Friday, June 10, 2016

PENDAHULUAN KATA KITAB KERAMAT karangan YMTG Haji Abdul Rahim AlHassaniyyah

Pendahuluan kata dari kitab keramat YMTG RA yang dikarang oleh YMG Guru Abdul Rahim Al-Hassaniyah.




Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang telah menghias hati para kekasihNya dengan perhiasan Agama dan menerangi hati -hati mereka kerana sayang kepada mereka dengan cahaya iman, dengan semata-mata kurnia dan kemurahanNya. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Nabi Muhammad SAW yang telah diutus oleh Allah SWT sebagai rahmat bagi sekalian alam yang telah mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan, kesesatan dan syirik, kepada cahaya terang benderang iaitu cahaya Tauhid dan Iman. Begitu juga ke atas keluarga dan para Sahabatnya yang diibaratkan sebagai bintang-bintang di langit. Siapa yang mengikuti mereka akan mendapat hidayah dari Allah SWT.

Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana  telah diperkenankan untuk menyiapkan Buku Bahagian 2 tentang keramat YM Tuan Guru RA ini. Dengan pertolongan serta taufik dan hidayahNya sahajalah segala sesuatu itu dapat dilaksanakan.

Buku Manaqib Al-Kubra YM Tuan Guru Bahagian 1 telahpun selesai dan kini disusuli pula dengan Buku Bahagian 2 mengenai keramat YM Tuan Guru RA untuk melengkapi riwayat hidup YM Tuan Guru, sebagaimana yang telah dijanjikan. Dengan ini mudah-mudahan para pembaca dapat memahami siapa sebenarnya YM Tuan Guru Tuan Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haj Al-Ghaus, Al-Bikangi RA.

Saya telah menumpukan masa, tenaga dan daya fikiran untuk menyelami rahsia YM Tuan Guru RA terutamanya tentang keistimewaan-keistimewaannya atau keramatnya sebagai seorang Wali Allah. Alhamdulillah hasil daripada pengorbanan itu, saya telah menyaksikan sendiri keramat itu berlaku pada diri YM Tuan Guru RA. Di samping pengalaman itu, saya juga dapat mengumpul beberapa keramat YM Tuan Guru RA dari beliau sendiri dan juga daripada pengikut-pengikut beliau yang bersama-sama berjuang di samping beliau  sejak 1950, dan daripada mereka yang bersama beliau sejak 1976. Saya sebutkan nama-nama mereka di sini supaya sesiapa yang ingin mengetahui maklumat lanjut bolehlah berjumpa dan bertanya sendiri kepada mereka.

Banyak lagi keramat beliau yang belum dikumpulkan kerana bagi saya memadailah sebahagian sahaja dibukukan untuk menilai siapa sebenarnya YM Tuan Guru RA ini. Maka semua keramat yang terkandung dalam buku ini adalah benar lagi sahih, yang telah disahkan kebenarannya oleh YM Tuan Guru RA sendiri semasa hayatnya.

Buku ini adalah mengenai keramat seorang Wali Allah. Maka sebelum kita mulai membaca isi kandungan buku ini eloklah kita memahami apa keramat itu sebenarnya, dan apakah tujuannya.
Pada umumnya perkara-perkara luarbiasa yang berlaku dengan izin dan keredhaan Allah SWT itu boleh dikategorikan kepada empat:
1. Mukjizat iaitu yang nyata pada sekalian Nabi yang mursal;
2. Irhas iaitu yang nyata pada sekalian Nabi ketika belum diangkat menjadi Rasul;
3. Keramat iaitu yang nyata pada Aulia Allah;
4. Ma'unah iaitu yang nyata pada orang Soleh.

Keramat adalah perkara yang menyalahi adat atau luarbiasa yang dikurniakan Allah SWT ke atas hamba-hambaNya yang beriman lagi bertaqwa, yang disebut di dalam Al-Quran sebagai Aulia Allah.

