Sayyidah
Nafisah ialah salah satu keturunan Rasulullah s.a.w.. Beliau puteri Imam Hasan
al-Anwar bin Zaid al-Ablaj bin Imam Hasan bin Imam Ali r.a.. Beliau lahir di
Makkah, pada 11 Rabiulawal 145H, hidup dan besar di Madinah.
Hijrah Ke Mesir
Demi
keamanan dan ketenangan hidup Sayyidah Nafisah berhijrah ke Mesir bersama
suaminya, Ishaq al-Mu’tasim bin Ja’far as-Siddiq, pada tahun 193H, setelah
sebelumnya ziarah ke makam Nabi Ibrahim a.s.. Di Mesir beliau tinggal di rumah
Ummi Hani’.
Sayyidah
Nafisah menetap di Mesir selama 7 tahun. Penduduk Mesir sangat menyayanginya
dan percaya akan karamahnya. Mereka selalu berduyun-duyun mendatanginya,
berdesakan mendengarkan mauizahnya dan memohon doanya. Hal ini membuat suaminya
berfikir untuk mengajaknya pindah ke tanah Hijaz, namun beliau menolak dan
menjawab: “Aku tidak bisa pergi ke Hijaz kerana aku bermimpi bertemu Rasulullah
s.a.w.. Beliau berkata kepadaku: “Janganlah kamu pergi dari Mesir kerana nanti
Allah akan mewafatkanmu di sana (di Mesir).”
Peribadinya
Sayyidah
Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia
berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam
dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya.
Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya
rindu dengan syurga Allah dan sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu
Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami
dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.
Sayyidah
Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain.
Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk
keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin
sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak
diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan
miskin. Demikianlah dermawannya Sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.
Keutamaannya
Sayyidah
yang mulia ini sudah mendapatkan keutamaan sejak kecil lagi. Suatu ketika,
demikian al-Hafiz Abu Muhammad dalam kitabnya Tuhfatul Asyraf bercerita:
Al-Hasan, ayahanda Sayyidah Nafisah membawa Nafisah semasa kecil ke makam
Rasulullah s.a.w.. Di sini sang ayah berkata : “Tuanku, Bagindaku Rasulullah,
ini puteriku. Aku redha dengannya. Kemudian keduanya pulang. Di malam hari sang
ayah bertemu Rasulullah bersabda: “Wahai Hasan Aku redha dengan puterimu
Nafisah kerana keredhaanmu itu. Dan Allah SWT juga redha kerana redhaku itu.
Salah
satu keutamaan Sayyidah Nafisah adalah selama hidupnya beliau telah
mengkhatamkan al-Quran sebanyak 4000 kali. Selain itu, meskipun tinggal jauh
dari tanah suci, beliau melakukan ibadah haji sebanyak 17 kali.
Sayyidah
Nafisah dan Imam Syafie
Sejarah
sepakat mengatakan bahawa Sayyidah Nafisah semasa dengan Imam Syafie. Keduanya
saling menghormati. Di ceritakan bahawa Imam Syafie meriwayatkan hadis dari
Sayyidah Nafisah. Setiap berkunjung ke kediaman Sayyidah Nafisah Imam Syafie
dan pengikutnya sangat menjunjung tinggi adab sopan santun terhadap beliau.
Imam
Syafie setiap tertimpa penyakit selalu mengirim utusan ke Sayyidah Nafisah agar
berkenan mendoakannya dengan kesembuhannya. Dan benar, setelah itu Imam Syafie
mendapatkan kesembuhan. Ketika Imam Syafie tertimpa penyakit yang menyebabkan
beliau wafat, Sayyidah Nafisah berkata pada utusan Imam Syafie: “Semoga Allah
memberikan kenikmatan pada Syafie dengan melihat wajahNya yang mulia.”
Karamahnya
Sebelum
menceritakan karamah-karamah Sayyidah yang mulia ini, perlu diketahui bahwa
suami Sayyidah Nafisah (Ishaq bin al Mu’taman bin Ja’far ash Shadiq) pernah
berkeinginan untuk memindah makam beliau ke pemakaman Baqi’ (Madinah). Kemudian
penduduk Mesir meminta suami Sayyidah Nafisah untuk mengurungkan keinginannya,
kerana penduduk Mesir ingin mendapatkan berkah darinya. Akhirnya, pada suatu
malam suami Sayyidah Nafisah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w.. Rasulullah
bersabda, “Wahai Abu Ishaq, janganlah kamu menentang keinginan penduduk Mesir,
karena Allah akan memberikan berkahNya kepada penduduk Mesir melalui Sayyidah
Nafisah”.
