lalu mengandung Isa, dan Allah jadikan Isa dari rohNya dan meniupkan roh padanya sebagaimana Allah menjadikan Adam dengan kekuasaanNya. Dan sesungguhnya saya menyerukan engkau kepada Allah Yang Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, dan cinta taat padaNya, dan hendaknya engkau ikut padaku dan engkau beriman pada Zat Yang mendatangkan aku, sesungguhnya saya Pesuruh Allah, dan saya serukan engkau dan bala tenteramu kepada Allah Taala. Dan sesungguhnya saya sudah sampaikan dan memberi nasihat dan terimalah nasihatku: dan saya telah mengutus kepadamu anak pamanku bernama Ja’far dan berserta segolongan dari kaum muslimin.

“Adapun keselamatan itu semoga bagi orang yang mengikuti petunjuk.”

Jawapan Raja Najasi atas surat ini adalah sebagai berikut:

Atas nama Allah Yang Pengasih lagi Penyayang”

Kepada Muhammad Pesuruh Allah dari Najasi Ash-khimah.

Semoga keselamatan atasmu hai Pesuruh Allah dan Rahmat-Nya dan berkat Allah Yang tiada Tuhan melainkan Dia.

Kemudian daripada itu, sungguh telah sampai suratmu kepadaku hai Pesuruh Allah. Segala apa yang engkau sebut mengenai Isa, demi Tuhan langit dan bumi sesungguhnya Isa tidak lebih daripada apa yang engkau sebut tadi walaupun sebesar pucuk lidi kurma. Sungguh tepat apa yang engkau sebutkan dan saya pun mengetahui apa yang engkau sampaikan kepada kami. Maka aku bersaksi bahawa engkau adalah pesuruh Allah, yang benar lagi membenarkan, dan saya pun berjanji taat dan berjanji pula pada anak-paman mu dan saya menyatakan Islam di hadapannya, menyerah kepada Allah  Tuhan sekalian alam, dan saya mengutus kepadamu anakku, kalau engkau menghendaki saya akan datang sendiri kepadamu. Hai Pesuruh Allah sungguh saya bersaksi bahawa apa yang engkau ucapkan adalah benar.

Semoga keselamatan atas dirimu dan rahmat Allah dan berkatNya.”

Kita Umat Islam terutama para ulama hendaklah mencontohi Rasulullah SAW dalam hal ini dengan menyebarkan Risalah Islam ini kepada semua umat manusia yang belum lagi beragama Islam di merata tempat di seluruh dunia, semata-mata kerana belas kasihan terhadap mereka.

Yang Mulia Tuan Guru RA telah mencontohi Rasulullah SAW dalam hal ini. Beliau telah mengutus dua buah risalah kepada ketua-ketua agama dan pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.

Risalah pertama diutus pada 27hb. Mei 1989 dan kandungannya adalah seperti berikut:

وَأَنِيبُوۤا إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan mu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi.”   (Az-Zummar ayat 54)

Maksudnya: Tinggalkanlah segala maksiat seperti makan suap, makan riba, minum arak, main judi, main bola, berzina, menipu, mencuri, merompak dan menzalimi dan kembalilah kepada Allah dengan bertaubat dan mengikut perintahNya sebelum datang azab Tuhan tidak seorangpun yang dapat menolong lagi apabila telah tiba azabNya.

1.        Kita sedia maklum bahawa kalau kita tinggal di sebuah negara kita hendaklah patuh kepada undang-undang negara tersebut, kalau tidak kita akan mendapat susah. Maka lebih-lebih lagi kita tinggal di bumi Allah ini. Kalau kita melanggar undang-undangNya kita akan mendapat susah dunia dan akhirat. Contohnya, azab Allah berupa gempa bumi ke atas negara Russia telah mengorbankan berpuluh-puluh ribu jiwa.

