Saturday, September 18, 2010

INGAT MATI - YM Tuan Guru Hj Ghulam RA

Tentang mati YM Tuan Guru RA berkata:

"Saudara-saudara sekelian hendaklah selalu ingat kepada mati.  Kita tidak akan terlepas daripada mati.  Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Sebab itulah sebelum datang ajal hendaklah kita memperbanyakkan bekalan untuk mati. Hati-hatilah terhadap tipu daya dunia ini, jangan sampai tergoda sehingga menyebabkan kita lalai terhadap perintah Allah SWT dan lalai mengingati mati.


Peluang hidup hanya sekali.  Pergunakanlah peluang ini dengan beribadat bersungguh-sungguh.  Ramai ahli kubur yang berdoa kepada Allah SWT dengan suara yang keras hingga kedengaran ke langit ketujuh memohon, jika mereka diberi peluang hidup lagi walaupun sekejap, mereka berjanji akan berpuasa pada siang hari dan mengerjakan ibadat pada sebelah malamnya tanpa tidur.



Tetapi doa mereka sia-sia sahaja kerana peluang hidup di dunia ini hanya sekali sahaja.  Janganlah kita seperti mereka itu yang telah menyesal selama-lamanya. Marilah kita kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat atas segala dosa dan kita menyerahkan diri kepada-Nya dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.”