Di antara tujuan keramat yang terpenting ialah:

1. Untuk memantapkan keimanan serta keyakinan seorang Wali Allah yang sedang menuju ke tahap yang lebih tinggi lagi dalam makam kewalian yang juga disebut Wali kecil. Wali kecil masih lagi memerlukan bukti yang nyata berlaku di alam musyahadah ini untuk mengukuhkan keimanan serta keyakinan terhadap Allah SWT. Allah SWT memperlihatkan kebesaran-Nya di alam nyata ini kepada WaliNya agar iman dan keyakinannya bertambah teguh dan mantap.

Contohnya:
Satu hari ketika YM Tuan Guru RA beruzlah di Gua Madai, beliau telah jatuh sakit. Beliau teringin sekali makan buah yang masam. Dekat pintu gua itu ada sepohon langsat yang tidak berbuah. Tiba-tiba sahaja pandangan beliau beralih ke pohon langsat itu dan terlihat olehnya beberapa tangkai buah langsat.
Yang anehnya buah itu tumbuh pada ranting yang kering dan mati. Beliau berasa hairan, tiba-tiba terdengar oleh beliau seolah-olah berkata-kata dalam hatinya:

"Wahai hambaKu, kamu mahu buah itu tumbuh di ranting yang hidup tetapi Aku mahu ia tumbuh di ranting yang kering. Lihatlah kebesaranKu."

2. Sebagai bukti kebenaran yang nyata bahawa jalan agama yang dijalani oleh Wali Allah itu benar. Adalah mustahil bagi seseorang itu menjadi kekasih Allah SWT kalau jalan yang dilaluinya itu tidak benar atau sesat. Allah SWT tidak akan mengangkatnya sebagai kekasihNya kalau dia menderhakai Allah dan RasulNya. Apabila Allah SWT memilih hambaNya sebagai Wali, tentu Dia akan membimbingnya sehingga tidak sesat.
Orang-orang yang menyaksikan keramat Wali Allah itu akan menghormatinya. Dengan demikian orang yang telah mengingkari kebenaran Wali itu atau yang menentangnya akan insaf lalu mengakui kebenaran Wali itu. Orang-orang yang berdosa ketika menyaksikan keramat Wali itu akan menyesal dan bertaubat di hadapannya. Maka dengan demikian nama seorang Wali itu akan mashyur di merata tempat.

3. Sebagai bukti kebenaran Agama Islam yang dianuti oleh Wali Allah SWT. Dalam sejarah para Wali Allah, ramai orang kafir telah memeluk Agama Islam setelah menyaksikan keramat para Wali itu.

4. Sebagai rahmat kepada umat manusia. Dengan perkara -perkara luarbiasa yang Allah SWT kurniakan kepada WaliNya itu maka ramai orang akan memperolehi kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat.
Contohnya:Dengan keramat Wali Allah itu orang-orang yang berhajat akan tertunai hajatnya, orang yang dalam kesulitan akan terlepas dari kesusahannya, orang yang berpenyakit akan sembuh dari penyakitnya, orang yang sesat akan bertaubat dari kesesatannya dan bumi yang kering akan dihujani.

Itulah di antara tujuan keramat para Wali Allah itu.

Kemudian untuk mudah merujuk kepada keramat YM Tuan Guru maka buku ini telah dibahagikan kepada tiga bab:

Bab 1. Sifat-sifat YM Tuan Guru yang menjadi bukti keramat beliau.

Bab 2.  Pelbagai keramat yang lain.

Bab 3. Firasat, akibat orang-orang yang tidak mengikut nasihat YM Tuan Guru atau yang menentangnya, serta mimpi dan doa beliau sebagai penutup buku ini.

Maka dengan ini dipersembahkan kepada orang ramai buku Bahagian 2 mengenai keramat YM Tuan Guru ini dengan harapan mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita semuanya terutama bagi mereka yang ingin mendampingi diri kepada Allah SWT. Kepada Allah SWT sahajalah saya serahkan diri dalam segala urusan.

Akhirnya saya pohon kepada Allah SWT  agar semua umat manusia selamat dunia dan akhirat.