2.  Kita umat manusia adalah bersaudara tidak kira bangsa dan agama. Allah SWT telah menciptakan kita dari setitik air yang hina, berasal dari satu keturunan iaitu Nabi Adam AS. Maka Allah tidak sayang kepada siapa yang tidak sayang kepada umat manusia, kerana Nabi SAW bersabda 

“Sesunggunnya Allah tidak sayang kepada siapa yang tidak sayang kepada umat manusia.”

Barangsiapa yang membunuh satu jiwa tanpa sebab yang sebenarnya, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Maka atas dasar inilah saya sentiasa menasihati orang ramai kerana semata-mata tanda kasih sayang kepada manusia bukan kerana benci.

Mudah-mudahan semua umat manusia selamat dunia dan akhirat. Wassalam.

Manakala risalah kedua diutus pada 6hb. Mei 1990 dan di antara isi kandungannya adalah seperti berikut:

“Aku mulai risalah ini dengan nama Allah yang menciptakan manusia, yang menghidup dan mematikan, yang memulia dan menghinakan dan memberi pangkat dan kedudukan sebagai ujian.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ  -

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-An’aam ayat 165)

Wahai manusia! Sembah dan takutlah kepada Tuhan Yang Maha Esa dan takutlah suatu hari yang kamu berdiri di hadapan Tuhan, yang mana pada hari itu tiada seorang pun yang dapat menolong lagi kecuali amalan kebaikan yang telah kita kerjakan ketika di dunia dahulu sebagaimana firman Tuhan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لاَّ يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلاَ مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئًا إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا وَلاَ يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ  -

“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari yang (pada hari itu)
seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.” (Al-Luqman ayat 33)

Kembalilah kepada Agama Islam, Agama yang benar, bertaubatlah dari segala dosa sebelum tiba azab Tuhan. Maka dengan itu hendaklah kamu berlaku adil dengan mengikuti perintah Tuhan. Tiada undang-undang yang lebih adil dari undang-undang Tuhan yang termaktub dalam Al-Quran.  Oleh itu umat manusia mestilah kembali kepada undang-undang Al-Quran agar selamat dunia akhirat. Sesiapa sahaja yang melanggar hukum Tuhan tidak kira pangkat dan kedudukan akan hina dunia akhirat. Buktinya:

1. Raja Al Malik Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya sendiri;
2. Presiden Pakistan, Ali Bhutto telah mati digantung di tali maut;
3. Shah Iran telah memegang teraju pemerintahan turun temurun, tetapi akhirnya diusir dari negaranya sendiri dan mati di negeri lain sebagai dagang;
4. Perdana menteri India, Puan Indra Ghandi telah mati ditembak oleh pengawalnya sendiri;
5. Presiden Pakistan Zia-ulhaq dan rombongannya telah mati dalam nahas kapal terbang;
6.Presiden Filipina iaitu Presiden Marcos yang terkenal dengan kepintaran dan tipu muslihat politiknya. Akhirnya digulingkan oleh seorang wanita dan mati dalam buangan di negeri orang. Sehingga sekarang mayatnya tidak boleh dikebumikan di mana-mana Negara;
7. Presiden Rumania yang memiliki harta kekayaan yang banyak, dan pengawal yang rapi, tetapi akhirnya mati ditembak bersama isterinya dalam rampasan kuasa, ketika hendak melarikan diri.

Apa yang terkandung dalam risalah ini adalah merupakan amanat Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad SAW yang saya sampaikan kepada kamu seluruh pemimpin. Kamu pemimpin adalah sebagai bapa dan rakyat sebagai anak. Oleh sebab itu adalah menjadi tanggungjawab kamu pula untuk menyampaikan amanat ini kepada mereka. Kelak di hari kiamat kamu akan disoal di hadapan Allah SWT sama ada kamu telah menyampaikan amanat yang telah saya sampaikan kepada kamu.
Dengan petunjuk yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada saya, maka saya menyampaikan nasihat ini semata-mata tanda kasih sayang kepada umat manusia agar selamat dunia akhirat.
Ya Allah! Tuhan sekalian alam, ampunilah dosa dan kesalahan kami dan kami memohon petunjuk akan Dikau agar semua umat manusia selamat dan dijauhkan dari segala bahaya dunia dan akhirat.
Ya Allah! ya Tuhan kami, Engkaulah yang menciptakan kami maka berilah kami taufik agar dapat berbuat kebajikan.  Ya Allah! ya Tuhan kami, orang yang sempit rezekinya, luaskanlah rezekinya, orang yang sakit, sihatkanlah, orang yang dalam kesusahan senangkanlah, orang yang sesat, kembalikan kepada jalan yang benar, yang Kau redhai.

