Barangsiapa yang Ingin Mencari Cinta Ilahi
Segala puji ke hadrat ALLAH, Pencipta alam semesta yang telah mencipta kita dan orang-orang yang terdahulu. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad (SAW) ibni Abdullah, kaum keluarga dan para sahabat Baginda.
WAHAI UMAT MANUSIA,
Hari Pembebasan telah tiba, marilah kita, berpimpin tangan
kembali kepada jalan yang benar, jalan yang membawa kita kepada Tuhan, pencipta
kita iaitu ALLAH SWT. Jalan selamat untuk umat manusia hari ini hanyalah dengan
kembali kepadaNya.
Setiap umat manusia memiliki naluri mendalam di hati mereka
untuk mencintai Pencipta mereka dan untuk mengenaliNya. Ini disebabkan sewaktu
di alam roh manusia telah tahu dan mengenali ALLAH SWT. Namun keinginan ini
kekadang tidak dapat menjadi kenyataan lantaran halangan dari Iblis.
Bagaimanapun, ada pula manusia yang cuba mencari Tuhan dengan lain-lain cara
mudah-mudahan dapat mencintaiNya. Ada yang mencari Tuhan melalui syair-syair,
tarian, lukisan, di alam semulajadi ataupun dengan sedikit bekalan
menghilangkan diri di bukit-bukit dan gunung-gunung mengasingkan diri atau ada
pula berkhidmat untuk masyarakat setempatnya. Bagaimanapun, impian dan
cita-cita tidak akan tercapai walaupun ada yang merasakan mereka telah menemui
Tuhan kerana hakikatnya mereka telah terpedaya dengan tipu helah iblis. Ini
kerana jalan kepada ALLAH SWT hanya terdapat di dalam AgamaNya.
Wahai Umat Manusia di Kurun Ke 15 ini, marilah kita
bersama-sama menuju ALLAH SWT dan CintaNya. Ketahuilah bahawa ALLAH SWT
mencintai kita melebihi kasih sayang ibubapa kita terhadap kita. ALLAH SWT
telah mencipta kita manusia sebagai makhluk yang paling mulia dan kemudian
memperelokkan kita dan kemudian menganugerahkan kita dengan lima deria dan
kekuatan juga hawa nafsu semula jadi. Dunia ini pula telah dihiasi serta
dilengkapi dengan kekayaan dan kemudahan supaya manusia boleh meneruskan kehidupan
dengan selesa dan puashati. Supaya manusia boleh memenuhi keinginan untuk
bertemu ALLAH SWT dan memperoleh CintaNya. ALLAH SWT telah mengutus para Nabi
dan Rasul untuk memperkenalkan Dia kepada manusia dan mengetahui siapa Dia, Zat
yang layak disembah dan dicintai dan juga menunjukkan jalan menujuNya. Dengan
ini ALLAH telah menyelamatkan kita semua dari tipu helah iblis.
Begitu hebat nikmat ALLAH SWT telah anugerahkan kepada kita
kerana cinta Dia kepada kita. Ibaratnya bila manusia melakukan kebaikan kepada
kita, kita akan berterima kasih kepada mereka dan mengingati mereka serta
menyayangi mereka. Bila saja bertemu mereka kita akan terkenangkan jasa baik
mereka pada kita. Maka adakah patut kita melupai Zat yang sentiasa baik dan
paling menyayangi kita. Semestinya tidak.
Dengan itu marilah kita ambil langkah pertama menuju ALLAH
SWT demi mendapatkan CintaNya. Untuk tujuan ini kami akan mengembara ke setiap
pelosok/ceruk dunia untuk mengajak manusia supaya kembali ke jalan ALLAH SWT.
Mudah-mudahan kita dapat boleh menghilangkan dahaga dengan secawan Cinta Ilahi.