Aamiin.

Wassalam.

Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah,
Peti Surat 391,
Kampung Babussalam,
91308 Semporna, Sabah.
MALAYSIA.
Sya’ban 1420.


Wajah kulit Kitab Keramat YMTG



Peta Gua Madai yang terletak di Kunak diantara Semporna dan Lahad Datu, Sabah





Gua Madai tempat YMTG RA beruzlah terletak di daerah Kunnak Sabah








Sedekah Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT

Assalamualaikum wbt

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari An Nisa Team.  Semoga kita semua dirahmatiNya sentiasa.  Seperti anda semua sedia maklum, bulan yang mulia ini seharusnya kita bersungguh-sungguh melakukan ibadat dengan sebaik mungkin seperti bertarawih, membaca al-quran, banyakkan berzikir dan sebagainya.  Namun jangan lah kita lupa kepada mereka yang memerlukan.  Sedekah juga merupakan satu bentuk ibadah.

An Nisa Team ingin memaklumkan satu program kutipan rayuan derma telah dilancarkan oleh charity-arm kami iaitu Persatuan Kebajikan An Nisa Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.  Program yang dinamakan "Hulurlah Demi Keberkatan Ramadhan" ini bertujuan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan di seluruh Malaysia, khususnya mereka yang berada di pendalaman Sabah.

Kami lampirkan di sini brochure program yang disebutkan tadi.  Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi nombor yang tertera, email atau tinggalkan saja pertanyaan anda di dalam ruangan komen di bawah.

An Nisa Team
annisateam@gmail.com


Thursday, June 9, 2016

Apakah kasih sayang dalam konsep Agama Allah SWT

Maka apakah kasih sayang yang sebenarnya itu ?  

Kasih sayang dan belas kasihan yang sebenarnya adalah berupa segala tindak tanduk dan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang ke atas dirinya, keluarga dan orang lain serta makhluk lain yang menyebabkan dirinya dan mereka mendapat rahmat serta keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Maka dengan itu mereka akan selamat di dunia dan di akhirat. Maka tidak boleh tidak untuk melahirkan kasih sayang sejati tindak tanduk dan perbuatan tersebut hendaklah berpandukan Agama Islam kerana sebagaimana telah dijelaskan bahawa undang-undang dan peraturan yang terkandung dalam Agama Islam adalah berteraskan belas kasihan dan kasih sayang.

Tidak dikatakan kasih sayang apabila seorang ayah membela anaknya yang bersalah. Ini kerana perbuatannya itu tidak akan menyebabkan anaknya sedar daripada kesalahannya yang akibatnya dia dan anaknya akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Mereka tidak akan selamat di dunia dan akhirat dari seksaan Allah S.W.T.

Begitu juga tidak dikatakan kasih sayang kepada umat manusia apabila kita mengiktiraf atau merestui agama yang mereka anuti dengan merayakan sama upacara keagamaan mereka kerana dengan demikian mereka akan yakin  bahawa agama mereka itu adalah benar. Dan dengan itu mereka tidak akan memeluk Agama Allah iaitu Agama Islam.
Maka perbuatan kita itu akan menyebabkan kemurkaan Allah berkekalan ke atas mereka dan justeru itu mereka akan mendapat siksa yang berterusan daripada Allah S.W.T di akhirat kelak. Bukan itu sahaja malahan akidah umat Islam yang berbuat demikian akan terjejas dan itu akan mengundang bala dari Allah S.W.T.

Kasih sayang sebenarnya ialah menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus dengan mengeluarkan mereka dari kegelapan kesesatan yang mereka sedang berada dalamnya dengan berpandukan suluh petunjuk dari Agama Islam itu sendiri.
Maka untuk dapat memahami apa sebenarnya kasih sayang itu, ia membawa kami kepada menerangkan tentang pengertian  “ Rahmat” yang Allah SWT telah tetapkan atas DiriNya Sendiri sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Anaam ayat 54 :

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلٰٰى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ
“ Tuhan kamu telah menetapkan atas DiriNya rahmat.”