Mudah-mudahan semua umat manusia selamat dunia akhirat. Wassalam.”

Allah SWT melarang umat Islam memaksa orang-orang bukan Islam untuk menganuti Agama Islam sebagaimana firman   Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 256:

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
“Tidak ada paksaan untuk memasuki agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”

Maksud ayat ini bahawa kita umat Islam tidak boleh memaksa orang-orang bukan Islam menganuti Agama Allah iaitu Agama Islam kerana sebenarnya telah jelas mana agama yang benar dan mana agama yang sesat. Ayat ini tidak bermaksud bahawa kita umat Islam mesti bertolak ansur, menghormati serta mengiktiraf agama-agama yang sesat itu dan menganggapnya sebagai agama di samping Agama Islam.

Agama Islam hanya melarang umat Islam menghina agama-agama lain serta meroboh tempat-tempat peribadatan bagi penganut-penganutnya, kerana kalau kita berbuat demikian mereka akan bertindak balas menghina Agama Islam serta merobohkan masjid sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anan 108:

وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّواْ اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ
زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ  -
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.”

Dalam Islam orang-orang yang bukan beragama Islam yang tinggal di negara Islam adalah bebas tanpa gangguan mengamalkan agama mereka masing-masing. Tetapi mereka tidak dibenarkan menyebarkan agama mereka kepada orang-orang Islam atau orang ramai dan tidak pula boleh mengamalkan ajaran mereka secara rasmi.  Malahan umat Islam tidak boleh merayakan bersama upacara keagamaan mereka.

Dalam hal ini Allah SWT telah menjelaskan pendirian kita umat Islam sebagaimana tersebut dalam Surah Al-Kafirun ayat 6:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ
“Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku.”

Ini bererti dalam soal agama kita umat Islam tidak boleh bertolak ansur apa lagi menghormati atau mengiktiraf agama-agama lain sebagai agama disamping agama Islam kerana agama-agama lain itu adalah sesat belaka.

Ketahuilah bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang hati dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mengikuti perjalanan mereka terutama dalam upacara keagamaan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَىٰ حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاۤءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاۤءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ 
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Dan sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong kepadamu.”

Apabila umat Islam mengikut jejak langkah orang-orang Yahudi dan Nasrani dan lebih-lebih lagi apabila menghormati serta mengiktiraf agama mereka dengan cara bertolak ansur serta merayakan sama upacara keagamaan mereka maka    Allah SWT tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagi umat Islam.  Inilah yang telah terjadi kepada umat Islam hari ini dimana sebahagian besar daripada mereka telah meniru penghidupan serta kebudayaan orang-orang Barat, yang telah membawa kepada kehancuran dan keruntuhan moral umat Islam.

Sepatutnya ini tidak terjadi kepada kita umat Islam kerana sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam kita berdoa kepada Allah SWT dalam Surah Al-Fatihah untuk menunjukkan kita ke jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Allah SWT telah anugerahkan nikmat yang terdiri daripada para Nabi orang-orang yang benar, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang saleh. Bukan jalan orang-orang yang dimurkai   Allah SWT iaitu orang-orang Yahudi dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat iaitu orang-orang Nasrani (kristian).

Dalam sembahyang kita minta jalan yang lurus tetapi di luar sembahyang kita sengaja memilih jalan Yahudi dan Nasrani (kristian). Inilah alamat munafik. Inilah keadaan majoriti umat Islam hari ini.

Dari Kitab Agama ALLAH Rahmat dan Penyelamat Bagi Seluruh Alam tulisan Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al Hassaniyyah. M/S 127