Di
antara karamahnya ialah ketika pembantu Sayyidah Nafisah yang bernama Jauharah
keluar rumah untuk membawakan air wudhu untuk beliau, pada waktu itu hujan
deras sekali. Akan tetapi, tapak kaki Jauharah tidak basah dengan air hujan.
Di
antara karamahnya juga ialah, ada sebuah keluarga Yahudi yang tinggal di dekat
kediaman Sayyidah Nafisah di Mesir. Keluarga itu mempunyai seorang anak
perempuan yang lumpuh. Suatu ketika ibu anak itu berkata: “Nak, kamu mahu apa ?
Kamu mahu ke kamar mandi ?. Si anak tiba-tiba berkata: “Aku ingin ke tempat
perempuan mulia tetangga kita itu.” Setelah si ibu minta izin pada Sayyidah
Nafisah dan beliau memperkenankannya, keduanya datang ke kediaman Sayyidah Nafisah.
Si anak didudukkan di pinggir rumah. Ketika datang waktu solat Zuhur, Sayyidah
Nafisah beranjak untuk berwudhuk di dekat gadis kecil itu. Air wudhuk beliau
mengalir ke tubuh anak tersebut. Seperti mendapatkan ilham anak itu mengusap
anggota tubuhnya dengan air berkah tersebut. Dan seketika itu juga ia sembuh
dan bisa berjalan seperti tidak pernah sakit sama sekali.
Kemudian
si anak pulang dan mengetuk pintu. Pintu dibuka oleh ibunya. Dengan hairan dia
bertanya: “Kamu siapa Nak?” “Aku puterimu.” Sambil memeluk si ibu bertanya
bagaimana ini bisa terjadi. Si anak kemudian bercerita dan akhirnya keluarga
itu semuanya masuk Islam.
Selain
itu, pernah suatu ketika sungai Nil berhenti mengalir dan mengering.
Orang-orang mendatangi Sayyidah Nafisah dan memohon doanya. Beliau memberikan
selendangnya agar dilempar ke sungai Nil. Mereka melakukannya. Dan seketika itu
juga sungai Nil mengalir kembali dan melimpah.
Karamah-karamah
beliau setelah wafat juga banyak. Di antaranya, pada tahun 638H, beberapa
pencuri menyelinap ke masjidnya dan mencuri enam belas lampu dari perak. Salah
seorang pencuri itu dapat diketahui, lalu dihukum dengan diikat pada pohon.
Hukuman itu dilaksanakan di depan masjid agar menjadi pelajaran bagi yang lain.
Pada tahun 1940, seseorang yang tinggal di daerah itu bersembunyi di masjid itu
pada malam hari. Ia mencuri syal dari Kasymir yang ada di makam itu. Namun, ia
tidak menemukan jalan keluar dari masjid itu dan tetap terkurung di sana sampai
pelayan mesjid datang di waktu subuh dan menangkapnya.
Wafatnya
Al-Sakhawi
bercerita, “Ketika Sayyidah Nafisah merasakan ajalnya sudah dekat, beliau
menulis surat wasiat untuk suaminya, dan menggali kubur beliau sendiri di
rumahnya. Kubur yang digalinya itu ialah untuk beliau sentiasa mengingatkan
akan kematian. Kemudian beliau turun ke liang kubur itu, memperbanyak solat dan
mengkhatamkan al-Quran sebanyak 109 kali. Kalau tidak mampu berdiri, beliau
solat dengan duduk, memperbanyak tasbih dan menangis. Ketika sudah sampai
ajalnya dan beliau sampai pada ayat: “Bagi mereka (disediakan) tempat kedamaian
(syurga) di sisi Tuhannya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal
soleh yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am: 127), beliau pengsan
kemudian dan menghembuskan nafas terakhir menghadap Sang Maha Kasih Abadi pada
hari Jumaat, bulan Ramadhan 208H.
Sewaktu
disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya. Sehingga kini maqamnya
diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang
Allah anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah yang terkenal dengan kewarakan kepada
Allah dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat generasi
wanita akhir zaman ini.
Sumber: tamanulama.blogspot.com.