Justeru itu Allah SWT telah mengutus Nabi SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam untuk merealisasikan atau menjadikan rahmat yang Ia tetapkan atas DiriNya Sendiri itu sebagai satu kenyataan yang dapat difahami oleh umat manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbia ayat 107 :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ 

“ Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”.

Pada RAHMAT itu terkandung 2 Sifat Allah SWT iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim
Pada Allah rahmat itu merupakan sifat di antara sifat-sifatNya yang melazimkan segala nikmat dan kemuliaan.

Sifat Ar-Rahman -  nikmat yang melimpah ruah sedangkan makna Ar-Rahim iaitu nikmat yang berkekalan. Sifat Ar-Rahman bersifat umum yang meliputi semua makhuk Allah dalam masalah kemasalatan dan kurniaan Allah kepada mereka, samada orang Islam atau orang yang bukan Islam.

Sifat Ar-Rahim adalah sifat khusus yang hanya meliputi orang yang beriman sahaja yang mana nikmat pemberianNya kepada mereka yang berupa iman, yakin dan makrifat berterusan di dunia dan akhirat.

Pada manusia rahmat iaitu ialah perasaan lemah-lembut, halus dan belas kasihan dalam hati.
Manakala sekalian alam ( al-alamin ) bermaksud :

Alam manusia.
Alam Jin
Alam Haiwan
Alam Tumbuh-tumbuhan.
Alam Jamadat
Tulisan YM Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah dalam kitab Agama Allah Rahmat & penyelamat Bagi Seluruh Alam.




FADHILAT MEMAKAI PAKAIAN PUTIH

AJARAN & AMALAN YMTGURU Haji Ghulam Hassan AlBikangi Rahimahullah dalam kitab karangan YMTGURU Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah.

FADHILAT MEMAKAI PAKAIAN PUTIH
Pakaian putih elok sekali dipakai ketika mengerjakan sembahyang terutama di masjid. YM Tuan Guru RA menganjurkan para pengikutnya supaya memakai pakaian putih seperti jubah atau gamis dan serban terutama ketika mengerjakan sembahyang. Firman Allah SWT:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid." (Surah Al-Araf : 31)

Nabi SAW bersabda "Yang terbaik pakaian ziarahmu kepada Allah, pada kubur-kubur
kamu dan masjid-masjid kamu adalah putih." (Riwayat Ibnu Majah RA)

Yang Mulia Tuan Guru RA memilih dan menyukai pakaian berwarna putih. Kata YMTG RA walaupun Nabi SAW telah memakai pakaian lain-lain warna tetapi Nabi SAW hanya menganjurkan umatnya memakai pakaian putih dan menjadikannya kapan bagi orang mati. Pakaian putih melambangkan kesucian, kebersihan atau fitrah manusia.
Sebab itu adalah sunat dipakai pakaian putih itu oleh orang yang hidup serta orang yang mati sebagai kapannya.

Sabda Nabi SAW:

“Pakailah olehmu pakaian yang putih, maka sesungguhnya baju putih itu paling suci dan bersih, dan kafankanlah olehmu padanya akan orang-orang mati kamu."

Hadis ini menunjukkan bahawa bukan sahaja sunat bagi orang mati dipakaikan kapan putih tetapi orang hidup juga disunatkan memakainya.


Wednesday, June 8, 2016

Tentang Solat...

Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan AlBikangi Rahimahullah, telah melazimkan dirinya memperbanyak sembahyang sunat sejak kecil lagi.Berikut adalah kelebihan Mengerjakan Sembahyang Sunat sebagaimana di dalam kitab Ajaran & Amalan beliau tulisan Yang Mulia Guru Haji Abdul Rahim Al Hassaniyyah.

Ketahuilah bahawa sebaik-baik amal perbuatan itu ialah sembahyang. Dua rakaat sembahyang sunat adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.


Telah banyak yang diriwayatkan dari Nabi SAW mengenai keutamaan sembahyang sunat. Di antaranya kami sebutkan di sini.


Nabi SAW  bersabda ertinya “Sembahyang itu adalah sebaik-baik ibadat yang dihantarkan. Barangsiapa yang kuasa memperbanyakkannya, hendaklah diperbanyakkan.“  (HR At-Thabrani)


 Dari Abu Umamah RA diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya “Allah SWT tidak memperhatikan sesuatu amal perbuatan hamba yang lebih utama dari dua rakaat sembahyang yang dikerjakannya. Sesungguhnya rahmat selalu ditaburkan di atas kepala hamba itu selama ia sembahyang.“ (HR. Ahmad, Tarmizi dan disahkan oleh Suyuthi)Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


"Tidak pernah seorang hamba diberi sesuatu di dunia ini yang lebih afdal, lebih baik daripada diizinkan sembahyang dua rakaat."


 Imam Malik RA berkata dalam Kitab Muwatha:"Aku menerima berita bahawa Nabi SAW bersabda, "Tetaplah engkau sekalian beristiqamah dan tidak engkau sekalian menghitung kebaikan istiqamah itu. Ketahuilah bahawa sebaik-baik amal perbuatan itu ialah sembahyang dan tidak dapat menjaga wudhunya, kecuali orang-orang yang beriman."


Allah SWT tidak mengizinkan bagi seseorang untuk berbuat sesuatu yang lebih utama dari sembahyang dua rakaat dan sesungguhnya rahmat itu ditaburkan di atas kepala hamba yang sedang sembahyang dan tiada seorang yang akan mendekat kepada Allah SWT dengan sesuatu amal yang lebih utama daripada amal yang diperintahkan (diajarkan) oleh Allah SWT.  (HR. Ahmad dan Termizi)


Mughairah bin Syu'bah RA katanya ertinya "Sesungguhnya Rasulullah SAW itu berdiri untuk sembahyang sehingga bengkak kedua betis dan kakinya dan ketika ditegur, beliau menjawab,  'Tidakkah  selayaknya  saya  menjadi  seorang hamba yang bersyukur.’




AMALAN UTAMA BAGI YANG MULIA TUAN GURU RA

Petikan Dari Kitab Amalan & Ajaran

Dalam meniti jalan kembali kepada Allah SWT, Yang Mulia Tuan Guru RA telah menitikberatkan beberapa amalan dan mengutamakannya. Amalan-amalan utama itu ialah:-

1.      Zikirullah
2.      Sembahyang
3.      Puasa
4.       Sedekah

Zikirullah merupakan pokok bagi semua amalan soleh. Ia adalah pencuci bagi hati yang kotor sehingga hati itu menjadi bersih dan tenteram.

Nabi SAW bersabda:
  
“Bagi tiap-tiap sesuatu ada pencuci, sedangkan pencuci hati itu ialah zikirullah."
  
Maka apabila hati itu bersih ia akan menjadi tenteram. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Raa'd ayat 28:  “Ketahuilah dengan mengingati Allah SWT hati akan menjadi tenteram."

Kata Yang Mulia Tuan Guru RA, sembahyang fardhu disertai dengan sembahyang sunat akan membawa seseorang ke pintu Tuhan. Manakala puasa wajib dan sunat akan membawa seseorang itu masuk ke dalam pintu Tuhan, sedangkan sedekah wajib dan sunat akan membawanya ke sisi Tuhan.

Kata Yang Mulia Tuan Guru RA kalau ketiga-tiga jenis amalan ini dilakukan dengan istiqamah, orang itu akan menjadi kekasih Allah SWT.

Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

“Dan tiada sesuatu yang dapat mendekatkan hambaKu kepadaKu lebih Aku sukai daripada melaksanakan apa yang Aku wajibkan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil (amalan-amalan sunat) sehingga Aku cinta padanya."   (Hadis Qudsi)

Maksudnya kalau seseorang hamba itu mengerjakan amalan yang fardhu dan sunat dengan istiqamah maka ia akan dicintai Allah SWT.






Inilah kulit kitab Riwayat Yang Mulia Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali Akbar Al-Haji AlBikangi Rahimahullah.

InsyaAllah kami akan menulis semula isi-isi penting dalam kitab ini. Namun bagi saya semuanya dalam kitab ini penting setiap ayat ada hikmah dan pengajaran untuk kita pelajari.

Sekian salam 4hb ramadhan dan selamat beribadat.


Saturday, May 28, 2016

kitab At-ThariqIlallah

Snopsis: 

Akibat fahaman anti-tasawwuf dan thariqat menyebabkan jalan menuju kepada Allah SWT telah diabaikan bahkan dilupakan oleh majority umat Islam hari ini termasuk para alim ulama. Ini menyebabkan berkurangnya penunjuk jalan k kesana. ..LanjutBagi orang yang ingin menempuh jalan ini akan menghadapi dua masalah; pertama kurangnya penunjuk jalan tersebut dan kedua terdapat banyak tohmahan kononya jalan ini adalah jalan yang memberhaya. Walaupun demikia niat tidak seharusnya melemahkan semangat seseorang mendampingkan diri kepada Allah SWT. Hanya timbul persoalan: 

• Adakah lagi diantara umat manusia yang ingin menempuh jalan kepada Allah, Penciptanya?

• Adakah masih lagi orang-orang yang ingin ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, Pencipta Alam semesta ini?


• Adakah ada diantara kita yang ingin menjadi pencinta Allah yang MahaPemurah lagi Penyayang itu?


Kitab ini menghapuskan kesalah fahaman serta kekeliruan terhadap ilmu tasawwuf dan thariqat. YMTG RA telah merintis jalannya sendiri kepada Allah SWT. Jalan ini diterangkan dengan terperinci dalam kitab ini dengan harapan agar menjadi panduan dan pedoman bagi siapa yang mempunyai keinginan tersebut di atas serta ingin mengetahui jalan ini.   


harga senaskah : RM 25

Sila hubungi salah seorang penama ini untuk menempah/membeli kitab-kitab ini:-

Dr Dalhadi Hasan

   6013-8551521
Tuan Haji Abdul Halim AsSidek Hj Ghulam Hasan Al Bikangi

   6013-8014778
Saudara Abdul Rahim Hj Ghulam Hasan Al Bikangi

   6016-8815099
Puan Nooraini Haji Abu Samah

   6012-3175493
Puan Nor Rasyidah Mustafa

   6019-2401425
Hajah Noor Sham Hj Abdullah

   6019-2881466






Monday, May 9, 2016

Kitab Agama Allah Rahmat dan Penyelamat Bagi Seluruh Alam

Snopsis :

Fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belas kasihan. Ia inginkan kedamaian, ketenteraman dan kebahagian yang berpanjangan. Ia inginkan keselamatan dan kesejahteraan. Ia ingin mengetahui dan mengenal Pen nciptaNya demi mencapai kehampiran denganNya dengan harapan akan memperolehi kasih sayang Nya. Ia inginkan kejayaan dan kemenangan. Ia inginkan keadilan, kesaksamaan dan keharmonian. Ia inginkan kemajuan dan kemakmuran. Untuk mencapai keinginan ini umat manusia telah mengambil berbagai-bagai langkah. Langkah yang difikirkan paling berkesan ialah dengan menubuhkan PBB. Beberapa agensi telah ditubuhkan dibawah payung PBB seperti UNICEF, Majlis Keselamatan, UNEF, WFC, yang berperanan untuk mencapai tujuan tersebut. Agensi-agensi ini pula dibantu oleh organisasi-organisasi, para sukarelawan dan individu. Persoalannya mengapa umat Islam masih menemui kegagalan untuk mencapai tujuan tersebut sedangkan segala kepakaran, kecanggihan teknologi moden serta usaha-usaha dalam menubuhkan badan yang lebih sistematik dalam mencapai tujuan tersebut telah diguna pakai? Yang berlaku adalah sebaliknya iaitu penindasan, kekacauan, rusuhan, peperangan dan pertumpahan darah yang berterusan yang membawa kerosakan dan kemusnahan bukan sahaja terhadap jiwa manusia, harta benda bahkan kepada alam ini kerana wujudnya perasaan hasad dengki, dendam kesumat, benci-membenci, musuh-memusuhi dan sifat tamak haloba di kalangan umat manusia yang menyebabkan hilangnya kasih sayang bukan sahaja di antaramanusia dengan manusia bahkan juga dengan makhluk-makhluk lain. Ini juga membawa kepada timbulnya berbagai bencana alam seperti banjir, kemarau, letupan gunung berapi dan penyakit ganjil luar biasa. Apa yang di harap oleh umat manusia selalu tidak menjadi kenyataan. Ini sekaligus menunjukkan kelemahan manusia itu sendiri. Kitab ini lahir untuk merealisasikan keinginan tersebut.

harga senaskah : RM40

Sila hubungi salah seorang penama ini untuk menempah/membeli kitab-kitab ini:-

Dr Dalhadi Hasan

   6013-8551521
Tuan Haji Abdul Halim AsSidek Hj Ghulam Hasan Al Bikangi

   6013-8014778
Saudara Abdul Rahim Hj Ghulam Hasan Al Bikangi

   6016-8815099
Puan Nooraini Haji Abu Samah

   6012-3175493
Puan Nor Rasyidah Mustafa

   6019-2401425
Hajah Noor Sham Hj Abdullah

   6019-2881466












































Monday, April 11, 2016

Selamat bertemu kembali.......

Assalamualaikum wbt para kekasih-kekasih ALLAH;

Bagi pihak admin-admin yang ada didalam group Annisateam, kami memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis. Kerana kesibukan masa, atau mungkin kerap berkunjung ke Facebook "Persatuan Kebajikan Annisa". Apa pun alasannya nyata Blog ini terabai.

Hidup kita sementara, hari ini ada esok belum tentu ada. Admin pertama yang mereka bentuk blog ini sudahpun tiada, kesungguhan beliau dari awal untuk mencari idea dan mempelajari cara buat blog ini sangat kami kagumi dan menyebabkan adanya blog ini. Beliau sudahpun pergi pada 28 September 2012, mungkin kerana ketiadaan beliau, blog ini jadi sepi sekian lama. Namun itu hanya alasannya. Yang pergi sudahpun pergi dan berbahagia di alam baru. Buatmu Hajjah Nur Hidayah Haji Mohammad Zaid, selamat berbahagialah kamu di sana. Al-Fatihah,

Namun hati dan perasaan kami tetap mencintai jalan kebenaran. Jalan yang terbentang luas dihadapan kita. Wajarlah kita sentiasa duduk dengan orang-orang soleh untuk mendapatkan kata-kata hikmah. Terasa hati yang layu dan sepi hidup semula segar seperti pokok  yang layu disirami air.

Pun jangan lupalah kita untuk sentiasa zikir mengingati ALLAH SWT ketika duduk, baring atau berjalan. Sebagaimana kata -kata sahabat kita walaupun mungkin kita dalam maksiat berzikirlah mudah-mudahan kita terus meninggalkan maksiat tersebut. Subhanallah.

Rejab 1437 datang lagi, banyakkanlah kita beramal di bulan ALLAH SWT ini. Bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Mudah-mudahan doa kami agar pada bulan Rejab ini kebenaran abad ke 15 naik gilang gemilang agar bukan sahaja kita dan anak cucu kita selamat bahkan satu dunia selamat kerana Agama Islam pastinya akan menjadi Agama resmi dunia. Biarlah orang cakap kami berangan-angan namun tiada mustahilnya jika ALLAH SWT berkehendak. Yang Mulia Guru kami sendiri mengajar kami agar berdoalah dengan doa yang terbaik.

Salam Rejab & Selamat beribadat


Allahyarhamah Hajjah Nur Hidayah bersama Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al Hassaniyah. Blogger pertama blog ini.